Thursday 31 March 2022

CROWN FW45 industrial wall fan repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk kipas angin seperti ini untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini.

CROWN FW45

Kali ini saya dirujuk lagi sebuah kipas angin serupa dengan masalah yang serupa iaitu langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

FW45 (05/11/2019)

Komponen yang ditemui rosak kali ini ialah:-

  1. Thermal fuse 135°c, 2A putus
  2. Kapasitor 2.5uF rosak
Komponen yang rosak...

Kipas ini kembali berfungsi setelah kedua-dua komponen di atas telah saya gantikan dan diuji.

Thermal fuse 135°c, 2A

Kerosakkan kipas angin ini berpunca dari kapasitor yang telah lemah menyebabkan kipas angin berputar perlahan dan seterusnya mengakibatkan motor menjadi panas serta memutuskan 'thermal fuse'.

Kapasitor rosak - 143nF

Kipas ini dipasang pada 5/11/2019 dan kapasitornya hanya bertahan kurang dari 3 tahun sahaja. Dari pengalaman saya membaiki selama ini, kapasitor jenis seramik lebih tahan berbanding kapasitor biasa yang berwarna hitam seperti di atas.

Selamat mencuba...

Wednesday 30 March 2022

YouTube Partner Program (YPP)

Akaun YouTube saya telah didaftar pada 18/01/2007 namun tidak aktif sehingga penghujung tahun lepas.

27/03/2022

Tujuan asal saya daftar akaun YouTube ialah ingin menjana pendapatan namun tiada pengikut (subscriber) dan tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Joined 18/01/2007...

Tahukah anda bahawa kita boleh menjana pendapatan melalui YouTube partner program (YPP) dengan syarat harus mempunyai sekurang-kurang 1,000 pengikut dan jumlah tontonan sekurang-kurangnya 4000 jam?

26/03/2022

Saya tidak pasti kenapa tiba-tiba pengikut di YouTube saya bertambah saban hari tanpa disedari dan begitu juga dengan jumlah masa tontonan.

Pada mulanya saya mendaftar YouTube hanya untuk memuat naik video bagi kegunaan di blog ini sahaja.

28/03/2022 (apply now)

Jumlah pengikut mencecah seribu pada 27/03/2022 dan jumlah tontonan mencecah empat ribu jam pada hari berikutnya, 28/03/2022.

Step 1 - Done

Saya juga telah memohon YouTube partner program pada 28/03/2022 dan kini masih menunggu kelulusan.

Step 2 - in progress

Tempoh kelulusan adalah dalam jangkamasa sebulan dari tarikh permohonan seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Step 3 - Not started

Syarat-syarat menyertai YouTube partner program boleh dibaca pada gambar di bawah.

YouTube partner program terms

Saya telah mendapat kelulusan YouTube partner program melalui email pada 29/03/2022.

YPP mulai 29/03/2022

Semoga segala urusan dipermudahkan selepas ini...

30/03/2022

Anda boleh melayari akaun YouTube saya di sini.

Tuesday 29 March 2022

Quartz Alarm Clock repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah jam quartz yang ada fungsi alarm dengan masalah gagal berfungsi walaupun baterinya telah diganti dengan yang baharu.

MiKo quartz alarm clock

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati salah satu terminal pada crystal oscillator didapati putus seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Satu terminal crystal oscillator putus...

Saya tidak pasti bagaimana ianya putus namun cuma ditemui setelah saya tolak crystal oscillator tersebut dengan jari sewaktu pemeriksaan.

Sambung terminal yang putus...

Apa yang saya lakukan ialah sambung terminal yang putus tersebut dengan mempateri kembali menggunakan timah.

Siap...

Jam ini berjaya diselamatkan dan kembali berfungsi semula setelah komponen yang putus terminalnya di atas telah saya sambungkan.

Selamat mencuba...

Monday 28 March 2022

Rowlett Rutland 4ATS-161 toaster repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman membaiki alat pembakar roti (toaster) berjenama Rowlett Rutland, model: 4ATS-161 dengan masalah hanya 2 elemen pemanas sahaja yang panas.

Rowlett Rutland

Ketika saya mengujinya, hanya elemen pemanas ke-2 & ke-3 dari kiri sahaja yang merah menyala serta panas.

Model: 4ATS-161

Masalah sedemikian biasanya adalah disebabkan elemen pemanas telah putus sebab faktor usia.

Setelah penutup bawah dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa dengan menggunakan multimeter, elemen berlabel 1, 4 & 5 tiada keterusan.

Keluarkan elemen pemanas...

Elemen pemanas seperti ini boleh dibaiki dan dengan menyambungkan bahagian yang putus sahaja.

Elemen pemanas putus...

Gambar di bawah menunjukkan elemen pemanas yang putus telah saya sambungkan kembali dengan menggunakan kaki kapasitor.

Sambung elemen pemanas yang putus...

Gambar di bawah menunjukkan nilai rintangan kelima-lima elemen pemanas setelah siap sambungkan kesemua eleman pemanas yang putus.

Rintangan setiap elemen pemanas...

Gambar di bawah pula adalah bacaan rintangan yang saya dapat di terminal L & N pada plug top selepas tombol dilaras mengikut nombor.

Periksa rintangan pada plug top...

Alat pembakar roti ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula dengan hanya menyambungkan kembali 3 elemen pemanas yang putus sahaja.

Selamat mencuba...

Sunday 27 March 2022

Tutup siling gypsum board

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana menutup siling jenis 'gypsum board' yang telah saya potong minggu lepas untuk membaiki paip PVC yang bocor.

Siling telah kering...

Memandangkan ianya melibatkan kebocoran air dan basah, saya terpaksa tunggu sehingga 'gypsum board' telah kering sebelum menutupnya. 'Gypsum board' yang basah sangat lembut dan akan hancur/pecah bila disentuh atau ditekan.

1. Potong gypsum board yang diperlukan...

Cara-cara saya menutup siling boleh dilihat pada gambar-gambar di atas serta di bawah dan bermula dengan mengukur saiz lubang yang ingin ditutup.

2. Potong kemas siling...

Setelah saiz telah diketahui, potong sekeping 'gypsum board' yang sedikit besar dan berbentuk segi empat sama (square). Potong lubang asal supaya sama saiz dengan 'gypsum board' yang telah disediakan.

3. Gamkan pemegang belakang gypsum board...

Gamkan beberapa pemegang pada bahagian belakang 'gypsum board' yang disediakan supaya tidak jatuh ketika disimpan dari atas lubang siling.

4. Simpan dari atas...

Pastikan 'gypsum board' yang telah disimpan dari atas sama rata dengan siling asal sebelum melakukan kerja 'putty' untuk menutup bahagian sambungan.

5. 'Putty' bahagian sambungan...

Setelah kerja 'putty' siap, biarkan sehingga kering sebelum dicat supaya sama warna serta sedap mata memandang.

Siap & tunggu hingga kering sebelum dicat...

Kekemasan siling yang telah dibaiki bergantung kepada pengalaman serta kepakaran kerja-kerja 'putty' masing-masing. Gambar di bawah menunjukkan siling yang baru selesai saya cat.

Selepas dicat & belum kering...

Selamat berDIY...

Saturday 26 March 2022

Restoring Panasonic SR-JA227P jar rice cooker

Hari ini saya dirujuk sebuah periuk nasi berjenama Panasonic, model SR-JA227P dengan masalah seluruh rumah akan bergelap apabila suis pada soket dihidupkan.

Panasonic SR-JA227P

Jika bekalan elektrik terputus bila dihidupkan bermaksud ada litar pintas dan misi kali ini ialah mencari punca litar pintas.

Model: SR-JA227P

Pemeriksaan awal pada 'plug top' mendapati ada sedikit litar pintas di antara terminal L/N dengan terminal E seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Litar pintas pada terminal L/N & E

Sebelum ini saya pernah dirujuk masalah sedemikian dan litar pintas disebabkan cicak mati mengejut setelah terpijak fius pada mikrowave dan anda boleh rujuk di sini.

Penutup bahagian bawah periuk...

Setelah penutup bahagian bawahnya dibuka, saya tidak menemui cicak kali ini namun banyak tahi lipas di dalamnya.

Litar pintas pada soket di periuk nasi...

Pemeriksaan keterusan (continuity) pada soket di mana kabel elektrik disambung mendapati bahawa litar pintas berlaku di situ seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Setelah dibersihkan...

Setelah soket tersebut saya cuci dan diperiksa semula dengan menggunakan multimeter, tiada lagi litar pintas dan masalah telah berjaya diselesaikan.

Buka semua & bersihkan mana yang patut...

Saya buka juga mana-mana bahagian yang ada bau tahi lipas dan bersihkan sebelum di pasang kembali.


Gambar di atas adalah salah satu bahagian yang dipenuhi dengan tahi lipas telah saya buka untuk dibersihkan.

Bahagian luaran yang lusuh juga telah saya 'restore' catnya seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

setelah 'restore' Panasonic SR-JA227P...

Anda boleh bandingkan perbezaannya dengan gambar pertama di atas sewaktu baru dirujuk kepada saya.

Label asal saya tutup sebelum disembur cat...

Selamat mencuba...

Friday 25 March 2022

APC Black-UPS ES500 repair

Semalam saya telah dirujuk sebuah UPS berjenama APC model ES500 dengan masalah seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

UPS yang elok tidak akan menghasilkan bunyi buzzer berterusan ketika dihidupkan seperti boleh ditonton pada klip video di penghujung artikel ini.

Setelah penutup belakang dibuka...

Majoriti masalah UPS seperti ini yang pernah dirujuk kepada saya adalah disebabkan kerosakkan bateri atau kerosakkan geganti (relay).

Keluarkan papan litar untuk pemeriksaan...

Kali ini kerosakkannya berbeza dari sebelumnya dan setelah papan litarnya saya buka serta diperiksa secara menyeluruh, sebiji kapasitor dengan nilai 22uF, 16v rosak dan kedudukannya telah saya tandakan pada gambar di atas.

Gantikan kapasitor 22uF, 16v...

UPS ini berjaya diselamatkan serta masih boleh digunakan semula dengan menggantikan sebiji kapasitor sahaja.

Kapasitor rosak, bacaan cuma 270nF sahaja...

Nilai kapasitor 22uF atau 22,000nF yang rosak cuma 270nF sahaja seperti telah saya tunjukkan pada gambar di atas

Selamat mencuba...