Showing posts with label Watch. Show all posts
Showing posts with label Watch. Show all posts

Monday, 20 January 2025

Digital thermometer repair

Thermometer ini saya beli beberapa tahun yang lalu dan baterinya pernah saya tukar sekali sahaja sebelum ini.

Low temperature?

Baru-baru ini tiba-tiba tiada bacaan suhu seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Julat suhu yang boleh diukur menggunakan thermometer ini ialah di antara -50°C sehingga 110°C.

Satu wayar sensor putus...

'Lo' yang terpapar pada skrin bermaksud suhu rendah di luar julatnya iaitu -50°C. Setelah dibuka serta diperiksa dengan mata kasar, wayar sensor putus seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Sambung kembali wayar yang putus...

Masalah selesai setelah wayar sensor yang putus telah saya sambung kembali dan diuji berfungsi semula seperti sebelumnya.

Bateri LR44H

Bateri yang digunakan ialah dua biji jenis butang dengan nombor rujukan LR44H seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Tested - ok

Selamat berDIY...

Thursday, 3 October 2024

BIAO ZHUN WANG digital clock repair

Jam digital ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

7-segment rosak...

Kali ini ianya dirujuk semula dengan masalah waktu serta tarikh lari dari waktu/tarikh semasa jika berlaku bekalan elektrik terputus.

Bateri rosak...

Masalah sedemikian adalah disebabkan tiada bekalan elektrik ke chip memori pada jam tersebut. Jam ini menggunakan sebiji bateri 3v untuk chip memori dan lokasinya telah saya tandakan pada gambar di atas.

CR2032 Lithium battery

Selain masalah memori hilang, sebiji 7-segment juga rosak dan perlu diganti.

Keluarkan 7-segment yang rosak...

7-segment yang rosak tidak dapat dibaiki dan perlu ditukar dengan yang baru.

Gantikan 7-segment...

Masalah memori hilang selesai dengan menggantikan bateri 3v sahaja selain sebiji 7-segment rosak juga saya gantikan.

Tested - ok

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Wednesday, 21 February 2024

Biao Zhun Wang Numeral Message Calendar repair

Hujung bulan lepas saya dirujuk sebuah jam digital buatan China dengan masalah semua angka-angka digital berkelip-kelip.

Biao Zhun Wang

Selain berkelip-kelip, waktu serta tarikh juga gagal diubah atau semua butang tidak berfungsi bila ditekan.

Setelah dibuka...

Pemeriksaan awal pada papan litar hanya menemui sebiji kapasitor 470uf, 16v rosak seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Gantikan kapasitor 470uf, 16v...

Masalah berkelip-kelip selesai setelah dengan menukarkan sebiji kapasitor sahaja. Gambar di bawah ialah bacaan kapasitor yang rosak dengan bacaan ESR sangat tinggi iaitu 0.15kΩ atau 150Ω.

High ESR - 470uf, 16v (0.15kΩ/150Ω)

Di belakang jam terdapat 3 biji 'tact switch' untuk mengubah waktu serta tarikh jam tersebut seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Butang pada belakang jam...

Pemeriksaan menggunakan multimeter mendapati ketiga-tiga 'tact switch' tersebut rosak serta tiada keterusan bila ditekan.

Semua 'tact switch' rosak...

Kerosakkan kesemua 'tact switch' sering berlaku walaupun ianya jarang digunakan terutamanya jika telah mencecah usia 10 tahun.

Gantikan 'tact switch' baru...

Menurut pemilik jam tersebut dibeli sewaktu melancong ke negara tembok besar lebih 10 tahun yang lalu.

Testing...

Jam ini berjaya diselamatkan dan saya yakin ianya boleh berfungsi untuk 10 tahun lagi selepas ini.

Siap...

Selamat berDIY...

Friday, 23 September 2022

ROLEX SUBMARINER quartz

Baru-baru ini jam berjenama RADO yang saya beli pada tahun 1998 telah rosak dan tidak berbaloi untuk dibaiki lagi.

Jam berjenama RADO tersebut telah beberapa kali saya hantar untuk dibaiki dan pernah saya kongsikan di sini.

Dipendekkan cerita, saya pun cari jam di laman shopee dan terjumpa jam berjenama namun teramat murah iaitu RM23.50 sahaja.

Dulu saya juga pernah beli jam murah seperti ini numun tak semurah begini dan yang pasti ianya adalah jam tiruan. Setelah saya baca komen pembeli sebelumnya, saya akhirnya bertekad membelinya dengan alasan:-

  1. Harga teramat murah, rosak boleh beli lagi 
  2. Jam berjenama ROLEX ini jika tulen harganya puluhan ribu sebuah 
  3. Dengan harga RM23.50, beli tali jam pun tak lepas di pasaran tempatan 
  4. Saya tak nak guna jam automatic lagi sebab sekali 'service' harganya mencecah RM350.00 (pengalaman dari jam lama)

Harga keseluruhan setelah dicampur dengan kos penghantaran serta ditolak coin yang saya ada, saya cuma perlu bayar RM22.32 sahaja.

Jam telah sampai semalam dan semuanya elok berfungsi macam jam biasa. Sekali pandang sebiji macam jam berjenama namun ianya adalah tiruan.

Cara untuk mengetahui ianya tiruan ialah:-

  1. Harga
  2. Jam tulen model submariner ini adalah jam automatic dan bukan jam quartz (guna bateri)
  3. Ringan - jam automatic mesti lebih berat dari jam quartz
  4. Model submariner ada 4 jarum jam 
  5. Logo dicetak guna cat sahaja 
  6. Kualiti keadaan fizikal, jika anda peminat jam, sekali pandang dah tahu tulen/tiru

Kekurangan pada jam ini bagi saya ialah ianya cuma ada tarikh sahaja namun tiada harinya sebab dah biasa berpuluh tahun dengan jam lama.

Apa pun, kita lihat berapa lama ianya boleh bertahan...

Monday, 25 July 2022

DIY tukar bateri jam tangan CURREN

Sebelum ini saya pernah kongsikan cara menukarkan bateri jam tangan dan anda boleh rujuk di sini.

Jenama: CURREN

Hari ini saya kongsikan satu lagi jam tangan jenis quartz berjenama CURREN dengan masalah sama iaitu tidak berdetik atau gagal berfungsi.

Umpil penutup bawah...

Cara untuk membuka penutup bawahnya ialah dengan mengumpil menggunakan pisau nipis pada bahagian yang telah saya tandakan pada gambar di atas.

Setelah penutup bawah dibuka...

Walaupun jam ini jauh lebih besar berbanding dengan jam tangan yang lepas namun ianya menggunakan bateri yang sama.

Buka penutup bateri...

Nombor rujukan bateri ini ialah SR626SW seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

SR626SW

Majoriti jam tangan jenis quartz biasanya cuma perlu tukarkan bateri sahaja untuk kembali berfungsi semula.

Gantikan bateri baharu...

Selamat mencuba...

Thursday, 11 November 2021

DIY tukar bateri jam tangan

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana menukarkan bateri jam tangan.

Jam tangan quartz

Masalah jam ini ketika dirujuk kepada saya ialah langsung tidak berfungsi.

Bahagian bawah jam tangan

Anda boleh rujuk cara untuk membuka penutup bahagian bawah jam pada klip video di penghujung blog ini di bawah.

Buka penutup bawah jam...

Majoriti jam quartz yang tidak berfungsi adalah disebabkan oleh kerosakkan bateri atau dengan bahasa mudah harian, 'habis bateri' atau bateri kehabisan cas. 

Nombor rujukan bateri - LR626

Nombor rujukan bateri yang digunakan pada jam tangan ini ialah LR626 dengan voltan 1.5v dan ianya tertera pada bateri seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Gambar diambil dengan menggunakan mikroskop elektronik.

Bateri jam...

Cara memeriksa bateri ialah, keluarkan bateri daripada jam dan ukur voltannya. Bacaan voltan yang saya dapat ketika diukur dengan menggunakan multimeter cuma 0.545v sahaja dan ianya harus ditukar.

Cara cas bateri jam untuk percubaan...

Untuk pengetahuan semua, kadang-kadang jam masih juga tidak berfungsi setelah ditukar bateri baharu dan harus dirujuk kepada pakar jam sebab majoriti komponennya susah dilihat dengan mata kasar.

Gantikan bateri baharu...

Apa yang saya lakukan sebelum membeli bateri baharu ialah cas bateri asal kira-kira seminit menggunakan bateri AA dan uji pada jam semula. Jika jam boleh berfungsi selepas menggunakan bateri yang dicas, bermaksud tiada kerosakkan lain.

Bateri baharu - LR626 (1.5v)

Biasanya bateri rosak yg dicas boleh digunakan untuk beberapa minit sahaja dan harus digantikan dengan bateri baharu. Tujuan saya mengecas bateri lama dan diuji ialah untuk memastikan tiada kerosakkan lain sebelum membeli serta menukarkan bateri dengan yang baharu.


Jam tangan ini kembali berfungsi semula setelah baterinya telah saya gantikan. Sebiji bateri baharu biasanya boleh bertahan setahun hingga ke dua tahun dan perlu ditukar lagi.

Selamat mencuba...

Tuesday, 1 September 2020

:hager 24hrs push-pin time switch repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman membaiki 'time switch' atau juga dipanggil 'timer' berjenama :hager, Model: EH111 dengan masalah tidak berfungsi langsung.

:hager EH111

Untuk pengetahuan semua, 'time switch' ini digunakan untuk menghidupkan sesuatu secara berkala pada masa yang sama setiap hari dan ianya dilengkapi dengan jam yang menggunakan kuasa bateri.

Setelah penutupnya dibuka...

Ketika saya uji dengan membekalkan arus elektrik kepadanya, tiada apa-apa yang berlaku termasuk juga tidak kedengaran bunyi detik jam seperti biasa.

Buka bahagian jamnya...

Setelah dibuka dan diperiksa, jamnya memang tidak berfungsi namun tiada komponen yang rosak ditemui. Gambar di bawah menunjukkan komponen yang ada pada papan litarnya dan telah saya labelkan. Voltan bateri yang digunakan ialah 1.2v ketika saya ukur dengan multimeter.

komponen yang ada pada papan litar...

Seterusnya saya periksa pula bahagian mekanikalnya yang serba ringkas iaitu terdiri daripada 5 biji gear sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

bahagian mekanikal jam...

Saya buka kelima-lima gearnya dan membersihkannya dengan menggunakan 'contact cleaner' sebab ianya kelihatan seperti ada kesan gris padanya. Untuk pengetahuan semua, bahagian mekanikal yang melibatkan gear pada jam tidak boleh disapu dengan sebarang minyak pelincir disebabkan ianya diperbuat daripada plastik. 

Hanya gear yang melibatkan logam sahaja dibenarkan disapu dengan minyak pelincir yang berkepekatan rendah dan bukannya menggunakan gris.

buka semua gear dan cuci...

Percaya atau tidak, setelah siap dibersihkan dan dipasang kembali ke kedudukan asalnya, kini jamnya kembali berfungsi semula.

Klip video di bawah saya ambil setelah ianya telah berjaya saya baiki dan sehingga blog ini ditulis, 'time switch' tersebut telah diuji melebihi 24 jam tanpa sebarang masalah.

Selamat mencuba...

Monday, 2 December 2013

Rado Diastar

Jam Rado Diastar saya dibeli pada 03/11/1998 dan pernah dibaiki sekali (terlupa tarikhnya) disebabkan jarum saatnya tidak bergerak langsung.

Hari ini pula dimasuki air dan terpaksa ditukar 'crown'nya seperti pada gambar di atas. Kos penyelengeraan serta mengantikannya pula ialah RM150-00.

Jam tersebut saya beli dengan harga RM800.00 pada tahun 1998 dan kini jam baru yang sama berharga RM2,680.00 seunit.