Showing posts with label moratorium. Show all posts
Showing posts with label moratorium. Show all posts

Monday, 9 November 2020

Insuran pinjaman perumahan MRTA/MRTT

Secara amnya, insuran terbahagi kepada 2 jenis iaitu insuran am (general insurance) dan insuran nyawa (life insurance).

Insuran Am (general insurance)

Jika anda berhajat ingin menjadi agen insuran, anda perlu lulus ujian untuk mendapatkan sijil dari institut insuran Malaysia (Malaysia Insurance Institute). Saya memiliki kedua-dua sijil ketika berkhidmat sebagai pegawai di syarikat perbankan pada tahun 2002 seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Insuran nyawa (life insurance)

Hanya pegawai yang mengendalikan insuran sahaja harus wajib lulus serta memiliki sijil seperti di atas. Ketika itu saya berkhidmat di bahagian pinjaman (loan/credit) yang juga harus mengendalikan semua insuran pinjaman.

Jika anda mempunyai pinjaman di bank, anda wajib membeli insuran tertentu bagi memenuhi syarat pinjaman. Sebagai contoh, jika anda membuat pinjaman untuk membeli kenderaan bermotor, sebagai peminjam anda diwajibkan membeli perlindungan insuran bermotor menyeluruh (comphrensive motor insurance) atau juga dikenali sebagai 'first party insurance' dan jika anda membuat pinjaman perumahan, anda diwajibkan membeli insuran kebakaran (fire insurance).

Pada mulanya pihak bank mempunyai panel insuran sendiri atau juga dikenali sebagai 'bancassurance' namun setelah syarikat kewangan dan bank menjalani proses penggabungan (merger) berikutan krisis kewangan asia pada tahun 1997, syarikat kewangan telah lenyap dan hanya bank sahaja yang tinggal sehingga ke hari ini.

Setelah proses penggabungan selesai, majoriti bank mula memiliki syarikat insuran sendiri dan mereka mewajibkan peminjam supaya membeli perlindungan insuran kepunyaan mereka masing-masing. Sebagai contoh, Etiqa insurance merupakan insuran  milik maybank, Lonpac insurance pula milik Public bank dan lain-lain. Syarikat insuran mereka juga mempunyai produk insuran patuh syariah iaitu Takaful.

Itu serba sedikit sejarah insuran yang saya lalui ketika masih berkhidmat di syarikat kewangan/bank. Dari maklumat di atas kita boleh lihat bahawa selain daripada memberi pinjaman kewangan, pihak bank telah memulakan perniagaan insuran. Kenapa?

Sebabnya mudah iaitu keuntungan dari premium insuran jauh lebih menguntungkan daripada pinjaman kewangan. Tahukah anda bahawa peminjam kini diwajibkan pula oleh pihak bank untuk membeli insuran perlindungan pinjaman seperti MRTA (mortgage reducing term assurance), MRTT (mortgage reducing term takaful), MRPA (mortgage reducing personal accident) dan sebagainya.

Jika kita lihat kembali ke zaman datuk/nenek atau ayah/ibu kita dalam tahun 60an/70an, saya diberitahu bahawa mereka hanya boleh membuat pinjaman sebanyak 50% sahaja dari harga rumah. Sebagai contoh, jika mereka membeli rumah yang berharga RM20,000 dan berhajat membuat pinjaman bank, mereka hanya layak membuat pinjaman sebanyak RM10,000 sahaja.

Ketika zaman saya membuat pinjaman perumahan pada tahun 90an, saya layak mendapat pinjaman sehingga 90% dari harga rumah yang dibeli. Rumah pertama saya beli pada tahun 1996 dengan harga RM112,000 dan saya layak membuat pinjaman sebanyak RM100,000 selama 15 tahun pada kadar faedah 4% p.a. dengan bayaran bulanan RM740.00. Kami hanya diwajibkan membeli perlindungan insuran kebakaran sahaja ketika itu dengan premiun tahunan kira-kira dalam RM150 setahun.

Hari ini jika anda berhajat membeli rumah, anda layak membuat pinjaman sehingga 110% dari harga rumah dengan syarat membeli perlindungan insuran MRTA/MRTT/MRPA dan ianya boleh digabungkan bersama pinjaman perumahan.

Sebagai contoh jika harga rumah yang dibeli ialah RM300,000 dan premium insuran MRTA/MRTT ialah RM15,000, anda boleh membuat pinjaman penuh sehingga RM315,000 termasuk premium insuran. Anda hanya perlu sediakan wang untuk bayaran khidmat guaman (legal fee) serta perlindungan insuran kebakaran sahaja. Ada sesetengah bank yang menanggung kos guaman dan pembeli tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk membeli rumah.

Untuk makluman semua, kini pihak bank tidak mahu memberi pinjaman perumahan tanpa perlindungan insuran MRTA/MRTT. Setakat blog ini ditulis, peminjam sebenarnya tidak wajib untuk membeli insuran MRTA/MRTT dalam mana-mana akta di negara kita dan ianya hanya diwajibkan oleh pihak peminjam (bank) sahaja. Jika ada bank yang memberi pinjaman perumahan tanpa perlindungan insuran MRTA/MRTT, saya yakin kadar faedahnya berbeza dan lebih tinggi dari pinjaman perumahan sedia ada.

Tujuan perlindungan insuran MRTA/MRTT ialah untuk mengurangkan risiko pinjaman kepada pihak bank jika peminjam tidak dapat membayar pinjaman akibat kehilangan punca pendapatan seperti kehilangan nyawa atau kehilangan keupayaan kekal (total permanent disability/TPD). Jika anda ingin tahu lebih lanjut perlindungan MRTA/MRTT sila rujuk kepada pihak bank yang memberi perlindungan tersebut.

Sebagai contoh, jika berlaku kehilangan nyawa atau TPD kepada si peminjam sebelum habis membuat bayaran balik pinjaman, insuran perlindungan MRTA/MRTT akan melangsaikan hutang pinjaman si peminjam.

Suka saya kongsikan pengalaman saya bekerja di syarikat kewangan/bank selama lebih 10 tahun dan untuk pengetahun semua, tiada satu pun tuntutan insuran kebakaran sepanjang perkhidmatan saya selama berkhidmat ketika itu.

Hanya ada satu tuntutan sahaja melibatkan perlindungan MRTA/MRTT sepanjang berkhidmat di syarikat kewangan/bank iaitu melibatkan pinjaman rumah kedai dan peminjam merupakan suami & isteri. Perlindungan insuran MRTA/MRTT juga atas nama suami & isteri. Suami meninggal dunia akibat kanser dan pihak insuran hanya melangsaikan bahagian suami iaitu 50% sahaja. Si isteri masih perlu terus membuat bayaran ansuran bulanan untuk 50% lagi.

Berpandukan contoh di atas, pastikan anda membeli perlindungan insuran MRTA/MRTT atas nama si penjana pendapatan sahaja walaupun pinjaman dibuat atas nama suami isteri. Maksudnya jika sumber pendapatan adalah dari si suami, beli perlindungan MRTA/MRTT atas nama suami sahaja. Jika dua-dua adalah penjana pendapatan, beli perlindungan MRTA/MRTT atas nama yang membuat bayaran pinjaman perumahan sahaja. Jika dua-dua kongsi membuat bayaran, beli perlindungan atas nama yang akan kehilangan punca pendapatan (jika anda tahu) supaya insuran akan melangsaikan keseluruhan hutang perumahan anda sekiranya ada 'malang yang tidak berbau' menimpa si peminjam.

Dari senario di atas, jelas bahawa pihak insuran sentiasa di pihak yang menang. Buatlah pilihan yang tepat ketika membeli perlindungan insuran agar bermanafaat kepada anda.

Seperti yang semua sedia maklum bahawa ketika ini kita berhadapan dengan pandemik CoVid-19 dan rata-rata semua mengalami masalah kewangan terutamanya mereka yang mempunyai hutang seperti pinjaman kereta, perumahan dan sebagainya. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan moratorium namun hutang tetap hutang dan harus di bayar. Ramai yang menyalahgunakan kemudahan moratorium dengan menangguhkan bayaran walaupun masih menerima gaji penuh dan menghabiskan wang tersebut untuk membeli barangan yang telah lama diidam-idamkan.

Jika anda masih mengalami masalah membuat bayaran balik pinjaman setelah tamat tempoh moratorium, sila berhubung serta berbincang dengan pihak bank untuk menstruktur semula pinjaman anda (jika perlu) atau mungkin anda harus melepaskannya jika keadaan tidak mengizinkan. Jangan tunggu sehingga pihak bank mengeluarkan tindakan undang-undang (legal action) sebab ianya akan melibatkan kos dan memburukkan lagi keadaan.

Soalan terakhir saya ialah adakah perlindungan insuran itu perlu dan wajib dibeli? Insuran kenderaan bermotor adalah wajib sebab telah termaktub dalam akta pengangkutan jalan namun bagaimana pula dengan insuran pinjaman seperti MRTA/MRTA yang saya kongsikan di atas? Salah satu punca kenaikan kos sara hidup kini adalah disebabkan berbelanja pada sesuatu yang bukan keperluan seperti insuran.

Kerajaan sarankan rakyat supaya berbelanja ikut kemampuan dan utamakan pada keperluan sahaja namun kita dipaksa berbelanja lebih tanpa disedari sebab polisi syarikat perbankan yang tidak mesra pelanggan buat ketika ini. Pihak kerajaan seharusnya memberi perhatian khusus serta mengawal kegiatan ala samseng ini dari terus berleluasa dan pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Kepada mereka yang berhajat memiliki rumah dalam masa terdekat, pilihan di tangan anda sendiri dan saya yakin serta percaya tiada siapa yang terlepas daripada dipaksa membeli insuran perliundungan pinjaman seperti yang saya kongsikan di atas.

Fikir-fikirkan...

Thursday, 7 May 2020

Moratorium - CoVid-19

Isu moratorium untuk peminjam bank ini pernah saya ulas sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini dan sini.
06/05/2020
Gambar di atas merupakan kenyataan akhbar yang terbaru dikeluarkan oleh kementerian kewangan dan saya pasti tiada pusingan-u lagi selepas ini.

Jadi, contoh yang saya beri pada artikel lepas masih terpakai dan anda masih boleh berjimat dengan moratorium selama 6 bulan ini.

Perubahannya cuma tiada faedah/keuntungan tambahan akan dikenakan pada penangguhan bayaran 6 bulan untuk pinjaman yang berkadar tetap.

Dalam masa yang sama bank negara malaysia juga telah mengumumkan bahawa kadar OPR juga diturunkan dari 2.5% kepada 2.0% iaitu sama dengan ketika krisis ekonomi pada tahun 2008/2009.

Orang ramai dinasihatkan agar berbelanja dengan berkhemah dan hanya berbelanja untuk barangan perlu sahaja ketika ini kerana kita tidak tahu situasi sekarang akan berlarutan berapa lama lagi.

Bagi yang memerlukan bantuan makanan asas, ambil peluang ini untuk mendapatkan bantuan dari pihak kerajaan ketika ini untuk PKP/MCO.

Kita mesti menang melawan CoVid-19...

Monday, 4 May 2020

Berjimat dengan moratorium

Sejak pandemik CoVid-19 melanda seluruh dunia termasuk negara kita, kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan yang bernilai RM250billion untuk membantu rakyat serta peniaga untuk mengharungi situasi getir ini.
Antara bantuan dari pakej ransangan tersebut adalah bantuan prihatin nasional (BPN), moratorium dan lain-lain. Kerajaan melalui perutusan khas perdana menteri juga memaklumkam bahawa dana suntikan terus ialah kira-kira RM22biliion sahaja.

Maksudnya hanya RM22billion sahaja menggunakan dana kerajaan, selebihnya ialah wang kita sendiri, socso, insuran, perbankan melalui moratorium dan sebagainya.

Contoh wang kita sendiri ialah kita dibenarkan mengeluarkan wang persaraan kita iaitu KWSP.

Hari ini saya kongsikan salah satu insentif dari pakej rangsangan tersebut yang melibatkan perbankan iaitu moratorium.

Moratorium merupakan penangguhan bayaran ansuran pinjaman untuk suatu masa tertentu dan dalam pakej rangsangan tersebut telah menetapkan tempoh penangguhan selama 6 bulan mulai april 2020 sehingga september 2020.

Ini bermaksud peminjam boleh memilih untuk tidak membayar ansuran bulanan pada tempoh tersebut (april - september) dan kembali membuat bayaran ansuran mulai bulan oktober 2020.

Harus diingat bahawa penangguhan tersebut akan menyebabkan tempoh pinjaman asal bertambah 6 bulan dan sedikit penstrukturan bayaran bulanan.

Maksudnya jika anda membuat pinjaman untuk lima tahun iaitu tempoh bayaran balik asal ialah 60 bulan akan bertambah menjadi 65 bulan.

Saya juga yakin dalam tempoh penangguhan tersebut pihak bank akan mengenakan faedah tambahan dan cara pengiraannya pernah saya kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Jadi, jika anda masih menerima gaji penuh setiap bulan, saya sarankan supaya tidak memilih moratorium atau penangguhan bayaran ansuran.

Namun jika anda berhajat untuk mengurangkan komitmen bulanan, anda boleh ambil peluang moratorium ini untuk melaksanakannya.

Bagaimana?

Kita guna contoh di bawah dan ianya hanya untuk mereka yang masih menerima gaji bulanan penuh sahaja.

Katakan anda mempunyai komitmen semasa seperti berikut:-
  1. Pinjaman perumahan; RM1,000 sebulan
  2. Pinjaman kereta: RM500 sebulan
  3. Pinjaman pribadi/kad kredit: RM300 sebulan
Jumlah komitmen bulanan anda ialah RM1,800 sebulan.

Jadi, jika anda memilih moratorium, setiap bulan anda simpan RM1,800 dan selepas 6 bulan anda ada RM10,800 tunai.

Apa yang anda lakukan selepas 6 bulan ialah langsaikan pinjamam pribadi/kad kredit dengan simpanan 6 bulan di atas dan selepas itu anda cuma perlu bayar RM1,500.00 atau lebih sedikit sebulan disebabkan penstrukturan semula iaitu pinjaman rumah serta kereta sahaja dan hutang pribadi/kad kredit telah langsai.

Fikir-fikirkan...

Friday, 1 May 2020

Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap

Berikut merupakan pengumuman yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam (30/4/2020) berkaitan dengan moratorium untuk pinjaman sewa beli (Hire Purchase) dan pembiayaan islam berkadar tetap (fixed rate islamic financing)

Susulan daripada pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac 2020 yang lalu, institusi perbankan sedang dalam proses memformalkan perjanjian-perjanjian bagi mencerminkan semakan terhadap syarat pembayaran balik dengan pihak peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap bagi pelaksanaan moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman/pembiayaan. Langkah ini adalah bagi memenuhi keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah yang terpakai bagi apa-apa perubahan yang dibuat terhadap syarat perjanjian-perjanjian tersebut, termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan/atau jumlah pembayaran berikutan moratorium ini.

Sehubungan dengan itu, BNM telah meminta institusi perbankan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam/pelanggan diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka, selain menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian-perjanjian tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bermula pada 1 Mei 2020, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap akan menerima notis pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan mereka berhubung dengan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan proses penangguhan pembayaran pinjaman/pembiayaan mereka di bawah moratorium ini. Institusi perbankan juga akan menyediakan bagi setiap peminjam/pelanggan maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap mereka. Maklumat tersebut mengandungi jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa perubahan terhadap jumlah pembayaran, yang meliputi jumlah kadar faedah/keuntungan biasa yang terakru sepanjang tempoh moratorium.

Peminjam/pelanggan yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian mereka yang sedia ada. Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam/pelanggan mereka untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul/tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium. Institusi perbankan tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh tersebut sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang disetujui dengan peminjam/pelanggan.

Peminjam/pelanggan digalakkan untuk merujuk laman sesawang, portal perbankan internet atau pusat hubungan institusi perbankan mereka untuk maklumat lanjut.

Bank Negara Malaysia
30 Apr 2020


Sumber

Ketika pandemik CoVid-19 melanda negara kita, kerajaan melalui BNM telah mengumumkan moratorium untuk penangguhan bayaran bulanan pinjaman bank selama 6 bulan berkuatkuasa mulai bulan april 2020 sehingga september 2020.

Ini bermaksud peminjam boleh memilih untuk menangguhkan bayaran pinjaman dalam tempoh tersebut dan kembali membayar pinjaman mulai oktober 2020.

Peminjam juga boleh memilih untuk tidak menangguhkan bayaran bulanan dengan memberitahu kepada pihak bank dan membuat bayaran bulanan seperti biasa.

Ketika itu, hampir semua bank sepakat menyatakan bahawa tiada 'compound interest' dikenakan dan anda boleh membacanya di sini.

Namun melalui pengumuman terbaru semalam, kini peminjam akan dikenakan faedah dalam tempoh moratorium mengikut keperluan prosedur di bawah akta sewa beli 1967 (HP act 1967).

Setiap peminjam akan dimaklumkan oleh pihak bank masing-masing dan diberi dua pilihan iaitu:-
  1. Tiada penangguhan dan membuat bayaran bulanan seperti biasa ATAU
  2. Penangguhan bayaran pinjaman selama 6 bulan dan kembali membuat bayaran bulanan mulai bulan oktober 2020.
Jika anda memilih penangguhan selama 6 bulan, tempoh bayaran balik akan ditambah 6 bulan dan faedah tambahan akan dikenakan. Katakan bank mencadangkan 'refinance package' kepada anda dan senario berikut diguna sebagai contoh:-
  • Jumlah pinjaman: RM50,000.00
  • Tempoh pinjaman: 9 tahun (108 bulan)
  • Kadar faedah: 3.5%
  • Bayaran bulanan: RM610.00
  • Jumlah hutang: RM30,500 (50 bulan lagi)
  • Faedah tambahan untuk 6 bulan ialah sebanyak RM533.75 (30,500 x 3.5% x 0.5).
Faedah tambahan RM533.75 tersebut akan dibahagi sama rata kepada tempoh yang belum dibayar iaitu kira-kira RM10.68 sebulan (523.75/50).

Maka bayaran bulanan mulai oktober 2020 akan menjadi RM620.68 sebulan.

Sila hubungi pihak bank anda masing-masing untuk keterangan lanjut. Senario di atas adalah sebagai contoh 'refinance package' dan mungkin bank ada alternarif yang lebih baik untuk anda.

Anda boleh rujuk di sini untuk keterangan lanjut soalan lazim berkaitan moratorium.

Semoga penerangan di atas jelas dan pilihan di tangan anda sendiri.