Tuesday 31 July 2018

Baiki PHILIPS 42PFL3605S/98 TV LCD

Hari ini saya kongsikan pula satu pengalaman baru membaiki TV LCD berjenama PHILIPS, Model: 42PFL3605S/98 yang telah cuba dibaiki oleh seseorang namun tidak berjaya.

Pengalaman begini amatlah berharga disebabkan kita kena tahu apa yang orang terdahulu telah lakukan kepada TV tersebut dan yang amat membimbangkan ialah mereka telah mengubah suai komponen dan jika kita tidak periksa/semak dengan teliti, kita juga akan gagal membaikinya.
Jenama: PHILIPS, Model: 42PFL3605S/98
Ketika TV LCD ini dirujuk kepada saya, pemiliknya memberitahu saya bahawa TV tersebut telah dihantar untuk dibaiki namun tiada alat ganti untuk papan litar utama (power board) dipasaran berikutan telah ditamatkan pengeluarannya.
Hanya 2 keping papan litar sahaja kelihatan..
Seperti biasa untuk mengenalpasti kerosakan kita kenalah buka dan lihat apa yang terkandung didalam TV tersebut. Hanya ada 2 keping papan litar sahaja kelihatan seperti pada gambar di atas.

1. transistor K3868, 2. Diod, 3. Fius 3.15A
Memandangkan pemilik telah memberitahu saya bahawa papan litar utama tiada alat ganti di pasaran maka sudah pasti masalahnya di situ. Pemilik juga memberitahu saya kali terakhir TV ini beroperasi hanya seketika sahaja bila dihidupkan, jadi kalau saya menguji lagi mungkin akan mengakibatkan lebih banyak lagi kerosakan pada papan litar.

Untuk makluman, TV LCD tersebut menggunakan papan litar buatan LG seperti pada gambar di atas. Nombor rujukan papan litar tersebut ialah PLHF-a962a.

Setelah di periksa dengan menyeluruh, saya agak terkejut apabila mendapati bahawa banyak komponen yang rosak dan kesemuanya telah saya bulatkan seperti pada gambar di atas.
Transistor telah diubah suai...
Saya juga keliru kenapa sebiji transistor yang didapati rosak berlainan dengan yang lain. Oleh yang demikian saya mulai syak ada pengubahsuaian komponen telah dilakukan sebelum ini dan setelah saya periksa dengan buku panduan, rupa-rupanya transistor yang berlainan itu bukan mengikut speksifikasi asal.

Anda boleh rujuk kepada buku panduan tersebut di sini. Transistor yang dimaksudkan ialah K3868 yang telah ditukar dan menggunakan MDF11N60.
Satu kepuasan bila screen biru kelihatan...
Cabaran kini ialah di mana nak cari alat ganti yang di dapati rosak. Satu-satunya kedai yang membekalkan komponen eletronik di Miri tiada alat ganti untuk transistor K3868 dan terpaksalah saya meminta bantuan rakan di luar Miri. Nasib menyebelahi saya apabila alat ganti tersebut ada dan terpaksa menaiki kapal terbang menyeberangi Laut China Selatan melalui PosLaju.

Setelah kesemua komponen yang di dapati rosak itu diganti dan diuji, TV LCD tersebut kini kembali berfungsi seperti pada gambar di atas & bawah.
Tested - OK
Saya telah membuat perbandingan transistor asal K3868 dengan MDF11N60 dan perbezaannya adalah seperti berikut:-

K3868
  • RDS = 1.3 ohm
  • VDS = 500v
  • Drain current = 5A
  • Drain power = 35w

MDF11N60 
  • RDS = 0.55 ohm
  • VDS = 600v
  • Drain current = 11A
  • Drain power = 49w
Jika diteliti sepatutnya MDF11N60 boleh digunakan disebabkan kemampuannya melebihi K3868 tetapi kenapa mereka tidak berjaya membaikinya?

Apa-apa pun, jika ingin membaiki peralatan eletronik, seboleh-bolehnya jangan ubah suai komponen sedia ada, guna lah alat ganti yang asal melainkan alat ganti tersebut telah dimansuhkan pengeluarannya.

Terima kasih kepada pemilik TV tersebut kerana memberi peluang serta kepercayaan kepada saya untuk mencuba & membaikinya.

Selamat mencuba...

Tuesday 24 July 2018

Baiki PENSONIC PTF-53A Thermo Pot/Flask

Hari ini saya berpeluang membaiki sesuatu yang belum pernah saya sendiri guna atau memilikinya iaitu bekas penyimpan air panas (thermal pot) menggunakan bekalan elektrik berjanama PENSONIC, Model: PTF-53A.

Saya tidak berminat dengan peralatan elektrik untuk memanaskan sesuatu seperti seterika, cerek elektrik, induction cooker dan sebagainya disebabkan ianya banyak menggunakan elektrik dan menyumbang kepada penggunaan elektrik yang berlebihan.

Untuk itu saya masih lagi menggunakan gas untuk memasak atau mendidihkan air dan saya yakin ianya lebih murah berbanding dengan peralatan elektrik.
Pandangan luar...
Berbalik kepada 'thermo pot' yang dirujuk kepada saya pada pagi ini, menurut pemiliknya setelah dicuci dengan air semalam ianya terus mengeluarkan air panas secara automatik setelah dibekalkan elektrik tanpa menekan butang 'dispense' tanpa henti.
Buatan Malaysia
Setelah dibuka dan diperiksa, bahagian utama di bawah 'thermo pot' tidak mempunyai apa-apa masalah dan kesemua komponennya berkeadaan baik.
Papan litar di bahagian bawah
Namun ada sekeping papan litar pada bahagian atas 'thermo pot' ini terdapat tanda-tanda terdapatnya litar pintas dan berwarna hitam seperti pada gambar di bawah. Butang 'dispense' dan 'reboil' terletak pada papan litar ini dan bahagian yang mengalami litar pintas itu bersambung kepada butang 'dispense'. Ini lah punya kenapa air panas keluar tanpa menekan butang 'dispense'.
Papan litar mengalami litar pintas
Bila diperiksa dengan meter, memang sah terdapat litar pintas di situ dan apa yang saya lakukan ialah bersihkan kedua-dua terminal tersebut & pateri semula.
Setelah dibersihkan & dipateri semula
Sebelum dipasang kembali, saya periksa semula pada kedua-dua terminal tersebut dan tiada lagi litar pintas. Setelah dipasang kembali papan litar pada tempat asalnya dan diuji, 'thermo pot' tersebut tidak lagi mengeluarkan air secara automatik sebelum di tekan butang 'dispense'.
Keadaan dalam 'hose' yang tak dapat dicuci...
Jika anda lihat pada gambar di atas, kelihatan ada kekotoran pada bahagian dalaman 'hose' bahagian yang mengeluarkan air dan saya berpendapat air yang dibekalkan adalah tidak bersih dan ini juga merupakan salah satu sebab kenapa saya masih memilih cerek biasa yang lebih mudah untuk dibersihkan.

Nasihat saya kepada pengguna 'thermal pot', jangan cuci dengan air ketika membersihkannya. Cukup dengan mengelap menggunakan kain basah sahaja untuk mengelakkan bahagian eletrik mengalami litar pintas bila terkena air.

Selamat mencuba...

Baiki Electrolux ETD33SF Table Top Induction Cooker

Sebelum ini saya pernah membaiki 'induction cooker' berjenama CHINDUCT dan anda boleh buat rujukan di sini. Hari ini saya dirujuk pula sebuah 'induction cooker' berjenama ELECTROLUX, Model: ETD33SF. Masalahnya ketika dirujuk kepada saya ialah tidak panas setelah dibekalkan elektrik.
Pandangan atas 'table top induction cooker'...

Buatan China...
Seperti biasa jika ingin mengetahui apakah penyebab 'induction cooker' ini tidak menghasilkan haba apabila dibekalkan elektrik, kita harus buka dan periksa komponen di papan litar. Gambar di bawah merupakan papan litar dan bahagian yang dibulatkan telah didapati rosak dan harus diganti.
Pandangan dalam setelah di buka..

IGBT Transistor FGA25N120 / 1B42HV
Setelah diganti Transistor (gambar di atas) dan diuji, 'induction cooker' telah kembali berfungsi seperti biasa dan menghasilkan haba untuk mendidihkan air seperti pada gambar di bawah.. Jika anda ingin tahu cara untuk memeriksa transistor, anda boleh rujuk di sini.
Testing - ok
Selamat mencuba...

Friday 13 July 2018

Baiki 5V AC/DC adapter

Hari ini saya baiki adapter/transformer dengan output 5V yang pernah saya baiki tidak lama dahulu. Anda boleh baca di sini untuk rujukannya. Masalahnya sama iaitu tidak menghasilkan output 5V tetapi bukan akibat kerosakan kapasitor.
Adapter 5V yang dimaksudkan..

Pandangan atas setelah penutup dibuka..
Setelah dibuka dan diperiksa, tiga komponen yang dilabelkan pada gambar di atas & bawah merupakan kompenen yang didapati rosak dan harus diganti.
1. Fius
2. Integrated circuit (IC) - LY2117
3. Diod
Komponen yang rosak..

Output 5V

3.37A - good adapter
Walaupun tertera pada adapter tersebut hanya menghasilkan 2A namun adapater ini boleh menghasilkan arus sehingga 3.37A.

Thursday 12 July 2018

Baiki LG 50PJ350R-TA TV Plasma

Hari ini saya kongsikan pula pengalaman membaiki sebuah TV Plasma berjenama LG, Model: 50PJ350R-TA.

Untuk makluman TV Plasma kini sudah boleh dianggap antik dan tiada keluaran lagi setelah kehadiran LCD & LED di pasaran.
Jenama: LG, Model: 50PJ350R-TA
Ketika TV tersebut dirujuk kepada saya, masalahnya ialah tidak dapat dihidupkan dan dalam keadaan standby dengan indikator LED berwarna merah. Setelah diteliti, ketika dibekalkan elektrik, kedengaran beberapa bunyi klik pada relay. Jika lampu indikator menyala bermaksud adanya bekalan 5V.
Pandangan dalam setelah dibuka penutup belakang
Oleh kerana adanya bekalan 5V dalam keadaan standby dan juga kedengaran bunyi klik namun TV tidak dapat berfungsi, maka suspek utama ialah 'SMPS board' atau juga dikenali sebagai 'power board'.
SMPS board
Setelah diperiksa (rujuk kepada gambar di bawah), sah hanya 5V sahaja yang ditemui namun 60V & 207V tidak ada. Cara mengukurnya ialah cari bahagian output seperti pada gambar di bawah. Jika mengukur VA kita seharusnya dapat 60V & jika mengukur VS akan ada 207V.

Setelah diperiksa menyeluruh, beberapa komponen harus diganti seperti ditanda pada gambar di atas:-
1. 3BR1565JF (IC)
2. Diod
3. Fius
4. 407nm kapasitor
5. Perintang
VA = 60V, VS = 207V
Selain komponen diatas ditemui rosak dan harus diganti, salah satu bahagian pateri pada transfomer juga mengalami keretakan dan harus dipateri semula seperti pada gambar di bawah.
"Cold Solder Joint"

Setelah dipateri semula.
Setelah semua komponen ditukar dan bahagian 'cold solder joint' di pateri semula maka bekalan eletrik dibekalkan semua dan periksa semula output 'SMPS board'. Kali ini selain 5V untuk standby, VA & VS juga menunjukkan voltan output dan boleh dilihat pada gambar di bawah.
VA = 60V

VS = 207V

Tested - ok
Akhirnya TV Plasma yang kini tiada keluaran lagi boleh digunakan lagi. Selamat mencuba...