Tuesday 31 August 2021

Jangkitan telinga serta berdengung

Masalah telinga kanan saya ini telah berlaku kira-kira setahun hingga ke dua tahun yang lepas.

Bahagian dalam telinga saya sering basah dan rutin harian saya selepas mandi ialah mengeringkannya menggunakan putik kapas. Kadang-kadang saya perlu mengeringkan beberapa kali dalam sehari sebab ada cecair yang mengalir keluar.


Pada 24/8/2021 lepas kira-kira pukul 10 malam selepas mandi,  ketika saya mengeringkan telinga kanan menggunakan putik kapas, apa yang terjadi ialah putik kapas telah tertanggal dan tertinggal di dalam telinga kanan saya.

Bermacam-macam usaha telah saya lakukan untuk mengeluarkannya namun semuanya tidak berhasil sehingga mencederakan bahagian dalam telinga serta terasa sakit. Selain daripada itu, pendengeran juga tidak jelas serta berdengung seperti dimasuki air.

Saya bergegas ke hospital umum untuk mendapatkan bantuan dan dirujuk kepada 3 doktor.  Semua memberitau saya tiada kapas di dalam telinga saya dan berakhir dengan merujuk saya kepada ENT (ear, nose & throat) pagi berikutnya.


Temujanji berjalan dengan lancar namun ketika nama saya dipanggil, saya boleh mendengar tetapi tidak tahu dari arah mana suara itu datang dan dengan bantuan jururawat, saya akhirnya berjumpa dengan pakar ENT.


Pemeriksaan dengan menggunakan kamera yang dimasukkan ke dalam telinga juga tidak menemui putik kapas namun bahagian dalam telinga saya sangat basah dan kelihatan seperti bernanah. Pendengaran saya lebih baik setelah cecair di dalam telinga saya disedut serta dibersihkan menggunakan peralatan khas.


Saya diberi empat jenis ubat seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di atas. Saya disuruh kembali semula untuk menjalani pemeriksaan pada 15/9/2021.


Untuk pengetahuan semua, masalah telinga sentiasa basah tiada lagi selepas dua hari menitiskan ubat seperti yang disarankan oleh pakar ENT.

Persoalan yang belum terjawab sehingga hari ini ialah ke mana menghilangnya putik kapas yang tertinggal di dalam telinga saya dan tidak ditemui langsung?

Monday 30 August 2021

KHiND 16" stand fan with remote control repair

Semalam saya dirujuk sebuah 'stand fan' berjenama KHiND dengan masalah tidak berpusing apabila dibekalkan arus elektrik.

KHiND 16" stand fan

Kipas ini telah dibuka kakinya ketika dirujuk kepada saya dan pemeriksaan awal mendapati ada bekalan elektrik ke papan litar. Lampu indikator menyala apabila butang ditekan namun kipas tidak berpusing.

Seterusnya saya buka penututp hadapan kipas dan mendapati bilah kipas tidak bebas bergerak setelah saya tolak dengan tangan seperti boleh ditonton pada klip video di atas.

Punca motor tidak bebas berpusing...

Masalah telah ditemui iaitu motornya tidak bebas berpusing dan setelah dibuka, punca penyebab utama ialah minyak diantara rotor dan pemegangnya (copper bush) telah kering seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Bersihkan dan bubuh minyak gris...

Apa yang harus dilakukan ialah bersihkan dahulu dengan menggunakan WD40 dan bubuh sedikit minyak gris pada pengandar serta bahagian dalam 'copper bush'.

Bersihkan 'copper bush' dan bubuh gris di bahagian dalam...

Selain daripada masalah motor 'jammed', thermal fuse juga putus dan 'rating' yang digunakan ialah 135C, 2A seperti telah saya tandakan pada gambar dibawah.

Thermal fuse - 135C

Klip video di bawah menunjukkan motor kini bebas berpusing apabila ditolak dengan tangan dan anda boleh bandingkan perbezaannya dengan klip video di atas.

Kipas ini telah berjaya diselamatkan setelah thermal fuse ditukar dan bahagian yang menyebabkan motor tidak bebas berputar telah dibersihkan serta diminyakkan.
 
Selamat mencuba...

Sunday 29 August 2021

MIUI 12.0.10 update (for POCO)

Kali terakhir saya mengemaskini telefon Xiaomi POCO M3 ialah pada bulan Jun dan anda boleh rujuk di sini.

Download update...

Versi MIUI kemaskini lepas ialah V12.0.9 dan beberapa hari lepas saya mendapat notifikasi versi terbaru untuk dikemaskini iaitu V12.0.10 seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Downloading - 2.5GB


Saiz fail kemaskini kali ialah 2.5GB dan proses muat turun sahaja perlu mengambil masa kira-kira 45 minit.

Reboot...

Setelah selesai proses muat turun, kita perlu melakukan 'reboot' dan proses mengemaskini pula memerlukan kira-kira 15 minit sebelum telefon kembali berfungsi semula dengan versi MIUI yang terbaharu.

Done...
Pastikan telefon anda mempunyai bekalan bateri yang mencukupi ketika melakukan kemaskini sebab jika bateri habis dan proses kemaskini belum selesai, kemungkinan besar telefon anda tidak akan berfungsi lagi dan perlu dihantar kepada pakar untuk dibaiki.
MIUI 12.0.10.0

Saya tidak perasan sebarang perubahan setelah dikemaskini selain versinya sahaja yang berubah dari V12.0.9 ke V12.0.10.

Selamat mengemaskini...

Saturday 28 August 2021

Kos pakej ASTRO NJOI semasa - RM294/RM239

Baru-baru ini ada yang bertanya kepada saya kos/harga dekoder ASTRO dan setelah melayari laman sesawang mereka, saya dapati harganya kini cuma RM294 sahaja berbanding dahulu RM399 dan pernah saya kongsikan di sini.

harga semasa - RM294.00

Anda boleh rujuk laman sesawang ASTRO di sini dan membuat pendaftaran secara atas talian untuk membeli dekoder yang baharu.

Gambar tangkap layar...

Jika dekoder anda rosak atau tidak lagi berfungsi sebab dekoder lama, anda cuma perlu gantikan dekoder sahaja (tanpa piring) dan harganya cuma RM239.00 sahaja di sini.

Tanpa piring - RM239.00

Untuk pengetahun semua, sistem astro kini hanya menyokong dekoder jenis HD dan semua dekoder lama tidak berfungsi lagi sebab telah ditamatkan oleh pihak astro beberapa bulan lepas. 

Jika dekoder rosak, anda juga boleh cuba hantar untuk dibaiki dengan harga yang jauh lebih murah.

Friday 27 August 2021

TP4056 - 18650 Lithium Battery Charger Protection Module

Hari ini saya kongsikan cara membuat alat untuk mengecas bateri Lithium (18650) sendiri.

TP4056

Anda cuma perlu membeli sekeping papan litar yang berfungsi sebagai 'protection module' untuk bateri Lithium jenis 18650. Harga sekeping papan litar tersebut ialah kira-kira RM2.00 sahaja.

Lithium battery & TP4056

Untuk pengetahuan semua, voltan sebiji bateri lithium ialah 3.7v dan voltan maksimum ketika dicas ialah 4.2v.

Output 4.188vdc

Jadi, fungsi 'protection module' ini ialah untuk keselamatan dan berhenti mengecas setelah mencecah 4.2v.

TP4056 pinout...

Cara penyambungan papan litar ini kepada bateri lithium ialah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Module ini boleh disambung menggunakan cable USB atau mana-mana bekalan elektrik serendah 4.5v sehingga 8v.

TP4056 diagram...

Banyak penjual memberi label module ini sebagai TP4056 sebab ianya menggunakan sebiji IC TP4056.

Schematic - TP4056

Selamat mencuba...

Thursday 26 August 2021

Baiki PCB kipas siling

Kebelakangan ini saya banyak dirujuk papan litar (PCB) kipas siling yang tidak diketahui jenamanya meminta untuk di baiki.

Hanya kipas siling yang dilengkapi dengan alat kawalan jauh sahaja yang mempunyai PCB dan gambar di bawah menunjukkan keadaan di dalamnya setelah di buka. Cara membukanya ialah dengan membuka penutup bahagian tengah sahaja.

Setelah dibuka...

Pemeriksaan menyeluruh hanya menemui sebiji kapasitor yang telah saya labelkan pada gambar di bawah rosak dan perlu diganti.

Gantikan kapasitor yang rosak...

Boleh dikatakan majoriti kipas angin yang ada menggunakan PCB jika tidak berpusing atau boleh berpusing tetapi perlahan adalah disebabkan oleh kerosakkan kapasitor.

304nF sahaja (Nilai asal ialah 1.5uF)

Peralatan yang diperlukan untuk memeriksa kapasitor ialah multimeter yang boleh mengukur nilai kapasitan pada kapasitor seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Biasanya saya akan buka salah satu terminal dari PCB untuk membuat pemeriksaan.

Siap...

Kipas siling ini juga telah berjaya diselamatkan dan kembali berfungsi semula. Klip video di bawah dikirimkan oleh pemilik kepada saya setelah PCB dipasang kembali serta diuji.

Selamat mencuba...

Wednesday 25 August 2021

ABB Hotel Key Card Switch repair

Sebelum ini saya pernah kongsikan cara-cara membaiki 'key card switch' seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Lampu indikator malap...

Hari ini saya dirujuk benda yang serupa dan sebelum dibuka untuk diperiksa, saya uji 'key card switch' tersebut dan masalahnya ialah:-

  1. Lampu indikator malap
  2. Suis tidak berfungsi apabila kad dimasukkan
Setelah dibuka...

Pemeriksaan menyeluruh mendapati komponen yang rosak adalah seperti telah saya labelkan pada gambar di bawah iaitu:-

  1. sebiji lampu neon
  2. sebiji kapasitor 220uF, 16v
  3. sebiji kapasitor seramik 684J, 630v
Komponen yang rosak...

Gambar di bawah menunjukkan perbezaan lampu neon yang rosak dengan lampu neon yang elok.

neon rosak vs neon elok

Lampu neon yang rosak adalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Jika berwarna hitam, ianya masih boleh menyala namun malap dan jika berwarna putih, ianya langsung tidak menyala lagi.

Lampu neon yang rosak...

'Key card switch' ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Tuesday 24 August 2021

JVD Clipper Single Chrome Hair Dryer Repair

Sebelum ini saya pernah baiki alat pengering rambut seperti ini dan anda boleh rujuk di sini & sini.

JVD hair dryer

Pagi ini saya dirujuk sebuah lagi alat pengering rambut yang serupa namun masalahnya berbeza iaitu boleh panas apabila dilaras namun kipas tidak berpusing.

Diod pecah ditemui ketika dibuka...

Apabila saya buka, ada serpihan yang pecah seperti diod terjatuh dari dalam seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

2 biji 1N4007 diod meletup...

Setelah saya buka elemen pemanasnya, kelihatan dua daripada empat biji diod yang berfungsi sebagai 'rectifier' meletup dan telah saya tandakan pada gambar di atas.

Siap...

Pemeriksaan pada dua biji lagi diod masih elok dan dilabel 1N4007. Gambar di atas menunjukkan diod yang rosak telah saya gantikan dengan yang baharu.

Diod yang rosak/pecah...

Alat pengering rambut ini telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula dengan menggantikan dua biji diod sahaja seperti di atas.

Selamat mencuba...

Monday 23 August 2021

XH-A158 Bluetooth 5.0 HD amplifier module repair

Baru-baru ini saya ada dirujuk sebuah module penerima bluetooth (bluetooth receiver module) meminta untuk dibaiki.

XH-A158

Menurut pemilik module ini pada asalnya boleh berfungsi namun gagal berfungsi setelah dia tersalah sambung terminal positif dan negatif ke bekalan elektrik. Module ini hanya memerlukan 5vdc sahaja untuk berfungsi.

PAM8403

Module ini menggunakan sebiji IC berlabel PAM8403 sebagai amplifier dan IC berlabel AC21BP0A820-25F4 sebagai penerima isyarat bluetooth seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

AC21BP0A820-25F4

Ketika saya mengujinya, ianya langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan elektrik. Pemeriksaan awal menggunakan multimeter pada papan litar menemui sebiji diod berlabel SS14 mengalami litar pintas seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Litar pintas pada SS14 schottky diode

Setelah dikeluarkan daripada papan litar dan diperiksa semula, ianya sah rosak seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Untuk pengetahun semua, schottky diode SS14/SK14/S4 adalah sama dengan 1N5819 & SR140 (1A, 40V) dan ianya dipasang pada papan litar untuk keselamatan jika ada bekalan elektrik tersalah sambung atau terlebih bekalan elektrik.

Boleh berfungsi tanpa schottky diode...

Sebagai percubaan, saya uji module bluetooth tersebut tanpa schottky diode dan ianya boleh berfungsi. Jadi, schottky diode tersebut telah menyelamatkan komponen lain daripada rosak ketika bekalan elektrik tersalah sambung oleh pemilik.

Module tersebut telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula dengan hanya menggantikan schottky diode yang bertindak sebagai keselamatan. Klip video di atas saya ambil ketika menujinya dengan menggunakan sebiji bateri 18650 (3.7v) sahaja.

Selamat mencuba...

Sunday 22 August 2021

Memasang antena MyTV di dalam bumbung rumah

Dua tahun lepas setelah siaran TV analog ditamatkan, saya telah membeli dekoder digital untuk menerima siaran MyTV dan anda boleh rujuk di sini.

Aerial di dalam bumbung rumah...

Sejak dibeli, saya menggunakan aerial/antenna 'indoor' yang telah dilengkapi 'booster' namun masalah yang sering dihadapi ialah bila cuaca tidak elok atau hujan, siarannya selalu terganggu atau 'no signal'.

Signal - 38%, Quality - 100%

Hujung minggu lepas saya telah mencuba menggunakan aerial analog lama dan pasang di dalam bumbung rumah saya seperti boleh dilihat pada gambar pertama di atas.

Walaupun 'signal' hanya 38% sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas tetapi siarannya tidak terganggu ketika cuaca buruk atau hujan.

Kadang-kadang bacaan 'signal' cuma 18% sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah namun tidak menggangu penerimaan siaran dan ianya jauh lebih baik berbanding aerial 'indoor' dahulu.

Signal - 18%, Quality - 92%

Saya telah mencuba kesemua kedudukan di dalam bumbung rumah dan 'signal' yang terbaik saya dapat ialah sisik aerial menghala timur/barat.

Saya juga ada menguji memasang aerial pada kedudukan menegak dan ianya langsung tidak mendapat sebarang 'signal'.

Jika aerial dipasang di luar rumah saya yakin bacaan 'signal' pasti lebih tinggi. Jika penerimaan siaran tidak memuaskan berlaku semula, saya perlu cuba pula aerial jenis UHF khas untuk siaran digital.

26 saluran TV & 14 saluran radio

Setakat hari ini, saya  dapat sejumlah 26 saluran TV. 8 daripada 26 saluran adalah dari negara jiran iaitu Brunei.

Sehingga blog ini ditulis, seminggu telah berlalu dan tiada gangguan siaran walaupun cuaca buruk.

Selamat menonton...