Showing posts with label scammer. Show all posts
Showing posts with label scammer. Show all posts

Thursday, 29 December 2022

Maybank official SMS number - 66628

Dua minggu yang lepas saya telah menerima sms dari Maybank menghantar kod MSOS untuk pengesahan seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Saya tidak pernah mempunyai sebarang akaun bank dengan Maybank melainkan insuran kereta suatu ketika dahulu sewaktu memperbaharui cukai jalan di pejabat pos.

Saya abaikan sahaja sms tersebut namun kira-kira 12 minit selepas itu satu lagi sms diterima memberitahu nombor telefon telah ditukar ke nombor lain.

Saya juga telah menghantar email untuk mendapatkan pengesahan dan jawapan (reply) dari pihak Maybank ialah seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Sebelum ini saya juga pernah menerima beberapa panggilan yang juga memperkenalkan diri dari Maybank menawarkan perkhidmatan penstrukturan hutang kad kredit namun saya memilih untuk menamatkan perbualan sebab saya syak mereka adalah scammer.

Saya tidak pasti kenapa menerima sms seperti di atas namun yang pasti saya tidak mempunyai sebarang akaun atau transaksi dengan Maybank kebelakangan ini. 

Saya juga telah lama tidak memiliki kad kredit dan kini hanya mempunyai satu kad debit sahaja khas untuk urusan yang melibatkan atas talian (online) atau transaksi tanpa tunai.

Kita kini bukan setakat hidup bersama dengan virus CoVid-19 namun juga hidup bersama scammer yang semakin licik melakukan penipuan siber.

Mungkin saya perlu ke cawangan Maybank untuk penjelasan seterusnya...

Wednesday, 12 October 2022

Facebook login code

Awal pagi semalam saya ada menerima SMS seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Setahu saya, SMS seperti ini akan dihantar ke telefon kita jika melakukan 'login' menggunakan telefon baharu atau terlupa kata laluan dan menekan 'forgot password'.

SMS tersebut dihantar pada pukul 12:10am (00:10hrs) ke telefon bimbit saya sewaktu sedang nyenyak tidur.

Saya tidak pasti tujuan SMS tersebut dihantar ke telefon saya, namun yang pasti saya sedang nyenyak tidur atau mungkin sedang bermimpi.

Kemungkinan besar ada yang cuba menggunakan e-mail atau nombor telefon saya untuk mendaftar akaun facebook atau mungkin pengodam sedang berusaha mengodam akaun facebook saya.

Fikir-fikirkan...

Wednesday, 31 August 2022

Kehilangan wang melalui e-banking

Kebelakangan ini saya banyak terbaca posting orang ramai di media sosial berkaitan dengan wang hilang dari akaun bank yang melibatkan transaksi atas talian atau e-banking.

Saya dari dulu lagi tidak berminat dengan e-banking namun terpaksa juga berurusan melalui atas talian sebab tanpa e-banking, kita ketinggalan zaman.

Urusan di atas talian mulai popular sewaktu pandemik CoVid-19 menular di seluruh dunia dan orang ramai terpaksa berkurung di rumah. Urusan membayar bill adalah transaksi yang harus dilakukan setiap bulan dan dalam masa yang sama juga terpaksa membuat pembelian melalui atas talian.

Tidak dapat dinafikan bahawa pembelian di atas talian adalah lebih murah serta mudah dan banyak pilihan berbanding pembelian di pusat membeli belah.

Jadi, kita boleh menjimatkan wang, masa serta tenaga jika berurusan di atas talian selain perlu menunggu lama untuk sampai serta barang tiruan dan sebagainya.

Persoalan sekarang ialah tahap keselamatan pengguna berurusan di atas talian sebab melibatkan wang dan tak dapat dinafikan ianya melibatkan wang tunai sebab majoriti kini menggunakan kad debit untuk berurusan.

Gambar tangkap layar di atas dan dibawah adalah dua posting terbaharu yang saya jumpa dan ia melibatkan kehilangan sejumlah wang yang besar.

Kedua-duanya melibatkan kehilangan wang atau pemindahan wang tanpa pengetahuan pemilik akaun bank dan tiada kaitan dengan pembelian atas talian.

Jadi, adakah wang anda selamat simpan di bank? Sebelum ini saya pernah kongsikan wang tidak selamat disimpan di bank di sini dan ianya cuma melibatkan yuran (fees) sahaja.

Kes kehilangan wang kini bukan kehilangan wang secara fizikal seperti dirompak atau diragut tetapi hilang secara maya tanpa disedari.

Saya ada beberapa akaun bank yang masih aktif dan kesemuanya dibuka dengan tujuan kemasukkan gaji. Dalam banyak-banyak akaun yang saya ada, cuma satu akaun sahaja saya memiliki kad ATM (kad debit) sebab ianya diberi percuma dan tiada yuran tahunan. 

Pada mulanya saya cuma guna e-banking untuk membayar bill sahaja namun kini juga menggunakannya untuk membeli belah di shopee/Lazada/AliExpress.

Transaksi yang terlibat hanya puluhan ringgit sahaja dan kadang-kadang mencecah ratusan ringgit untuk membeli alat ganti kerja-kerja membaik pulih peralatan elektrik/elektronik.

Kurangkan had transaksi harian...

Saya sebenarnya juga takut kehilangan wang secara maya melalui perkongsian orang ramai di media sosial dan setakat ini apa yang saya boleh lakukan untuk meminimakan kehilangan ialah kurangkan had (limit) transaksi harian seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Sejarah awal saya berurusan secara maya bermula dengan menggunakan kad kredit untuk membeli tiket penerbangan. Seterusnya saya guna kad kredit untuk membeli makanan tambahan (supplement) di atas talian sebab harga makanan tambahan di pasaran tempatan tersangat mahal.

Apabila kad kredit mula dikenakan yuran tahunan, saya beralih kepada kad debit sehingga kini.

Saya tidak pasti bagaimana begitu banyak kes wang akaun bank hilang tanpa pengetahuan pemilik berlaku dan yang pasti ianya melibatkan tahap keselamatan peranti e-banking pihak bank atau mungkin ianya melibatkan tangan ghaib 'orang dalaman'.

Contoh kes tangan ghaib 'orang dalaman' yang pernah saya dengar ialah sewaktu berkhidmat sebagai kakitangan syarikat kewangan pada tahun 90an yang melibatkan pekerja IT syarikat bank.


Beliau yang dimaksudkan ialah Aman Shah, pekerja IT Hock Hua Bank dan apa yang dia lakukan ialah memindahkan satu sen sahaja dari setiap pemilik akaun bank tersebut ke akaunya secara maya.

Itu hanya melibatkan satu sen sahaja dan boleh menjadi jutawan. Kini kehilangan bukan satu sen namun sejumlah wang yang besar dan akan menjadi mimpi buruk kepada pemilik.

Jika ada kes kehilangan wang secara maya seperti di atas, apa yang kita boleh lakukan ialah:-

  1. Menghubungi bank serta membuat aduan kehilangan wang
  2. Membuat laporan polis
  3. Melaporkan ke bank pusat iaitu Bank Negara Malaysia 

Kata orang dulu-dulu, 'wang tiada mata' dan tidak kenal tuannya. Ianya bukan milik kita lagi jika telah terjatuh ke tangan orang lain.

Fikir-fikirkan...

Sunday, 1 May 2022

Scammer guna agama di facebook

Pada hari jumaat (29/04/2022) lepas, tiba-tiba dinding muka buku saya dipenuhi dengan posting minta derma seperti boleh dilihat pada gambar-gambar tangkap layar di bawah.


Gambar-gambar ini cuma beberapa sahaja yang saya tangkap layar dan ianya tertera perkataan 'sponsored' yang bermaksud posting berbayar serta akan muncul pada dinding muka buku orang ramai.

Saya yakin ianya juga muncul pada dinding muka buku anda dan mencecah ratusan posting dengan nama yang berbeza-beza namun tujuan sama iaitu derma untuk bina 'telaga kemboja'.

Saya telah 'report ad' atau 'hide ad' pada muka buku dan percaya atau tidak semakin kita tekan, semakin banyak akan muncul. Kalau bukan scam, apa pula gelaran yang sesuai untuk mereka-mereka ini?


Mungkin kes penyelewangan yang melibatkan ketua umno, zahid hamidi berkaitan yayasan akalbudi ada persamaan modus operandinya.


Saya juga yakin tiada tindakan langsung dari pihak muka buku walaupun saya klik 'report ad' sebab mereka telah menerima bayaran dan tugas mereka hanya memenuhi permintaan para scammer setelah dibayar. Bukankah ini 'cash is king'?

Mungkin tidak semua adalah scammer namun saya rasa 99% adalah scammer sebab saya juga ada komen dan dalam banyak-banyak komen satu sahaja yang menjawab dan mereka akan kata kita tuduh tanpa usul periksa. Lepas itu mereka akan ugut kita akan dapat dosa sebab menuduh tanpa usul periksa. Nampak tak disitu, kelebihan jika guna agama untuk menipu? Menuduh dapat dosa, menderma dapat pahala walaupun scammer. Jadi scammer adalah halal jika menggunakan agama.

Apa pun, duit masing-masing yang punya, jika nak bantu yang memerlukan, mulakan dengan membantu diri sendiri, lepas itu bantu ahli keluarga, saudara mara, rakan terdekat dan negara sendiri.

Kenapa bawa duit kita keluar dari negara kita ke komboja? Bantu lah negara sendiri dulu terutamanya sekarang iaitu selepas pandemik CoVid-19.

Saya tetap mempertahankan ini adalah scammer. Kegiatan mereka ini adalah umpama 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan' jika benar dana yang mereka kutip itu sampai ke kemboja.

Berapa peratus kutipan derma ala scammer ini akan sampai ke kemboja jika melibatkan ratusan pihak yang muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan?

Fikir-fikirkan.

Sunday, 30 January 2022

Scammer - panggilan dari mahkamah

Dua minggu lepas pada 16/01/2022 pada pukul 9:05 saya telah menerima panggilan dari 013-763 2571 seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

16/01/2022 @ 9:05hrs

Saya hanya sempat merakam sebahagian perbualan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah. Seingat saya, pemanggil memperkenalkan diri dalam bentuk rakaman dan membuat panggilan dari mahkamah.

Panggilan tersebut putus sebelum saya sempat menekan 9 untuk bercakap dengan pegawai seperti yang disuruh.

Selama ini saya banyak mendengar atau terbaca berita mengenai kegiatan penipuan seperti ini dan ramai yang telah ditipu.

Modus operandi mereka seterusnya jika mangsa terperangkap ialah mereka tawarkan bantuan dan meminta membuka akaun atau memindahkan sejumlah wang ke akaun tertentu bagi mengelak dikenakan tindakan mahkamah.

Kata orang tua-tua, 'duit tiada mata' dan jika anda pindahkan kepada akaun orang lain, ianya jadi milik orang lain.

Banyak yang meragukan dari panggilan tersebut dan di antaranya ialah:-

  1. Mahkamah tidak bekerja pada hari minggu
  2. Biasanya kita akan mendengar rakaman suara jika membuat panggilan dan bukan ketika menerima panggilan
  3. Jika benar ada tunggakan cukai, LHDN yang akan menghubungi kita dan bukannya mahkamah
  4. Pihak LHDN biasanya akan menghantar surat bertulis kepada kita dahulu sebelum menelefon kita (jika ada)
  5. Jika benar mahkamah yang membuat panggilan, mereka akan menggunakan talian tetap dan bukannya talian telefon bimbit.
  6. Mengutip tunggakan cukai bukan kerja mahkamah

Jika anda ada terjawab panggilan sedemikian, apa yang anda perlu jawab ialah suruh mereka teruskan tindakan mahkamah dan letak telefon. Jangan layan sebarang tawar-menawar terutamanya yang melibatkan pemindahan wang.

Berhati-hati dan jangan jadi mangsa penipuan atas talian...

Sunday, 24 October 2021

Cara dapatkan semula wang daripada scammer

Copy & paste (salin & tampal)

Pengalaman Tuan Zul Nizam melalui posting di Facebook bertarikh 30 September 2021.
 
12/09/21 - Setelah buat pembayaran deposit, no telefon scammer gagal dihubungi disyaki sudah tukar nombor yang baru.
 
13/09/21 - Buat laporan polis kes penipuan jual beli online di Balai Polis H.S Lee. 
 
17/09/21 - Buat pengesahan nama pemilik no telefon scammer dengan U Mobile Pavilion Kuala Lumpur. Mereka mengesahkan pemilik no telefon 011-21734936 atas nama scammer.
 
24/09/21 - Buat aduan kes penipuan di Maybank Bukit Bintang, isi form Borang Aduan Kad Maybank dikepilkan salinan report polis dan slip transfer Maybank. Hari yang sama terima panggilan dari Maybank memaklumkan pihak bank akan menyiasat kes tapi tidak memberi jaminan bahawa saya akan dapat balik wang semula.
 
25/09/21 - Buat semakan dalam CCID Portal untuk rekod no telefon dan no akaun bank scammer namun hasil carian tiada report diperolehi.
 
27/09/21 - Terima sebanyak 5 kali panggilan dari no telefon yang tidak dikenali. Apabila dihubungi, pemilik no telefon tersebut mengaku adalah scammer dan mahu memulangkan semula wang kerana akaun miliknya telah dibekukan oleh pihak Maybank.
 
29/09/21 - Hubungi customer service Maybank berhubung prosedur pengaktifan semula akaun scammer. Operator memaklumkan scammer perlu pergi ke cawangan bank yang berdekatan, wang deposit pengadu akan ditolak terus dari akaun scammer. 
 
Sekian.
 
Semoga bermanfaat.

Sunday, 29 November 2020

Cara dapat kembali akaun Clash of Clans yang telah dicuri melalui apps

Pada 26/11/2020 yang lepas akaun Clash of Clans (COC) saya telah dilarikan seseorang sebab saya ditipu tanpa disedari.

Clash of Clans

Ceritanya begini, pada pagi tersebut ada seseorang yang memperkenalkan diri dengan nama siti hafizah masuk ke dalam klan saya dan meninggalkan pesan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Pencuri akaun COC

Setelah diperiksa akaunnya iaitu TH11, saya berminat dan meminta beliau memberikannya kepada saya jika masih belum berpunya melalui whatsapps. Tanpa disedari saya sebenarnya telah ditipu oleh beliau secara tersusun yang meminta saya mendaftar 'supercell ID' dan memasukkan e-mail beliau iaitu sitihafizah121@gmail.com. Akhir sekali beliau memberi nombor kod kepada saya melalui whatsapps. 

Setelah saya masukkan nombor kod tersebut, akaun saya telah dilarikan oleh dia dan saya tidak dapat menghubunginya lagi.

Ini merupakan pengalaman yang sangat pahit dan tidak boleh diterima oleh saya sebab sepatutnya saya dapat akaun beliau namun sebaliknya akaun saya pula yang dilarikan.

Dalam setting pilih 'help and support'

Oleh kerana akaun saya telah didaftarkan atas email si pencuri, saya tidak mungkin dapat kembali akaun COC saya sebab kod akan dihantar kepada email si pencuri.

Cara untuk dapatkan kembali akaun COC yang telah dicuri ialah, 'uninstall' dan 'install' semula apps COC. Masuk semula ke apps COC dan anda akan mula dari 0. Seterusnya anda klik 'setting' dan dalam 'setting' anda klik 'help and support'.

Seterusnya anda cari serta klik 'contact us' dan masukkan maklumat yang diminta dengan tepat iaitu:-

  1. Tag akaun COC anda
  2. Nama akaun anda
  3. Level TH anda
  4. Nama klan anda (jika anda)
  5. Akhir sekali anda ceritakan bagaimana akaun anda dicuri.

Pilih 'contact us'

Lepas itu kena tunggu sehingga pihak COC selesai meneliti maklumat anda. Dari masa ke semasa, masuk semula mengikut langkah di atas untuk periksa tindakan seterusnya dari pihak COC.

Jika pihak COC berpuashati, mereka akan meminta anda memberikan email untuk pendaftaran 'supercell ID'. Pastikan anda berikan email yang belum pernah didaftarkan pada mana-mana 'supercell ID'.

Setelah pihak COC selesai menukar email pencuri kepada email anda, anda masuk semula apps COC dan kini kod akan dihantar kepada email yang anda berikan kepada mereka.

Dapatkan kod tersebut dari email anda dan masukkan ke dalam ruangan 'supercell ID'. Bingo!!! Saya dapat akaun saya semula.

Klan pencuri dah kosong, semua saya 'kick'...

Setelah saya dapat semula akaun saya, saya dapati saya telah diberi pangkat 'co-leader' pada klan si pencuri. Dengan geramnya saya 'kick' kesemua ahli pada klan tersebut dengan alasan 'akaun dicuri' dan setelah kesemuanya telah saya 'kick' saya kembali semula ke klan asal saya.

Peringatan kepada saya sendiri dan orang ramai, jangan terpengaruh dengan benda-benda percuma, peluang ditipu sangat-sangat tinggi.

Fikir-fikirkan...