Tuesday 31 August 2021

Jangkitan telinga serta berdengung

Masalah telinga kanan saya ini telah berlaku kira-kira setahun hingga ke dua tahun yang lepas.

Bahagian dalam telinga saya sering basah dan rutin harian saya selepas mandi ialah mengeringkannya menggunakan putik kapas. Kadang-kadang saya perlu mengeringkan beberapa kali dalam sehari sebab ada cecair yang mengalir keluar.


Pada 24/8/2021 lepas kira-kira pukul 10 malam selepas mandi,  ketika saya mengeringkan telinga kanan menggunakan putik kapas, apa yang terjadi ialah putik kapas telah tertanggal dan tertinggal di dalam telinga kanan saya.

Bermacam-macam usaha telah saya lakukan untuk mengeluarkannya namun semuanya tidak berhasil sehingga mencederakan bahagian dalam telinga serta terasa sakit. Selain daripada itu, pendengeran juga tidak jelas serta berdengung seperti dimasuki air.

Saya bergegas ke hospital umum untuk mendapatkan bantuan dan dirujuk kepada 3 doktor.  Semua memberitau saya tiada kapas di dalam telinga saya dan berakhir dengan merujuk saya kepada ENT (ear, nose & throat) pagi berikutnya.


Temujanji berjalan dengan lancar namun ketika nama saya dipanggil, saya boleh mendengar tetapi tidak tahu dari arah mana suara itu datang dan dengan bantuan jururawat, saya akhirnya berjumpa dengan pakar ENT.


Pemeriksaan dengan menggunakan kamera yang dimasukkan ke dalam telinga juga tidak menemui putik kapas namun bahagian dalam telinga saya sangat basah dan kelihatan seperti bernanah. Pendengaran saya lebih baik setelah cecair di dalam telinga saya disedut serta dibersihkan menggunakan peralatan khas.


Saya diberi empat jenis ubat seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di atas. Saya disuruh kembali semula untuk menjalani pemeriksaan pada 15/9/2021.


Untuk pengetahuan semua, masalah telinga sentiasa basah tiada lagi selepas dua hari menitiskan ubat seperti yang disarankan oleh pakar ENT.

Persoalan yang belum terjawab sehingga hari ini ialah ke mana menghilangnya putik kapas yang tertinggal di dalam telinga saya dan tidak ditemui langsung?

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.