Monday 30 September 2019

XS0407-7W LED driver repair

Hari ini saya dirujuk sebiji LED driver dengan masalah tiada output langsung untuk menyalakan lampu LED.
Model: XS0407-7W
Gambar di bawah menunjukkan papan litar ringkas yang ada pada LED driver tersebut.
Output capacitor - 22uF, 50V
Setelah diperiksa menyeluruh, hanya sebiji kapasitor output dengan nilai 22uF, 50v di dapati rosak dan anda boleh melihat kedudukannya pada papan litar seperti pada gambar di atas.
22uF, 50V
Ketika diukur, nilai kapasitor tersebut cuma 13uF sahaja dan anda boleh melihatnya seperti pada gambar di bawah.
13uF sahaja...
Setelah diganti kapasitor tersebut dan diuji, kini LED driver tersebut menghasilkan output 26V dan ianya masih boleh digunakan lagi.
Tested - ok (Output 26v)
Selamat mencuba...

Sunday 29 September 2019

LG WF-F733PC washing machine repair

Hari ini saya dirujuk sebuah mesin basuh berjenama LG, Model: WF-F733PC dengan masalah boleh dihidupkan tetapi bila tekan butang 'start/pause' mesin basuh tersebut langsung tak berfungsi.

Jenama: LG

Semua mesin basuh berjenama LG dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan iaitu mesin akan gagal beroperasi jika penutupnya tidak ditutup.

Model: WF-F733PC

Setelah diperiksa, cuma sebiji magnet pada penutupnya telah hilang dan anda boleh melihat kedudukannya pada gambar di bawah.

Suis penutup...

Fungsi magnet tersebut ialah untuk menghidupkan 'reed switch' di dalamnya dan seterusnya membolehkan mesin basuh tersebut beroperasi. Cara untuk membaikinya ialah lekatkan sebiji magnet disitu dan anda boleh guna super glue atau apa-apa pelekat yang kalis air supaya tidak hilang lagi.

Sebelum ini saya juga pernah membaiki mesih basuh berjenama LG, Model: WF-660 dengan masalah yang sama iaitu kehilangan magnet pada penutupnya. Cara membaikinya juga sama iaitu lekatkan sebiji magnet pada tempat yang sama.

Pasangkan sebiji magnet...

Selamat mencuba...


Saturday 28 September 2019

PHILIPS GC148 Dry Iron repair

Hari ini saya dirujuk sebuah seterika berjenama PHILIPS, Model: GC148.
Jenama: PHILIPS
Pemilik memberitahu saya bahawa wayar telah dipotong dan meminta saya menukar wayar yang baru.
Model: GC148
Seperti biasa untuk menukar wayar tersebut kita perlu membuka penutup bahagian atasnya seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Buka penutupnya...
Biasanya saya akan memeriksa elemen pemanas terlebih dahulu bagi memastikan ianya masih elok dan bacaan rintangan ialah 51Ω.
Periksa elemen pemanasnya... (51Ω)
Cara untuk menentukan rintangan elemen pemanas ialah seperti berikut.
  1. Kuasa (Power) seterika tersebut ialah 950w - 1100w
  2. Arus elektrik yang digunakan ialah 240v
(A) Guna formula P = IV untuk mencari nilai I (ampere)

1100 = I(240)
I = 1100/240 = 4.58A

(B) Guna formula V = IR untuk mendapatkan R (Rintangan)

240 = 4.58(R)
R = 240/4.58 = 52.4Ω
Tanggalkan klip wayar lama...
Bacaan rintangan 51Ω adalah hampir dengan perkiraan di atas dan memberitahu kita bahawa elemen pemanasnya berkeadaan baik.
Buka klip...
Setelah pasti seterika tersebut masih elok, maka barulah saya teruskan proses menukar wayar tersebut. Cara-caranya boleh anda lihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah.
klip telah dibuka..
Pastikan kesemua sambungan sama seperti asalnya dan kesemua klip dipasang dengan baik bagi mengelak sebarang kebocoran arus elektrik atau percikan api.
Pasang klip pada wayar baru...
Setelah berpuas hati kesemuanya dibaiki mengikut keadaan asalnya, saya bekalkan arus elektrik dan uji seterika tersebut. Ianya masih boleh digunakan semula.
Sambung balik pada kedudukan asalnya...
Pastikan anda membeli wayar yang dikhaskan untuk kegunaan seterika iaitu dibalut dengan fabrik cotton pada bahagian luarnya.
Siap

Tested - ok
Selamat mencuba...

Friday 27 September 2019

Buah Embang/Bambangan/Mawang (Mangifera pajang) mampu bunuh sel kanser payudara

Buah embang/bambangan/mawang atau nama saintifiknya Mangifera pajang, merupakan ahli keluarga Anacardiaceae dan genus Mangifera. Buah mangga (Mangifera indica), bacang (Mangifera foetida) dan kuini (Mangifera odorata) merupakan ahli keluarga terdekat buah embang.
Buah Embang
Buah embang berasal dari Borneo. Ia merupakan buah yang mempunyai rasa manis atau masam dan kandungan serat yang sangat tinggi. Ia mempunyai aroma seakan-akan mangga. Berat sebiji buah embang boleh mencecah 0.5 kg sehingga 1 kg.

Daun dan buah bambangan banyak digunakan di dalam masakan masyarakat Sabah dan Sarawak. Antaranya daun pokok bambangan dibuat ulam bersama sambal belacan, dan buah embang dibuat jeruk.
Potong bahagian atas...
Hasil carian di pangkalan jurnal berindeks, pencarian menggunakan kata kunci “Mangifera pajang” memberikan 33 artikel. Hanya sekitar 25 artikel kajian buah bambangan berkaitan sebatian kimia dan potensi bioaktiviti antaranya antioksidan dan antikanser. Terdapat satu kertas kajian ke atas tikus, manakala selebihnya adalah kajian ke atas sel kanser. Masih belum ada kajian pilot klinikal ke atas manusia akan potensi buah embang sebagai ubat kanser.
Belah kulitnya...
Kumpulan sebatian kimia semulajadi yang utama di dalam kulit, isi dan biji buah embang adalah dari kelas flavonoid dan asid fenolik. Sesetengah sebatian kimia ini juga terdapat di buah mangga seperti sebatian mangiferin.
Kopak kulit yang telah dibelah...
Potensi perubatan mangiferin banyak dikaji dan ia menunjukkan potensi perubatan yang meluas. Kandungan mangiferin dalam kulit buah embang adalah lebih tinggi berbanding kulit dan daun buah mangga. 

Sebatian kimia subkelas flavonoid iaitu isoflavonoid, merupakan phytoestrogen semula jadi juga didapati di dalam buah kuini, bacang dan buah embang. Sebatian ini dikenali sebagai daidzein dan genistein, sebatian kimia yang sama ditemui di dalam soya. 
Dah tanggal dari kulitnya...
Selain itu, buah embang yang berwarna kekuningan kaya dengan sebatian kimia carotenoid, iaitu kelas sebatian kimia yang sama seperti vitamin A. Selain itu, ia juga kaya dengan sebatian polisakarida, iaitu sejenis sebatian makromolekul yang mempunyai unit asas glukosa.

Kajian bioaktiviti merujuk kepada kajian potensi perubatan menggunakan sel, atau bioaktiviti berasaskan ‘chemical-based assay’ iaitu bioaktiviti yang mimik kepada satu situasi dalam badan manusia menggunakan bahan kimia.
Makan isinya...
Berbanding buah mangga, buah embang menunjukkan sifat antioksidan memerangkap radikal bebas yang jauh lebih tinggi berbanding buah mangga . ‘Total Phenolic Content’ atau Kandungan Sebatian Fenolik buah embang dalam jumlah lebih kurang sama dengan buah mangga menggunakan kaedah assay Folin Ciocalteu. 

Kulit dan biji buah embang menunjukkan sifat antioksidan memerangkap radikal bebas yang lebih baik berbanding isi buah embang. Penapaian buah embang pada suhu 38 C memberikan kandungan sebatin fenolik dan aktiviti antioksidan yang lebih tinggi.
Kulit buah embang juga boleh di makan...
Buah embang dikaji untuk aktiviti antikanser, menggunakan sel kanser payudara MCF-7 dan MDA-MB-231. HANYA EKSTRAK BIJI BUAH EMBANG yang menunjukkan aktiviti antikanser pada nilai IC50 masing-masing pada 23 pada 31 μg/mL untuk sel MCF-7 dan MDA-MB-231. Kandungan asid fenolik dalam biji buah embang dipercayai menyumbang kepada aktiviti tersebut. Kajian ini masih pada peringkat penemuan dan belum memasuki fasa pra-klinikal.

Selain itu, ekstrak biji (kernel) buah embang juga mempunyai aktiviti perlindungan terhadap kesan oksidatif terhadap sel hati manusia (HepG2) pada kepekatan 1.2 µg/ml.
Isi pada bahagian kulit sedikit keras berbanding isinya...
Buah embang merupakan buah tropika berkhasiat tinggi, kaya dengan nutrisi, phytonutrients dan sebatian fenolik.

Namun begitu, pembaca dinasihatkan untuk tidak melengahkan rawatan kemoterapi atau pembedahan yang dicadangkan pakar perubatan kerana ingin mencuba buah bambangan kerana kajian masih pada peringkat penemuan.
Biji buah embang...
Menurut kajian yang dilakukan, potensi melawan sel kanser payu dara setakat ini hanya pada piring petri dan HANYA BIJI BUAH EMBANG yang didapati berpotensi membunuh sel kanser tersebut.
Biji buah embang yang telah dibelah...
Kajian lanjutan masih diperlukan untuk menilai keberkesanan BIJI (KERNEL) BUAH EMBANG bagi merawat kanser payudara.

Sumber

Thursday 26 September 2019

JVD Duchesse SS 866914 Kettle repair

Pagi ini saya dirujuk sebuah cerek elektrik berjenama JVD dengan masalah tidak dapat dihidupkan langsung.
Jenama: JVD
Sebelum ini saya pernah membaiki cerek seperti ini dan anda boleh membacanya di sini cara-cara memeriksa dan membukanya.
Model: Duchesse SS 866914
Setelah diperiksa, puncanya ialah kerosakan pada suis utama seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Suis utama rosak
Suis utama tersebut telah berkarat mungkin disebabkan oleh wap air ketika memasak selama bertahun-tahun.
Suis baru...
Gantikan suis utama tersebut dengan yang baru dan sebelum menguji cerek tersebut, periksa 'continuity' pada plug 3-pin di antara terminal L (live) dan N (Neutral).
OFF - tiada bacaan pada multimeter
Jika dapat bacaan rintangan pemanas ketika cerek di "on" bermaksud anda berada di landasan yang betul.
ON - Bacaan rintangan pemanas (50Ω)
Cara mengetahui rintangan pemanas tersebut ialah seperti berikut:-
  1. Kuasa (Power) cerek tersebut ialah 1100W - 1310W
  2. Arus elektrik yang digunakan ialah 240V 
(A) Guna formula P = IV untuk mencari nilai I (ampere)

1100 = I(240)
I = 1100/240 = 4.58A

(B) Guna formula V = IR untuk mendapatkan R (Rintangan)

240 = 4.58(R)
R = 240/4.58 = 52.4Ω
Rintangan pemanas ialah 46.9Ω
Jika dilihat pada gambar di atas, bacaan rintangan pemanas cuma 46.9Ω dan ianya hampir sama dengan nilai rintangan yang kita dapat di atas. Ini bermaksud kuasa (power) cerek tersebut lebih daripada 1100W jika menggunakan arus elektrik dengan voltan 240v.
Tested - ok
Setelah berpuas hati dengan pemeriksaan di atas, saya bekalkan arus elektrik dan uji cerek yang telah saya baiki dan ianya kini masih boleh digunakan.
Selamat mencuba...

Wednesday 25 September 2019

TOPPER 103 vacuum cleaner repair

Hari ini saya dirujuk sebuah penyedut hampagas berjenama TOPPER dengan masalah tidak dapat dihidupkan.
Skru yang ditanda bukan skru asal...
Ketika saya membuka penutup bahagian atas, saya dapati bahawa salah sebiji skru berlainan dan ianya pasti telah dibuka oleh seseorang.
Wayar disambung tertanggal...
Setelah penutup atasnya dibuka, kelihatan salah satu penyambung wayar telah tertanggal dan anda boleh melihatnya seperti pada gambar di atas. Anda juga boleh melihat wayar yang telah disambung dan dibungkus dengan pita wayar berwarna hitam dan ianya tidak selamat digunakan.
Buka semua wayar yang disambung...
Jika saya nak cepat, saya cuma perlu sambungkan kembali wayar yang tertanggal dan sudah pasti ianya akan kembali beroperasi seperti biasa.
Keluarkan wayar dari bahagian motor...
Namun saya buka motornya dan mendapati wayar panjang tersembunyi di dalam bahagian motor seperti pada gambar di atas.
Sambungkan klip...
Jadi saya tarik keluar wayar tersebut dan buka semua penyambung wayar yang telah disambung orang terdahulu.
Cara memasang klip...
Saya sambungkan klip pada hujung wayar dan caranya boleh dilihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah.
Masukkan wayar pada klip...
Pastikan klip wayar dikepit dengan kuat supaya tidak tertanggal lagi di masa akan datang.
Kepit dengan kuat supaya tidak tanggal...
Setelah kesemuanya siap, saya sambung kembali wayar tersebut kepada suis dan diuji. Penyedut hampagas tersebut kini kembali beroperasi seperti biasa.
Klip yang telah siap disambung...
Saya tidak pasti kenapa orang dahulu yang membuka penyedut hampagas tersebut menyambung wayar sedia ada sedangkan ianya cukup panjang.

Nasihat saya ialah, pastikan anda dapatkan khidmat membaiki peralatan elektrik daripada pakar atau pun mereka yang bertauliah sahaja agar ianya selamat digunakan.
Tested - ok


Selamat mencuba...

Tuesday 24 September 2019

Carrier aircon mainboard repair - CE-KFR32GW/I1Y(s)

Papan litar seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini. Hari ini saya dirujuk lagi sekeping papan litar yang sama dengan masalah tidak dapat dihidupkan.
CE-KRF32GW/I1Y(s)
Setelah diperiksa, hanya fius 3.15A sahaja yang didapati putus. Saya keluarkan fius tersebut dan sambungkan dengan sebiji mentol 60w bagi mengantikan fius tersebut untuk diuji. Setelah di bekalkan arus elektrik, mentol tersebut menyala dan memberitahu saya bahawa ada litar pintas.
Litar pintas pada varistor...
Setelah diperhati dengan teliti, varistor yang bersebelahan dengan fius tersebut kelihatan basah dan setelah dibuka kelihatan terdapat litar pintas pada papan litar akibat cecair di bawahnya. Gambar di atas menunjukkan varistor telah saya keluarkan dan dibersihkan serta dikeringkan.
Varistor (14D681K-M)
Setelah kerja pembersihan siap, saya pasang kembali varistor tersebut tanpa penutupnya yang berwarna hitam seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Varistor dipasang kemabali & diuji...
Seterusnya saya bekalkan arus elektrik dan mentol yang disambung merentangi fius tidak menyala lagi. Ini memberitahu saya bahawa tiada litar pintas lagi pada papan litar tersebut.
Siap...
Akhir sekali saya pasang fius 3.15A yang baru dan tutup kembali varistor tersebut dan serahkan papan litar tersebut kepada pemiliknya untuk diuji. Pemilik telah mengujinya dan boleh digunakan.

Saya berpendapat cecair yang masih tertinggal pada bahagian varistor tersebut adalah bahan kimia yang digunakan untuk mencuci penghawa dingin dan ia merupakan konduktor yang baik dan menyebabkan litar pintas.

Pastikan anda tidak basahkan papan litar ketika mencuci penghawa dingin anda.

Selamat mencuba.