Wednesday 30 September 2020

FORWARD C302 6600mAh power bank repair

 'Power bank' merupakan salah satu peranti yang dimiliki oleh hampir setiap individu dewasa kini.

Ini disebabkan majoriti gajet menggunakan kuasa bateri yang boleh dicas semula dan tahukah anda bagaimana 'power bank' berfungsi?

Fungsi 'power bank' ialah menyimpan bekalan elektrik dan digunakan semula untuk mengecas gajet yang memerlukan. Di dalamnya juga dilengkapi bateri yang boleh dicas semula.

Kapasitinya ditentukan dengan menggunakan nilai mAh (milliampere hour) 'power bank' itu sendiri. Semakin besar nilai mAh, semakin banyak cas yang boleh disimpan pada 'power bank' tersebut.

'Power bank' juga seperti bateri di dalam telefon bimbit atau bateri kereta dan kemampuannya akan berkurangan mengikut masa. Jangka hayat 'power bank' bergantung kepada keupayaan bateri di dalamnya.

Kerosakkan 'power bank' biasanya juga sama dengan peranti lain dan simptomnya ialah:-

  1. Langsung tidak berfungsi
  2. Bila dicas, cepat penuh dan cepat habis bila digunakan
  3. Lampu indikator berkelip-kelip namun tidak mengecas
  4. Mengambil masa yang lama dari biasa untuk mengecas sehingga penuh
  5. Boleh dicas seperti biasa namun tiba-tiba indikator menyatakan ianya telah penuh dicas

Kerosakkan seperti di atas biasanya disebabkan baterinya telah rosak dan harus di ganti dengan yang baru. 'Power bank' di atas telah saya gantikan dengan bateri yang baru. Saya gunakan bateri berkapasiti 6800mAh sebiji dan ini bermaksud kini kapasitinya ialah 20400mAh.

Klip video di bawah saya ambil setelah baterinya telah saya tukar dengan yang baru dan ianya mengambil masa yang lebih lama untuk dicas sehingga penuh berikutan kapasitinya bertambah dari 6600mAh kepada 20400mAh.

Selamat mencuba...

Tuesday 29 September 2020

Baiki suis lampu meja

Hari ini saya kongsikan sesuatu yang sering rosak dan tidak ramai tahu membaikinya. Ada yang tahu ianya boleh dibaiki namun tiada peralatan (tools) yang sesuai untuk membaikinya.

Suis lampu...

Suis pada gambar di atas adalah untuk lampu meja dan kerosakkan yang sering berlaku ialah tidak berfungsi bila dihidupkan (ON).

sambungan tertanggal...

Setelah suis tersebut dibuka, hanya sambungan wayar kepada terminal suis yang dipateri tertertanggal seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Bersihkan bahagian yang ingin dipateri...

Jika sambungan suis tersebut menggunakan skru, ramai boleh menyambungkannya kembali namun sambungan suis ini perlu dipateri. Jadi, anda harus mempunyai alat mempateri serta timah jika ingin membaikinya sendiri.

Paterikan timah pada bahagian yang ingin disambung...

Sebelum proses mempateri semula dibuat, anda perlu bersihkan bahagian yang ingin dipateri terlebih dahulu dengan menggunakan kertas pasir. Setelah bersih, anda perlu paterikan timah pada wayar yang ingin disambung serta bahagian yang ingin disambung terlebih dahulu seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Seterusnya, barulah anda sambungkan kembali dengan memanaskan bahagian yang ingin disambung menggunakan 'soldering iron' sehingga timah lebur dan cantumkan wayarnya.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Monday 28 September 2020

DIJAYA LED Driver repair

LED driver seperti ini telah banyak saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini, sini dan sini.

DIJAYA LED driver...

Hari ini saya kongsikan penemuan baru ketika dirujuk sebiji LED driver seperti ini dengan masalah tidak menghasilkan output langsung.

Komponen yang rosak...

Setelah dibuka dan diperiksa, komponen yang rosak ialah:-

  1. sebiji fius 1A
  2. 2 biji diod (M7)
Keluarkan diod yang rosak...

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan dua biji diod yang mengalami litar pintas dan telah saya gantikan selain daripada fiusnya yang berwarna coklat.

Gantikan diod yang baru...

Setelah siap fius serta diod saya tukar dan diuji, LED driver tersebut kembali menghasilkan output 44v namun bila disambung kepada lampu LED, ianya berkelip-kelip. Voltan output cuma dalam kira-kira 33v sahaja setelah disambung kepada lampu LED.

Kapasitor 4.7uF, 50v juga perlu ditukar...

Seterusnya saya buka serta periksa semula dan mendapati sebiji kapasitor 4.7uF, 50v perlu ditukar. Setelah saya keluarkan kapasitor tersebut dari papan litar dan diukur, bacaan cuma tinggal 3.3uF sahaja.

Tested - ok

Ujian ke-2 setelah menukar kapasitor di atas telah berjaya dan LED driver tersebut masih boleh digunakan semula.

Penemuan baru kali ini ialah, jika lampu LED berkelip-kelip, kapasitor 'low ESR' (biasanya nilai uF rendah dan voltan tinggi)  bermasalah dan harus diganti seperti diatas.

Perintang 4.7Ω, 1/2w (kuning, ungu, emas,emas)

kadang-kadang saya ada menemui LED driver yang menggunakan perintang 4.7Ω, 1/2w untuk menggantikan fius 1A seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Selamat mencuba...

Sunday 27 September 2020

PRN Sabah (PRN ke-16)

PRN Sabah diadakan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN pada 30 Julai 2020 sehari selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa telah memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-16 semalam (26/09/2020) memperlihatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menang majoriti mudah.

GRS berjaya memenangi 38 kerusi, diikuti oleh Warisan plus dengan 32 kerusi dan Bebas mendapat 3 kerusi.

Siapakah Ketua Menteri (KM) Sabah yang baharu? Sama-sama kita nantikan dalam sehari dua ini sebab ada ura-ura mengatakan GRS dan Warisan plus bukan parti politik dan mengikut perlembagaan Sabah, TYT boleh melantik KM dari parti yang memenangi paling banyak kerusi.

Oleh itu Warisan masih berpeluang membentuk kerajaan.

Setakat hari ini, siapa ketua menteri Sabah masih belum diumumkan dan TYT meminta tempoh untuk menentukannya.

Saturday 26 September 2020

Steelcraft electric coffee warmer repair

Sebelum ini saya pernah membaiki 'warmer' seperti ini dan anda boleh membacanya di sini.

Coffee warmer

Kali ini benda yang sama namun jenama yang berlainan iaitu Steelcraft dan rekabentuknya juga berbeza tetapi konsep serta fungsinya sama iaitu untuk memanaskan minuman seperti kopi atau teh.

Jenama: Steelcraft

Masalah 'coffee warmer' ini ialah salah satu pemanasnya tidak panas. Seperti biasa saya buka pemanas yang bermasalah dan bila diperiksa, tiada 'continuity' pada elemen pemanasnya.

Buka pemanas yang rosak...

Tiada kerosakkan pendawaiaan ditemui dan fius serta suisnya masih elok ketika diperiksa menggunakan multimeter.

Keluarkan bahagian pemanasnya...

Jadi, masalahnya ialah pada elemen pemanas dan setelah dibuka, jelas kelihatan elemen pemanasnya telah putus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Elemen pemanas putus...

Masalah elemen pemanas putus seperti ini sering berlaku dan anda cuma perlu sambung kembali seperti yang saya lakukan pada gambar di bawah.

Sambung bahagian yang putus...

Setelah di sambung kembali, periksa dengan multimeter untuk memastikan tiada bahagian lain yang putus. Jika ada 'continiuty' bila diperiksa menggunakan multimeter, bermaksud tiada yang putus lagi.

666Ω setelah disambung...

Bacaan rintangan yang saya dapat untuk elemen pemanas ini ialah 666Ω seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Pasang kembali...

'Coffee warmer' tersebut telah berjaya diselamatkan setelah siap dipasang kembali serta diuji dan masih boleh digunakan semula.

Tested - ok
Selamat mencuba...

Friday 25 September 2020

Digital microscope

Mikroskop digital ini saya beli pada 9/9/2020 dengan tujuan untuk melihat komponen yang halus pada papan litar SMT (surface mount technology).

Digital camera....

Selama ini saya menggunakan kamera telefon untuk mengambil gambar komponen halus pada papan litar moden untuk melihat nombor rujukkan komponennya.

50x - 1600x
Mikroskop digital ini mempunyai kemampuan zoom dari 50x sehingga 1600x dan saiznya amat kecil seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.
 
Testing... (papan litar LED driver)

Ianya dilengkapi dengan fungsi kamera (merakam gambar serta video) dan memerlukan peranti windows 7 dan ke atas. Gambar di bawah adalah rakaman gambar yang saya ambil dari papan litar 'LED driver' dengan menggunakan mikroskop digital tersebut.

3R30, 563 - perintang, RS1M - diod

Klip video tidak dapat saya muat naik (upload) disebabkan saiz fail yang besar dan disekat oleh youtube.

Thursday 24 September 2020

PIONEER A-201 stereo amplifier repair

Amplifier ini pernah saya baiki dahulu pada tahun 2013 dan anda boleh membacanya di sini.

Pioneer A-201

Masalah kali ini ialah ianya langsung tidak dapat dihidupkan ketika saya uji dengan membekalkan arus elektrik.

Voltage selection...

Apabila saya buka dan periksa, saya dapati kedua-dua fiusnya masih elok. Saya bekalkan arus elektrik dan mendapati tiada arus elektrik sampai ke bahagian transformer dengan menggunakan multimeter.

Bahagian dalam voltage selection...

Pemeriksaan seterusnya mendapati tiada 'continuity' pada bahagian 'voltage selection' seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Setelah dibuka...

'Voltage selector' tersebut agak longgar bila saya cuba pusing untuk mengubah kedudukannya. Bila ditekan dengan jari dan diperiksa barulah 'voltage selector' tersebut ada 'continuity'.

Pin bahagian tengah telah patah...

Apabila 'voltage selector' tersebut saya buka, pin di bahagian tengahnya telah patah dan pada mulanya saya cuba gam kembali bahagian yang patah dengan super glue namun gagal dan ianya tidak melekat. 

Tebuk lubang pada 'voltage selector'...

Seterusnya saya cari skru yang kecil serta tebuk lubang di bahagian tengah 'voltage selector' tersebut dan kuncikan skru dari bahagian dalam seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Skru dari dalam...

Setelah 'voltage selector' tersebut saya ubahsuai seperti di atas dan diuji, kesemua sambungannya kini ada 'continuity' dan apabila dibekalkan arus elektrik, saya dapat 30vac pada output transformer seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Output transformer 30v-0v-30v (ac)

Amplifier tersebut telah berjaya diselamatkan hanya dengan mengubahsuai bahagian 'voltage selection' seperti di atas dan ianya kembali berfungsi seperti biasa tanpa masalah.

Tested - ok

Jika penutup 'voltage selector' hilang, cara untuk membuat pintasan ialah seperti berikut:- (rujuk gambar di bawah)

  1. 240v = C + D & G + H (grey + chocolate)
  2. 120 - 127v = A + H & D + E
  3. 110v = A + B & E + F
  4. 220v = B + C & F + G (red + yellow)

Voltage selector Pioneer A-201

Saya pilih 240v dan bukannya 220v sebab voltan di tempat saya biasanya melebihi 240v bila diukur dengan multimeter. Jika 'voltage selector' telah hilang, anda cuma perlu buat pintasan pada wayar kelabu & coklat untuk 240v atau kuning dan merah untuk 220v.

pintasan untuk 220v/240 (pilih satu sahaja)...

Klip video di bawah saya ambil setelah amplifier tersebut telah siap dibaiki serta diuji.

Selamat mencuba...

Wednesday 23 September 2020

SHARP AQUOS LC-32D30M-WH backlight lamps faulty

Hari ini saya dirujuk sebuah TV berjenama SHARP, Model: LC-32D30M-WH dengan masalah layar boleh dihidupkan namun padam dengan sendiri setelah beberapa saat kemudian. Seterusnya TV akan hidup dengan sendiri semula serta padam dengan sendirinya semula dan akhirnya lampu indikator akan berubah warna dari hijau ke merah.

SHARP AQUOS LC-31D30M-WH

Masalah TV LCD sedemikian biasanya adalah disebabkan oleh kerosakkan backlight dan jarang kerosakkan yang melibatkan papan litar.

Model: LC-32D30M-WH

Gambar di bawah menunjukkan backlight yang digunakan dan terdiri daripada 10 batang tiub CCFL (Cold Cathode Fluorescent Lamp).

Ini juga merupakan TV pertama yang menggunakan backlight jenis CCFL dirujuk kepada saya dan ianya adalah 'limited edition'.

Backlight setelah layar LCD dibuka...

Backlight jenis CCFL merupakan backlight yang pertama diperkenalkan pada TV LCD dan ianya telah ditukar kepada backlight jenis LED selepas itu sehingga kini.

Saya pernah membaiki backlight jenis LED sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini.

Salah satu backlight (CCFL) putus...

Setelah diperiksa, salah satu tiub lampu CCFL didapati putus seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Masalah yang saya hadapi sekarang ialah tiada alat ganti untuk lampu backlight jenis CCFL yang baru lagi dan TV tersebut gagal dibaiki.

Jika anda memiliki TV LED yang menggunakan backlight jenis CCFL yang rosak, tiba masanya untuk anda membeli TV baru disebabkan tiada alat ganti lagi di pasaran.

Selamat mencuba...