Wednesday, 21 September 2022

Harga siling telur ayam

Hari ini saya nak kongsikan apa yang berlaku beberapa bulan ini di Miri, Sarawak berkaitan dengan harga telur ayam.

Seperti semua sedia maklum, harga siling telur ayam telah ditetapkan oleh KPDNHEP seperti boleh dilihat pada gambar terakhir di bawah.

Apa yang berlaku sekarang ialah semua pasaraya (shopping mall) menjual telur ayam tidak mengikut harga siling yang ditetapkan dengan alasan telur ayam mereka semuanya telur 'kayangan' yang diperkaya dengan omega, selenium, forlic acid dan sebagainya serta dilekatkan dengan label seperti gambar di bawah.


Harga telur ayam yang ditetapkan oleh KPDNHEP hanya boleh didapati di kedai runcit biasa serta di pasar sayur sahaja dan majoriti adalah telur gred B dengan harga RM13.50 sepapan. Itu pun banyak yang nampak macam telur gred C juga dijual dengan harga yang sama.


Saya tidak percaya semua telur yang dijual di pasaraya adalah telur 'kayangan' sebabnya mudah, ruangan untuk telur 'kayangan' dulunya terhad dan majoriti adalah telur biasa.

Kini tiba-tiba ruangan untuk telur biasa pula yang lesap di pasaraya dan yang tinggal semuanya telur 'kayangan'. Logik tak?

Harga telur 'kayangan' gred B setanding dengan harga telur biasa gred AAAA yang dijual di pasar sayur seperti boleh dilihat pada gambar pertama di atas.

Jika saya cuma ada dua pilihan iaitu telur 'kayangan' gred B dan telur biasa gred AAAA dengan harga yang sama, saya pilih telur biasa gred AAAA. Sebabnya ialah saya yakin ayam yang menghasilkan telur gred AAAA cukup makan atau lebih tepat makanannya lebih berkhasiat untuk menghasilkan telur berkualiti.

Cuba anda bayangkan apa yang akan berlaku kepada harga barangan perlu harian selain telur ayam beberapa bulan akan datang berdasarkan kejadian yang saya kongsikan di atas.

Perlu diingat nilai matawang kita telah diniagakan rendah pada kadar 4.55 berbanding dollar amerika semalam yang juga terendah dalam masa 24 tahun dan diramal bakal mencecah 4.60 minggu hadapan.

Kos menternak ayam bakal meningkat juga sebab bahan mentah baja ayam diimport. Begitu juga dengan bahan mentah lain seperti tepung dan gula yang merupakan bahan mentah asas harian kita.

Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila pemimpin umno menuntut PRU segera sebab ramai kluster mahkamah mereka hampir lemas dan akan lemas tidak lama lagi. Itu lah sebabnya mereka kata sanggup redah banjir untuk berkempen andainya PRU diadakan pada musim tengkujuh.

Pelabur luar kini tarik 'hand brake' sebab takut lepas pilihanraya nanti polisi kerajaan baharu dipilih tidak mesra pelabur selain nilai matawang kita yang semakin menyusut saban hari.

Banyak lagi faktor lain akan saya kongsikan jika berpeluang sebab tak nak menyimpang jauh dari tajuk asal hari ini iaitu hanya berkaitan dengan telur ayam.

Fikir-fikirkan...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.