Thursday 30 September 2021

SHARP R-219T(S) microwave repair

Hujung minggu lepas saya dirujuk sebuah ketuhar mikro (microwave) berjenama SHARP, model R-219T(S) dengan masalah boleh dihidupkan namun tidak panas.

SHARP R-219T(S)

Masalah microwave tidak panas telah banyak saya baiki sebelum ini dan kerosakkannya berbeza-beza.

Model: R-219T(S)

Komponen pertama yang saya periksa setelah dibuka ialah HV fuse dan ianya putus. Nilai fius yang digunakan ialah 600mA.

Setelah penutup dibuka...

Untuk pengetahun semua, fius yang digunakan pada microwave adalah berbeza dengan fius biasa. Ianya dipanggil HV fuse (high voltage fuse) dan boleh bertahan sehingga lebih daripada 2kV.

600mA

Fius biasa pada PCB atau plug 3-pin biasanya dilabel 250v sahaja. Jadi, jangan gunakan fius biasa untuk menggantikan HV fius pada microwave.

Gantikan fius baharu...

Saya juga pernah dirujuk microwave yang tidak dilengkapi dengan HV fuse dan anda boleh rujuk di sini.

HV capacitor - 0.91uF

Fius putus biasanya bersebab dan pemeriksaan pada HV kapasitor mendapati litar pintas pada kedua-dua terminalnya seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Microwave ini telah berjaya diselamatkan serta kembali berfungsi semula setelah HV fuse & HV capacitor telah saya gantikan.

Siap...

Kerosakkan microwave ini bermula dari litar pintas pada HV capacitor yang menyebabkan HV fuse putus.

Selamat mencuba...

Wednesday 29 September 2021

Fogger disinfection machine

Semalam saya dirujuk sebuah 'fogger disinfection machine' dan anda boleh rujuk 'user manual' di sini.

Fogger disinfection machine

Pemilik memberitahu saya ianya cuma digunakan dua kali sahaja dan masalahnya ialah tidak menghasilkan asap putih. 

Ketika saya mengujinya, ianya boleh berfungsi dan menghasilkan asap putih seperti boleh ditonton pada klip video di atas.

Setelah penutup dibuka...

Saya tidak pasti kenapa pemilik kata tidak mengeluarkan asap sedangkan ianya normal ketika saya mengujinya.  Jadi, saya buka dan buat periksaan namun juga gagal menemui sebarang komponen yang rosak.

240°C, 10A putus...

Suhu pada bahagian pemanas dikawal oleh dua biji 'thermal switch' dengan 'rating' 260°C & 240°C seperti telah saya labelkan di atas.

KSD301, 250v, 10A, 240°C

Untuk pengetahuan semua, 'thermal switch' berlabel 260°C adalah jenis NC (normally closed) manakala 'thermal switch' yang berlabel 240°C pula adalah jenis NO (normally open).

How to operate...

Gambar di atas dan di bawah saya ambil dari 'user manual' menerangkan cara-cara menggunakan serta membersihkan 'fogger disinfection machine'.

How to clean machine...

Setelah saya rujuk kembali klip video yang dihantar oleh pemilik kepada saya, saya telah menemui jawapan kenapa mesin ini tidak menghasilkan asap putih.

Bahagian belakang mesin...

Pemilik telah melaraskan suis ke bahagian kanan (II) untuk proses pembersihan dan bukannya ke kiri (I) seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Gambar tangkap layar dari klip video pemilik...

Jadi mesin ini memang elok dan masalah tidak berasap yang dikhabarkan oleh pemilik adalah disebabkan suis tersalah laras ketika menggunakannya.

Cara menggunakannya ialah:-

  1. Bekalkan arus elektrik kepada mesin
  2. laraskan suis ke sebelah kiri (I) dan tunggu sehingga lampu merah menyala
  3. Laraskan 'timer' mengikut kesesuaian untuk menghasilkan asap

Lampu indikator tidak menyala ketika suis baru dilaras ke bahagian kiri (I) dan hanya akan menyala setelah cukup panas.

Selamat mencuba...

Tuesday 28 September 2021

Baiki indikator penghawa dingin

Hujung bulan lepas saya dirujuk sekeping papan litar indikator untuk kegunaan penghawa dingin dan pemilik meminta saya cuba membaikinya.

Indikator penghawa dingin...

Keadaan papan litar tersebut boleh dilihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah dan banyak kesan berkarat kelihatan.

2 terminal 'IR receiver' putus...

Apabila dibuka serta di periksa dengan teliti, banyak komponen yang berkarat telah putus dan antaranya ialah sebiji 'IR receiver' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Perintang putus...

Selain terminal 'IR receiver' yang putus, komponen lain yang putus ialah beberapa biji perintang seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Perintang putus...
Terminal komponen yang berkarat dan putus mungkin disebabkan oleh air kondensasi pada penghawa dingin. Ada kemungkinan juga ianya berkarat terkena bahan kimia untuk mencuci penghawa dingin ketika diselengara.
Perintang putus...

Komponen yang berkarat hanya melibatkan bahagian atas papan litar sahaja, manakala bahagian bawahnya semua elok seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Bahagian bawah PCB semua elok...

Gambar-gambar berikut di bawah adalah keadaan terminal komponen yang telah saya baiki dengan sambung kembali serta dipateri.

Sambung kembali perintang yang putus...

Saya tidak ganggu komponen yang tidak putus dan komponen yang paling susah disambung ialah 'IR receiver' sebab terminal yang tinggal setelah putus tidak kelihatan lagi.

Sambung kembali terminal sensor...

Apa yang saya lakukan ialah korek sedikit sehingga terminal asal kelihatan dan pateri dengan menggunakan kaki kapasitor seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Perintang yang telah disambung...

Percaya atau tidak, ianya berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula dengan hanya menyambungkan semula terminal komponen yang putus sahaja.

Siap...

Selamat mencuba...

Monday 27 September 2021

Cornell CMC-S1600A multi cooker repair

Semalam saya dirujuk dua buah 'multi cooker' berjenama Cornell, model: CMC-S1600A dengan masalah tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

Cornell CMC-S1600A

Setelah dibuka dan diperiksa dengan menggunakan multimeter, saya menemui sebiji 'thermal fuse' putus seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Setelah penutup bawah dibuka...

Sebelum saya menukar 'thermal fuse' tersebut, saya periksa kedua-dua elemen pemanas yang disambung selari dan bacaan rintangan yang saya dapat ialah 34.6Ω.

Rintangan pemanas - 34.6Ω

'Thermal fuse' yang digunakan ialah 250v, 10A, 192C dan ianya sama dengan 'thermal fuse' yang digunakan pada periuk nasi elektrik.

Thermal fuse - 10A, 192°C

'Multi cooker' ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula dengan hanya menukarkan 'thermal fuse' sahaja.

Siap...

Selamat mencuba...

Sunday 26 September 2021

Penapis air bocor

Penapis air ini saya sambung pada sinki dapur rumah saya. Tujuannya ialah supaya air yang digunakan untuk memasak bersih serta selamat untuk diminum.

Minggu lepas, penutup penapis telah pecah serta bocor seperti telah saya tandakan pada gambar di atas dan menyebabkan seluruh bahagian dapur banjir.

Kejadian ini berlaku disebabkan tekanan air sangat tinggi ketika waktu malam. Ianya pecah sewaktu saya tutup pili air mengejut pada malam tadi.

Saya cuba cari alat gantinya namun penapis yang baharu saiznya berbeza dan saya tidak yakin masalah sama tidak akan berulang lagi jika bahagian yang pecah digam.

Jadi, saya potong dan keluarkan penapis air tersebut serta sambung terus seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Masalah tekanan tinggi pada waktu malam ini juga telah mengakibatkan dua injap dalam tangki air tandas saya turut pecah sebelum ini.

Apa yang saya lakukan untuk mengurangkan tekanan air ke rumah saya ialah dengan melaras pili pada meter air.

Selamat mencuba...

Saturday 25 September 2021

NEC AT-40 telephone ringing problem repair

Banyak telefon seperti ini telah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah lagi telefon serupa dengan masalah bunyi dering putus-putus seperti boleh ditonton pada klip video di atas. Masalah asalnya ialah butang keypad tidak berfungsi dan cara membetulkannya anda boleh rujuk di sini.

Setelah papan litar dikeluarkan...

Setelah dibuka serta diperiksa, tiada komponen pada papan litar yang rosak ditemui dan saya syak 'piezoelectric speaker' rosak.

Piezoeletric speaker...

Untuk percubaan, saya gantikan 'piezoeletric speaker' yang diambil dari telefon lain dan masalah dering yang putus-putus di atas selesai.

Gantikan 'piezoelectric speaker'...

Selamat mencuba...

Friday 24 September 2021

i brand air conditioner remote control repair

Semalam saya dirujuk sebuah alat kawalan jauh untuk penghawa dingin berjenama i dengan masalah skrin LCD langsung tidak menyala.

i brand aircon remote control

Pemilik memberitahu saya kadang-kadang skrin LCD boleh menyala apabila ditekan.

Setelah penutup dibuka...

Setelah dibuka serta diperiksa dengan mata kasar, saya menemui penyambung terminal negatif bateri pada papan litar longgar seperti telah saya tandakan pada gambar di atas dan di bawah.

Cold solder joint...

Masalah sedemikian sering terjadi apabila alat kawalan jauh terjatuh atau mungkin rosak sewaktu dibuka untuk membuat pemeriksaan.

Buang pateri lama...

Cara untuk membaikinya ialah dengan membuang pateri lama serta dibersihkan sebelum dipateri semula seperti ditunjukkan pada gambar di atas dan di bawah.

Pateri semula...

Alat kawalan jauh ini telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula dengan hanya mempateri semula penyambung terminal negatif bateri ke papan litar sahaja.

Siap...

Skrin alat kawalan jauh ini agak gelap dari biasa dan ianya adalah disebabkan polarizer di belakang skrin telah rosak.

Remove batteries if not used for long period...

Anda boleh rujuk di sini untuk cara-cara membaiki skrin yang gelap akibat kerosakkan polarizer.

Selamat mencuba...

Thursday 23 September 2021

LG WF-CL700V washing machine repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman baharu membaiki mesin basuh berjenama LG, model: WF-CL700V dengan masalah boleh dihidupkan namun tidak membasuh bila butang 'start' ditekan.

LG WF-CL700V

Ketika saya mengujinya, ada kedengaran bunyi motor bergegar namun tidak berpusing langsung.

Model: WF-CL700V

Apabila saya pusingkan pulsator dengan tangan ketika kedengaran bunyi motor bergegar, ianya boleh berpusing namun perlahan.

Kedudukan kapasitor...

Dari pengalaman membaiki kipas angin, masalah sedemikian adalah disebabkan oleh kerosakkan kapasitor.

Buka skru untuk keluarkan kapasitor...

Lokasi kapasitor tersebut ialah pada bahagaian dalam belakang mesin basuh. Anda perlu bukakan penutup belakang serta sebiji skru seperti telah saya tandakan pada gambar di atas untuk mengeluarkannya.

8.5uf, 500v

Cara mengeluarkan kapasitor dari pemegangnya ialah dengan membuka klip bahagian tepi seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Buka klip untuk keluarkan kapasitor...

Mesin basuh ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah kapasitornya telah saya gantikan dengan baharu.

Rosak, tiada bacaan...

Selamat mencuba...