Tuesday 27 February 2024

ASTRO NJOI channels

Awal tahun ini saya ada membaiki sebuah dekoder astro dan setelah berjaya dibaiki serta diuji, apa yang terpapar pada TV ialah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Kejadian seperti ini sering berlaku berikutan pihak ASTRO telah 'deactivate' akaun yang lama tidak menonton siarannya sebab dekoder rosak.

Deactivated...

Setelah siaran diaktifkan semula, saya dapati banyak siaran telah tiada seperti channel 346 (AEC). Saya ada bertanya kepada pihak astro dan gambar tangkap layar berikut adalah jawapan yang saya dapat.

Ramai menghantar dekoder untuk dibaiki kebelakangan ini memberitahu saya banyak channel tiada jika mendaftar atau membeli dekoder baru.

Channel 346 (AEC) bukan pakej NJOI lagi...

Jadi, pelanggan ASTRO NJOI terdahulu masih boleh menikmati lebih banyak siaran berbanding pendaftaran baru.

Ini adalah sebab utama kenapa ramai masih menghantar dekoder rosak untuk dibaiki berbanding membeli dekoder yang baru.

Untuk makluman semua, majority dekoder boleh dibaiki dan kira-kira 10% sahaja gagal dibaiki atas sebab-sebab tertentu termasuk rosak disambar kilat.

Senarai siaran NJOI terkini...

Gambar di atas ialah senarai siaran percuma serta siaran berbayar terkini untuk pelanggan NJOI.

Saturday 24 February 2024

RM100k quota tambahan individu ASM 3

Hujung bulan lepas saya ada menerima e-mail dari ASNB seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

e-mail bertarikh 26/1/2024

Dari pemahaman saya, mesej yang disampaikan ialah kuota tambahan iaitu RM100ribu kepada setiap individu.

Masalah yang sering dihadapi jika melabur ASM ialah kehabisan kuota namun kebelakangan ini tiada masalah melabur ASM 3 berbanding ASM & ASM 2 yang telah lama kehabisan kuota.

Untuk pengetahuan semua, dividen yang diberi untuk tahun 2023 bagi simpanan ASM, ASM 2 & ASM 3 ialah 4.5% dan dijangka lebih baik tahun ini.

Pemberian dividend ialah pada:-

  1. ASM - 1hb April
  2.  ASM2 - 1hb September
  3.  ASM3 - 1hb October

Dulu pelabur perlu ke cawangan ASN atau bank untuk membuat pelaburan namun kini semua boleh dilakukan di hujung jari. Pemindahan wang melalui FPX online banking adalah percuma tanpa sebarang yuran.

Selamat melabur untuk dinikmati bila telah bersara kelak...

Wednesday 21 February 2024

Biao Zhun Wang Numeral Message Calendar repair

Hujung bulan lepas saya dirujuk sebuah jam digital buatan China dengan masalah semua angka-angka digital berkelip-kelip.

Biao Zhun Wang

Selain berkelip-kelip, waktu serta tarikh juga gagal diubah atau semua butang tidak berfungsi bila ditekan.

Setelah dibuka...

Pemeriksaan awal pada papan litar hanya menemui sebiji kapasitor 470uf, 16v rosak seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Gantikan kapasitor 470uf, 16v...

Masalah berkelip-kelip selesai setelah dengan menukarkan sebiji kapasitor sahaja. Gambar di bawah ialah bacaan kapasitor yang rosak dengan bacaan ESR sangat tinggi iaitu 0.15kΩ atau 150Ω.

High ESR - 470uf, 16v (0.15kΩ/150Ω)

Di belakang jam terdapat 3 biji 'tact switch' untuk mengubah waktu serta tarikh jam tersebut seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Butang pada belakang jam...

Pemeriksaan menggunakan multimeter mendapati ketiga-tiga 'tact switch' tersebut rosak serta tiada keterusan bila ditekan.

Semua 'tact switch' rosak...

Kerosakkan kesemua 'tact switch' sering berlaku walaupun ianya jarang digunakan terutamanya jika telah mencecah usia 10 tahun.

Gantikan 'tact switch' baru...

Menurut pemilik jam tersebut dibeli sewaktu melancong ke negara tembok besar lebih 10 tahun yang lalu.

Testing...

Jam ini berjaya diselamatkan dan saya yakin ianya boleh berfungsi untuk 10 tahun lagi selepas ini.

Siap...

Selamat berDIY...

Sunday 18 February 2024

ShopeePay withdrawal

Hujung bulan lepas pada bulan december kerajaan telah memberi bantuan eMADANI sebanyak RM100 dan cuma boleh dituntut melalui akaun e-dompet terpilih sahaja.

Wang tersebut telah saya tuntut melalui akaun e-dompet ShopeePay dan telah habis dibelanjakan.

Terdapat sedikit wang lebihan tinggal di dalam akaun ShopeePay saya seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan bercadang memindahkannya kembali ke akaun bank.

Dah sebulan tapi masih 'under review'...

Saya gagal memindahkan wang tersebut berikutan akaun bank yang saya daftarkan hujung tahun lepas masih berstatus 'under review' seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di atas.

Aduan - 20/01/2023

Saya telah menghubungi pihak shopee dan mereka memberitahu saya proses pendaftaran akaun bank memerlukan tempoh 24 jam sehingga 48 jam sahaja untuk pengesahan namun saya telah membuat pendaftaran lebih sebulan yang lepas.

Selesai - 21/01/2024

Apa pun, aduan saya telah diambil perhatian oleh pihak shopee dan mendapat pengesahan pada hari berikutnya.

Transfer on 22/01/2024 @ 11:46hrs

Untuk makluman semua, pemindahan wang lebihan dari ShopeePay ke akaun bank saya selesai pada hari yang sama walaupun diberitahu 'will be transferred to your bank account within 3 working days' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Masuk akaun hari sama - 22/01/2024

Saya terpaksa mengaktifkan akaun ShopeePay hanya untuk menuntut bantuan eMADANI sahaja. Jika tiada lagi bantuan eMADANI, rasanya akaun ShopeePay saya akan dormant selepas ini...

Thursday 15 February 2024

E2 - Primada PS-620S intelligent processor repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk pengisar seperti ini untuk di baiki dan anda boleh rujuk di sini.

E2

Kali ini saya dirujuk sebuah lagi pengisar serupa dan ianya lengkap dengan cawan pengisar. Saya diberitahu ianya boleh dihidupkan namun gagal berfungsi. Sewaktu saya uji, kod yang terhasil ialah E2 seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Wayar putus...

Memandangkan pengisar lepas saya telah buka serta periksa bahagian motor dan tiada kerosakkan ditemui, kali ini saya periksa pula sensor pada cawan pengisar. Setelah penutup bahagian bawah cawan pengisar dibuka, jelas kelihatan wayar putus seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Perintang 47kΩ putus...

Sewaktu proses menyambung kembali wayar putus tersebut selesai, ianya tanggal semula dan apabila diperiksa di dalamnya dilengkapi dengan sebiji perintang pula yang putus seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Nilai perintang tersebut ialah 47kΩ (kuning, ungu, oren). Saya gantikan perintang baru dan semua bahagian yang disambung saya balut dengan pita wayar bagi mengelak sebarang litar pintas berlaku.

Sensor pada penutup...

Kedua wayar tersebut disambung kepada pin yang telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Lokasi sensor disambung...

Pastikan penutup cawan pengisar ditutup sebelum anda mengukur rintangan pada kedua pin di atas dan anda seharusnya dapat bacaan 47kΩ seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

47kΩ

Untuk makluman semua, sensor yang digunakan hanya sebiji reed switch sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Reed switch sebagai sensor penutup...

Masalah kod E2 selesai dan pengisar ini berjaya diselamatkan serta kembali berfungsi semula.


Selamat berDIY...

Monday 12 February 2024

i-Saraan (KWSP)

Awal tahun ini saya telah menerima sms dari KWSP/EPF memaklumkan insentif i-Saraan telah dinaikkan dari RM300 kepada RM500 tahun ini seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Pemeriksaan pada laman sesawang i-Saraan di sini mendapati saya telah mendaftar namun tidak dinyatakan tarikh atau bila didaftar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Gambar-gambar berikut adalah maklumbalas dari pihak KWSP/EPF setelah saya menghubungi mereka melalui e-mail.

Menurut mereka, saya telah mendaftar i-Saraan sejak tahun 2022 dan telah mencarum secara sukarela sejak itu namun tiada insentif yang mereka maklumkan serta janjikan iaitu 15% atau maksima RM300 setahun.

Tahun ini insentif dinaikkan dari RM300 ke RM500 dan setakat blog ini ditulis, satu sen pun saya tak terima.

Bila saya teliti balik maklumbalas mereka, rupa-rupanya insentif daripada kerajaan adalah tertaluk kepada kerajaan (subject to government terms and conditions). Jadi, siapa sebenarnya yang layak menerima insentif i-Saraan?


Baru-baru ini kerajaan ada memaklumkan RM500 'one-off' telah diberikan kepada pencarum yang mempunyai baki kurang dari RM10,000 dalam akaun 1 namun saya yakin ianya tiada kaitan dengan i-Saraan.

Tahun lepas saya bekerja setengah tahun sebelum bersara mulai 20/06/2023. Saya mencarum sendiri walaupun tidak bekerja selepas itu setiap bulan dengan harapan mendapat insentif seperti dijanjikan.

Kemungkinan saya masih bekerja tahun lepas walaupun setengah tahun sahaja penyebab saya tidak layak mendapat insentif. Mungkinkah saya boleh dapat insentif pada separuh tahun ke-2 tahun lepas?

Apa pun, saya akan terus mencarum sukarela tahun ini dengan harapan dapat RM500 seperti dijanjikan.

Untuk makluman semua, menurut syarat & terma KWSP, insentif yang dijanjikan ialah 15% dari jumlah caruman dan tertaluk kepada maxima RM500 sahaja setahun. Jadi, jumlah caruman minimum untuk mendapatkan maxima RM500 ialah mencarum sebanyak RM3,334 setahun atau RM278 sebulan.

Friday 9 February 2024

P311 tablet repair

Baru-baru ini saya dirujuk tablet model P311 buatan china dengan masalah gagal dihidupkan sebab butang 'power' telah tanggal serta hilang.

P311 tablet

Saya tidak pasti apa jenama tablet ini sebab tiada tertera pada 'casing' atau dalam 'about phone'. Cuma nombor model sahaja ditemui seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Model: P311

Gambar di bawah ialah keadaan butang yang telah hilang dan suis juga gagal berfungsi bila dijolok. Menurut pemilik ianya masih berfungsi bila dijolok sewaktu butang baru hilang.

Butang 'power' rosak...

Masalah sedemikian adalah disebabkan suis telah rosak setelah dijolok dengan objek selain butang asalnya dan perlu diganti.

Gantikan butang 'power'...

Tablet ini boleh berfungsi semula setelah suis butang power diganti namun butang getah yang hilang tiada alat ganti melainkan tukar 'casing' yang baru.

Pindahkan pcb ke 'casing' baru...

Pindahkan kesemua komponen dalaman ke 'casing' baru dan ianya haruslah dilakukan dengan berhati-hati agar tidak merosakkannya terutama wayar halus akan putus jika ditarik terlalu kuat.

PCB siap dipindah ke 'casing' baru...

Kerosakkan butang power adalah 'wear & tear' dan sering berlaku sebab ianya ditekan setiap kali untuk menghidupkan serta memadamkan layar sewaktu menggunakannya.

'Casing' ditukar sebab butang 'power' hilang...

Saya perlukan kira-kira 30 minit untuk menukar 'casing' termasuk menukar butang suis yang baru.

Testing - ok
Selamat mencuba...

Tuesday 6 February 2024

Effective Profit Rate (EPR)

Baru-baru ini saya menerima e-mail dari sebuah bank tempatan menawarkan kadar faedah yang sangat menarik seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

MBSB Bank

Rata-rata faedah simpanan tetap di bank kini kira-kira 4% p.a. (setahun) namun iklan diatas menawarkan 5.85% p.a. dan saya yakin ianya amat menarik perhatian orang ramai.

Jika diperhatikan jadual dengan tulisan kecil seperti boleh dilihat pada gambar di bawah, bahagian hujung yang telah saya tandakan tertera 'effective profit rate' atau singkatan EPR dan kadarnya cuma 4.00% dan 4.40% p.a. sahaja.

Effective Profit Rate (EFR)

Apa itu EFR? EFR ialah purata faedah yang penyimpan bakal dapat dan bukannya 5.85%.

Syarat untuk dapatkan faedah 5.85% ialah penyimpan perlu simpan 25% dalam simpanan semasa dengan kadar 0.05% sahaja.

Untuk mudahkan kira-kira, katakan anda labur RM10k untuk tawaran di atas. 75% simpanan tetap sebanyak RM7,500.00 dan 25% simpanan semasa sebanyak RM2,500.00.

  1. Faedah simpanan tetap setahun ialah 7,000 x 5.85% = RM438.75
  2. Faedah simpanan semasa pula ialah 2,500 x 0.05% = RM1.25

Jumlah faedah dari simpanan di atas ialah 438.75 + 1.25 = RM440.00

Jadi EPR ialah 440 ÷ 10,000 x 100 = 4.40%

Ramai tahu proses membuka akaun di bank kini tidak mudah namun tujuan tawaran di atas secara tidak langsung menggalakkan pendeposit membuka akaun di bank mereka dengan harapan urusan pada bank lain akan berpindah ke bank mereka di masa akan datang.

5.35% setahun...

Gambar di atas ialah e-mail saya terima dari RHB bank yang menawarkan kadar 5.35% p.a. dan saya yakin senarionya juga hampir serupa di atas.

4.20% setahun...

Ini adalah salah satu cara pihak bank menarik pelanggan masing-masing dan apa yang saya boleh simpulkan ialah kadar keuntungan/faedah ditawarkan oleh semua bank adalah hampir sama serta berbeza kurang dari 1%. 

Jadi tiada keperluan untuk memindahkan simpanan anda dari satu bank ke bank lain hanya kerana perbezaan kadar pulangan/faedah yang kurang dari 1%.

Kadang-kadang kos pemindahan lebih mahal dari perbezaan keuntungan yang kurang dari 1% walaupun banyak saluran menawarkan pemindahan percuma seperti FPX online banking. Jika ada kesilapan sewaktu pemindahan, wang kita boleh lesap tanpa dapat dikesan.

Untuk pengetahuan ramai, banyak wang yang ditipu scammer hilang begitu sahaja dan pihak bank tidak akan bertanggungjawab. 

Ada pula yang kata wang simpanan kita di bank ada perlindungan PIDM. PIDM hanya memberi perlindungan jika bank mufils dan had maksima cuma RM250k sahaja. Ada tak sejarah bank muflis atau bankrap di negara kita setakat ini?

Fikir-fikirkan...

Saturday 3 February 2024

DS830NA astro decoder - no power (PART 1)

Banyak dekoder astro model DS830NA seperi ini telah saya baiki serta kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

5v tapi bacaan cuma 0.264v sahaja...

Hari ini saya kongsikan pengalaman baru ditemui beberapa hari lalu apabila dirujuk dekoder serupa dengan masalah gagal dihidupkan. Pemeriksaan awal mendapati voltan 5v & 3.3v tidak cukup atau dikira tiada seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

3.3v tapi dapat bacaan 0.375v sahaja...

Pemeriksaan seterusnya mendapati sebiji komponen jenis SMD bermasalah sebab tidak menghasilkan 5v dan telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Komponen disyaki rosak...

Saya tidak pasti apa nombor rujukan komponen tersebut sebab apa yang tertera padanya tidak memadai untuk saya mencarinya dalam talian atau online.

Keluarkan komponen disyaki rosak...

Saya menemui sebiji komponen sama pada papan litar lama dan sebagai percubaan, saya telah gantikan komponen tersebut sahaja.

Gantikan komponen elok...

Percaya atau tidak, masalah tiada 5v & 3.3v selesai setelah komponen tersebut sahaja telah diganti serta diuji.

Checking - 5v

Gambar di atas dan di bawah adalah bacaan 5v & 3.3v telah kembali normal dan ianya berjaya diselamatkan.

Checking - 3.3v

Kerja membaiki peralatan elektrik kini semakin sukar dilakukan berikutan komponen yang disyaki rosak tidak diketahui dari label yang ada.

Tested - ok

Selamat berDIY...