Saturday 30 April 2022

Restore ECONLITE EM-11PC emergency light

Sebelum ini saya pernah dirujuk lampu kecemasan seperti ini untuk dibaiki dan anda boleh rujuk di sini.

ECONLITE EM-11PC

Kali ini saya dirujuk sebuah lagi lampu kecemasan dengan model yang sama namun versi yang lebih moden iaitu menggunakan lampu LED.

Setelah penutup dibuka...

Lampu kecemasan ini telah lama dirujuk kepada saya dan telah diistihar 'beyond repair' suatu ketika dahulu namun tidak dibuang. Untuk makluman semua, ianya berkarat sebab dimasuki air akibat dari paip yang bocor.

Bahagian bawah papan litar...

Gambar di atas merupakan keadaan papan litar sebelum dibaiki dan gambar di bawah diambil setelah dibersihkan serta dibaiki. Litar yang putus juga telah saya sambung semula.

Papan litar setelah dibaiki...

Setelah papan litar siap dibaiki dan diuji, sebahagian lampu LED pula tidak menyala sebab terminalnya putus akibat berkarat.

Testing - sebahagian lampu LED tidak menyala...

Lampu kecemasan ini telah berjaya dipulihkan sepenuhnya setelah kesemua kerosakkan telah saya baiki termasuk menggantikan lampu LED yang tidak menyala.

Siap...

Masa yang telah saya habiskan untuk memulihkan kesemua kerosakkan ialah kira-kira sehari.

Selamat mencuba...

Friday 29 April 2022

High Voltage fuse (HV fuse) for microwave

Hari ini saya kongsikan satu lagi komponen yang penting pada ketuhar gelombang mikro (microwave) iaitu 'high voltage fuse' atau singkatan 'HV fuse'.

High Voltage Fuse (HV fuse)

'HV fuse' merupakan salah satu komponen pening pada bahagian voltan tinggi (high voltage) dan fungsinya ialah untuk keselamatan jika ada kerosakan komponen melibatkan bahagian voltan tinggi. Untuk makluman semua, saya pernah dirujuk microwave yang tidak dilengkapi dengan HV fuse.

Ianya disambung di antara 'high voltage transformer' ke 'high voltage capacitor' dan biasanya akan putus jika:-

  1. Magnetron rosak
  2. HV capacitor rosak
  3. HV diode rosak
  4. HV transformer rosak
HV fuse perlu penutup...

HV fius harus dilengkapi dengan penutup seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan ianya tidak boleh digunakan tanpa penutup sebab melibatkan voltan tinggi.

HV fuse rosak - ada spring di dalam...

Saya sering diajukan soalan 'boleh tak gantikan 'HV fuse' dengan fius biasa' dan jawapannya ialah tidak boleh sebab ianya direka khas untuk voltan tinggi.

HV fuse rosak - ada spring di dalam...

Jika diteliti, di dalam 'HV fuse' ianya dilengkapi dengan spring yang bertujuan untuk menjarakkan segera bahagian fius yang telah putus supaya arus elektrik voltan tinggi tidak 'melompat' serta menghasilkan 'electric arc'. Untuk makluman semua, jika 'electric arc' terhasil, fius dikira tidak putus dan masih boleh mengalirkan arus elektrik.

'HV fuse' juga direka lebih panjang daripada fius biasa dengan tujuan sama iaitu mengelakkan terjadinya 'electic arc' walaupun fius telah putus.

Walaupun voltan tinggi melalui 'HV fuse' namun 'rating' fius sangat rendah iaitu serendah 700mA (0.7A) hingga kira-kira 1A sahaja.

Voltan elektrik yang dihasilkan dari 'HV transformer' untuk kegunaan bahagian voltan tinggi ialah kira-kira 2kv (2,000v) hingga 3kv (3,000v).


Renjatan elektrik voltan tinggi yang serius boleh meragut nyawa.

Berhati-hati ketika melakukan pemeriksaan melibatkan bahagian voltan tinggi terutamanya 'HV capasitor'. Pastikan 'HV capasitor' dibuang cas (discharge) sebelum membuat pemeriksaan di bahagian voltan tinggi pada mikcrowave.

Thursday 28 April 2022

Safety fuse for analouge multimeter

Hari ini saya kongsikan cara untuk menambah nilai atau menaik taraf multimeter yang tidak berkualiti supaya setanding dengan multimeter berkualiti serta tidak mudah rosak.

multimeter budget...

Multimeter yang ingin saya naik taraf (dinaik taraf) ialah sebuah multimeter yang pernah saya miliki lebih 30 tahun lepas dan anda boleh rujuk di sini.

Setelah penutup belakang dibuka...

Masalah kerosakkan yang sering berlaku pada multimeter ialah disebabkan tersalah laras ketika membuat pemeriksaan. Multimeter yang murah tidak dilengkapi dengan fius keselamatan.

Bahagian bawah PCB...

Jadi, apa yang harus dilakukan untuk elak kerosakkan akibat daripada kecuaian pengguna sendiri ialah dengan memasang fius keselamatan. Fius yang digunakan ialah 0.5A dan disambung kepada terminal merah (positif) seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Gantikan jumper dengan fius 0.5A

Fius akan putus jika arus elektrik yang mengalir melaluinya lebih daripada 0.5A dan boleh menyelamatkan multimeter daripada kerosakkan. Keterangan lanjut cara pemasangan boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Wednesday 27 April 2022

SAMSUNG UA40H4200AR LED TV repair

Hari ini saya dirujuk sebuah TV berjenama samsung model UA40H4200AR dengan masalah langsung tidak berfungsi termasuk lampu standby yang berwarna merah juga tidak menyala.

Model: UA40H4200AR

Pemeriksaan awal mendapati fius pada plug top dengan nilai 3A putus dan ia memberitahu saya ada litar pintas pada papan litar yang harus dicari sebelum boleh diuji.

Setelah penutup belakang dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, saya dapati ada kesan letupan pada papan litar PSU (power supply unit) seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

PSU (Power supply unit)

Kesan letupan berwarna hitam ialah pada dua biji kapasitor seramik dengan label CM801 & CM802 pada papan litar. Kedua-dua kapasitor tersebut disambung bersiri di antara terminal drain dan source pada sebiji mosfet 60R580P.

Kesan letupan pada CM801 & CM802

Pemeriksaan lanjut pada kapasitor berlabel CM802 mendapati ada litar pintas berlaku seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Litar pintas pada CM802 (221k)

Sesuatu yang mengembirakan saya ialah tiada lagi litar pintas bila diukur dengan menggunakan multimeter setelah kedua-dua kapasitor tersebut telah saya keluarkan dari papan litar.

Kapasitor rosak - 221k

Label pada kapasitor rosak ialah 221k atau 220pf dan nasib tidak menyebelahi saya apabila tiada bekalan kapasitor senilai di tangan.

Kapasitor elok - 331k

Sebagai percubaan, saya telah gantikannya dengan menggunakan kapasitor 331k atau 330pf.

Siap...

Pemeriksaan terakhir serta menyeluruh pada PSU tidak menemui sebarang komponen lain yang rosak selain daripada dua biji kapasitor seramik sahaja. Fius dengan nilai 3.15A pada bahagian input papan litar juga elok.

Gantikan 221k dengan 331k

Percaya atau tidak, TV ini berjaya diselamatkan dengan hanya menukarkan kedua-dua biji kapasitor serta sebiji fius 3A sahaja pada plug 3-pin (plug top).

Tested - ok

Selamat mencuba...

Tuesday 26 April 2022

ECONLITE EM-11PC emergency light repair

Hari ini saya kongsikan satu masalah lampu kecemasan yang sering ditemui dan sangat mudah serta amat berbaloi untuk dibaiki.

ECONLITE EM-11PC

Lampu kecemasan ini berjenama ECONLITE, model EM-11PC dengan masalah lampu kalimantang/Pendaflour (fluorescent) sentiasa menyala dan tidak padam ketika ada bekalan elektrik.

Model: EM-11PC

Untuk pengetahuan semua, lampu kecemasan ini model lama dan menggunakan lampu fluorescent. Lampu kecemasan baharu sekarang semua menggunakan lampu LED.

Sebiji kapasitor sahaja yang rosak...

Setelah dibuka dan diperiksa, kerosakkannya hanya pada sebiji kapasitor dengan nilai 100uF, 16v seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Tested - ok

Anda boleh tonton klip video di bawah untuk keterangan lanjut.

Selamat berDIY...

Monday 25 April 2022

Tukar meter minyak Perodua Kelisa

Kereta Perodua Kelisa saya dibeli pada tahun 2006 namun pada tahun 2009 tolok minyak telah rosak serta diganti.

Buka 2 biji skru untuk buka 'instrument cluster'...

Minggu lepas saya telah baiki tolok minyak yang rosak kira-kira 13 tahun lalu dan anda boleh rujuk di sini.

Buka penutup hadapan 'instrument cluster'...

Semalam saya telah buka semula 'instrument cluster' kereta Perodua Kelisa saya dan tukar semula tolok minyak yang ditukar 13 tahun lalu.

Buka 4 biji skru di belakang tolok minyak...

'Instrument cluster' ini sangat mudah dibuka dan cara membukanya boleh dilihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah. Mulakan dengan mengeluarkan 'instrument cluster' dengan membuka dua biji skru seperti telah saya tandakan pada gambar pertama di atas.

Sebelum 'instrument cluster' dikeluarkan, cabut 3 penyambung (2 kabel elektrik dan 1 kabel speedometer) di bekalangnya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Kelauarkan tolok minyak...

Setelah 'instrument cluster' telah dikeluarkan dari kereta, buka penutupnya dengan cermat sebab diperbuat daripada plastik dan mudah pecah. Untuk mengeluarkan tolok minyak, buka 4 biji skru di bekalangnya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

'interchange' skala tolok minyak...

Seterusnya saya buka dan tukar (interchange) skala tolok minyak kepada warna asal iaitu putih. Caranya ialah dengan membuka dua biji skru di bawah pelekat skala sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Klip video di bawah saya rakam ketika menguji tolok minyak yang telah saya baiki serta siap ditukar.

Kadang-kadang tolok minyak yang tidak berfungsi bukan kerana rosak tetapi komponen lain bermasalah atau masalah pendawaiaan.

Tested - ok

Cara yang paling mudah untuk 'troubleshoot' tolok minyak elok atau rosak ialah:-

  1. Cabut wayar penyambung ke tangki minyak pada bonet belakang kereta
  2. ON kunci kereta dan anda akan lihat tolok minyak akan turun sehingga 'E' (Empty)

Penyambung wayar ke tangki minyak...

Satu lagi cara untuk menguji tolok minyak ialah:-

  1. buat pintasan (bypass) pada wayar biru dan hitam/putih
  2. ON kunci kereta dan anda akan lihat tolok minyak akan naik ke 'F' (Full)
Biru/putih - untuk tolok minyak

Umpama sirih pulang ke gangang, saya telah ketemukan semula tolok minyak asalnya setelah 13 tahun berpisah. 

Jadi, tolok minyak yang saya kata nak dilepaskan pada posting lepas kini ditukar kepada tolok minyak kenari yang saya beli 13 tahun lalu. Jika berminat, boleh tinggalkan komen di bawah dan bakal dilepaskan jika harga berpatutan.

Selamat mencuba...

Sunday 24 April 2022

TVS diode for Pro'sKit MT-2017 multimeter

Baru-baru ini saya telah kongsikan sebuah multimeter berjenama Pro'sKit model MT-2017 dengan kerosakkan sebiji TVS diode dan anda boleh rujuk di sini.

SMBJ9.0CA TVS diode (AV)

Saya tidak tahu nilai (value) TVS diode tersebut dan telah menghantar email kepada pihak Pro'sKit meminta bantuan maklumat lanjut komponen tersebut.

D7 - TVS diode

Pihak Pro'sKit telah menghantar datasheet kepada saya seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

SMBJ9.OCA (Bi-directional)

Untuk makluman semua, TVS diode mempunyai dua jenis iaitu uni-directional (UNI) dan bi-directional (BI). TVS diode yang digunakan pada multimeter tersebut ialah jenis bi-directional dan nombor rujukannya ialah SMBJ9.0CA.

Saturday 23 April 2022

samwa YX-1000A multitester review

Saya pernah memiliki sebuah multimeter seperti ini lebih 30 tahun yang lalu dan ianya merupakan multimeter pertama yang saya ada ketika mula berjinak-jinak dengan elektronik.

samwa YX-1000A

Saya tidak pasti ke mana menghilangnya multimeter tersebut dan baru-baru ini saya telah membeli sebuah lagi multimeter mini serupa seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah dengan harga RM8.99.

Model: YX-1000A

Untuk pengetahuan semua, multimeter ini berjenama sanwa dan rupanya hampir menyerupai multimeter terkenal buatan Jepun iaitu sanwa seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

samwa vs sanwa

Keterangan lanjut untuk multimeter ini boleh ditonton pada klip video yang telah saya rakam di bawah.

Multimeter ini boleh berfungsi dengan sempurna namun bacaan pada skala asal tidak tepat.

Skala asal...

Gambar di bawah adalah skala pada multimeter yang telah saya betulkan dan kini ia boleh memberi bacaan yang lebih tepat berbanding dengan skala asalnya.

Skala yang telah saya ubah...

Selamat berDIY...


Friday 22 April 2022

KHiND ZC501N rechargeable search light repair

Semalam saya dirujuk sebuah lampu picit berjenama KHiND, model ZC501N dengan masalah mentol menyala namun tidak terang walaupun telah dicas semalaman.

KHiND ZC501N

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati bacaan voltan pada bateri cuma kira-kira 3v sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

3v sahaja...

Ada dua kemungkinan sahaja kerosakkan sedemikian iaitu:-

  1. Pengecas (charger) rosak
  2. Bateri rosak
Voltan charger - 8v

Cara untuk memastikannya ialah dengan memutuskan sambungan ke bateri dan ukur voltan pengecas. Saya dapat bacaan 8v dibekalkan oleh pengecas dan ianya elok. Jadi, bateri rosak dan harus diganti.

Sealed lead acid rechargeable battery - 6v, 4.5AH

 Bateri yang digunakan ialah 6v, 4.5AH seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Mentol - 6.3v, 3w

Mentol yang digunaka pada lampu picit ini ialah 6.3v, 3w seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Voltan bateri - 6.72v

Ketika saya mengukur arus yang digunakan oleh mentol tersebut, saya dapat bacaan 0.524A seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Voltan bateri ketika diuji pula ialah 6.72v seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Mentol guna 0.524A arus elektrik...

Lampu picit ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah baterinya yang rosak telah saya gantikan.


 Selamat mencuba...