Showing posts with label Butterfly. Show all posts
Showing posts with label Butterfly. Show all posts

Saturday, 18 November 2023

Butterfly B5263 Electric Oven repair

Minggu lepas saya dirujuk sebuah oven berjenama Butterfly, model B5263 dengan masalah bahagian atas tidak panas & timer tidak berfungsi.

Butterfly Electric Oven

Oven ini dilengkapi dengan 4 batang pemanas (heating element) dan pemeriksaan menemui salah satu pemanas bahagian atas putus. Panjang pemanas yang digunakan ialah 18" dan perlu diganti.

Model: B5263

Seterusnya saya buka timer dan pemeriksaan mendapati ianya gagal berfungsi bila dipulas dan loceng juga gagal berbunyi apabila timer dilaras kembali ke kedudukan 'stop'.

Setelah timer dilerai untuk pemeriksaan...

Saya cuma berjaya membaiki bahagian mekanikal timer dan ianya boleh berdetik seperti boleh ditonton pada klip video di bawah namun locengnya gagal berbunyi bila tempoh yang dilaras telah tamat.

Jadi, kedua-duanya kerosakan (pemanas & timer) gagal dibaiki dan harus diganti dengan yang baru.

Gantikan timer baru...

Benda yang kita perlu ketahui sewaktu membeli timer baru ialah:-

  1. Tempoh (30 minit, 60 minit, 90 minit & 120 minit)
  2. Rating - 250v, 16A
Rating timer: 250v, 16A & 60 minit

Oven ini kembali berfungsi semula setelah kedua-dua komponen yang rosak di atas telah saya gantikan dengan yang baru.

Tested - Ok

Selamat berDIY...

Monday, 26 June 2023

Butterfly Hot Plate BHP-1621 repair

Hari ini saya dirujuk sebuah dapur elektrik dan ianya dilabel 'Butterfly Hot Plate' model BHP-1621 dengan masalah gagal berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Butterfly Hot Plate

Dapur elektrik ini menggunakan elemen pemanas dan ianya kelihatan usang seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Model: BHP-1621

Benda pertama yang saya periksa ialah fius pada plugtop dan ianya masih elok.

Setelah dibuka...

Seterusnya saya buka dan periksa elemen pemanas dan kedua-duanya juga elok. Pemeriksaan menyeluruh akhirnya menemui thermal fuse putus.

Thermal fuse putus - 16A, 240°C

Rating thermal fuse yang digunakan ialah 16A, 240°C dan biasanya akan dipasang berdekatan dengan elemen pemanas seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Gantikan thermal fuse baharu...

Masalah selesai setelah thermal fuse tersebut telah saya gantikan dan fungsi thermal fuse tersebut adalah untuk keselamatan jika pengguna terlupa padam bekalan sewaktu tidak digunakan.

Selamat berDIY...

Sunday, 22 March 2020

Butterfly BAF-601D Air Fryer repair

Minggu lepas saya dirujuk sebuah 'air fryer' berjenama Butterfly, Model: BAF-601D dengan masalah tidak panas.
Jenama: Butterfly
Ketika diuji, lampu halogen di dalamnya tidak menyala dan hanya kipas sahaja yang berfungsi.
Model: BAF-601D
Lokasi lampu halogen tersebut ialah pada bahagian atas penutup 'air fryer' seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Bahagian atas penutup air fryer...
Setelah penutup lampu halogen dibuka, memang sah lampu halogennya putus/hangus dan berwarna hitam seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Halogen tube putus/hangus...
Cara untuk mengetahui lampu halogen tersebut rosak ialah memeriksa 'continuity' padanya kedua-dua terminalnya. Tiada 'continuity' jika lampu halogen telah rosak.
Halogen tube baru...
Anda boleh melihat perbezaan lampu halogen yang elok dan rosak pada gambar terakhir di bawah.
4.9Ω
Bacaan rintangan lampu halogen yang digunakan ialah 4.9Ω jika diukur dengan multimeter.
Tukar halogen tube yang baru...
Ketika anda menukarkan lampu halogen yang baru, anda juga perlu membuka bahagian atasnya untuk membuat penyambungan wayarnya.
Buka bahagian atas untuk sambung wayar...
Hanya sebiji skru sahaja yang perlu dibuka iaitu seperti boleh dilihat pada gambar di atas.
Sambung wayar halogen tube yang baru...
Setelah skru dibuka, anda cuma perlu membuka penutup yang berwarna hijau sahaja untuk membuat penyambungan wayarnya.
Klip wayar yang disambung...
Semua wayar yang disambung haruslah dibalut untuk mengelakkan sebarang litar pintas.
Siap...
Setelah lampu halogen ditukar dan diuji, 'air fryer' tersebut kembali berfungsi dan masih boleh digunakan.
Testing...
Pemilik juga ada memaklumkan kepada saya bahawa 'air fryer' tersebut hanya digunakan beberapa kali sahaja untuk memanggang kepak ayam sebanyak 8kg.
Tested - ok
Pada pendapat saya, kerosakan lampu halogen di atas mungkin disebabkan oleh gegaran apabila membuka penutup 'air fryer' tersebut ketika ianya masih panas.

Senarionya sama seperti lampu projector, dimana kita diberitahu supaya tidak memindahkan projector ketika baru di padam dan masih panas.

Jadi, nasihat saya supaya lampu halogen tersebut tahan lama ialah, tunggu seketika (kira-kira 5 minit) selepas tamat proses memasak barulah mengeluarkan makanan di dalamnya.
Lampu halogen baru dan lama...
Selamat mencuba...