Baru-baru ini negara kita dihangatkan oleh isu stoking dengan label perkataan allah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Stoking kalimah allah... |
Kisahnya bermula setelah seorang mualaf yang bergelar ustaz telah memuat naik gambar stoking kontroversi tersebut di media sosialnya pada 13 Mac 2024.
Sebagai ustaz dia sepatutnya lebih arif menangani isu sensitif sebegini namun dia merupakan antara yang terawal memviralkannya sehingga menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap rangkaian kedai serbaneka berkenaan.
Isu seperti ini diketegori 3R (Royal, Race, Religion) dan sangat sensitif di negara kita sebab melibatkan agama rasmi negara.
PDRM melaporkan sebanyak 14 pasang stoking telah dirampas untuk tujuan siasatan dan dikhabarkan cuma 5 pasang sahaja daripada kira-kira 18 ribu pasang mengandungi kalimah allah.
Apa yang menarik perhatian saya ialah kedai tersebut mempunyai banyak cawangan di seluruh negara dan cuma satu cawangan sahaja mempunyai 5 pasang stoking yang kontroversi ditemui.
Banyak teori konspirasi berlegar di media sosial dan mungkin ada benarnya namun itu tugas pihak berkuasa untuk siasat setelah laporan polis dibuat.
Kilang yang membekalkan stoking tersebut telah memberi jaminan tidak lagi mengeksport stoking kalimah allah ke negara kita dan boleh dibaca di sini.
Persoalan saya dari insiden ini ialah, pengilang stoking di China telah hentikan eksport ke negara kita dan ini bermaksud stoking dengan kalimah allah memang ada di pasaran mereka atau mungkin telah dieksport ke seluruh pelusuk dunia.
Kenapa negara kita sahaja yang menjadi isu sedangkan ianya mungkin telah dijual di seluruh dunia? Adakah fahaman islam di negara kita berbeza dengan negara lain termasuk negara asal usul di timur tengah?
Setelah berfikir sejenak, saya berpendapat isu ini teramat sensitif di negara kita berikutan negara kita menterjemahkan perkataan allah itu sebagai nama tuhan agama islam.
Allah dalam bahasa arab bermaksud tuhan (god) namun di negara kita ianya adalah kata nama khas untuk tuhan agama islam dan suatu ketika dahulu ianya tidak dibenarkan penggunaannya oleh agama lain.
Google translate |
Kira-kira 45 tahun yang lalu, saya memulakan pendidikan di sekolah mubaligh dan sering menghadiri kelas agama serta upacara sembahyang di gereja pada hujung minggu. Perkataan allah sememangnya digunakan di gereja ketika itu dan kekal digunakan sehingga hari ini.
Berikutan isu stoking kalimah allah kali ini, ada yang telah disabitkan kesalahan menghina agama islam gara-gara mengulas dengan memberi pandangan pribadi masing-masing di laman media sosial dan boleh dibaca di sini.
Dikhabarkan pengasas kedai serbaneka tersebut telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal/pengedar dan anda boleh rujuk di sini.
Siasatan polis juga telah selesai dan pemilik rangkaian serbaneka berkenaan telah dituduh di mahkamah dan anda boleh rujuk di sini.
Sebenarnya ada kes yang serupa terjadi pada tahun 2019 melibatkan kedai MrDIY seperti boleh ditonton pada klip video di atas namun tiada pula sehingga boikot memboikot dijaja serta dituduh di mahkamah, Kenapa?
Rasanya isu ini juga akan senyap tidak lama lagi dan yang pasti ramai yang menangguk di air yang keruh untuk kepentingan pribadi masing-masing mahupun politik.
Masih ingat lagi isu arak jenama Timah suatu ketika dahulu yang juga tidak kurang hangatnya sehingga pernah diminta untuk menukar jenama. Ada tukar jenama tak? Ini adalah kerja orang politik yang kononnya memperjuangkan agama islam untuk kepentingan masing-masing. Dalam masa yang sama boleh pula kata undang-undang islam hanya untuk orang islam tapi tutup kedai loteri 4D/Toto bila berkuasa. Mungkinkah pemilik lesen loteri itu orang islam?
Satu lagi yang terlintas di fikiran saya ialah seandainya stoking kalimah allah ini berada di Sarawak, mungkin tiada yang sedar, apa lagi cuma 5 pasang sahaja dari berpuluh ribu pasang. Jadi teori konspirasi mengatakan ianya kerja tangan ghaib juga ada benarnya.
Isu ini belum reda lagi namun semalam timbul pula satu isu baru yang bermula dari kenyataan menteri pendidikan mengharamkan penggunaan perkataan kafir dirumahnya. Saya tidak pasti ia ada kaitan dengan isu 3R atau tidak namun yang pasti melibatkan perbezaan pendapat dikalangan agama mereka sendiri.
Sesungguhnya islamophobia itu nyata dan semakin menebal dari sehari ke sehari dek kerana tindak tanduk mereka sendiri.
Renung-renungkan...
No comments:
Post a Comment
Your comment will be atttend by admin soon, thank you.