Tuesday 25 September 2018

Baiki PENSONIC PIC-20 induction cooker

Hari ini saya kongsikan benda yang pernah saya baiki dahulu tetapi jenama yang berlainan. Benda yang dimaksudkan ialah induction cooker berjenama PENSONIC, Model: PIC-20. Jenama induction cooker yang telah saya baiki dahulu ialah ELETROLUX dan anda boleh buat rujukan di sini.
Pandangan atas induction cooker
Masalah induction cooker ini ketika dirujuk kepada saya ialah boleh dihidupkan tetapi tidak panas. Masalaynya juga sama dengan induction cooker eletrolux dahulu.
Buatan Malaysia?
Pandangan dalam setelah bahagian atas di buka

Papan litar
Setelah diperiksa menyeluruh, komponen yang rosak dan perlu diganti hanyalah sebiji IGBT Transistor dengan nombor rujukan H20R1203 seperti pada gambar di bawah.
Komponen yang rosak

IGBT Transistor - H20R1203

Bahagian bawah papan litar
Setelah transistor tersebut diganti & diuji, induction cooker tersebut boleh digunakan semula.
Tested - OK
Untuk pengetahuan semua, jika anda mempunyai induction cooker yang boleh dihidupkan tetapi tidak panas, anda boleh lah buka sendiri & cari transistor tersebut dan tukar.

Selamat mencuba...

Sunday 23 September 2018

GREE SPLIT AIR CONDITIONER REVIEW

Hari ini saya kongsikan pandangan saya terhadap penghawa dingin berjenama GREE. Di rumah saya sebelum ini hanya mempunyai sebuah penghawa dingin sahaja berjenama SAMSUNG untuk bilik tidur sahaja.

Namun pada 10/7/2018 saya telah membeli dua buah lagi penghawa dingin untuk ruang tamu (2.5hp) & bilik tidur utama (1.5hp). Selama ini saya sememangnya tidak berminat dengan barangan buatan china namun kali ini saya terpaksa memilih kerana:-
  1. Tidak dapat dinafikan bahawa barangan buatan china tidak berkualiti dan selalu bermasalah namun kerana permintaan tempatan tertumpu kepada harga barangan ketika membuat pilihan dan saya juga tidak terkecuali...
  2. Majoriti penghawa dingin sekarang adalah buatan china.
  3. Tax holiday (jun 2018 - aug 2018)- mengambil kesempatan membeli barangan mahal ketika tanpa cukai.
Pandangan hadapan penghawa dingin GREE
Untuk makluman, harga penghawa dingin tersebut ialah RM1,200.00 untuk 1.5hp & RM2,350.00 untuk 2.5hp termasuk kos pemasangan. Kedua-dua penghawa dingin tersebut bukan menggunakan teknologi inverter namun ianya mempunyai teknologi plasma.

20 tahun yang lalu, harga sebuah penghawa dingin NATIONAL satu kuasa kuda (1hp) berharga RM1,850 termasuk kos pemasangan. 

Ramai pengguna kini beralih kepada teknologi inverter kerana ianya lebih mesra alam dan boleh menjimatkan penggunaan elektrik. Namun saya tetap memilih penghawa dingin tanpa inverter kerana harga penghawa dingin tanpa teknologi inverter jauh lebih murah dan pada pandangan saya jika ingin mengurangkan penggunaan elektrik, gunalah penghawa dingin secara berhemah.

Jika penghawa dingin tersebut mempunyai teknologi inverter tetapi pengguna menetapkan suhu pada 16C, saya yakin penjimatan elektrik tidak akan berlaku. Kenapa? Sila baca sampai habis artikel saya ini...
2.5hp (7.4A ketika kompressor berjalan)
Setelah penghawa dingin tersebut dipasang & diperiksa serta di uji, saya gembira kerana kini ruang tamu saya lebih selesa dengan penghawa dingin.

Untuk pengetahuan semua, saya sebenarnya takut sejuk dan biasanya saya hanya menetapkan suhu penghawa dingin pada 26C sahaja. Setelah seharian saya menguji penghawa dingin tersebut, saya dapati bahawa kompressor penghawa dingin tersebut tidak pernah berhenti walaupun saya telah kesejukan.

Setelah saya periksa suhu pada penghawa dingin tersebut, ianya menunjukkan 27C walaupun ruang tamu saya telah teramat sejuk padahal saya hanya menetapkan suhu pada 26C sahaja.
Boleh semak suhu dalam bilik...
Saya mulai syak sensor suhu penghawa dingin tersebut tidak berfungsi atau rosak. Untuk pengetahuan semua, sensor suhu bertujuan untuk mengekalkan suhu bilik mengikut kehendak pengguna dan apabila suhu bilik telah mencapai suhu kehendak pengguna, kompressor akan berhenti. Ketika kompressor berhenti pengguna akan menikmati penjimatan elektrik.

Jadi jika kompressor tidak berhenti seharian digunakan bermaksud tiada penjimatan eletrik berlaku. Jika anda menggunakan teknologi inverter sekalipun tiada penjimatan elektrik berlaku jika kompressor berjalan tanpa henti.
Ada sensor pada 'remote control'
Sebelum membuat aduan kepada pembekal, saya menguji pula sensor pada 'remote control' dan suhu boleh turun sehingga 21C.
Suhu ketika menggunakan sensor pada 'remote control'
Kini saya yakin sensor suhu pada penghawa dingin bermasalah sebab tidak menunjukkan suhu sebenar bilik. Setelah aduan dibuat, pihak pembekal datang dan menukar sensor suhu tersebut dan setelah diuji masalah tetap sama iaitu suhu bilik kekal 27C sahaja walaupun telah berjam-jam dihidupkan sehingga saya menggigil kerana kesejukan di mana saya yakin suhu bilik saya bukan 27C tetapi mungkin telah mencapai 20C.
Therminstor sensor - 11kΩ(NTC)
Pembekal telah memeriksa suhu angin yang keluar dari penghawa dingin tersebut iaitu 13.9C sahaja namun kenapa suhu pada indikator menyatakan 27C seperti pada gambar di bawah.
Suhu ketika diperiksa ialah 13.9C
Ketika memeriksa suhu pada tempat duduk saya di ruang tamu menunjukkan 20C. Di mana masalahnya?
Suhu pada tempat duduk ruang tamu - 20C
Dipendekkan cerita, pihak pembekal telah menukar papan litar utama pada penghawa dingin saya dan keputusannya tetap sama iaitu suhu paling rendah dicapai ialah 27C dan kompressor tidak pernah berhenti walaupun bilik saya telah teramat sejuk.

Pihak GREE akhirnya memberi alasan bahawa bilik saya terlalu besar dan suhu paling rendah yang dicapai hanya 27C. Ini alasan yang langsung saya tidak boleh terima dan ketika itu saya sungguh menyesal kerana sah barangan buatan china tiada mutu!!!
Lubang sensor suhu...
Mahu tidak mahu, saya terpaksa periksa sendiri dan mencari di mana sensor suhu tersebut diletak dalam penghawa dingin. Rupa-rupanya sensor suhu tersebut tersembunyi di bahagian bawah papan litar utama seperti pada gambar di atas & di bawah.

Walaupun terdapat lubang kecil pada penutup luar seperti yang boleh dilihat pada gambar di atas namun saya dapati bahawa paip gas yang menghubungkan bahagian dalam & luar penghawa dingin tersebut juga berhampiran. Adakah suhu disitu mencerminkan suhu bilik?
Sensor suhu disembunyikan pada dalam penghawa dingin
Saya keluarkan sensor suhu tersebut dan diletakkan pada bahagian aliran angin sejuk yang keluar dari penghawa dingin dan kini suhu boleh turun sehingga 24C seperti pada gambar di bawah.
Ketika sensor suhu disimpan pada aliran keluar angin
Kini saya yakin sensor suhu tersebut tidak bermasalah. Suhu kekal pada 27C sebelum ini ialah disebabkan sensor tersebut disembunyikan pada dalam penghawa dingin yang tidak menunjukkan suhu sebenar bilik.
Sensor suhu 15K (NTC)
Saya pindahkan sensor suhu tersebut ke bahagian luar seperti pada gambar di bawah dan ianya masih tidak menunjukkan suhu sebenar bilik mungkin disebabkan 'plasma' terletak disitu.
Pindahkan sensor suhu ke bahagian 'cooling coil'
Lepas itu saya pindahkan pula sensor tersebut ke bahagian atas 'plasma' seperti pada gambar di bawah dan buat pertama kalinya kompressor berhenti setiap 15 minit beroperasi dan suhu yang saya tetapkan pada penghawa dingin ialah 26C.
Pindah sensor suhu ke bahagian yang lebih dekat pada 'cooling coil'
Untuk makluman, saya juga buang penyalut berwarna kuning pada sensor tersebut agar ianya lebih sensitif pada suhu sekeliling seperti pada gambar di bawah.
Pandangan dekat, sensor yang dibalut telah saya buang...
Kesimpulan yang saya dapat dari pengalaman di atas ialah:-
  1. Barangan buatan china bukannya tidak bermutu tetapi kawalan mutu (QC) sangat teruk atau mungkin tiada QC langsung.
  2. Jika anda ingin menjimatkan penggunaan elektrik pada penghawa dingin anda, pastikan sensor suhu berfungsi sepenuhnya.
  3. Pastikan anda uji tahap sensitiviti sensor suhu pada penghawa dingin yang baru dipasang. Jika kompressor berhenti selepas mencapai suhu yang anda tentukan, maksudnya sensor suhu dalam keadaan baik.
  4. Sehingga artikel ini ditulis, saya menetapkan suhu penghawa dingin saya pada 26C dan kompressor akan berhenti setelah 15 minit beroperasi selama kira-kira 10 minit. Ini bermakna setiap 25 minit kompressor saya hanya berfungsi selama 15 minit sahaja berbanding dengan sebelumnya berfungsi tanpa henti. 
Kepada pihak GREE, jangan kecil hati sebab saya komen penghawa dingin anda tidak bermutu sebaliknya anda harus gembira sebab saya telah mengenalpasti masalah penghawa dingin anda di seluruh dunia. Hanya kerana anda meletakkan sensor suhu pada bahagian yang salah, pengguna menanggung bil elektrik yang tidak sepatutnya.

Sesungguhnya dengan menyembunyikan sensor suhu tersebut, pengguna akan memuji penghawa dingin anda bagus sebab sejuk tetapi mereka TIDAK TAHU bahawa bil elektrik melambung setelah memilih penghawa dingin anda.

Saya bukan jurutera mahupun pakar penghawa dingin tetapi sebagai pengguna saya berhak menguji tahap kemampuan serta kualiti barangan anda. Sila komen di bawah jika anda ada idea yang lebih baik dari apa yang telah saya lakukan di atas.

Saya juga pernah beberapa kali menghantar e-mail kepada mereka mengadu permasalahan saya seperti di atas dan tiada satu pun tindakan yang diambil. Apa pandangan anda jika menghadapi masalah yang sama seperti di atas?

Jika anda tanya saya adakah saya akan memilih produk mereka lagi di masa akan datang? Jawapan saya sudah tentu TIDAK. Apa kata anda?

Jika anda rasa terpaksa memilih penghawa dingin GREE atas sebab-sebab tersendiri, anda cuma perlu alihkan sensor tersebut seperti yang saya lakukan diatas. Kalau ikutkan hati saya, saya nak mereka bayar balik wang saya dan tak nak penghawa dingin mereka. Masa beli cepat datang rumah dan pasang tetapi bila buat aduan, satu pun tak layan. Lepas tu bagi alasan tak masuk akal. Rumah saya cuma rumah teres, penghawa dingin 2.5 h.p. (kuasa kuda) cuma mampu turunkan suhu ke 27 darjah celcius sahaja. Menyampah betul...

Sekian...
Updated on 18/10/2018 (Bil eletrik bulan july, August & Oktober)
Sebagai bukti, saya sertakan bil elektrik bulan July (sebelum memasang penghawa dingin GREE), bulan August (penghawa dingin GREE dipasang pada 10/7/2018) & bulan October (setelah saya pindahkan sensor) seperti pada gambar di atas.

Jelas kelihatan bahawa bill elektrik bulan august meningkat lebih sekali ganda berbanding bulan sebelumnya iaitu bulan july. Setelah saya pindahkan sensor tersebut pada bulan september iaitu ketika blog ini ditulis, bulan berikutnya menunjukkan penurunan bil elektrik dari RM52.75 (august) ke RM36.52 (september) & RM36.74 (october).

Nota kaki: Bil bulan September tiada disebabkan pihak SESCO tidak menghantar bil ke rumah berikutan pertukaran dari sistem dari GST ke SST. Jumlah bil bulan september ialah RM12.27 + RM24.25 = RM36.52 dan hampir sama dengan bil bulan october iaitu RM36.74.

Friday 21 September 2018

DIY baiki Speaker

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana mengenalpasti serta membaiki speaker yang mengeluarkan bunyi tambahan seperti yang tertera pada video di atas.
Pandangan hadapan speaker sebelum dibuka..
Terlebih dahulu kita perlu membuka serta mengeluarkan speaker tersebut dan menyambung terus ke amplifier untuk menguji speaker tersebut.
Pandangan hadapan selepas dibuka penutupnya...
Pada video di atas saya telah menunjukkan bahagian yang mengeluarkan bunyi tambahan tersebut dan boleh dihilangkan hanya dengan menekan bahagian tersebut dengan jari sahaja. Anda juga boleh melihat bahagian tersebut dengan lebih jelas seperti pada gambar di bawah.
Bahagian 'spider suspension/Damper' tanggal...
Apa yang berlaku ialah bahagian 'damper' atau juga dikenali sebagai 'spider suspension' telah terganggal dari bahagian magnet speaker dan anda cuma perlu melekatkannya kembali dengan menggunakan gam sahaja.

Untuk makluman kerosakan sebegini biasanya adalah akibat daripada pengguna sendiri yang gemar memasang lagu dengan bunyi 'bass' yang kuat dan nyaring.

Jika anda ingin mengelakkan speaker anda daripada mengalami masalah sebegini, gunalah sistem audio anda secara berhemah dengan kenyaringan yang sekadar sedap telinga mendengar dan bukan untuk menghiburkan jiran yang belum tentu terhibur dengan apa yang anda cuba kongsikan dengan mereka.

Selamat mencuba...

Saturday 1 September 2018

DIY Tukar Bahan Pendingin (Coolant) Radiator Kereta

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana menjaga radiator kereta agar tidak mudah rosak. Mengikut buku panduan kereta, bahan pendingin pada radiator kereta harus ditukar setiap 24 bulan atau 2 tahun sekali.
Menurut buku panduan bahan pendingin harus ditukar setiap 2 tahun
Namun saya sebenarnya terlupa bahagian yang boleh dikatakan paling penting dalam kereta iaitu radiator. Tugas radiator ialah untuk menyejukkan injin kereta dan selain air, ia juga harus dicampur dengan bahan pendingin (coolant). Tugas bahan pendingin selain dari menyejukkan injin kereta, ia juga bertindak sebagai agen anti karat.
Radiator kereta Perodua Kelisa
Namun nasib tidak menyebelahi saya pada pagi ini apabila penutup radiator pula rosak dan bahagian yang saya tandakan pada gambar di bawah pula terjatuh ke dalam radiator.
Penutup radiator rosak...
Untuk makluman, tidak boleh ada benda lain selain air & bahan pendingin berada dalam radiator. Oleh yang demikian saya terpaksa membuka keseluruhan radiator tersebut untuk mengeluarkan bahagian hujung penutup radiator yang tertanggal dan jatuh ke dalam radiator.
Tiada karat dalam radiator walaupun telah berusia 12 tahun

Kali terakhir saya menukar bahan pendingin kereta saya ialah pada 01/06/2009 iaitu 9 tahun yang lalu. Namun keadaan di dalam masih baru dan tiada karat bila air lama di buang. Kalau nak tahu rahsianya, sila baca sampai habis...
Radiator terpaksa dibuka untuk mengeluarkan bahagian penutup yang rosak terjatuh ke dalam...
Sebenarnya proses menukar air serta bahan pendingin amat mudah iaitu:-

1. Buka penutup bawah radiator untuk mengeluarkan air lama dalam radiator
2. Buka penutup atas radiator supaya kesemua air lama di keluarkan sepenuhnya.
3. setelah habis air lama dibuang, tutup kembali penutup bahagian bawah radiator
Penutup bahagian bawah radiator untuk membuang air..

Bahan pendingin (coolant) berjenama NISSAN

Pastikan baru dan belum dibuka...
4. isikan bahan pendingin (isi habis sebotol - 1 liter). Baca di sini untuk jumlah bahan pendingin yang diperlukan.
Isikan bahan pendingin dahulu...
5. Penuhkan radiator dengan air dan hidupkan injin kereta sehingga kipas radiator berpusing untuk mengeluarkan semua angin yang ada didalam radiator.
Penuhkan dengan air suling/RO/air hujan

Penutup lama radiator...
6. Setelah kipas radiator berpusing, penuhkan sekali lagi radiator dengan air (jika perlu) dan tutup kembali penutup atas radiator.
Penutup radiator baru (Pastikan beli penutup yang sama)
Terdapat 3 jenis penutup radiator iaitu:-
  1. 0.9 Bar
  2. 1.1 Bar
  3. 1.3 Bar
Yeah... penutup baru
7. Akhir sekali, isi air pada tangki sementara pada luar radiator.
Isikan juga air pada tangki sementara di sebelah radiator
Untuk panduan semua, rahsia yang saya maksudkan di atas ialah:-

  1. Jangan guna air paip sebab mengangungi klorin dan boleh mengakibatkan bahagian dalam radiator berkarat dan cepat rosak.
  2. Saya guna air suling yang dibeli dari pasaraya. Anda juga boleh guna air RO (Reverse Osmosis water), air battery (yang kosong & takda asid) atau air hujan.
  3. Kalau nak jimat lagi anda juga boleh tadah air yang keluar dari belakang penghawa dingin (aircon) sebab air tersebut adalah hasil daripada proses kondensasi dan setaraf dengan air suling.
  4. Ada yang mengesyorkan supaya menggunakan air mineral tetapi saya tidak menggalakan penggunaannya disebabkan air tersebut mengandungi mineral dan juga boleh mengakibatkan bahagian dalam radiator berkarat. 
  5. Beli bahan pendingin yang berkualiti sebab ada bahan pendingin (terutamanya yang murah) tidak berfungsi sebagai anti karat.

Selamat mencuba...