Showing posts with label News. Show all posts
Showing posts with label News. Show all posts

Thursday, 18 September 2025

Lotus Elise Cub 250 hangus

Awal bulan ini kereta mewah berjenama Lotus milik seorang pempengaruh telah terbakar sehingga 'total lost'. 

Lotus Elise Cub 250

Gambar di bawah adalah rupa kereta setelah kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba. 

Lotus Elise hangus serta lebur seperti plastik...

Kereta mewah merupakan salah satu alat untuk sesetengah orang sebagai 'flexing' bagi memajukan diri mahupun perniagaan terutamanya melibatkan MLM serta pelaburan skim cepat kaya.

Biasanya kereta mewah dilengkapi dengan banyak ciri-ciri keselamatan yang tinggi namun apa yang terlintas di fikiran saya ialah tiada 'safety' langsung pada kereta tersebut.

Kereta lebur bagaikan plastik setelah terbakar dan adakah ianya 'value for money'?

Renung-renungkan... 

Sunday, 31 March 2024

Stoking kalimah allah

Baru-baru ini negara kita dihangatkan oleh isu stoking dengan label perkataan allah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Stoking kalimah allah...

Kisahnya bermula setelah seorang mualaf yang bergelar ustaz telah memuat naik gambar stoking kontroversi tersebut di media sosialnya pada 13 Mac 2024.

Sebagai ustaz dia sepatutnya lebih arif menangani isu sensitif sebegini namun dia merupakan antara yang terawal memviralkannya sehingga menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap rangkaian kedai serbaneka berkenaan.

Isu seperti ini diketegori 3R (Royal, Race, Religion) dan sangat sensitif di negara kita sebab melibatkan agama rasmi negara.

PDRM melaporkan sebanyak 14 pasang stoking telah dirampas untuk tujuan siasatan dan dikhabarkan cuma 5 pasang sahaja daripada kira-kira 18 ribu pasang mengandungi kalimah allah.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kedai tersebut mempunyai banyak cawangan di seluruh negara dan cuma satu cawangan sahaja mempunyai 5 pasang stoking yang kontroversi ditemui.

Banyak teori konspirasi berlegar di media sosial dan mungkin ada benarnya namun itu tugas pihak berkuasa untuk siasat setelah laporan polis dibuat. 

Kilang yang membekalkan stoking tersebut telah memberi jaminan tidak lagi mengeksport stoking kalimah allah ke negara kita dan boleh dibaca di sini.

Persoalan saya dari insiden ini ialah, pengilang stoking di China telah hentikan eksport ke negara kita dan ini bermaksud stoking dengan kalimah allah memang ada di pasaran mereka atau mungkin telah dieksport ke seluruh pelusuk dunia.

Kenapa negara kita sahaja yang menjadi isu sedangkan ianya mungkin telah dijual di seluruh dunia? Adakah fahaman islam di negara kita berbeza dengan negara lain termasuk negara asal usul di timur tengah?

Setelah berfikir sejenak, saya berpendapat isu ini teramat sensitif di negara kita berikutan negara kita menterjemahkan perkataan allah itu sebagai nama tuhan agama islam.

Allah dalam bahasa arab bermaksud tuhan (god) namun di negara kita ianya adalah kata nama khas untuk tuhan agama islam dan suatu ketika dahulu ianya tidak dibenarkan penggunaannya oleh agama lain.

Google translate

Kira-kira 45 tahun yang lalu, saya memulakan pendidikan di sekolah mubaligh dan sering menghadiri kelas agama serta upacara sembahyang di gereja pada hujung minggu. Perkataan allah sememangnya digunakan di gereja ketika itu dan kekal digunakan sehingga hari ini.

Berikutan isu stoking kalimah allah kali ini, ada yang telah disabitkan kesalahan menghina agama islam gara-gara mengulas dengan memberi pandangan pribadi masing-masing di laman media sosial dan boleh dibaca di sini.

Dikhabarkan pengasas kedai serbaneka tersebut telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal/pengedar dan anda boleh rujuk di sini.

Siasatan polis juga telah selesai dan pemilik rangkaian serbaneka berkenaan telah dituduh di mahkamah dan anda boleh rujuk di sini.


Sebenarnya ada kes yang serupa terjadi pada tahun 2019 melibatkan kedai MrDIY seperti boleh ditonton pada klip video di atas namun tiada pula sehingga boikot memboikot dijaja serta dituduh di mahkamah, Kenapa?

Rasanya isu ini juga akan senyap tidak lama lagi dan yang pasti ramai yang menangguk di air yang keruh untuk kepentingan pribadi masing-masing mahupun politik.

Masih ingat lagi isu arak jenama Timah suatu ketika dahulu yang juga tidak kurang hangatnya sehingga pernah diminta untuk menukar jenama. Ada tukar jenama tak? Ini adalah kerja orang politik yang kononnya memperjuangkan agama islam untuk kepentingan masing-masing. Dalam masa yang sama boleh pula kata undang-undang islam hanya untuk orang islam tapi tutup kedai loteri 4D/Toto bila berkuasa. Mungkinkah pemilik lesen loteri itu orang islam?

Satu lagi yang terlintas di fikiran saya ialah seandainya stoking kalimah allah ini berada di Sarawak, mungkin tiada yang sedar, apa lagi cuma 5 pasang sahaja dari berpuluh ribu pasang. Jadi teori konspirasi mengatakan ianya kerja tangan ghaib juga ada benarnya.

Isu ini belum reda lagi namun semalam timbul pula satu isu baru yang bermula dari kenyataan menteri pendidikan mengharamkan penggunaan perkataan kafir dirumahnya. Saya tidak pasti ia ada kaitan dengan isu 3R atau tidak namun yang pasti melibatkan perbezaan pendapat dikalangan agama mereka sendiri.

Sesungguhnya islamophobia itu nyata dan semakin menebal dari sehari ke sehari dek kerana tindak tanduk mereka sendiri.

Renung-renungkan...

Monday, 2 January 2023

Premis loteri di Kedah tutup

Mulai semalam (01/01/2023) semua aktiviti perniagaan melibatkan perjudian yang telah dilesenkan di Kedah sebelumnya tidak lagi diperbaharui.


Ini berikutan pertukaran kerajaan negeri yang kini diterajui oleh PAS. Pengusaha tiada pilihan selain menamatkan operasi berikutan lesen sedia ada tamat tempoh pada 31/12/2022 serta tidak lagi diperbaharui oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.

Dua buah lagi negeri yang diterajui oleh PAS iaitu Kelantan dan Trengganu juga telah lama mengamalkan dasar yang sama.

Saya setuju banyak keburukan daripada kebaikan berjudi namun tindakan sehingga menutup periuk nasi orang lain ini tidak boleh diterima.

Mereka mungkin boleh melakukannya di negeri yang majoritinya orang melayu atau penganutnya islam namun ini tidak adil kepada rakyat bukan islam.

Selama ini mereka lantang mengatakan bahawa undang-undang islam/syariah termasuk RUU355 hanya untuk penganutnya sahaja namun apabila telah berkuasa sebaliknya yang berlaku atau 'cakap tidak serupa bikin'.

Saya merasa syukur kerajaan pusat yang dibentuk baru-baru ini tidak melibatkan PAS dan semoga rakyat lebih bijak memilih pada PRN/PRU akan datang.

Saya tetap dengan pendirian bahawa negara tidak boleh dipimpin berpaksikan agama dan contoh terbaik ialah apa yang telah berlaku di Afghanistan baru-baru ini apabila taliban berkuasa semula di mana perempuan dinafikan hak pendidikan.

Fikir-fikirkan...

Kemaskini: Semakkan kehakiman telah dibuat serta diterima mahkamah.

Monday, 26 December 2022

Kenapa telur ayam tidak mencukupi di pasaran?

1. Malaysia dikenali sebagai negara pengeksport telur. Pengeluaran telur Negara pada waktu dahulu telah melebihi 100% sehingga boleh dieksport.

2. Namun pandemik Covid dan PKP telah menyebabkan permintaan telur menurun dengan mendadak kerana sekolah, hotel, kedai makan, kedai kek dan sebagainya tidak dapat beroperasi.

3. Akibatnya pengeluar telur terpaksa mengurangkan kos operasinya dan terpaksa mengecilkan pengeluaran. Anak ayam penelur yang baru tidak dibeli, ramai pekerja mereka dihantar pulang ke negara asal mereka.

4. Kebanyakan anak ayam penelur dibeli dari luar negara. Anak ayam penelur perlukan 5 bulan untuk mula bertelur. Pada usia itu telurnya bersaiz kecil (Size C & D), pada usia 18 bulan ayam penelur akan mula dijual sebagai ayam pencen kerana produktivitinya telah menurun.

5. Apabila negara mula memasuki fasa pemulihan Covid dan pelbagai sektor ekonomi mula dibuka, permintaan telur mula meningkat. Waktu ini supply kurang, demand meningkat dan kesannya harga telur naik mendadak.

6. Rakyat mula merungut kerana harga telur semakin mahal. Kerajaan terdahulu ambil keputusan kenakan kawalan harga pada telur supaya harga telur tidak naik mendadak.

7. Biasanya kawalan harga hanya dibuat pada musim perayaan tetapi kerajaan telah mengenakan kawalan harga berterusan hingga sekarang.

8. 80% makanan ayam penelur adalah jagung dan ianya diimport. Sejak setahun lalu harga jagung dunia naik berlipat kali ganda dan penurunan nilai mata wang kita telah memburukkan lagi keadaan.

9. Situasi ini menyebabkan kos pengeluaran telur naik mendadak dan banyak syarikat kecil telah ditutup kerana tidak mempunyai cash flow yang sihat. Kawalan harga menyebabkan pengeluar telur tidak lagi mendapat keuntungan dan mula menanggung kerugian. Pengeluaran telur Negara berkurangan dari 120% kepada 100%.

10. Untuk mengurangkan kerugian pengeluar telur, Kerajaan terpaksa memberi subsidi RM200 juta sebulan kepada mereka. Setahun Kerajaan terpaksa menanggung hampir RM2.4 billion subsidi. Suatu jumlah yang sangat banyak.

11. Harga makanan ayam terus meningkat sehingga kini. Subsidi yang diberi tidak lagi mencukupi untuk menanggung kerugian pengeluar telur. Jadi pengeluar telur terpaksa mengeksport telur mereka ke Singapura dan Hong Kong untuk meningkatkan pendapatan syarikat. Situasi inilah menyebabkan bekalan telur dalam negara berkurangan lagi 20%. Keuntungan dari aktiviti eksport ini diguna untuk menampung kerugian yang mereka tanggung kerana menjual telur dalam negara. Ada syarikat telur yang jualannya RM20 juta setahun tetapi untung bersihnya hanya RM20 ribu.

12. Jika kerajaan menghentikan eksport, maka lebih banyak pengeluar telur akan tutup kedai. Akibatnya bekalan telur dalam Negara akan jadi lebih meruncing.

13. Jika kerajaan menambah subsidi, maka lebih banyak wang rakyat akan diguna untuk membayar subsidi. Dilema ini kita boleh faham dengan mudah.

14. Jika Kerajaan menarik balik kawalan harga, harga telur akan naik mendadak - rakyat dah tentu akan marah.

15. Apabila Kerajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan, ketiadaan telur di pasaran sudahpun berlaku berbulan lamanya.

16. Tahun hadapan ekonomi dunia dijangka akan lebih mencabar. Negara kita pula tidak pernah mengimport telur. Jika apa-apa berlaku pada pengeluar telur tempatan dan bekalan terus meruncing, apa plan B negara?

17. Suka atau tidak suka, Kerajaan perlu ada SOP dan Pelan Kontigensi untuk mengatasi sebarang kemungkinan. Maka idea mengimport telur perlu dicuba supaya negara lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

18. 6 Disember 2022 - Kerajaan umum akan import telur dari beberapa negara  luar untuk mencukupkan bekalan dalam negara. Dalam masa 10 hari, negara berjaya bawa masuk telur dari sumber luar. Syarikat yang mengeksport telur ke Malaysia hari ini adalah syarikat yang sama membekalkan telur ke Fifa World Cup. Langkah import ini hanyalah langkah sementara.

19. Teorinya mudah. Apabila supply telur sudah melebihi demand, harga telur akan turun. Apabila harga telah stabil, Kerajaan tidak perlu lagi mengawal harga dan memberikan subsidi. Wang negara dapat dijimatkan. Penjimatan ini boleh diguna untuk membangunkan lebih banyak usahawan telur ayam.

20. Kerajaan tidak menanggung apa-apa kos import telur. Kos dan risiko ditanggung sepenuhnya oleh syarikat yang mengimport. Semua syarikat yang berminat mengimport telur boleh memohon kepada Kerajaan. Tiada monopoli dalam urusan ini. Semuanya telus. Namun perlu ingat, kebenaran import ini akan dikaji semula apabila bekalan telur kembali stabil. Dalam tempoh 6 bulan akan datang mungkin Kerajaan tidak membenarkan lagi telur diimport.

21. Untuk mencukupkan semula bekalan telur ayam Negara, sekurang-kurangnya akan mengambil masa setahun kerana ia melibatkan beberapa Kementerian.

22. Misalnya isu kekurangan pekerja melibatkan Kementerian Sumber Manusia. Isu kawalan harga melibatkan KPDN, projek pembukaan ladang penelur baru melibatkan MAFS dan isu subsidi bersasar untuk rakyat termiskin melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

23. Untuk makluman Negara kita sudah pun ada pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang yang komprehensif. Ianya sudah pun mula dilaksanakan satu persatu.

24. Keutamaan Kerajaan Perpaduan hari ini untuk memastikan keterjaminan makanan Negara dan nasib rakyat terus terbela tidak wajar dipertikaikan kerana keazaman itu sangat jelas apabila MAFI (Food Industry) ditukar ke MAFS (Food Security).

Moga catatan ini dapat memberikan sedikit pencerahan pada semua.

Oleh: SU Akhbar YBM MAFS 

Tuesday, 15 November 2022

PM isytihar 18 & 19 Nov cuti umum

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 18 dan 19 Nov ini sebagai cuti umum bagi memudahkan rakyat pulang mengundi.

“Kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan keluarga Malaysia mengundi.

“Saya tidak mahu seorang pun dilarang mengundi,” katanya ketika berucap dalam majlis pecah tanah bangunan Cuepacs, di sini.

Pada masa sama, Ismail mengumumkan tol percuma untuk Jumaat dan Sabtu ini.

“Tol percuma akan bermula dari 12.01 pagi 18 Nov (Jumaat) hingga 11.59 malam Sabtu, 19 Nov 2022, melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 saja yang dianggarkan sekitar 90% daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.”

Beliau berkata, tawaran itu melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM34.5 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam pada itu, katanya, gaji penjawat awam bagi bulan ini akan dibayar lebih awal pada 17 Nov, manakala bayaran pencen untuk pesara diawalkan ke hari ini untuk meringankan beban penjawat awam yang ingin pulang ke kampung mengundi.

“Apa yang diumumkan ini tidak meliputi kakitangan swasta, hanya untuk penjawat awam.

“Tapi saya menggalakkan dan meminta swasta ambil contoh apa yang dilaksanakan kerajaan supaya membayar gaji awal kepada pekerja mereka, ia boleh membantu pekerja swasta untuk kurangkan bebanan dan keluar mengundi.”

sumber

Wednesday, 9 November 2022

Ijazah palsu

Setelah hari penamaan calon pada 05/11/2022, calon-calon muka baharu telah mula menyebarkan profil masing-masing di media sosial untuk publisiti.

Calon Pengkalan Chepa

Dalam banyak-banyak profil calon, ada seorang calon barisan nasional (BN) di kawasan pengkalan chepa telah ditemui oleh para netizen yang dia tidak layak menggunakan status doktor (DR) seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Status: Hilang

Pemeriksaan pada universiti di mana dia belajar mendapati statusnya 'hilang' seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Menurut netizen status 'hilang' bermaksud tidak menghabiskan pengajian.

Tiada rekod MMC

Pada masa yang sama pencarian pada pangkalan data MMC juga tidak menemui sebarang rekod dan dia juga mengaku membuka sebuah klinik.

Mana satu ijazah tulen?

Gambar di atas adalah gambar ijazah yang dikongsikan netizen di laman sosial dan perbezaannya sangat ketara.

Undang-undang negara kita...

Sehari selepas ianya tular, laporan polis juga telah dibuat oleh calon pangkalan chepa tersebut dan anda boleh rujuk di sini.

Saya berpendapat calon PRU adalah sama seperti kita memohon pekerjaan dan pihak majikan akan membuat saringan serta pemeriksaan sebelum dipanggil temuduga.

Sumber

Tuesday, 25 October 2022

Rishi Sunak Perdana Menteri Britian (UK) yang baharu

LONDON: Rishi Sunak bakal diumumkan sebagai perdana menteri baharu Britain selepas beberapa calon lain menarik diri untuk memimpin Parti Konservatif dan menyerahkan tugas berat memimpin negara yang berpecah belah ditengah kemelesetan ekonomi yang menjejaskan jutaan penduduknya.

Sunak antara ahli politik paling kaya di Westminster dan bakal diarah membentuk kerajaan oleh Raja Charles bagi menggantikan Liz Truss yang meletak jawatan selepas 44 hari menjadi perdana menteri.

Beliau menewaskan ahli politik Penny Mordaunt yang gagal mendapatkan cukup sokongan daripada ahli Parlimen manakala pesaingnya yang juga bekas perdana menteri Boris Johnson menarik diri kerana berpendapat tidak dapat lagi menyatukan parti.

“Keputusan ini adalah satu sejarah dan menunjukkan sekali lagi kepelbagaian serta bakat yang ada dalam negara kita. Rishi mendapat sokongan penuh saya,” kata Mordaunt dalam satu kenyataan sejurus beliau menarik diri.

Matawang pound dan harga bon kerajaan Britain melonjak tidak lama selepas pengumuman Mordaunt tetapi kembali ke paras sebelumnya.

Bekas menteri kewangan berusia 42 tahun itu menjadi perdana menteri ketiga Britain dalam tempoh kurang dua bulan dan berdepan tugas berat mengembalikan kestabilan negara selepas bertahun-tahun dilanda krisis ekonomi serta politik.

Sunak dijangka melaksanakan pemotongan besar perbelanjaan untuk cuba membangunkan semua reputasi fiskal Britain ketika negara itu terjerumus dalam kemelesetan ekonomi yang berpunca daripada peningkatan mendadak kos tenaga dan makanan.

Britain terjerumus dalam krisis politik sejak undian pada 2016 untuk meninggalkan Kesatuan Eropah menyebabkan berlakunya pergelutan kuasa di Westminster atau Parlimen negara itu hinggalah ke hari ini.

Drama terbaru itu menyebabkan kekecewaan pelabur asing dan cemuhan dari media di seluruh dunia.

Bakat Sunak mula menjadi perhatian pada usia 39 tahun apabila beliau menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Johnson ketika wabak Covi-19 melanda Britain dan berjaya dengan skim cuti dari tugas untuk pekerja.

Bekas penganalisis Goldman Sachs itu akan menjadi perdana menteri pertama Britain yang mempunyai darah keturunan India.

Keluarganya berhijrah ke Britain pada 1960an ketika ramai penduduk dari bekas tanah jajahan Britain datang ke negara itu selepas Perang Dunia ke-Dua.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Oxford, Sunak pergi ke Universiti Stanford di mana beliau bertemu isterinya, Akshata Murthy yang juga anak kepada bilionaire India dan pengasas syarikat Infosys Ltd, NR Narayana Murthy.

Rujukan

Thursday, 22 September 2022

MERPATI

Copy & Paste (Salin & Tempel) 


From an undisclosed source on DS Jibby.

Merpati is a codename for Jibby

23.8.2022 - Merpati masuk penjara kajang 6.00 petang.

Dalam keadaan tenang, masih berpakaian seperti di mahkamah, kemeja putih dan seluar hitam, berkasut.

24.8.22 - Menteri K*N masuk sekitar jam 10 malam.

Perjumpaan bersama Merpati di bilik farmasi klinik penjara.

Merpati bersama Dato N**din (pengarah Penjara Malaysia) dan Menteri dalam bilik , perbincangan sekitar 1 jam.

Dato A**z (Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia) maklumkan berkaitan renovation bilik. RM 50k diturunkan.

27.8.22 - Dapat makluman dari lawyer yang Merpati sakit.

Didapati beliau dalam keadaan sihat. Tidak mengadu sakit perut. Tiada tanda pendarahan aktif sedang berlaku. Vital sign semua normal dan stabil. Tiada apa-apa simptom.

Laporan dihantar pada pengarah (memo laporan pemeriksaan), yang akan dihantar pada IPPM.

Penegasan bahawa Merpati tidak akan dihantar ke hospital kerana keadaanya yang stabil dibuat pada team Merpati dan pegawai penjara (Tuan R**li , Tuan Z*kri), nampak muka mereka (team Merpati - i.e Dato Dr Ra**an - doktor peribadi Merpati ) seperti kecewa.

Terdengar cadangan bahawa team Merpati telah membuat rancangan bahawa dia akan dihantar ke Hospital Serdang. Arrangement di sana telah pun dibuat. Seterusnya, rancangannya ialah supaya Merpati di hantar ke Rehab Cheras. Di sana dia akan lama untuk menghabiskan sisa hukuman penjara.


1.9.2022 - Mesyuarat bersama bahagian Pengurusan IPPM. Bajet RM 3.5 juta turun dari K*N untuk uruskan Merpati – kenderaan , kesihatan , penempatan.

Baru dapat RM 50 ribu hari pertama, kali ini ni RM3.5 juta.

4.9.2022 - 8.10 pagi - KJP sudah bising, nak tahu keadaan kesihatan Merpati .

10.40 pagi - Merpati mengadu nose blok sahaja. Tiada sakit perut, tiada pening, tiada berak darah, tiada perut kembung, tiada muntah. Tekanan darah , dan lain-lain vital signs semua stabil.

Tak lama kemudian, dimaklumkan yang menteri KDN call Pengarah, suruh hantar HKL pada hari itu juga.

Bila sampai HKL, dihantar masuk wad Diraja. Bilik 1st class.

Tak sampai 5 minit team penjara sampai, team Merpati juga sampai. Dato Dr Ra**an juga ada di sana.

Pihak HKL sendiri nampaknya kurang selesa kerana Merpati dihantar tanpa sebarang makluman awal. Tapi yang minta hantar bukan penjara, arahan pihak atasan. Nampaknya semua pihak takut nak pikul tanggungjawab sekiranya ada sebarang isu berbangkit pada masa hadapan.

Physician ambil darah dan tunggu keputusan darah, bila darah keluar semua ok, dia discaj. Tapi terpaksa rujuk pada tulang sebab Merpati mengadu sakit leher dan belakang. Pakar ortopedik juga datang.

Akhirnya, petang tu juga discaj. Team Merpati semua terkejut. Terkejut sebab discaj.

Merpati pula, awalnya tidak mahu balik. Tapi selepas pegawai (Pengarah Penjara Ka**ng) bertegas, Merpati menukar baju wad ke baju yang dia pakai masa datang tadi.

5.9.2022 - 9.10 pagi Team Penjara hadir mesyuarat di HKL – bersama wakil KKM , Pengarah HKL , Pakar-pakar HKL membincangkan isu semalam.

Tengah meeting, dimaklum yang Menteri Kesihatan bagi arahan pada Pakar Orto suruh admit Merpati ke wad. Habis meeting sekitar jam 4.30 petang.

Sekitar 8.15pm, Menteri Kesihatan melalui TS N**r Hi**am beritahu Merpati perlu dihantar malam ini ke HKL. Pihak penjara enggan.

9.9.22 - Rancangan asal selepas habis mahkamah tengah hari, terus hantar Merpati ke HKL. Tapi mahkamah habis petang. Hampir jam 6 juga baru masuk wad. Pegawai pengiring yang escort semua tidak tahu akan ke HKL melainkan Ketua Pengiring. Dengan kata lain, ke HKL hari ini penuh rahsia dan tiada masuk media.

11.9.22 - Semua pemeriksaan complete dan Merpati discaj dari wad lewat petang. Melalui pegawainya, DG TS Hi**am minta simpan lama sikit. Namun pegawainya sendiri tidak bersetuju kerana tiada sebab, dan susah nak jawab dengan mahkamah kenapa Merpati perlu disimpan di hospital.

12.9.2022 - Kecoh di mahkamah tekanan darah Merpati naik tinggi. Pihak penjara dipersalahkan kononnya salah bagi ubat. Sedangkan ubat yang diterima adalah dari HKL. Dan lagi, tekanan darah begitu tak perlu ke hospital. Kalau rakyat biasa rakyat hanya disuruh balik berrehat. Kenapa nak urus Merpati ni lain dari biasa. Namun, team Merpati push untuk hantar terus Merpati ke hospital. Walaupun team penjara keberatan, Ketua Pengarah Penjara minta Merpati dihantar ke hospital.

Akhirnya Merpati dihantar ke HKL sekitar jam 2 lebih. Petang itu, pihak penjara dimaklumkan bahawa pihak ‘’atasan’’ arah simpan Merpati dalam wad hari ni. Buat apa yang patut.

17.9.2022 - Dapat makluman yang Merpati akan dihantar ke Hospital Rehab Cheras. Ya, arahan PM dan Menteri Kesihatan. Motifnya, boleh jadi sudah ada perjanjian antara team Merpati dengan mereka.

Para penjawat awam tertekan dan meluat. Korang punya politik , susahkan penjawat awam nak ikut arahan hangpa. Bila ada masalah, penjawat awam ini yang dipersalahkan.

18.9.2022 - Arahan dari atasan bertubi-tubi suruh hantar ke Cheras. Tapi masalahnya, dari HKL tiada indikasi kukuh untuk ke rehab Cheras. Pegawai fisio kata boleh buat outpatient 2-3 minggu sekali. Tak perlu ke Cheras untuk active fisio. Dan Hospital Rehab Cheras juga insist untuk HKL keluarkan surat rujukan sebab utama hantar ke Cheras. Dan HKL tiada alasan melainkan arahan Menteri. Takkan nak tulis sebab arahan menteri?

Kalau tulis sebab arahan menteri , menteri kena jawab. Mereka tak nak bertanggungjawab. So, sekarang isu surat rujukan pakar HKL tak nak keluarkan , tapi dapat arahan pindahkan ke Hospital Rehab Cheras.

Semua yang terlibat tertekan ketika ini. Tapi semua tak berani nak tampil ke hadapan.

Rumusan:

Motif ke Hospital Rehab Cheras :

1. Mudah pergerakan untuk ahli keluarga, SU Politik, orang luar nak jumpa.

2. Mudah berjumpa orang berbanding dalam penjara. Mungkin menjadikan percaturan politik lebih mudah dibuat .

3. Hospital rehab Cheras disediakan dengan fasiliti VVIP

4. Di HKL sekarang ni, bilik 1st class digunakan.

5. Apa pakar-pakar akan jawab nanti sekiranya tiada sebab Merpati perlu di hantar ke rehab Cheras.

al-kisah cerita nya

Sunday, 10 July 2022

Usia manusia sekitar 7000 - 8000 tahun

Klip video di bawah saya jumpa di laman youtube dan anda boleh tonton di sini. Berita penuh boleh dibaca di sini.

Jika benar apa yang dikhabarkan oleh ilmuan tanah air ini, saya berpandangan kisah manusia adalah ciptaan tuhan merupakan cerita donggeng atau sebuah cerita hikayat semata-mata.

Tengkorak di gua niah

Sebabnya ialah, tengkorak manusia yang ditemui di gua Niah telah mencecah 40,000 tahun.

Tengkorak di muzium niah national park...

Dinosaur yang telah pupus wujud berjuta-juta tahun yang lalu kini menjadi minyak fosil untuk kegunaan kita sekarang.

Artifak yang di bawa pulang...

Ada kata dunia dicipta dalam 7 hari sebab itu kita ada 7 hari seminggu, namun ada yang kata bukan 7 hari tetapi 7 fasa dan entah berapa lama satu fasa jika dikira dalam tahun.

Jika 7 fasa itu melibatkan berjuta-juta tahun, maka ianya telah membuktikan yang teori evolusi itu benar.

Contoh yang terbaharu melibatkan evolusi ialah corona virus yang asalnya varian alpha, kemudian bermutasi ke varian beta, omicron dan sebagainya dalam masa yang singkat.

Jadi, benarkah usia manusia cuma 7 ribu hingga 8 ribu tahun sahaja? Apa pun, usia individu manusia jarang-jarang yang mencecah 100 tahun.

Apa kata anda?

Sunday, 18 April 2021

Iklan Judi Raya

Beberapa hari yang lepas negara kira heboh dengan klip video raya yang mengiklankan laman sesawang perjudian dan anda boleh tonton di bawah.


Apabila saya taip GDbet333 pada pencarian google, laman sesawangnya ialah seperti gambar tangkap layar di bawah.


Hari berikutnya satu lagi klip video baru tersebar seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.


Mesej kali ini ialah IBC003 dan laman sesawangnya ialah seperti pada gambar tangkap layar di bawah.


Sebelum ini saya sering menerima mesej melalui aplikasi whatsapp seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.



Saya tidak pasti dari mana mereka dapat nombor whatsapp saya dan yang pasti benda ini telah lama wujud.

Saya juga yakin anda semua pernah menerima mesej serupa ini. Saya tidak pernah layan pertaruhan online walaupun saya kadang-kadang ada membeli nombor ramalan.

Sejak dari dulu lagi ketika perkhidmatan atas talian atau tanpa tunai bermula, saya tidak pernah menyokong sebab bagi saya ianya sangat merbahaya dan sangat tidak selamat.

Akaun simpanan saya juga tidak mempunyai kad ATM atau kad debit. Saya masih lagi berbaris di kaunter bank untuk mengeluarkan simpanan.

Pada pendapat pribadi saya, klip video di atas adalah hasil kreatif anak muda namun dalam masa yang sama, saya juga pasti ianya bukan bertujuan untuk mengiklankan perjudian semata-mata namun punya agenda tersendiri.

Entah siapa pula yang di kambing hitamkan kali ini. Sama-sama kita nantikan siasatan polis dan yang pasti sentimen kaum dan agama adalah isu sensitif di negara kita.

Saya juga yakin ini adalah sesuatu yang telah dirancang dengan tujuan tertentu.

Fikir-fikirkan...

Monday, 22 March 2021

LEE ZII JIA juara all england 2021

Lee Zii Jia (Malaysia) vs Viktor Axelsen (Denmark)

Game 1 - 30 - 29

Game 2 - 20 - 22

Game 3 - 21 - 9









Sumber

Sunday, 27 September 2020

PRN Sabah (PRN ke-16)

PRN Sabah diadakan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN pada 30 Julai 2020 sehari selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa telah memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-16 semalam (26/09/2020) memperlihatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menang majoriti mudah.

GRS berjaya memenangi 38 kerusi, diikuti oleh Warisan plus dengan 32 kerusi dan Bebas mendapat 3 kerusi.

Siapakah Ketua Menteri (KM) Sabah yang baharu? Sama-sama kita nantikan dalam sehari dua ini sebab ada ura-ura mengatakan GRS dan Warisan plus bukan parti politik dan mengikut perlembagaan Sabah, TYT boleh melantik KM dari parti yang memenangi paling banyak kerusi.

Oleh itu Warisan masih berpeluang membentuk kerajaan.

Setakat hari ini, siapa ketua menteri Sabah masih belum diumumkan dan TYT meminta tempoh untuk menentukannya.

Friday, 7 August 2020

AMONIUM NITRAT punca letupan di Beirut, Lubnan

Letupan di Beirut, Lubnan baru-baru ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 78 mangsa dan mencederakan ribuan yang lain.

Perdana Menteri Hassan Diab menyatakan ia berpunca daripada 2,700 tan amonium nitrat yang disimpan berdekatan dengan pelabuhan bandar tersebut. Klip video di atas menunjukkan terdapat api yang marak disusuli dengan letupan seperti bom atom yang membentuk awan mushroom.

Ammonium Nitrate (NH₄NO₃)

Apa itu amonium nitrat?
Amonium nitrat atau formulanya NH₄NO₃, dihasilkan dalam bentuk butir adalah baja paling banyak digunakan dunia.

Ianya juga bahan utama di dalam proses letupan untuk menggali mineral yang mana bahan ini dicampur dengan minyak dan dihidupkan dengan cas letupan.

Untuk industri amonium nitrat menjadi satu letupan yang bahaya, ianya perlu melalui proses yang panjang dan banyak masalah perlu berlaku. Dan ini berlaku di Beirut.

Apa punca letupan itu?
Amonium nitrat tidak akan terbakar dengan sendiri. Malah, ianya lebih adalah sumber oksigen yang akan mempercepatkan proses pembakaran bahan lain. Sebab itu, ianya sangat berfungsi di dalam perlombongan di mana kawasan yang kurang oksigen, dengan adanya Amonium nitrate yang akan menghasilkan oksigen untuk proses pembakaran minyak dan bahan bakar lain.

Namun di suhu yang sangat tinggi, amonium nitrat akan terurai dan menjadi nitrogen oksida dan wap air. Dan Gas inilah yang akan menyebabkan letupan.

Jadi kalau ada api marak berdekatan dengan bahan ini, ianya boleh menyebabkan letupan seperti yang juga berlaku di Tianjin China pada tahun 2015 yang telah mengorbankan 175 orang di sebuah kilang Amonium nitrat.

Walaupun kita tidak tahu punca sebenar di Beirut, tetapi kita dapat lihat melalui video, letupan itu berlaku setelah beberapa ketika kebakaran berlaku.

Memang sukar sebenarnya Amonium nitrat meletup disebabkan kebakaran. Kebakaran perlu berlaku dan kekal lama di tempat Amonium nitrat disimpan.

Malah ianya tidak akan meletup dengan sendiri tanpa minyak melainkan ianya telah ada pencemaran silang akibat daripada penyimpanan stok yang tidak betul.

Ini dapat dibuktikan dengan amaran yang telah diberikan kepada pengilang 2700 Tan yang telah disimpan selama 6 tahun tanpa keselamatan yang baik.

Kesan kepada kesihatan?
Letupan amonium nitrat akan menghasilkan nitrogen dioksida, gas berwarna merah dan baunya sangat busuk.

Gas ini selalunya berada di persekitaran yang tercemar dan selalu digunakan sebagai aras kualiti udara sesuatu kawasan/bandar.

Ianya dikhuatiri boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti masalah paru-paru. Keadaan ini mungkin akan ada di sana selama beberapa hari.

Keadaan di Beirut mengajar kita supaya menyimpan baja dengan betul.

Kenangan saya tentang baja nitrat ialah sewaktu di bangku sekolah menengah ketika melawat kilang MLNG di Bintulu. Kami diberi sebungkus seorang baja nitrat dan rupanya adalah seperti pada gambar di atas.

Tuesday, 26 May 2020

PM Muhyiddin berlakon takbir raya

Malam raya pada 23/5/2020 yang lalu, buletin utama tv3 melaporkan bahawa PM Muhyiddin telah mengetuai takbir raya bersama jemaah menteri seperti boleh dilihat pada klip video di bawah.
Klip video tersebut disiarkan sebelum buletin utama jam 8 malam bermula. Jika benar ianya dirakam sewaktu takbir raya, ini bermaksud PM telah melanggar PKP kerana beliau telah diarah kuarantin 14 hari, sehari sebelumnya atas sebab ada kontak rapat dengan individu yang positif CoVid-19.
Jika ianya dirakam sebelum beliau diarah kuarantin, ini bermaksud takbir raya tersebut hanya lakonan semata-mata untuk mencari publisiti politik.
Jika dilihat pada kenyataan media di atas, PM ada kontak rapat dengan individu yang positif CoVid-19 pada 20/05/2020. Jadi, bila klip video tersebut dirakam? Ada media memaklumkan bahawa ianya dirakam sebelum 20/05/2020.

Apa kata anda? PM berlakon untuk mencari publisiti atau telah melanggar PKP?

Thursday, 7 May 2020

Moratorium - CoVid-19

Isu moratorium untuk peminjam bank ini pernah saya ulas sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini dan sini.
06/05/2020
Gambar di atas merupakan kenyataan akhbar yang terbaru dikeluarkan oleh kementerian kewangan dan saya pasti tiada pusingan-u lagi selepas ini.

Jadi, contoh yang saya beri pada artikel lepas masih terpakai dan anda masih boleh berjimat dengan moratorium selama 6 bulan ini.

Perubahannya cuma tiada faedah/keuntungan tambahan akan dikenakan pada penangguhan bayaran 6 bulan untuk pinjaman yang berkadar tetap.

Dalam masa yang sama bank negara malaysia juga telah mengumumkan bahawa kadar OPR juga diturunkan dari 2.5% kepada 2.0% iaitu sama dengan ketika krisis ekonomi pada tahun 2008/2009.

Orang ramai dinasihatkan agar berbelanja dengan berkhemah dan hanya berbelanja untuk barangan perlu sahaja ketika ini kerana kita tidak tahu situasi sekarang akan berlarutan berapa lama lagi.

Bagi yang memerlukan bantuan makanan asas, ambil peluang ini untuk mendapatkan bantuan dari pihak kerajaan ketika ini untuk PKP/MCO.

Kita mesti menang melawan CoVid-19...

Saturday, 2 May 2020

Aktiviti ekonomi dibuka 4 Mei 2020

Semalam (01/05/2020) Perdana Menteri negara kita melalui perutusan khas sempena hari pekerja telah mengumumkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membolehkan sektor ekonomi dan sosial dibuka mulai 4 Mei 2020.

Beliau berkata, dalam masa yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan zon merah.

"Dalam melaksanakan PKPB ini, aktiviti dan perhimpunan ramai yang mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 masih tidak dibenarkan," katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja semalam.

Berikut merupakan senarai aktiviti yang masih belum dibenarkan (dilarang) sewaktu PKPB.

Kita berharap aktiviti yang dibenarkan selain daripada senarai di atas mengamalkan 'new norm' seperti penjarakan sosial, memakai topeng hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan sebagainya bagi membendung penularan jangkitan CoVid-19 yang belum ada penawarnya.

Jika 'new norm' tidak diamalkan dan menyebabkan jangkitan CoVid-19 kembali menular, ianya akan lebih teruk seperti yang telah berlaku di Singapura, Jepun & Kanada sekarang.

Bersama-sama kita bekerjasama mematuhi garis panduan atau SOP yang disarankan oleh KKM agar bebas CoVid-19 suatu hari kelak.

kita mesti menang...

Friday, 1 May 2020

Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap

Berikut merupakan pengumuman yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam (30/4/2020) berkaitan dengan moratorium untuk pinjaman sewa beli (Hire Purchase) dan pembiayaan islam berkadar tetap (fixed rate islamic financing)

Susulan daripada pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac 2020 yang lalu, institusi perbankan sedang dalam proses memformalkan perjanjian-perjanjian bagi mencerminkan semakan terhadap syarat pembayaran balik dengan pihak peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap bagi pelaksanaan moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman/pembiayaan. Langkah ini adalah bagi memenuhi keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah yang terpakai bagi apa-apa perubahan yang dibuat terhadap syarat perjanjian-perjanjian tersebut, termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan/atau jumlah pembayaran berikutan moratorium ini.

Sehubungan dengan itu, BNM telah meminta institusi perbankan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam/pelanggan diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka, selain menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian-perjanjian tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bermula pada 1 Mei 2020, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap akan menerima notis pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan mereka berhubung dengan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan proses penangguhan pembayaran pinjaman/pembiayaan mereka di bawah moratorium ini. Institusi perbankan juga akan menyediakan bagi setiap peminjam/pelanggan maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap mereka. Maklumat tersebut mengandungi jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa perubahan terhadap jumlah pembayaran, yang meliputi jumlah kadar faedah/keuntungan biasa yang terakru sepanjang tempoh moratorium.

Peminjam/pelanggan yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian mereka yang sedia ada. Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam/pelanggan mereka untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul/tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium. Institusi perbankan tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh tersebut sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang disetujui dengan peminjam/pelanggan.

Peminjam/pelanggan digalakkan untuk merujuk laman sesawang, portal perbankan internet atau pusat hubungan institusi perbankan mereka untuk maklumat lanjut.

Bank Negara Malaysia
30 Apr 2020


Sumber

Ketika pandemik CoVid-19 melanda negara kita, kerajaan melalui BNM telah mengumumkan moratorium untuk penangguhan bayaran bulanan pinjaman bank selama 6 bulan berkuatkuasa mulai bulan april 2020 sehingga september 2020.

Ini bermaksud peminjam boleh memilih untuk menangguhkan bayaran pinjaman dalam tempoh tersebut dan kembali membayar pinjaman mulai oktober 2020.

Peminjam juga boleh memilih untuk tidak menangguhkan bayaran bulanan dengan memberitahu kepada pihak bank dan membuat bayaran bulanan seperti biasa.

Ketika itu, hampir semua bank sepakat menyatakan bahawa tiada 'compound interest' dikenakan dan anda boleh membacanya di sini.

Namun melalui pengumuman terbaru semalam, kini peminjam akan dikenakan faedah dalam tempoh moratorium mengikut keperluan prosedur di bawah akta sewa beli 1967 (HP act 1967).

Setiap peminjam akan dimaklumkan oleh pihak bank masing-masing dan diberi dua pilihan iaitu:-
  1. Tiada penangguhan dan membuat bayaran bulanan seperti biasa ATAU
  2. Penangguhan bayaran pinjaman selama 6 bulan dan kembali membuat bayaran bulanan mulai bulan oktober 2020.
Jika anda memilih penangguhan selama 6 bulan, tempoh bayaran balik akan ditambah 6 bulan dan faedah tambahan akan dikenakan. Katakan bank mencadangkan 'refinance package' kepada anda dan senario berikut diguna sebagai contoh:-
  • Jumlah pinjaman: RM50,000.00
  • Tempoh pinjaman: 9 tahun (108 bulan)
  • Kadar faedah: 3.5%
  • Bayaran bulanan: RM610.00
  • Jumlah hutang: RM30,500 (50 bulan lagi)
  • Faedah tambahan untuk 6 bulan ialah sebanyak RM533.75 (30,500 x 3.5% x 0.5).
Faedah tambahan RM533.75 tersebut akan dibahagi sama rata kepada tempoh yang belum dibayar iaitu kira-kira RM10.68 sebulan (523.75/50).

Maka bayaran bulanan mulai oktober 2020 akan menjadi RM620.68 sebulan.

Sila hubungi pihak bank anda masing-masing untuk keterangan lanjut. Senario di atas adalah sebagai contoh 'refinance package' dan mungkin bank ada alternarif yang lebih baik untuk anda.

Anda boleh rujuk di sini untuk keterangan lanjut soalan lazim berkaitan moratorium.

Semoga penerangan di atas jelas dan pilihan di tangan anda sendiri.

Sunday, 19 April 2020

Tiga dikesan positif di pusat kuarantin di hotel

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan bencana Negeri mengesahkan hari ini, tiga kes positif dikesan selepas semua (Person Under Surveillance) mendaftar masuk ke hotel di Sarawak.


Daripada tiga kes tersebut, seorang telah dikesan di Grand Rajah Court Dormani Hotel (Kuching) di mana kes mempunyai sejarah perjalanan dari USA dalam tempoh 14 hari sebelum tiba di Sarawak.

Manakala dua orang telah dikesan di Miri iaitu di Eastwood Valley Resort yang mempunyai sejarah perjalanan dari Singapura dan seorang di Imperial Palace Hotel yang baharu tiba dari Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Menteri Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Datuk Douglas Uggah berkata, kesemua mereka telah dirawat di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri.

Beliau berkata, penambahan seramai 145 orang rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara / Semenanjung / Sabah / Labuan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,438 orang yang telah ditempatkan di Pusat Survelan sebagai PUS (Person Under Surveillance) di 16 buah hotel.

Menurutnya, daripada 16 hotel tersebut, empat buah hotel di Bahagian Kuching, 2 buah hotel di Bahagian Bintulu, sembilan buah hotel di Bahagian Miri dan dan sebuah hotel di Bahagian Limbang.

Sumber

Thursday, 2 April 2020

Perdana Menteri Muhyiddin langgar arahan PKP

Anak sulung kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd Tamrin Tun Abdul Ghafar membidas sikap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung peraturan yang perlu dipatuhi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ahad lalu Muhyiddin bersama isterinya Puan Seri Noraini dilaporkan keluar membeli barangan dapur di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur.

Kata Tamrin dalam media sosialnya, Muhyiddin didapati melanggar arahan PKP daripada kerajaan pimpinannya sendiri apabila keluar membeli barangan dapur di sebuah pasaraya bersama isterinya, sedangkan peraturan hanya membenarkan ketua keluarga saja keluar membeli-belah.

“Hanya seorang ketua rumah sahaja dibenarkan membeli belah. 

“Muhyiddin ini fahamkan apa yang dia cakap atau tak tahu apa yang dia baca – lihat sajalah foto ini dia dan isteri, Puan Seri Noraini ke Supermarket beli barang keperluan,” kata beliau.

Katanya lagi, dalam sekatan jalanraya, pihak polis nasihatkan orang ramai supaya tidak boleh ada dua orang dalam sebuah kereta.

“Ini cakap tak serupa bikin,” katanya lagi.

sumber

Friday, 27 March 2020

Enchanced Movement Control Order (EMCO)

Negara kita telah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) berkuatkuasa mulai 18/3/2020 sehingga 31/03/2020 yang kemudiannya telah dilanjutkan sehingga 14/04/2020.

Mulai tengah malam tadi negara kita telah melaksanakan arahan yang lebih ketat iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enchanced Movement Control Order) di Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang , Johor berikutan jumlah kes positif CoVid-19 yang tinggi di dua kawasan tersebut selama dua minggu mulai 27/3/2020 hingga 9/4/2020.

Anda boleh baca keterangan lanjut kawalan tersebut pada kenyataan akhbar di atas di mana penduduk tidak dibenarkan keluar atau masuk ke dua kawasan tersebut dan semua jalan masuk ditutup.
Keperluan makanan asas akan disediakan oleh JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Keadaannya kini adalah seperti darurat di zaman Jepun.

Kepada orang ramai yang masih tidak mengendahkan perintah kawalan pergerakan sebelum ini, tolonglah patuh hanya dengan 'duduk diam-diam di rumah' dan keluar rumah hanya jika perlu sahaja.

Marilah kita sama-sama membantu untuk membendung pandemik CoVid-19 yang amat dahsyat ini. Kita tidak mahu ada kampung atau daerah yang dikenakan kawalan yang lebih ketat lagi seperti ini.

Jika keadaan berlarutan lebih lama lagi, sesungguhnya ianya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

INGAT - JUST STAY AT HOME