Showing posts with label Luxman. Show all posts
Showing posts with label Luxman. Show all posts

Monday, 13 September 2021

luxman L-55A amplifier repair

Amplifier ini telah lama dirujuk kapada saya dan anda boleh rujuk di sini. Pemeriksaan lepas mendapati hanya bahagian amplifier sebelah kanan sahaja yang bermasalah dan mengalami litar pintas.

Luxman L-55A

Dalam banyak-banyak komponen yang rosak seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah, sebiji transistor yang berfungsi sebagai sensor suhu iaitu C1904 dibeli melalui atas talian mengambil masa kira-kira 3 bulan untuk sampai.

Semua komponen yang rosak...

Saya telah membaiki banyak amplifier sebelum ini dan amplifier ini adalah yang paling sukar dibaiki. Ianya hanya berjaya diselamatkan pada percubaan ke-4.

A1106

Percubaan pertama sebenarnya hanya menemui sebiji transistor A1106 sahaja yang rosak selain 4 biji fius 3.15A yang juga turut putus. Walaupun pada artikel lepas, saya telah menyatakan 4 biji transistor yang mengalami litar pintas namun setelah dibuka dan diperiksa satu per satu, hanya A1106 sahaja yang rosak.

Setelah A1106 ditukar serta diuji, ianya boleh berfungsi namun hanya bertahan kira-kira 5 minit sahaja dan bisu semula selepas itu.

C2581

Percubaan ke-2 pula mendapati 2 biji transistor iaitu C2581 serta A1106 yang ditukar pada percubaan pertama turut rosak semula. Kedua-dua fius 3.15A yang berfungsi sebagai keselamatan kepada transistor juga turut putus.

Setelah kedua-dua transistor dan fius ditukar serta diuji, amplifier ini kembali berfungsi namun bisu semula kira-kira setengah jam kemudian.

C1775 & A872

Percubaan ke-3 pula mendapati komponen yang rosak adalah sama seperti percubaan ke-2 di atas. Apa yang pelik ialah tiada komponen lain yang rosak ditemui ketika diperiksa menggunakan multimeter.

Saya gantikan semula komponen yang rosak dan boleh berfungsi semula apabila diuji namun mendapati 'heatsink' agak panas. Setelah kira-kira sejam diuji, kali ini mengeluarkan asap putih sebelum membisu semula.

C1904

Percubaan ke-4 pula mendapati banyak komponen yang rosak iaitu:-

  1. Sebiji A1106
  2. Sebiji C2581
  3. Sebiji A872
  4. Sebiji C1775
  5. Sebiji perintang 100Ω, 1W
  6. Sebiji C1904
  7. 2 biji fius 3.15A

Setelah kesemua komponen di atas ditukar serta diuji, kini telah seharian digunakan tanpa masalah dan tiada panas melampau lagi pada 'heatsink' berlaku seperti pada percubaan ke-3.

Semua komponen yang rosak...

Saya tidak pasti komponen yang mana satu menjadi punca kerosakkan asal amplifier ini, yang pasti ianya elok setiap kali diperiksa menggunakan multimeter sebelum diuji dan boleh berfungsi namun tidak bertahan lama pada percubaan pertama, ke-2 dan ke-3.

Pengalaman kali ini merupakan contoh bagaimana kadang-kadang terpaksa menggunakan kaedah cuba jaya (trial & error) beberapa kali sebelum berjaya dibaiki. Jadi, jangan terkejut jika kos membaiki sedikit tinggi dari biasa sebab banyak komponen yang terkorban ketika proses cuba jaya.

Guna speaker 8Ω - 16Ω

Masalah yang sering dihadapi ketika membaiki amplifier lama atau vintage ialah sukar untuk mendapatkan alat ganti. Kadang-kadang ada yang terbeli alat ganti tiruan dan berakhir dengan gagal diselamatkan walaupun berkali-kali melalui kaedah cuba jaya.


Selamat mencuba...

Sunday, 30 May 2021

Luxman L-55A DUO-BETA intererated amplifier repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah amplifier berjenama Luxman, model L-55A buatan Jepun dengan masalah boleh dihidupkan namun tidak mengeluarkan suara langsung setelah dibekalkan arus elektrik.

Luxman L-55A

Spesifikasi amplifier ini ialah:-

Power output: 80 watts per channel into 8Ω (stereo)

Frequency response: 10Hz to 100kHz

Total harmonic distortion: 0.02%

Input sensitivity: 0.15mV (MC), 1.5mV (MM), 220mV (line)

Signal to noise ratio: 80dB (MC), 80dB (MM), 100dB (line)

Output: 220mV (line)

Dimensions: 466 x 378 x 181mm

Weight: 14.3kg

Model:L-55A

Amplifier lama ini sedikit susah dibuka sebab penutup luarannya diperbuat daripada papan lapis. Cara membukanya ialah dengan membuka kesemua skru pada bahagian bawahnya dan tarik keluar melalui bahagian hadapannya.

Setelah dikeluarkan dari penutup...

Setelah amplifier tersebut saya keluarkan dari kotaknya, pemeriksaan dengan mata kasar mendapati keempat-empat fius 3.15A putus seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

4 biji fius 3.15A putus...

Fius tersebut disambung kepada keempat-empat transistor masing-masing berlabel A1106 dan C2581 yang bertindak untuk keselamatan.

A1106

Jika fius putus bermaksud ada litar pintas dan pemeriksaan pada papan litar bahagian amplifier mendapati terdapat litar pintas pada channel sebelah kanan sahaja. 

C2581

Komponen pada channel sebelah kanan yang mengalami litar pintas ialah:-

  1. sebiji transistor A1106
  2. sebiji transistor C2581
  3. sebiji transistor A1006
  4. sebiji transistor D2336
A1006

Tiada sebarang kerosakkan ditemui pada channel sebelah kiri dan apa yang saya lakukan ialah gantikan fius 3.15A pada sebelah kiri sahaja untuk diuji.

D2336

Klip video di bawah menunjukkan amplifier tersebut boleh berfungsi tanpa masalah hanya dengan channel sebelah kiri sahaja.


Sehingga blog ini ditulis, saya masih lagi menunggu alat ganti transistor yang rosak di atas dan dibeli secara atas talian.

Selamat mencuba...