Friday, 17 September 2021

Insuran Kenderaan Pihak ke-3 hanya untuk kereta berusia 30 tahun ke atas?

Beberapa tahun kebelakangan ini saya telah menghadapi masalah untuk mendapatkan perlindungan insuran pihak ke-3 untuk kereta serta motosikal persendirian saya dan anda boleh rujuk di sini, sini dan sini. Tahun ini tidak terkecuali namun saya gagal mendapatkannya disebabkan kekangan SOP serta bermacam-macam alasan berkaitan dengan CoVid-19.

Ditutup sejak Jun 2021...

Menurut akta pengangutan jalan, semua kenderaan harus sekurang-kurangnya mempunyai perlindungan insuran pihak ke-3 sebelum layak untuk mendapatkan cukai jalan. Malangnya kini perlindungan insuran pihak ke-3 seakan-akan telah dilenyapkan dan syarikat insuran memaksa orang ramai membeli perlindungan tambahan yang tidak berguna serta membebankan.

Cukai jalan...

Setiap tahun saya telah membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan tiada tindakan diambil. Saya juga pernah melaporkan kepada ahli parlimen (MP) serta ADUN dan semuanya juga tidak dilayan.

Berikut adalah insuran kenderaan yang saya terpaksa beli untuk mendapatkan cukai jalan tahun ini.

Sebelum terpaksa membeli insuran baharu, saya sempat menghubungi MMIP (Malaysia Motor Insurance Pool) dan berikutan pandemik CoVid-19, mereka hanya mampu memberi senarai syarikat insuran yang ada memberi perlindungan insuran pihak ke-3 mereka.

Syarikat insuran yang saya lawati sebelum ini untuk mendapatkan perlindungan insuran pihak ke-3 telah ditutup sementara sejak bulan jun 2021 seperti notis yang boleh dilihat pada gambar pertama di atas.

Saya ada menghantar e-mail kepada senarai syarikat insuran dan semuanya tidak di layan. Saya juga ada melawati syarikat insuran yang menawarkan perlindungan MMIP namun kerana pandemik CoVid-19 dengan SOP yang ketat, saya terpaksa batalkan hasrat sebab tiada masa untuk menunggu berjam-jam dan yang pasti mereka tidak berminat memberi perlindungan insuran pihak ke-3.

Harus berusia 30 tahun ke atas...

Kesimpulan yang saya dapat setelah berurusan dengan beberapa ejen insuran ialah:-

  1. Insuran pihak ke-3 hanya untuk kenderaan yang berusia 30 tahun ke atas (kereta saya hanya berusia belasan tahun)
  2. Jika nak juga insuran pihak ke-3, mereka paksa kita beli perlindungan tambahan iaitu perlindungan kebakaran serta kecurian (fire & theft) atau PA (personal accident) yang tidak diperlukan.
  3. Insuran pihak ke-3 kini seolah-olah telah dilenyapkan.


Berikutan kekangan pandemik serta SOP yang berkaitan dengan CoVid-19, saya akhirnya mengalah dan cara paling mudah ialah ke Pejabat Pos untuk menyelesaikan masalah. Pejabat Pos juga memberitahu saya, setahu mereka tiada lagi insuran perlindungan pihak ke-3 dan saya meminta mereka mencari perlindungan yang paling murah.
 
Kad pengenalan juga tidak diperlukan untuk keseluruhan proses membeli insuran serta cukai jalan setelah membayar kos keseluruhan iaitu RM185.96 seperti berikut:-

  1. Insuran - RM163.96
  2. Cukai jalan - RM20.00
  3. Fee pejabat pos - RM2.00

Ejen insuran kini tidak lagi menerangkan kepada pelanggan apa perlindungan insuran yang dibeli dan percaya atau tidak, tiada borang yang perlu diisi mahupun ditandatangani.

RM163.96 (2021), Sum insured - RM8,300.00

Tahun lepas saya cuma membayar RM80.85 untuk insuran perlindungan ke-3 oleh MMIP namun tahun ini rasaya saya dipaksa membeli insuran menyeluruh (comprehensive) seperti boleh dilihat pada gambar di atas dengan harga RM163.96 dan ianya adalah perlindungan yang paling murah menurut pejabat pos.

Jadi premium insuran saya tahun ini naik sekali ganda berbanding tahun lepas.

RM80.85 (2020), Sum insured - RM0.00

Mungkin inilah kegunaan bantuan khas CoVid-19 (BKC) yang saya kongsikan semalam di sini. Ada lah lebihan sedikit untuk makan tengahari sekali dua saja.

Sewaktu pandemik CoVid-19 melanda dunia, banyak kebajikan telah diberikan oleh syarikat kewangan seperti moratorium dan pihak kerajaan pula memberi bantuan tertentu bagi meringankan beban rakyat, namun pihak insuran pula tanpa bersalah memaksa kita berbelanja lebih yang tiada faedahnya pada pandangan saya.

Ini adalah satu penindasan atau diskriminasi yang terlepas pandang oleh pihak berwajib atau mungkin sengaja tutup sebelah mata sahaja.

Saya masih tidak berpuas hati kerana dipaksa berbelanja untuk sesuatu yang tidak berguna. Saya juga yakin ramai yang tidak berpuas hati sebab dipaksa membeli insuran mahal hanya untuk memenuhi syarat bagi mendapatkan cukai jalan sahaja.

Saya juga yakin banyak kenderaan yang tidak memperbaharui cukai jalan sebab gagal atau mungkin tidak mampu mendapatkan perlindungan insuran mahal yang tidak diperlukan.

Tahun hadapan jika pandemik CoVid-19 reda, saya akan berusaha untuk mendapatkan perlindungan insuran pihak ke-3 sahaja...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.