Wednesday 30 August 2023

Dekoder Astro NJOI tidak keluar jam

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah dekoder ASTRO model DS830NA yang gagal berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Setelah penutup dibuka...

Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kerosakkan komponen namun sedikit pelik apabila multimeter menunjukkan bacaan voltan tinggi pada belakang kapasitor berlabel C2926 & C2910 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Pemeriksaan lanjut pada bahagian bawah papan litar mendapati tiada keterusan pada terminal negatif/ground pada kedua kapasitor tersebut.

Apa yang saya lakukan ialah sambung terminal negatif ke kapasitor yang berdekatan seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Testing...

Masalah kali ini sedikit pelik serta belum pernah ditemui selama ini namun ianya telah berjaya diselamatkan dengan melakukan dua 'jumper' pada kapasitor C2926 & C2910 sahaja.

Selamat mencuba...

Sunday 27 August 2023

Milwaukee C12C charger repair

Beberapa minggu lepas saya telah dirujuk sebuah pengecas berjenama Milwaukee, model C12C untuk mengecas bateri M12 sahaja dengan masalah gagal berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Milwaukee C12C charger...

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman membaiki pengecas berjenama Milwaukee namun model yang berbeza iaitu M12-18FC dan anda boleh rujuk di sini.

Model: C12C

Dari pandangan mata kasar pada papan litar setelah dibuka ialah sebiji kapasitor telah kembung seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Setelah dibuka...

Selain sebiji kapasitor yang kembung, fius utama dengan rating T3.15A juga putus.

Gantikan komponen rosak...

Untuk kepastian tiada lagi litar pintas pada papan litar, saya telah menggantikan fius dengan sebiji mentol 60w dan klip video di bawah saya rakam sewaktu ujian dilakukan.

Pengecas ini masih lagi gagal berfungsi setelah kedua-dua komponen yang rosak di atas telah saya gantikan serta diuji.

Gantikan power IC - TOP255EN

Percubaan seterusnya ialah saya gantikan 'power ic' yang berlabel TOP255EN dan masalah selesai.

Checking...

Pengecas ini berjaya diselamatkan dan komponen yang rosak ialah:-

  1. Sebiji kapasitor (68uf, 400v)
  2. Sebiji fius (T3.15A)
  3. Sebiji power ic (TOP255EN)
Komponen yang rosak...

Lampu indikator berwarna merah sewaktu mengecas dan bertukar ke hijau apabila bateri telah penuh dicas seperti boleh ditonton pada klip video di bawah

Keterangan lanjut apa yang telah saya lakukan untuk membaiki pengecas ini boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat mencuba...

Thursday 24 August 2023

Panasonic NN-C784MF inverter microwave repair

Microwave ini pernah dirujuk kepada saya sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Panasonic NN-C784MF

Kali ini ianya dirujuk semula dengan masalah seluruh rumah bergelap (litar pintas) sebaik sahaja butang start ditekan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Masalah litar pintas hanya berlaku apabila menggunakan fungsi microwave sahaja. Tiada masalah jika menggunakan fungsi oven sewaktu saya mengujinya.

Buka & keluarkan papan litar inverter...

Seterusnya saya cabut bekalan elektrik ke papan litar inverter dan tiada lagi litar pintas berlaku sewaktu menghidupkan fungsi microwave. Jadi, litar pintas berlaku pada papan litar inverter.

Litar pintas pada IGBT - GT60N321

Pemeriksaan pada papan litar inverter mendapati litar pintas pada sebiji IGBT yang berlabel GT60N321 seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Siap...

Klip video di bawah saya rakam sewaktu mengujinya dan ianya berjaya diselamatkan dengan menggantikan sebiji IGBT sahaja pada papan litar inverter.

Ini merupakan pengalaman pertama saya dirujuk microwave jenis inverter dengan kerosakkan papan litar inverter.

Selamat berDIY...

Monday 21 August 2023

Xiaomi Deerma VC20S Cordless Handheld Vacuum Cleaner

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah penyedut hampagas berjenama Deerma, model VC20S dengan masalah gagal dicas.

Xiaomi Deerma VC20S

Jika dilihat pada label, tarikh dikilangkan ialah pada 05/10/2019 dan sebelum dibuka serta diperiksa saya menjangkakan masalahnya ialah:-

  1. Kerosakkan pengecas (charger)
  2. Kerosakkan bateri
  3. Kerosakkan papan litar (PCB)
Model: VC20S

Klip video di bawah ialah keadaan vacuum cleaner sewaktu saya uji, ianya boleh dihidupkan namun padam tidak lama selepas itu dengan lampu indikator merah berkelip-kelip.

Pemeriksaan awal pada pengecas (charger) ianya elok dan mampu menghasilkan voltan output 18v namun gagal mengecas bila disambung kepada penyedut hampagas.

Pengecas - 18v, 500mA

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, tiada komponen yang disyaki bermasalah.

Setelah dibuka...

Penyedut hampagas ini dilengkapi dengan 4 biji bateri jenis lithium dan apabila diperiksa dengan menggunakan multimeter, voltan sebiji bateri cuma 2.9v sahaja.

4 biji bateri lithium digunakan...

Voltan sebiji bateri lithium normal ialah 3.7v dan setelah penuh dicas, voltannya ialah 4.2v. Jadi, ianya gagal dicas sebab voltannya cuma tinggal 2.9v sahaja.

Voltan rendah...

Apa yang saya telah lakukan ialah mengecas setiap biji bateri dengan menggunakan 'external charger' sehingga kira-kira 3.3v - 3.7v. Cara melakukan 'force charge' pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Masalah gagal dicas penyedut hampagas ini berjaya ditangani dengan melakukan 'force charge' bateri yang telah lemah sebelum disambungkan kepada pengecasnya semula.

Keterangan lanjut masalah penyedut hampagas ini boleh ditonton pada klip video di atas.

Selamat berDIY...

Friday 18 August 2023

Diskaun 25% bil elektrik SESCO berakhir june 2023

Selama ini saya jarang tidak menerima bil elektrik namun kebelakangan ini kerap berlaku dan bil elektrik yang tidak diterima ialah bulan mac, june & july.

Bil SESCO yang diterima...

Beberapa hari lepas saya baru menerima bil bulan ini (August) setelah membuat aduan melalui laman sesawang mereka sebab tidak menerima dua bulan bil berturut-turut.

June 2023

Apa yang berlaku kepada bil tidak diterima ialah seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah. Pihak SESCO membuat anggaran minimum untuk dua bulan berturut-turut dan saya telah membuat bayaran walaupun tiada bil mengikut kiraan saya sendiri.

July 2023

Sebelum ini saya juga tidak menerima bil bulan april dan terlupa melakukan bayaran sehingga dikenakan 'late payment charge' pada bil bulan april.

Apa yang saya dapati pada bil terbaru bulan ini ialah tiada lagi diskaun 25%.

Saya berpendapat kes tiada bil bulan jun & july ini disengajakan oleh pihak SESCO untuk mengaburi pengguna yang diskaun 25% akan dihentikan atau kemungkinan juga pihak SESCO ingin menjimatkan diskaun 25% tersebut.

Diskaun 25% tinggal kenangan...

Umum tahu SESCO adalah milik kerajaan Sarawak dan saya yakin ianya dilakukan atas arahan pihak tertentu. Jika ada aduan oleh pengguna yang bil mereka tiba-tiba meningkat, alasan mereka ialah sebab bil untuk tiga bulan serta 'late payment charge' tanpa perlu memberitau bantuan diskaun 25% telah dihentikan.

Diskaun 25% ini diberikan sewaktu PKP lalu bagi meringankan beban rakyat dan saya tidak membantah jika ianya dihentikan sekarang namun jika tiada kes 'kehilangan' bil di atas, saya boleh menjimatkan sedikit kos bil elektrik melalui diskaun yang diberikan untuk bulan jun & july.

Tariff elektrik juga berbeza mengikut jumlah unit tenaga yang digunakan seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Saya terpaksa bayar mengikut tariff 25sen seunit bil bulan august sebab penggunaan telah mencecah 300 unit berikutan anggaran minima bulan jun & july oleh pihak SESCO yang telah menambahkan beban pengguna.

Jika bil elektrik dihantar setiap bulan mengikut penggunaan saya selama ini, saya hanya dikenakan 18sen sahaja seunit.

Fikir-fikirkan...

Wednesday 16 August 2023

Bypass KIA494P (PWM controller IC)

"PWM controlled IC" berlabel KIA494P atau TL494 banyak digunakan pada sistem audio kereta serta PSU (power supply unit).

KIA494P = TL494

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah power amplifier berjenama KICKER model Impulse 354xi dengan masalah lampu indikator berwarna hijau berubah kepada merah serta sebaliknya secara berkala dan suara output juga putus-putus.

KIA494P Pinout

Pemeriksaan menyeluruh pada papan litar tidak menemui sebarang kerosakkan dan sebagai percubaan, saya putuskan sambungan ke pin 4 pada IC (integrated circuit) berlabel KIA494p dengan menanggalkan transisitor berlabel Q02 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Tanggalkan transistor Q02 (A1266)

Terminal collector (C) pada transistor Q02 disambung kepada pin 4 KIA494P, jadi dengan menanggalkan transistor tersebut fungsi DTC (Dead-time control) pada pin 4 telah diputuskan.

A1266 transistor

Setelah pin 4 KIA494P diputuskan dan diuji, kini amplifier tersebut dihidupkan sejurus sahaja bekalan ke ACC disambung dan tiada lagi masalah lampu indikator hijau berubah kepada merah secara berkala.

Buang pateri terminal base (B)

Klip video di bawah saya rakam sewaktu mengujinya dan tiada lagi lampu merah menyala sebab KIA494P telah saya putuskan sambungan ke pin 4.

Ini merupakan jalan terakhir yang saya boleh lakukan sebab tiada kerosakkan komponen ditemui. Untuk makluman semua, amplifier ini telah diambil oleh pemilik dua bulan yang lepas dan berfungsi tanpa masalah sehingga blog ini ditulis.

Selamat mencuba...

Sunday 13 August 2023

LG 42PX3RV-TA plasma TV fails to turn on

TV ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Kali ini ianya dirujuk semula dengan masalah seperti boleh ditonton pada klip video di atas iaitu gagal dihidupkan.

Setelah penutup belakang dibuka...

Menurut pemilik, masalah pada mulanya ialah perlu tunggu lama untuk lampu indikator merah menyala setelah dibekalkan arus elektrik sebelum TV boleh dihidupkan dan lampu indikator bertukar menjadi hijau.

Kapasitor kembung pada PSU

Pemilik telah abaikan masalah tersebut sehingga akhirnya gagal dihidupkan walaupun lampu indikator merah telah menyala namun padam bila cuba dihidupkan dan bukanya bertukar ke warna hijau

C601 - 1000uf, 10v

Setelah dibuka serta diperiksa dengan mata kasar, saya menemui sebiji kapasitor yang dilabel C601 pada papan litar kembung dan telah saya tandakan pada gambar di atas.

Kapasitor rosak...

Nilai asal kapasitor tersebut ialah 1000uf, 10v namun bila diperiksa, bacaannya cuma 31nf sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

TV ini berjaya diselamatkan serta kembali berfungsi semula setelah dengan menggantikan sebiji kapasitor sahaja.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Friday 11 August 2023

ROGER brushless digital automation

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah motor untuk mengerakkan pagar rumah dengan masalah gagal berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

ROGER brushless sliding gate motor...

Motor tersebut berjenama ROGER dan ianya menggunakan motor 'brushless' seperti boleh dilihat pada label gambar di bawah.

ROGER TECHNOLOGY

Setelah penutup dibuka, apa yang menarik perhatian saya ialah ianya dilengkapi dua biji bateri yang kecil dengan ratingnya 12v, 1.2AH.

Setelah penutup dibuka...

Pemeriksaan menggunakan multimeter pada bateri mendapati voltannya terlalu rendah dan bacaannya di bawah 1v sahaja.

Bateri 12v, 1.2AH...

Saya juga menghadapi masalah untuk mendapatkan bateri serupa di pasaran tempatan.

O.165v sahaja...

Kos yang saya perlukan untuk mendapatkan dua biji bateri dengan membeli di atas talian ialah kira-kira RM100.00 termasuk kos penghantaran.

Buka penutup bateri...

Sebagai percubaan, saya buka penutup bateri dan mendapati di dalamnya kering kontang. Saya isi air suling (distrilled water) ke dalam bateri.

Isi air suling...

Bateri yang telah diisi air saya cas menggunakan pengecas sehingga voltannya mencecah 12v. Seterusnya saya pasang kepada motor untuk diuji.

Lampu kuning menyala - charging...

Untuk pengetahuan semua, bateri yang telah diisi air serta dicas masih masih boleh digunakan. Masalah motor yang asalnya gagal berfungsi juga selesai.

Testing - 12.28v

Selamat mencuba...

Tuesday 8 August 2023

APC Black-UPS ES500 repair

Banyak UPS seperti ini telah saya baiki serta kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

APC ES500

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah lagi UPS serupa dengan masalah gagal berfungsi bila dibekalkan arus elektrik.

Setelah papan litar dikeluarkan...

Ianya boleh berfungsi setelah sambungan bateri saya putuskan & disambung semua sewaktu mengujinya namun gagal dihidupkan semula setelah dipadam serta dibiarkan selepas kira-kira beberapa minit.

Q7 rosak...

Setelah dibuka dan diperiksa komponen satu per satu, saya menemui sebiji komponen dengan label Q7 pada papan litar rosak.

2N7000 - mosfet

Q7 menggunakan sebiji mosfet dengan label 2N7000 seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Q7 (2N7000) rosak...

Gambar di atas pula adalah maklumat yang saya dapat apabila diperiksa dan ianya telah menjadi diod serta bukannya mosfet lagi.

Mosfet baru & rosak...

Gambar di bawah adalah maklumat serta bacaan yang sepatutnya pada mosfet berlabel 2N7000 yang elok.

Checking...

Masalah gagal berfungsi selepas beberapa minit dipadam selesai dan ianya telah berjaya diselamatkan serta masih boleh digunakan semula.

Gantikan mosfet baharu...

Selamat mencuba...