Friday 29 September 2023

Water air purifier/revitalizer

Semalam saya dirujuk sebuah 'air revitalizer' yang tidak diketahui jenama serta model sebab pemilik hanya menghantar sebahagian sahaja (tidak lengkap) minta untuk dibaiki.

Air purifier/revitalizer

Pemilik hanya memberitahu saya ianya gagal berfungsi sahaja apabila dibekalkan arus elektrik.

Buka skru bahagian bawah...

Sewaktu saya mengujinya, saya dapati motor hanya bergegar sahaja tetapi tidak berpusing.

Setelah penutup dibuka...

Setelah dibuka serta diperiksa, saya dapati motor gagal berpusing sebab bahagian 'copper bush' tidak bebas berpusing.

Bubuh gris pada motor...

Saya bersihkan 'copper bush' dan bubuh sedikit gris pada bahagian pengandar serta bahagian dalam 'copper bush'.

Siap...

Masalah motor gagal berpusing selesai setelah diminyakkan namun masalah seterusnya ialah gagal menyedut air.

Lubang air sumbat...

Pemeriksaan pada penutup saluran yang menyedut air didapati sumbat dan masalah selesai setelah lubang tersebut telah dibersihkan.

Siap...

Selamat mencuba...

Wednesday 27 September 2023

Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3)

Asal usul ASM 3 ialah Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang telah dijenamakan semula pada 15/10/2018. AS1M diperkenalkan sewaktu Dato Seri Najib Razak menjadi perdana menteri Malaysia ke-6.

Buku pelaburan ASM & ASW

Begitu juga ASM 2, asal usulnya ialah Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) yang dilancarkan pada 28/8/1996 oleh perdana menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga telah dijenamakan semula pada pada 15/10/2018.

Gagal...

Selama ini saya tidak pernah melabur dalam AS1M walaupun telah dijenamakan kepada ASM 3 namun beberapa hari lepas hati saya terbuka untuk mencuba. Masalah utama pelaburan di bawah seliaan ASN untuk golongan bukan bumiputera ialah kehabisan kuota.

Berjaya...

Setelah mencuba seharian, akhirnya saya berjaya melabur sebanyak RM100.00 sahaja seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas dan di bawah.

100 unit sahaja...

Saya juga mencuba untuk membuat pelaburan tambahan beberapa hari berikutnya namun tidak berjaya dengan mesej kehabisan kuota seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Habis kuota...

Percubaan membuat pelaburan tambahan pada 27/09/2023 berakhir dengan mesej seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Mesej 'dana tidak tersedia untuk transaksi' di atas muncul adalah disebabkan urusniaga telah digantung bagi memberi laluan proses mengira serta pemberian dividen pada hujung bulan ini (30/09/2023).

27/09/2023

ASM & ASM 2 telah mengumumkan dividen sebanyak 4.50% tahun ini dan saya menjangkakan ASM 3 juga bakal mendapat kadar dividen yang sama.

Gambar tangkap layar di atas ialah penyata akaun bank saya setelah berjaya membuat pelaburan pada 25/09/2023. Pihak ASN telah memasukkan sebanyak satu sen (MYR0.01) ke dalam akaun bank saya pada hari berikutnya (26/09/2023). Mungkinkah ianya dividen yang saya dapat setelah membuat pelaburan sebanyak RM100.00 untuk sehari?

Masih dalam proses pengesahan...

Dalam masa yang sama saya telah mengemaskini data akaun bank pada aplikasi myASNB namun masih dalam proses pengesahan seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Masih menunggu kelulusan...

Bagaimana transaksi satu sen ke akaun bank saya berjaya dilakukan jika belum mendapat pengesahan serta kelulusan?

Fikir-fikirkan...

Sunday 24 September 2023

FLUKE 789 ProcessMeter repair

Minggu lepas saya dirujuk sebuah multimeter berjenama FLUKE, model 789 dengan masalah gagal berfungsi.

FLUKE 789 ProcessMeter

Menurut pemilik, bateri asal di dalamnya telah bocor namun masih gagal berfungsi walaupun telah diganti dengan bateri yang baru. Multimeter ini menggunakan 4 biji bateri jenis AA.

Setelah penutup bateri dibuka...

Pemeriksaan awal mendapati penyambung bateri tidak bersentuh setelah bateri dipasang dan ianya telah patah sewaktu saya keluarkan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Keluarkan sambungan bateri yang patah...

Penyambung tersebut patah sebab telah terhakis akibat cecair bateri yang bocor dan teroksida dengan warna hijau melekat padanya.

Pateri sambungan yang patah...

Sebagai percubaan, saya telah bersihkannya dengan menggunakan kertas pasir dan pateri sambungan yang patah seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Masalah selesai dan multimeter kembali berfungsi semula setelah diuji seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Testing ..

Untuk makluman semua, masalah kebocoran bateri ini sering berlaku pada bateri jenis alkali (alkaline battery). Keluarkan bateri jika ditinggalkan lama tidak digunakan.

Selamat berDIY...

Thursday 21 September 2023

Baiki Dekoder Astro DS830NA - no signal

Banyak dekoder astro model DS830NA telah saya baiki dan kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

No signal...

Masalah dekoder yang dirujuk kali ini sedikit berbeza dengan yang pernah saya baiki sebelum ini iaitu boleh dhidupkan namun tiada isyarat (no signal) terpapar pada layar TV seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Kapasitor C5750 (220uf, 25v) rosak...

Pemeriksaan pada bahagian penerima isyarat mendapati sewaktu dihidupkan, voltannya 12v dan berubah kepada 14v namun tiada 19v muncul selepas itu. Bacaan voltan seharusnya seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Pemeriksaan seterusnya pada papan litar hanya menemui sebiji kapasitor berlabel C5750 (220uf, 25v) rosak. Setelah C5750 diganti dan diuji, masalah masih tetap sama.

Kapasitor yang telah ditukar...

Seterusnya saya terpaksa menggunakan kaedah cuba jaya (trial and error) dengan menukarkan satu per satu kapasitor yang ada sehingga kapasitor berlabel C2931 (470uf, 10v) ditukar dan masalah selesai.

Akaun tidak aktif...

Walaupun kapasitor berlabel C2931 masih elok termasuk bacaan ESR juga normal seperti boleh dilihat pada gambar di bawah namun ianya adalah punca dekoder gagal berfungsi (no signal) di atas.

C2931 yang ditukar...

Kadang-kadang kaedah 'trial and error' sangat membantu namun memerlukan masa yang lama untuk mencuba satu per satu.

Selamat berDIY...

Monday 18 September 2023

Milwaukee M12 battery repair

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman dirujuk bateri Milwaukee M18 untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini.

Hari ini saya kongsikan pula pengalaman dirujuk bateri Milwaukee M12 dengan masalah:-

  1. Kadang-kadang tidak dapat dicas
  2. Cas cepat penuh bila dicas
  3. Cas cepat habis bila digunakan

3.521v
Bedasarkan pengalaman lepas, masalah sedemikian adalah disebabkan voltan pada sel bateri tidak seimbang. Bateri ini mempunyai 6 biji bateri lithium yang disambung selari serta bersiri.

Cas secara manual...

Bacaan voltan yang saya dapat ketika diukur dengan menggunakan multimeter pada bateri yang disambung selari ialah 2.9v, 3.5v, 2.9v.

Proses mengecas...

Apa yang saya lakukan supaya kesemua cas baterinya seimbang ialah dengan melakukan pengecasan secara individu pada bateri yang bacaan voltannya 2.9v sehingga 3.5v.

Penuh dicas...

Setelah voltan ketiga-tiga sel seimbang pada 3.5v, saya cas bateri tersebut dengan menggunakan pengecasnya sehingga penuh.

Klip video di atas adalah bacaan kesemua sel yang telah penuh dicas dan kesemuanya seimbang pada 4.11v.

Bateri ini juga telah berjaya diselamatkan serta kembali berfungsi tanpa masalah seperti sebelumnya.

Selamat mencuba...

Saturday 16 September 2023

Shopee return/refund

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah microwave berjenama Panasonic dengan masalah kerosakkan magnetron. Saya telah membeli magnetron melalui Shopee dengan nombor rujukan yang sama iaitu 2M236-M1.

Sewaktu menerima magnetron yang telah dibeli dan diuji, ianya juga gagal berfungsi seperti boleh ditonton pada klip video di atas iaitu 'cut-off' setelah 23 saat dihidupkan.

Klik 'Return/Refund' pada aplikasi shopee...

Untuk kepastian ianya masalah magnetron, saya telah uji microwave tersebut dengan menggunakan magnetron elok namun kurang/lambat panas yang masih disimpan suatu ketika dahulu serta pernah dikongsikan di sini.

Bungkus & hantar ke pusat kurier...

Setelah berpuas hati, saya menghubungi penjual dan bersetuju untuk 'return/refund'. Proses 'return/refund' kini telah dinaiktaraf serta lebih mesra pelanggan.

Selepas diterima oleh pejabat kurier...

Saya cuma perlu klik 'return/refund' melalui aplikasi shopee, isi tempat kosong yang ada/ditanya & hantar ke pejabat kurier yang berdekatan sahaja.

Setibanya di pejabat kurier, saya cuma perlu tunjukkan 'bar code' pada aplikasi shopee untuk diimbas.

Status...

Proses 'refund' hanya selesai setelah barang yang dipulangkan telah diterima oleh penjual.

Approved...

Kini pihak shopee tidak lagi menahan wang kita di shopeepay dan dipulangkan pada hari berikutnya.

E-mail...

Walaupun kita tidak perlu menanggung kos memulangkan barangan kepada penjual namun kita juga tidak mendapat kembali kos penghantaran sewaktu membeli.

Inilah kerugian yang tidak dapat dielakkan jika melibatkan barang yang rosak dihantar kepada kita.

Wednesday 13 September 2023

HOIOTO ADS-65LSI-12-1 switching adapter repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman dirujuk sebuah adapter jenis SMPS (switching mode power supply) dengan masalah tiada output.

Bacaan voltan output yang saya dapat sewaktu mengujinya ialah kurang daripada 1vdc iaitu kira-kira 0.4v sahaja.

Setelah penutup di buka...

Jika kita berhajat membaikinya, kita harus membukanya dan masalah utama ialah bagaimana membukanya. Saya biasanya akan mengetuk bahagian tepi dengan menggunakan tukul perlahan-lahan sehingga terbelah dua.

Buang pateri untuk buka untuk keluarkan papan litar...

Bahagian dalam adapter ini dibalut dengan kepingan aluminium sebagai 'ground/earth' dan cara membukanya ialah dengan membuang pateri bahagian yang telah saya tandakan pada gambar di atas.

Gantikan 2 biji 1500uf, 16v dengan sebiji 3300uf, 16v

Pemeriksaan dengan pandangan mata kasar mendapati dua biji kapasitor bahagian output dengan rating 1500uf, 16v telah kembung. Kedua-dua kapasitor tersebut disambung selari dan saya telah gantikan dengan sebiji kapasitor 3300uf, 16v.

Tested - ok

Masalah tiada output selesai dan setelah diuji, saya dapat bacaan voltan output 12.30vdc seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

kapasitor 1500uf, 16v rosak (kembung)

Selamat berDIY...

Monday 11 September 2023

Kembara Kenali Borneo - YDPA

YDPA Sultan Abdullah telah memulakan konvoi Kembara Kenali Borneo dari Tawau, Sabah pada 03/09/2023 dan dijangka berakhir di Teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13/09/2023.

Konvoi tersebut telah tiba di Miri, Sarawak pada 09/09/2023 dan gambar di atas serta di bawah saya rakam sewaktu memperbaharui cukai jalan kereta di UTC Miri.

Orang ramai berbaris di sepanjang laluan konvoi menunggu ketibaan YDPA bersama permaisuri dan banyak klip video boleh ditonton secara langsung di media sosial.

Seingat saya, ini merupakan kali ke-2 YDPA melawat lokasi keberadaan saya dalam kira-kira berselang 40 tahun.

Seingat saya kali pertama YDPA melawat lokasi keberadaan saya ialah sewaktu di bangku sekolah rendah. Kami juga disuruh oleh pihak sekolah berbaris di sepanjang jalan bermula dari lapangan terbang Marudi.

Ini merupakan situasi yang jarang-jarang berlaku di Sarawak dan tidak hairan lah orang ramai sanggup berpanas serta berhujan menanti ketibaan YDPA.

Banyak jalan-jalan telah diturap semula terutamanya melibatkan laluan konvoi termasuk 'protocol road' baru-baru ini bagi menyembunyikan persepsi tidak baik rangkaian infrastruktur jalan raya di Borneo.

Semoga YDPA boleh menilai sendiri jurang perbezaan pembangunan di antara Malaya dan Borneo melalui konvoi kembara kali ini.

Daulat Tuanku...

Friday 8 September 2023

ABB dimmer repair

Sekali sekala saya juga pernah dirujuk dimmer berjenama ABB seperti ini untuk dibaiki.

ABB dimmer

Majoriti masalah yang dirujuk ialah tiada output dan lampu yang ingin dikawal tidak menyala.

Setelah dibuka...

Dua komponen yang sering menjadi punca kerosakkan ialah:-

  1. Thermal fuse (15A, 130C)
  2. Varistor (P250L20)
Dua komponen kelihatan terbakar...

Untuk pengetahuan semua, fungsi kedua-dua komponen (varistor & thermal fuse) ialah untuk keselamatan dan ianya rosak disebabkan terlebih voltan atau 'wear & tear'.

Varistor & thermal fuse hangus...

'Wear & tear' yang saya maksudkan ialah varistor mempunyai jangkahayat dan akan rosak bila tiba masanya.

Gantikan varistor & thermal fuse yang baharu...

Gambar di atas menunjukkan varistor serta thermal fuse yang rosak telah saya gantikan dan ianya kembali berfungsi semula serta masih boleh digunakan.

Testing (voltan minima 50v)

Voltan minima yang saya dapat dari dimmer ini ialah 50v dan voltan maxima pula ialah sama dengan voltan bekalan seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Testing (voltan maxima = bekalan)

Klip video di bawah saya rakam sewaktu mengujinya setelah dibaiki.

Selamat berDIY...