Showing posts with label LG. Show all posts
Showing posts with label LG. Show all posts

Sunday, 13 August 2023

LG 42PX3RV-TA plasma TV fails to turn on

TV ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Kali ini ianya dirujuk semula dengan masalah seperti boleh ditonton pada klip video di atas iaitu gagal dihidupkan.

Setelah penutup belakang dibuka...

Menurut pemilik, masalah pada mulanya ialah perlu tunggu lama untuk lampu indikator merah menyala setelah dibekalkan arus elektrik sebelum TV boleh dihidupkan dan lampu indikator bertukar menjadi hijau.

Kapasitor kembung pada PSU

Pemilik telah abaikan masalah tersebut sehingga akhirnya gagal dihidupkan walaupun lampu indikator merah telah menyala namun padam bila cuba dihidupkan dan bukanya bertukar ke warna hijau

C601 - 1000uf, 10v

Setelah dibuka serta diperiksa dengan mata kasar, saya menemui sebiji kapasitor yang dilabel C601 pada papan litar kembung dan telah saya tandakan pada gambar di atas.

Kapasitor rosak...

Nilai asal kapasitor tersebut ialah 1000uf, 10v namun bila diperiksa, bacaannya cuma 31nf sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

TV ini berjaya diselamatkan serta kembali berfungsi semula setelah dengan menggantikan sebiji kapasitor sahaja.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Thursday, 1 June 2023

LG 6710V00141A remote control repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman dirujuk sebuah alat kawalan jauh untuk kegunaan TV plasma berjenama LG.

Alat kawalan jauh TV Plasma

Banyak alat kawalan jauh telah saya baiki dan kongsikan selama ini dan anda boleh rujuk di sini.

6710V00141A

Masalah alat kawalan jauh ini ialah butang 'volume down' sahaja tidak berfungsi bila ditekan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Majoriti masalah sedemikian adalah disebabkan terdapat litar yang putus akibat hakisan oleh cecair bateri yang bocor telah meresap ke papan litar.

Setelah papan litar dikeluarkan...

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, saya dapati ada kesan hakisan oleh cecair bateri seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Bekas akibat cecair bateri...

Masalah tetap sama walaupun papan litar telah saya bersihkan dengan menggunakan 'contact cleaner'.

Litar putus...

Seterusnya saya periksa litar berdekatan dengan menggunakan multimeter dan mendapati salah satu litar tiada keterusan seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Sambung litar yang putus...

Masalah butang 'volume down' tidak berfungsi selesai setelah litar yang putus telah saya sambung kembali seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Selamat berDIY...

Sunday, 14 May 2023

LG MS-192W Microwave repair

Banyak microwave seperti ini telah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

LG MS-192W microwave

Kerosakkan microwave ini ialah tidak panas dan setelah diperiksa, masalahnya disebabkan litar pintas pada magnetron dengan nombor rujukkan 2M214-240GP.

2M214 magnetron

Masalah yang saya hadapi kali ini ialah tidak menemui alat ganti yang sama/tulen. Saya telah membeli sebiji magnetron dengan nombor rujukan 2M214 seperti boleh dilihat pada gambar di atas namun tidak dapat dipasang sebab kedudukan soket serta lubang skru berbeza dari yang asal.

2M213-629GF (2M218Y)

Saya cuma menemui magnetron dengan soket serta lubang skru yang sama namun nombor rujukan berbeza iaitu 2M218Y (2M213-629GF) seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Gantikan magnetron...

Oleh kerana tidak menemui alat ganti yang sama/tulen, saya terpaksa mencuba dengan menggunakan magnetron yang nombor rujukkannya sedikit berbeza seperti boleh pada gambar di atas.

Tested -ok

Untuk pengetahuan semua, sehingga blog ini ditulis, microwave ini telah dikembalikan kepada pemilik melebihi sebulan dan pemeriksaan susulan telah dimaklumkan bahawa ianya digunakan setiap hari tanpa masalah.

Selamat berDIY...

Saturday, 18 March 2023

LG ADS-18FDG-19 1916GBP adapter repair

Semalam saya dirujuk 2 buah adapter berjenama LG, model ADS-18FDG-19 dengan masalah tiada voltan output apabila diukur dengan menggunakan multimeter.

LG ADS-18FDG-19 adapter

Adapter ini untuk kegunaan monitor komputer dan voltan outputnya ialah 19v.

Output: 18v, 0.84A

Setelah dibuka dan diperiksa, saya cuma menemui sebiji 'schottky diode' dengan label SB10150 mengalami litar pintas.

Shorted schottky diode - SB10150

Rating 'schottky diode' ini ialah 10A, 150v dan ianya dipasang pada bahagian output adapter.

Gantikan schottky diode baharu...

Kedua-dua adapter ini berjaya diselamatkan dengan hanya menggantikan 'schottky diode' sahaja masing-masing.

19.45v

Selamat berDIY...

Sunday, 5 March 2023

LG MS-192W microwave repair

Banyak masalah microwave seperti ini pernah dirujuk kepada saya untuk dibaiki dan telah saya kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

LG MS-190W

Saya diberitahu masalah microwave ini ialah langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik dan ianya dirujuk oleh sebuah pusat penginapan (hotel).

Model: MS-192W

Pemeriksaan awal mendapati fius pada plug 3-pin dengan rating 13A putus. Pemeriksaan seterusnya tidak menemui sebarang litar pintas dan saya menguji microwave ini dengan menukarkkan fius yang putus sahaja. Microwave boleh dihidupkan namun tidak panas.

Fius 13A putus...

Masalah tidak panas adalah disebabkan tiada bekalan arus elektrik ke bahagian voltan tinggi (HV - high voltage) dan puncanya ialah masalah pada bahagian timer.

Fius pada PCB - 10A

Masalah selesai setelah saya gantikan timer yang baharu dan permasalahan sedemikian pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

fius - 10A

Persoalan dari masalah microwave ini ialah, kenapa fius 13A yang putus dan bukannya fius 10A pada papan litar? Tiada litar pintas ditemui dan masalah sebenarnya ialah tidak panas sebab tiada bekalan elektrik ke bahagian HV.

Fikir-fikirkan...

Wednesday, 25 January 2023

LG 49LF540T TV repair

Hujung tahun lepas saya telah dirujuk sebuah TV berjenama LG, model 49LF540T.ATS dengan masalah ada suara namun tiada layar.

LG 49LG540T

Masalah TV sedemikian adalah disebabkan kerosakkan lampu backlight dan perlu diganti dengan yang baharu.

Setelah penutup belakang dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati voltan ke lampu backlight ialah 315vdc seperti boleh dilihat pada gambar di bawah namun lampu backlight tidak menyala.

Voltan backlight - 315vdc

Backlight terletak di belakang skrin/layar dan perlu membuka skrin untuk menukarnya. Skrin perlu dibuka bersama dengan papan litar T-Con.

Buka ribbon ke T-Con

Ribbon yang disambung ke papan litar juga perlu dibuka seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Keluarkan skrin dengan T-Con

Kerja-kerja membuka skrin perlu dilakukan dengan berhati-hati sebab mudah pecah dan sekiranya pecah, ianya tidak berbaloi untuk dibaiki sebab harga skrin sangat mahal.

Skrin telah dikeluarkan...

Gambar di bawah menunjukkan lampu LED backlight yang telah terbakar dan harus digantikan dengan yang baharu.

Backlight hangus...

Gambar di bawah saya ambil sewaktu memasang lampu backlight yang baharu untuk diuji.

Gantikan backlight baharu...

Kerja-kerja memasang kembali juga perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak menyebabkan kerosakkan pada skrin.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Friday, 16 December 2022

LG MS-192W microwave repair

Banyak microwave seperti ini telah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

LG MS-192W

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah lagi microwave serupa dengan masalah berkarat seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Berkarat...

Cat asalnya menggunakan 'powder coating' dan kita tidak mampu melakukan tanpa kepakaran serta kelengkapan peralatan yang diperlukan.

Sembur cat pada penutup...

Apa yang saya lakukan ialah gosok bahagian yang berkarat dengan kertas pasir sehingga bersih dan cat semula dengan menggunakan cat sembur.

Cat bahagian telah dibersihkan...

Sembur cat di dalam penutupnya dahulu dan lepas itu gunakan putik kapas untuk mengecat bahagian yang telah dibersihkan sebelumnya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Selamat berDIY...

Wednesday, 7 December 2022

LG WF-F63PC washer repair

Pagi ini saya dirujuk sebuah mesin basuh berjenama LG, model WF-F63PC dengan masalah boleh dihidupkan namun proses membasuh serta membuang air gagal berfungsi.

LG WF-F63PC

Pemeriksaan awal pada 'drain motor' masih elok dengan membekalkan terus bekalan electrik 240vac.

Model: WF-F63PC

Seterusnya saya buka papan litar dan kesemua gam epoxy telah cair seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Papan litar...

Biasanya jika kerosakkan melibatkan papan litar, saya tidak baiki sebab tidak dapat dibuka. Memandangkan gam epoxy telah cair, saya cuba buka papan litarnya untuk pemeriksaan lanjut.

Ada kesan percikan api...

Ada kesan percikan api pada bahagian bawah papan litar seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Cold solder joint...

Kesan percikan api tersebut adalah disebabkan 'cold solder joint' atau pateri pada papan litar telah retak seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Pateri smula 'cold solder joint'...

Tiada kerosakkan lain yang ditemui dengan pandangan mata kasar selain dua 'cold solder joint' sahaja. Setelah dipateri semula dan diuji, masalah selesai dan ianya kembali berfungsi semula.

Selamat berDIY...

Monday, 3 October 2022

LG WF-F711PC washer not draining water repair

Pagi ini saya dirujuk sebuah mesin basuh berjenama LG, model WF-F711PC dengan masalah air bertakung dan tidak dapat dibuang dari dalam mesin basuh.

LG WF-F711PC

Ketika ianya dirujuk kepada saya, masih ada air lagi di dalam mesin masuh dan ianya sangat berat. Dari pengalaman lepas, masalah sedemikian adalah disebabkan kerosakkan 'drain motor'.

Model: WF-F711PC

Pemeriksaan dengan mata kasar 'drain valve' yang tidak berfungsi sebab spring telah berkarat serta putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Spring 'drain valve' putus...

Setelah saya buka 'drain valve', spring di bahagian dalamnya juga putus dan boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah 'drain valve' dibuka...

Masalah sedemikian boleh diatasi dengan menukarkan keseluruhan bahagian 'drain valve' atau gantikan bahagian 'valve' sahaja.

valve baru vs valve rosak

Saya gantikan bahagian 'valve' sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Gantikan 'drain valve kit' baharu...

Klip video di bawah saya rakam sewaktu menguji fungsi 'spin' pada mesin basuh setelah menggantikan bahagian 'valve' yang rosak sahaja dan masalah air bertakung di dalamnya selesai.

Selamat mencuba...