Saturday, 12 September 2020

MEC aircon remote control repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah alat kawalan jauh penghawa dingin (aircon) berjenama MEC untuk dibaiki.

Jenama: MEC

Menurut pemilik, ianya tidak berfungsi setelah terjatuh dan apabila saya mengujinya dengan melihat melalui kamera telefon, lampu infra merah (IR) tidak menyala setelah butangnya ditekan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Seperti biasa benda pertama yang saya periksa ialah baterinya. Bacaan voltan sebiji bateri yang elok ialah 1.5v untuk bateri kering biasa dan 1.2v untuk bateri boleh dicas semula (rechargeable battery).

Bacaan yang saya dapat ialah seperti boleh dilihat pada gambar di atas iaitu 0.8v sahaja dan harus ditukar. Setelah saya gantikan bateri dan diperiksa di bawah kamera telefon bimbit semula, lampu IR boleh menyala namun kelihatan seperti sedikit malap.

Seterusnya saya buka alat kawalan jauh tersebut dan tiada komponen yang didapati rosak ditemui. Tiada tanda-tanda yang menunjukkan terdapat cecair bateri pada papan litar yang biasa ditemui dan cuma kelihatan sedikit kotor seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Saya bersihkan papan litar serta butang silikon dengan 'contact cleaner' dan gambar di bawah merupakan keadaan setelah dibersihkan. Ada tak perbezaannya jika dibanding dengan gambar di atas sebelum dibersihkan?

Setelah siap dibersihkan dan dipasang kembali serta di uji, lampu IR menyala bila butang ditekan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Rasanya keterangan lampu IR tersebut sama seperti selepas ditukar baterinya di atas.

Sebenarnya ini merupakan kali kedua alat kawalan jauh ini dirujuk kepada saya. Saya cuma memberitahu pemilik yang baterinya telah habis dan perlu ditukar sebab lampu IR menyala selepas saya uji dengan menggantikan baterinya sahaja. Selepas itu saya simpan semula bateri asalnya dan serahkan kepada pemilik semula ketika itu.

Seingat saya, bacaan voltan ketika kali pertama dirujuk kepada saya juga 0.8v seperti di atas namun pemilik bertegas yang dia telah menukar bateri baru.

Kali ini saya buang bateri lama dan serahkan alat kawalan jauh tersebut tanpa bateri kepada pemilik. Saya yakin pemilik tidak menukar baterinya selepas kali pertama dirujuk kepada saya.

Blog ini hanya saya tulis setelah pemilik mengesahkan kepada saya bahawa alat kawalan jauhnya telah boleh digunakan semula. Saya tetap yakin pemilik tidak menukar baterinya seperti yang saya sarankan kepadanya dahulu.

Kadang-kadang pengguna tidak menghargai sesuatu perkhidmatan percuma yang kita berikan. Mungkin lepas ini saya perlu tukar bateri baru setiap alat kawalan jauh yang dirujuk kepada saya untuk dibaiki dan meminta sedikit bayaran termasuk kos bateri baru.

Selamat mencuba...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.