Showing posts with label Politic. Show all posts
Showing posts with label Politic. Show all posts

Tuesday, 14 January 2025

Addendum

Perkataan 'addendum' telah lama saya tahu serta gunakan sewaktu bekerja sebagai pegawai bank pada tahun 90an lagi iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu.

Istilah 'addendum' digunakan untuk permohonan tambahan/perubahan pada sesuatu permohonan asal dan sebagai pegawai bank, tugas saya ialah membantu pelanggan membuat permohonan pembiaan.

Tidak semua permohonan diluluskan seperti yang dipohon dan sebarang permohonan tambahan haruslah melalui 'addendum' seperti kurangkan kadar pinjaman, tambah/kurangkan tempoh pinjaman, ubah jumlah pinjaman dan sebagainya.

Isu 'addendum' yang hangat dibicarakan sejak hampir setahun lepas melibatkan 'titah addendum' ialah permohonan pengampunan hukuman bekas perdana menteri, Najib Razak berkaitan skandal 1MDB serta SRC international Sdn bhd.

Umum tahu lembaga pengampunan telah berkenan dengan permohonan Najib Razak dan hukuman telah dikurangkan separuh dari asal kepada denda RM50 juta serta 6 tahun penjara.

Namun menurut cerita, YDPA ada memberi titah tambahan selepas mesyurat lembaga pengampunan melalui 'titah addendum' dan ianya tidak dibincangkan di dalam mana-mana mesyurat lembaga pengampunan serta tidak pasti titah tersebut telah disampaikan kepada siapa serta keberadaannya.

Menurut cerita yang saya dengar, isi kandungan 'titah addendum' tersebut ialah menggantikan hukuman penjara Najib Razak kepada hukuman tahanan di rumah. 

Memandangkan hukuman tahanan rumah tidak dilaksanakan berikutan tidak dibincangkan dalam mesyurat lembaga pengampunan maka kementerian dalam negari (KDN) hanya menerima maklum pengurangan hukuman sahaja bedasarkan minit mesyurat.

Maka dengan itu, Najib Razak telah menfailkan semakkan kehakiman di mahkamah tinggi namun ditolak atas alasan hanya 'hearsay'.

Seterusnya Najib Razak membuat rayuan pula di mahkamah rayuan dengan dokuman tambahan dari sultan Pahang seperti boleh dilihat pada gambar ke-2 di atas. 

Dengar khabar surat yang difailkan di mahkamah tanpa tandatangan namun diterima pakai dan rayuan diterima berikutan tidak dicabar oleh pejabat peguam negara.

Semua menteri senyap seribu bahasa bila ditanya para wartawan atas sebab subjudis berikutan ianya kini dalam proses mahkamah walaupun perbicaraan belum bermula lagi.

Pembangkang pula ambil peluang menanguk di air yang keruh dengan menuduh menteri, perdana menteri serta kerajaan sorok addendum tersebut. Tidak ketinggilan juga netizen yang tanpa usul periksa terus menuduh kerajaan menderhaka sebab tidak ikut titah addendum YDPA.

Begitu lah serba sedikit kisah yang saya boleh simpulkan dari apa yang saya baca serta dengar setakat ini, boleh kira 'hearsay' juga lah...

Pun begitu, saya rasa sebenarnya isu ini sangat mudah mengikut fikiran logik saya. Ianya sengaja dimainkan oleh ahli politik terutamanya pembangkang untuk memburukkan kerajaan sekarang sebab isu yang melibatkan kaum, raja serta agama sangat murah serta mudah untuk memecah belahkan perpaduan seperti yang umum tahu.

Apa lagi mereka yang telah memajakkan otak kepada orang tertentu serta percaya tanpa usul periksa yang tak ubah seperti robot.

Berikut adalah persoalan serta pandangan pribadi saya:-

  1. Kenapa surat dari istana pahang (bekas YDPA) tiada tandatangan digunakan di mahkamah? Alasan peguam ialah ianya surat rujukan/rekod sultan namun tular dalam talian ada pula tandatangan.
  2. Tujuan Najib Razak membuat rayuan ialah untuk membuktikan kepada umum bahawa 'titah addendum' itu wujud untuk meneruskan drama bersiri pribadinya meraih simpati serta memburukkan kerajaan sekarang.
  3. Drama bersiri ini tidak akan selesai dalam masa terdekat dan ianya akan dijadikan bahan berpolitik serta 'brainwash' para pengikut yang pajak otak kepada mereka 
  4. Apa yang mahkamah perlu tentukan sekarang bukan lagi mengesahkan kewujudan 'titah addendum' tersebut tetapi adakah ianya sah mengikut perlembagaan?
  5. Jangan lupa negara kita mengamalkan raja berpelembagaan dan adakah 'titah addendum' tersebut mengikut perlembagaan?
  6. Yang pasti mulai dari sekarang sehingga mahkamah mengumumkan keputusan akhir, tiada maklumat dari menteri serta kerajaan sebab ianya akan menggangu proses perundangan atau subjudis.
  7. Jika semua pihak mengikut lunas-lunas undang-undang tiada isu sebegini timbul sebab setahu saya, salah satu syarat untuk mohon pengampunan diraja ialah harus menjalani separuh hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah. Jadi YDPA boleh saja tolak permohonan Najib Razak yang baru setahun jagung.
  8. Saya berpandangan kerajaan berusaha melindungi institusi raja manakala pembangkang pula berusaha memalukan institusi raja dalam kes 'titah addendum' ini. Apa kata anda?

Sama-sama kita ikut serta tunggu apa keputusan mahkamah seterusnya. Urusan kes pun belum bermula, apa lagi perbicaraan...

Sunday, 4 December 2022

Kerajaan campuran (coalition government)

Pengumuman 'kabinet perpaduan' pimpinan DSAI telah diumum pada 02/12/2022 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

4 menteri adalah senator lantikan YDA yang kalah dalam PRU15 iaitu:-

  1. Datuk Seri Saifuddin Nasution (Menteri Dalam Negeri)
  2. Tengku Datuk Seri Utama Zafrul (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri)
  3. Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar Negeri)
  4. Datuk Setia Dr Mohd Na'im Mokhtar (Menteri di jabatan Perdana Menteri - Agama)

Kabinet PM8 vs PM9 vs PM10



Kabinet PM10 dinamakan sebagai 'kabinet perpaduan' adalah serupa dengan kerajaan 'keluarga malaysia' pimpinan PM9 serta kerajaan perikatan nasional (PN) pimpinan PM8 sebelumnya dan cuma bilangan menteri dikurangkan.

'Kabinet perpaduan' hari ini adalah slogan semata-mata seperti 'keluarga malaysia' & '1malaysia' namun sebenarnya adalah kerajaan campuran (coalition government).

Situasi pembentukkan kerajaan adalah sama iaitu tiada gabungan parti mempunyai majoriti mudah dan terpaksa bergabung semula dengan parti lain. Proses gabungan terakhir ialah di antara PH, BN, GPS dan lain-lain.

'King maker' kali ini ialah BN yang memiliki sebanyak 30 kerusi diikuti GPS sebanyak 23 kerusi. Dua parti yang memiliki kerusi terbanyak ialah PH (82 kerusi) & PN (73 kerusi).

Umum tahu bahawa pihak 'king maker' pasti akan meletakkan syarat tertentu untuk bergabung membentuk kerajaan dan akan meminta kedudukan paling tinggi iaitu timbalan perdana menteri.

Selain daripada itu, saya yakin dan percaya pihak BN juga meletakkan syarat agar BN berkuasa di Perak & Pahang sebab keputusan akhir PRN tiada parti mandapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Sekiranya BN kehilangan kuasa di Perak serta Pahang, mereka hanya berkuasa di Johor sahaja dan kemungkinan besar akan lenyap pada PRU/PRN akan datang.

Ramai tidak berpuas hati sebab kabinet yang dibentuk melibatkkan kluster mahkamah namun itu sahaja yang terbaik buat masa ini hasil daripada perbincangan selama beberapa hari sebelum PM10 dilantik pada 24/11/2022. Sebabnya mudah iaitu keputusan PRU15 tidak memberi kemenangan mencukupi kepada PH untuk majoriti mudah iaitu 112 kerusi bagi membentuk kerajaan secara bersendirian (solo)

Sejak berkempen lagi saya telah menyarankan agar memberi kemenangan besar kepada PH supaya boleh membentuk kerajaan yang bersih namun ada pakar yang asyik mempromosikan calon tanpa mengira parti yang berakhir dengan keputusan perlimen tergantung atau kerajaan tergantung.

Apa pun, kita hanya memilih wakil parlimen kawasan masing-masing dan pembentukkan kerajaan di tangan ketua parti. Keputusan hari ini adalah hasil daripada pilihan para pengundi sendiri. 

Semoga kerajaan campuran aka 'kabinet perpaduan' mampu bertahan penuh sepenggal tanpa sebarang drama tambahan seperti PRU14...

Friday, 25 November 2022

Kerajaan perpaduan (Unity goverment)

Teka-teki siapa Perdana Menteri ke-10 telah terjawab semalam setelah YDA telah memberi perkenan untuk melantik YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a)dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Intipati kenyataan media pertama DSAI semalam (24 November 2022) sebagai Perdana Menteri ialah:-
  1. Komited mempertahankan Perlembagaan - Bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan kaum Melayu tanpa meminggirkan hak kaum Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak serta Orang Asli
  2. Pemerintahan dibentuk dengan dukungan padu dan mantap dari tiga gabungan terbesar yakni Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak
  3. Kerajaan akan menjamin dan menjaga hak semua rakyat Malaysia khususnya golongan yang terpinggir dan melarat tanpa kira bangsa dan agama
  4. Fokus nombor satu saat ini adalah agenda pengukuhan ekonomi 
  5. Melawan rasuah dan penyelewengan secara serius dan habis-habisan dengan menggerakkan agenda reformasi tatakelola (‘governance’) pemerintahan
  6. Usul Undi Percaya akan menjadi agenda pertama sewaktu Sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini
  7. Tetap menolak untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri
  8. Isnin, 28 November 2022 ini adalah CUTI UMUM seluruh negara

Ini merupakan julung kalinya negara kita membentuk kerajaan perpaduan dan saya amat berharap ianya akan dilaksanakan dengan jayanya dalam 5 tahun yang akan datang di bawah pimpinan DSAI.

Kerajaan penggal lepas telah menyaksikan pertukaran 3 perdana menteri dalam masa kurang dari 5 tahun akibat perebutan kuasa politik oleh pemimpin yang dipilih rakyat dan mengabaikan masalah rakyat serta negara.

24/11/2022

Berikutan pengumuman PM ke-10 semalam, bursa saham telah naik hampir 60 mata dan melepasi 1,500 mata. Pada masa yang sama ringgit juga telah mengukuh dan ditutup pada MYR4.50/USD semalam dan pagi ini, MYR4.48/USD seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Semoga trend sebegini terus subur di negara kita selepas ini di bawah kerajaan perpaduan yang baharu mulai dari sekarang.

Saya juga amat berharap semua pemimpin yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi pada PRU15 ini kurangkan berpolitik atau mungkin boleh berhenti berpolitik seketika mulai sekarang dan tumpukan perhatian kepada pembangunan serta kesejahteraan negara tanpa mengira kaum dan agama.

Sesungguhnya berpolitik menggunakan sentimen kaum dan agama telah banyak memecahbelahkan bangsa kita selama ini.

Salam perpaduan...

Thursday, 24 November 2022

Datuk Sri Anwar Ibrahim bakal PM ke-10

Berdasarkan maklumat awam yang ada setakat ini, saya yakin Datuk Sri Anwar Ibrahim bakal diumumkan sebagai perdana menteri ke-10 hari ini.


Keputusan mesyurat majlis khas tertinggi UMNO adalah seperti boleh dilihat pada gambar di atas.


Semalam pihak istana telah memanggil ketua-ketua parti komponen parti GPS dan UMNO untuk mengadap YDA dan kenyataan media pihak istana adalah seperti pada gambar di atas.

Amat jelas keputusan telah diperolehi oleh pihak istana dan akan memaklumkan kepada majlis raja-raja dahulu sebelum diumumkan lewat petang kelak.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada bakal perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Semoga kerajaan baharu yang dibentuk kelak lebih baik daripada sebelumnya, jika bukan yang terbaik.

Wednesday, 23 November 2022

Kerajaan perpaduan

Drama melantik perdana menteri ke-10 masih belum selesai setakat blog ini ditulis dan apa yang berlaku semalam ialah:-

1. Barisan Nasional telah bermesyurat dan keputusannya adalah seperti kenyataan media pada gambar di bawah iaitu tidak menyokong PN namun tidak juga menyatakan sokongan kepada PH.

2. Gabungan Parti Sarawak pula menyerahkan kepada YDA untuk membuat keputusan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Pihak istana telah memanggil pengerusi PH & PN mengadap semalam dan keputusannya ialah:-

  1. Tiada gabungan mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan
  2. Pihak istana mencadangkan kerajaan perpaduan kepada PH & PN
  3. PN menolak
  4. PH menerima

Berikutan pihak PH telah menerima cadangan YDA, banyak media berita telah melaporkan Datuk Seri Anuar Ibrahim telah dinamakan sebagai calon perdana menteri namun hakikatnya ialah seperti kenyataan media pihak istana di atas.

Pagi ini kesemua calon dari barisan nasional dipanggil mengadap YDA bagi mengetahui kesediaan mereka bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan.

Sama-sama kita nantikan drama seterusnya yang akan serta bakal berlaku pada hari ini...

Tuesday, 22 November 2022

Siapa perdana menteri Malaysia ke-10

Setelah 3 hari pilihanraya umum telah berlalu, kemungkinan hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia. Siapakah bakal perdana menteri kita yang ke-10?

Perjumpaan PH & BN di Hotel Seri Pacific...

Apa yang berlaku kelmarin ialah gabungan barisan nasional (BN) telah berbincang dengan gabungan pakatan harapan (PH) untuk bekerjasama membentuk kerajaan di Perak, Pahang serta peringkat persekutuan.

Pihak BN juga telah meminta tempoh tambahan bagi melengkapkan dokumen sokongan membentuk kerajaan persekutuan. Berikutan itu pihak istana juga telah bersetuju penangguhan sehingga pukul 2 petang hari ini (22/11/2022).

Dalam masa yang sama, di satu pihak lagi iaitu gabungan perikatan nasional (PN) juga mengumumkan telah mendapat sokongan melebihi 112 kerusi parlimen.

Kemungkinan apa yang akan berlaku tidak seperti dirancang dan tidak/belum selesai pada hari ini.

Sama-sama kita tunggu dan lihat...

Monday, 21 November 2022

Kerajaan tergantung PRU15

Walaupun rakyat Malaysia telah menunaikan kewajipan untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 19/11/2022 namun tiada gabungan yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan setakat ini.

Kenyataan istana...

Pihak istana telah dimaklumkan keputusan akhir oleh SPR dan meminta yang dipertua dewan rakyat bekerjasama untuk memaklumkan kepada ketua-ketua parti yang mempunyai kerusi yang banyak berkaitan gabungan untuk membentuk kerajaan selewat-lewatnya pukul 2 petang 21/11/2022.

Kenyataan media pertama semalam ialah dari GPS (Gabungan Parti Sarawak) seperti boleh dilihat pada gambar di bawah iaitu bersetuju dengan gabungan PN, BN, GPS & GRS.

Kenyataan GPS...

Tidak lama selepas itu PN (Perikatan Nasional) pula mengeluarkan kenyataan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah yang juga bersetuju dengan gabungan PN, GPS, GRS dan beberapa ahli dewan rakyat yang lain tanpa menyebut BN.

Kenyataan PN...

Pada sebelah malam pula pihak BN (Barisan Nasional) menafikan ada rundingan dengan GPS untuk membentuk kerajaan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Kenyataan BN...

Setakat blog ini ditulis, tiada kenyataan dari pihak PH (Pakatan Harapan) serta semua ahli dewan rakyat mereka yang terpilih. Kesemua mereka masih membisu termasuk bakal calon PM (Perdana Menteri) mereka.

Apa yang ditemui di media sosial hanya lah mohon maaf serta doa dari bakal calon PM gabungan PH seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Namun pada lewat malam saya menemui satu lagi 'posting' bakal calon PM gabungan PH seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Apakah petunjuk (clue) yang ingin beliau sampaikan?

Sama-sama kita nantikan dalam beberapa jam lagi...

Sunday, 20 November 2022

Keputusan PRU15

Rakyat malaysia telah menjalankan tanggungjawab untuk keluar mengundi semalam dan keputusan akhir PRU15 adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Tiada gabungan yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara solo.

Proses seterusnya ialah bagaimana gabungan yang sedia ada bergabung untuk mendapatkan jumlah majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Adakah:-

  1. PH + PN = 82 + 73
  2. PH + BN = 82 + 30
  3. PH + GPS + GRS + lain-lain (No PN, no BN)
  4. PN + BN + GPS + GRS + lain-lain (No PH or no DAP, no Anuar)

Nama-nama besar calon yang telah kalah pada PRU15 ialah:-

1. Tun Mahathir
2. Tengku Razaleigh
3. Khairy Jamaludin
4. Nurul Izzah Anwar
5. Faizal Azumu
6. Maszlee Malik
7. Tengku Zafrul
8. Zuraida Kamarudin
9. Shahril Hamdan
10. Asyraf Wajdi
11. Rina Harun
12. Khalid Samad
13. Liow Tiong Lai
14. Tengku Adnan
15. Mujahid Rawa
16. Reezal Merican
17. Isham Jalil
18. Mahdzir Khalid
19. Azmin Ali
20. Saifuddin Nasution 

Kerusi yang dimenangi mengikut parti adalah seperti boleh dilihat pada gambar di atas.


Mudah-mudahan proses gabungan seterusnya untuk membentuk kerajaan berjalan lancar dengan mengambil kira pelbagai aspek terutamanya kestabilan politik demi masa depan negara yang lebih baik jika bukan yang terbaik.

Sama-sama kita nantikan...

Saturday, 19 November 2022

PRU15 - Selamat mengundi

Hari ini rakyat Malaysia akan menentukan bakal calon ahli parlimen (MP) kawasan masing-masing dan gabungan parti yang mendapat majoriti akan membentuk kerajaan yang baharu.

Pusat mengundi...

Seperti PRN lepas, saya turun awal ke pusat mengundi. Pengundi disuruh duduk tunggu/duduk sehingga waktu mengundi bermula.

Tunggu giliran...

Tunjukkan kad pengenalan kepada pegawai bertugas untuk disemak dan akan diberikan maklumat saluran mengundi seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Dapatkan nombor saluran/pemilih...

Pengundi tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit di dalam bilik mengundi dan nama serta nombor kad pengenalan akan diumum untuk pengetahun semua 'pooling agent'.

Selepas itu jari pengundi akan dicelup dengan dakwat kekal berwarna ungu (purple) dan diberikan kertas undi yang telah dilipat. Kertas undi yang telah ditanda oleh pengundi akan dimasukkan ke peti undi.

Setelah dicelup dakwat kekal...

Warna dakwat kekal akan berubah menjadi gelap setelah beberapa jam seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah beberapa jam, warna dakwat menjadi gelap...

Selamat mengundi...

Friday, 18 November 2022

Gabungan PN/BN atau PH/BN?

Esok adalah hari mengundi dan hari ini saya kongsikan dua gabungan yang dikatakan boleh menjadi 'king maker' untuk PRU15 ini.

Seramai 945 calon (termasuk calon bebas) bertanding merebut 222 kerusi parlimen yang ada. Hanya 222 calon sahaja yang akan terpilih dan peratusannya cuma 23.49% (222/945*100).

Federal friendly...

Dua gabungan yang saya maksudkan ialah seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Allied with BN...

Pihak Bersatu telah menuduh PH ada rundingan sulit dengan BN untuk membentuk kerajaan manakala pihak PH pula menepis dan mengatakan PN dan BN adalah sekutu.

Walaupun masing-masing telah menyangkal tuduhan, saya dapati PN & BN telah bersekutu di Sabah seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Dalam masa yang sama PAS telah membantu dengan tidak meletakkan calon di Sabah dan semua penyokong mereka diarah agar mengundi semua calon GRS-BN seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Kenyataan PAS Sabah...

Jadi, GRS bukan 'king maker' sebab gabungan mereka adalah sekutu BN. Walaupun GPS adalah 'federal friendly' namun selepas PRU14, mereka sangat condong kepada BN/PN.

Oleh yang demikian, PH perlu menang besar tanpa GRS & GPS jika ingin kembali berkuasa untuk menyelesaikan misi yang belum selesai setelah dijatuhkan oleh katak politik serta pengkhianat langkah Sheraton.

Akibat langkah Sheraton, kerajaan yang dipilih rakyat menjadi pembangkang dan yang kalah pula menjadi kerajaan. Semua ini berlaku sebab mereka berebut sesama sendiri dan menyalahkan pihak tertentu bermodalkan perkauman.

Negara kita adalah negara berbilang kaum dan perkauman adalah modal yang paling murah serta berkesan. Itulah sebabnya dari dulu lagi saya tidak akan mengundi calon dari parti untuk kaum tertentu sahaja.

Keputusan di tangan masing-masing dan saya mahukan kerajaan yang baharu memimpin negara kita dengan memenangkan PH esok.

Ingat, undi itu adalah rahsia dan mari lah kita keluar beramai-ramai untuk mengundi demi masa depan negara yang lebih baik.

Tiada alasan untuk tidak keluar mengundi esok sebab cuti telah diberikan.

Nota kaki: abaikan iklan politik yang ada pada blog saya.

Thursday, 17 November 2022

Iklan PRU15 google adsense

Minggu lepas saya ada kongsikan iklan google berkaitan PRU15 adsense pada blog saya dan anda boleh rujuk di sini.

Setelah saya kongsikan calon-calon di tempat saya mengundi iaitu P219 di sini, pagi ini iklan google adsense telah bertukar daripada perdana menteri sementara kepada calon P219 seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas dan di bawah.

Saya sedikit hairan sebab sehingga ke hari ini tiada pula iklan yang melibatkan calon serta parti lain selain mereka pada blog saya.

Agaknya ini lah yang dinamakan teknologi AI (artificial intelligence) terkini yang giat digunakan pada semua aktiviti di atas talian.

Kemungkinan teknologi AI ini juga lah yang digunakan oleh para scammer untuk menjalankan aktiviti penipuan tanpa sempadan di seluruh dunia.

Sebagai tuan punya blog, kami ditegah daripada klik sebarang iklan pada blog kami sendiri. Jika ter'klik' juga mereka akan mendenda atau mungkin 'bannned' akaun google adsense kami.

Jadi, saya cuma boleh lihat sahaja namun tak boleh buka (klik) iklan pada blog saya sendiri...

Wednesday, 16 November 2022

Zahid Hamidi perdana menteri jika BN kembali berkuasa?

Semalam telah berlangsungnya proses pengundian awal yang melibatkan anggota keselamatan serta pasangan. Sejumlah 94.72 peratus atau 212,961 pengundi telah melaksanakan tanggungjawap masing-masing.

Gambar di atas dan di bawah adalah gabungan semasa dan masing-masing berkempen dengan cara serta gaya tersendiri. Tidak ketinggalan juga perang poster serta kutuk-mengutuk kedengaran sewaktu ceramah bersangsung untuk menghibur serta meraih undi.

PRU ini saya tidak menghadiri mana-mana ceramah politik bersemuka dan banyak menonton secara atas talian serta membaca berita sahaja.

Salah satu bahan kempen gabungan semasa yang ada ialah memperkenalkan bakal calon perdana menteri (PM) masing-masing jika mereka berjaya membentuk kerajaan.

Bakal calon PM PRU15...

Secara amnya kita telah dimaklumkan bakal calon PM ialah seperti boleh dilihat pada gambar di atas namun banyak spekulasi berlegar mengatakan calon PM jika BN berjaya membentuk kerajaan ialah Zahid Hamidi dan bukannya Ismail Sabri.

Saya juga sependapat Zahid bakal PM jika BN membentuk kerajaan sebab saya juga percaya 'surat rahsia' di atas dan di bawah benar-benar wujud.

Selain daripada 'surat rahsia' di atas, apa yang menyakinkan saya ialah dari pengalaman PRU14 lepas di mana setelah pakatan harapan (PH) telah mendapat majoriti mudah, pihak istana telah memanggil pengerusi PKR ketika itu Wan Azizah mengadap.

Pengerusi PKR dipanggil mengadap sebab watikah calon ditandatangani oleh beliau dan gabungan mereka mendapat majoriti mudah. Ada cerita mengatakan beliau ditawarkan jawatan PM oleh pihak istana namun menolak sebab perjanjian bersama iaitu Tun M sebagai PM jika gabungan mereka menang.



Jadi, dalam kes BN kali ini tidak jauh bezanya jika berjaya mendapat majoriti mudah dan pihak istana akan memanggil Zahid Hamidi sebab watikah ditandatangani oleh beliau. Dalam masa yang sama dia juga akan ditawarkan jawatan PM walaupun dalam kempen memberitahu Ismail Sabri sebagai PM dengan menunjukkan 'surat rahsia' di atas.

Untuk pengetahun semua, kita mengundi untuk memilih wakil rakyat sahaja dan kuasa memilih perdana menteri di tangan yang dipertuan agong (YPA).

Fikir-fikirkan...

Tuesday, 15 November 2022

PM isytihar 18 & 19 Nov cuti umum

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 18 dan 19 Nov ini sebagai cuti umum bagi memudahkan rakyat pulang mengundi.

“Kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan keluarga Malaysia mengundi.

“Saya tidak mahu seorang pun dilarang mengundi,” katanya ketika berucap dalam majlis pecah tanah bangunan Cuepacs, di sini.

Pada masa sama, Ismail mengumumkan tol percuma untuk Jumaat dan Sabtu ini.

“Tol percuma akan bermula dari 12.01 pagi 18 Nov (Jumaat) hingga 11.59 malam Sabtu, 19 Nov 2022, melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 saja yang dianggarkan sekitar 90% daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.”

Beliau berkata, tawaran itu melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM34.5 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam pada itu, katanya, gaji penjawat awam bagi bulan ini akan dibayar lebih awal pada 17 Nov, manakala bayaran pencen untuk pesara diawalkan ke hari ini untuk meringankan beban penjawat awam yang ingin pulang ke kampung mengundi.

“Apa yang diumumkan ini tidak meliputi kakitangan swasta, hanya untuk penjawat awam.

“Tapi saya menggalakkan dan meminta swasta ambil contoh apa yang dilaksanakan kerajaan supaya membayar gaji awal kepada pekerja mereka, ia boleh membantu pekerja swasta untuk kurangkan bebanan dan keluar mengundi.”

sumber

Sunday, 13 November 2022

P219 - Miri

Seminggu telah berlalu sejak hari penamaan calon pada 05/11/2022 untuk PRU15 dan saya akan mengundi di Parlimen P219, Miri.

Calon PSB - Lawrence Lai Yew Song

P219 menyaksikan pertembungan 3 penjuru dan calon-calonnya ialah:-

  1. Lawrence Lai Yew Song - calon PSB
  2. Chiew Choon Man - calon PKR (Harapan)
  3. Jeffery Phang Siaw Foong - Calon SUPP (GPS)
Calon PKR - Chiew Choon Man

Saya telah kongsikan pendirian saya sejak hari penamaan calon dan anda boleh rujuk di sini.

Tiada PRN di Sarawak sebab DUN tidak dibubarkan dan tugas kita di Sarawak cuma memilih ahli parlimen (MP) untuk mewakili parlimen masing-masing.

Kerajaan penggal lepas telah menyaksikan pertukaran 3 perdana menteri dan parti GPS menyokong kesemua kerajaan PH (Tun M), PN (Tan Sri Muhyiddin) & BN (Dato Sri Ismail) namun memilih untuk menjadi pembangkang sewaktu pentabiran PH selama 22 bulan.

Oleh yang demikian calon pertama yang saya singkirkan ialah calon dari GPS/SUPP.

Calon SUPP - Jeffery Phang Siaw Foong

Sehingga hari ini, saya masih belum menentukan calon yang bakal dipilih pada hari mengundi yang akan berlangsung dalam seminggu lagi.

Dalam banyak-banyak berita serta kenyataan yang dikeluarkan oleh calon-calon seminggu lepas, saya tertarik dengan artikel di bawah dan mungkinkah ianya boleh direalisasikan?

Referendum...

Untuk pengetahuan semua, Malaysia dibentuk pada tahun 1963 hasil gabungan 4 buah negara iaitu Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura telah meninggalkan Malaysia pada tahun 1965.

Perjanjian asal melalui MA63 ialah Sabah & Sarawak adalah 'partner' atau dengan bahasa mudah, negara diurus bersama namun hasil keuntungan harus dipulangkan kepada Sabah & Sarawak.

Apa yang berlaku beberpa tahun selepas itu ialah pada tahun 1976, perlembagaan Malaysia telah dipinda serta diluluskan dan status Sabah dan Sarawak telah bertukar dari wilayah (partner) kepada negeri. 

Ini adalah kesilapan besar yang telah dilakukan oleh ahli parlimen (MP) kita sewaktu itu dan MA63 telah diketepikan sejak itu. Kita sepatutnya mendapat kembali keuntungan dari hasil bumi sendiri namun hanya mendapat peruntukan yang sedikit dengan keluasan kawasan yang jauh lebih besar.

Peruntukan yang diberikan kepada kita sama seperti negeri-negeri lain di Malaya selama berpuluh tahun yang jauh telah menyimpang dari perjanjian asal MA63. Ini lah yang dicanangkan oleh GPS sekarang untuk mendapat kembali hak kita sebagai wilayah (partner) dalam kempen-kempen mereka untuk meraih undi.

Jadi, referendum yang dicanangkan oleh calon PSB amat menarik perhatian saya jika boleh direalisasikan.

Mungkin kah ianya boleh direalisasikan?

Fikir-fikirkan...

Rujukan