Tuesday 28 February 2023

TeleBest 850HT Telephone Repair

Hari ini saya telah dirujuk sebuah telefon dengan masalah semua butang gagal berfungsi bila ditekan.

TeleBest 850HT

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, saya pada mulanya tidak menemui sebarang komponen yang meragukan.

Setelah dibuka...

Pemeriksaan dengan teliti mendapati sebiji kapasitor dengan label C031 (470uf, 10v) pernah diganti namun disambung seperti telah saya labelkan pada gambar di bawah.

C031 - kapasitor 470uf, 10v

Saya telah buka kapasitor C031, buang sambungan dan dipateri terus ke papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Siap...

Masalah butang gagal berfungsi bila ditekan pada telefon ini selesai dengan hanya membaiki sambungan kapasitor C031 sahaja.

Selamat berDIY...

Saturday 25 February 2023

TOTO 4D

Hujung minggu lepas saya telah membeli jackpot namun cuma kena satu nombor sahaja iaitu 4226 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

19/02/2023

Nombor tersebut ialah nombor lot rumah saya yang dibeli pada tahun 2005.

Hadiah yang saya dapat cuma RM68.00 sahaja.

Friday 24 February 2023

soteco WINDLY WET vacuum cleaner repair

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman membaiki penyedut hampagas (vacuum cleaner) seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

soteco WINDLY WET

Penyedut hampagas ini adalah jenis 2 dalam 1 (2-in-1) di mana ianya juga boleh digunakan pada keadaan basah.

model: WINDLY WET

Saya diberitahu masalahnya ialah gagal menyedut dan pemeriksaan awal mendapati penapisnya sumbat seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Penapis udara sumbat...

Setelah kesemua penaips udaranya telah dibersihkan serta diuji, ianya kini boleh menyedut namun tidak kuat dan masih gagal menyedut dengan normal.

Penutup motor reput...

Pemeriksaan seterusnya mendapati bahagian penutup motor telah berkarat serta reput seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Gantikan dengan penutup baharu...

Gambar di atas menunjukkan penutup motor telah saya gantikan dan ianya di ambil dari motor yang gagal dibaiki. Saiznya sama namun tiada lubang pada bahagian tepi seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Tebuk lubang untuk pengudaraan...

Untuk makluman semua, saya telah uji motor tersebut tanpa lubang pada penutupnya namun ianya tidak kuat menyedut. Masalah selesai setelah saya tebuk lubang di sekeliling bahagian tepinya seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Selamat mencuba...

Tuesday 21 February 2023

SAMSUNG UA40H4200AR LED TV repair

Sebelum ini saya pernah baiki TV seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Hari ini saya dirujuk sebuah lagi TV serupa dengan masalah seperti tertera pada nota pemilik pada gambar di atas.

Setelah penutup belakang dibuka...

Maklumat dari pemilik ialah fius pada plug 3-pin putus dan setelah digantikan dengan yang baharu ada bunyi meletup kedengaran.

PSU - Power Supply Unit

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, saya dapati masalahnya serupa dengan TV yang pernah saya baiki sebelumnya iaitu ada kesan letupan pada dua biji kapasitor seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Ada kesan letupan pada kapasitor berwarna biru...

Kedua-dua kapasitor tersebut ada kesan retak dan ianya disambung secara bersiri kepada sebiji mosfet dengan label 60R580P.

Gambar di atas dan di bawah adalah bacaan rintangan yang saya dapat pada kapasitor yang meletup. Untuk makluman semua, kapasitor yang elok tidak seharusnya ada bacaan rintangan dengan menggunakan multimeter.

Pemeriksaan seterusnya pada papan litar tidak menemui komponen lain yang rosak selain dua biji kapasitor yang meletup sahaja. Fius dengan rating T3.15A/250v pada papan litar juga tidak putus dan masih elok.

Gantikan kapasitor baharu...

Label pada plug 3-pin ialah 3A seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Fius yang putus pada plug 3-pin pula cuma 2A sahaja.

Fius dalam plug 3-pin cuma 2A sahaja...

Saya gantikan fius plug 3-pin dengan rating 3A sebab dari pengalaman lepas, fius asalnya ialah 3A dan bukan 2A.

Gantikan fius dengan rating 3A

TV ini berjaya diselamatkan setelah saya gantikan komponen yang didapati rosak di atas iaitu:-

  1. 2 biji kapasitor
  2. sebiji fius 3A
Kapasitor yang rosak...

Mungkin ada yang akan tanya kenapa fius yang putus ialah pada plug 3-pin dan bukannya pada papan litar. Sebabnya ialah nilai fius pada papan litar lebih tinggi dari fius di plug 3-pin, jadi sudah tentu nilai fius yang rendah akan putus dahulu.

Tested - ok

Sedikit peringatan kepada para DIY, jika anda berhajat menggantikan fius sendiri, pastikan nilai fius baru mesti sama dengan nilai asal. Rujuk kepada pakar jika fius putus semula dan anda tiada asas elektronik. Saya pernah dirujuk TV rosak dengan fius 13A pada plug 3-pin. Apa yang berlaku ialah fius pada papan litar pula yang putus. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku jika tiada fius pada papan litar?

Fikir-fikirkan...

Sunday 19 February 2023

Wall clock repair

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah jam dinding dengan masalah gagal berfungsi walaupun bateri telah diganti dengan yang baharu.

Jam dinding

Sebelum ini saya pernah kongsikan pengalaman membaiki jam dinding dan anda boleh rujuk di sini, sini dan sini.

Setelah papan litar dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa, masalahnya ialah terminal negatif (-ve) telah berkarat dan tidak mengalirkan elektrik seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Terminal -ve PCB berkarat...

Terminal negatif kali ini bukan setakat berkarat namun telah terhakis dan saya terpaksa pateri menggunakan wayar supaya sambungannya elok semula seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Terminal -ve PCB telah dibaiki...

Saya dapati majoriti kerosakkan peralatan elektrik yang menggunakan bateri melibatkan terminal negatif sahaja. 

Salah satu contoh yang pernah saya kongsikan sebelum ini melibatkan peti keselamatan dan anda boleh rujuk di sini.

Begitu juga dengan kerosakkan pada papan litar alat kawalan jauh melibatkan terminal negatif bateri yang pernah saya kongsikan di sini dan sini.

Semua masalah bermula dengan kebocoran bateri dan cecair bateri meresap ke wayar negatif sehingga ke PCB. Mungkinkah kebocoran cecair bateri hanya pada terminal negatif sahaja?

Kemungkinan juga disebabkan elektron mengalir dari negatif ke positif yang menjadi punca kenapa cecair bateri bocor akan mula meresap dari terminal negatif...

Fikir-fikirkan...

Thursday 16 February 2023

SHARP R754AST microwave oven with grill repair

Hari ini saya dirujuk sebuah ketuhar gelombang mikro (microwave) berjenama SHARP, model: R754AST dengan masalah boleh dihidupkan namun gagal memulakan operasi setelah butang 'start' ditekan.

SHARP R754AST microwave oven with grill

Masalah sedemikian pernah saya kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini. Kerosakkannya hanya pada sebiji 'tact switch' untuk butang START/ENTER sahaja.

Model: R754AST

Klip video di bawah saya rakam sewaktu diuji setelah 'tact switch' yang rosak telah saya gantikan dengan baharu

Selamat mencuba...

Monday 13 February 2023

KDK K14X2 ceiling fan repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah kipas siling berjenama KDK dengan masalah boleh dihidupkan namun berpusing perlahan serta gagal menerima isyarat dari alat kawalan jauh.

KDK K14X2 ceiling fan

Masalah sedemikian biasanya ialah pada papan litar (PCB) dan benda pertama ditemui ialah seekor cicak terkorban seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah penutup tengah dibuka...

Setelah papan litar dikeluarkan dan diperiksa, saya cuma menemui sebiji IR receiver rosak. Saya pernah kongsikan cara memeriksa IR receiver dan anda boleh dirujuk di sini.

M14C24800

Untuk makluman semua, terminal IR receiver yang digunakan sedikit berbeza seperti boleh dilihat pada label gambar di bawah. Terminal output (S) pada sebelah kiri, terminal +ve (V) pada tengah dan terminal -ve (G) pada sebelah kanan.

IR receiver rosak...

Masalah tetap sama dan IR receiver yang baru ditukar rosak semula setelah diuji. PCB ini gagal saya baiki sebab kerosakkannya melibatkan microprocessor.

Beli PCB baru...

Dipendekkan cerita, saya belikan PCB yang baharu dengan nombor rujukan M14C24800. PCB ini juga boleh digunakan pada kipas siling berjenama Panasonic model F-M14C2VBHH.

Pasang PCB baru...

Masalah selesai setelah papan litar telah saya gantikan dengan yang baharu.

Selamat mencuba...

Friday 10 February 2023

Power Tree S1250P UPS repair

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah UPS dengan masalah ketika bekalan elektrik terputus, UPS gagal berfungsi.

Pemeriksaan awal mendapati bateri rosak menjadi punca ianya gagal namun setelah baterinya telah diganti, masalahnya ialah seperti boleh ditonton pada klip video di atas. Saya juga dapati ada bunyi getaran yang kuat pada transformer dan ianya tidak normal.

Power Tree S1250P UPS

Pemeriksaan seterusnya mendapati UPS langsung menggunakan kuasa bateri walaupun ada bekalan elektrik dan apa yang mengejutkkan ialah voltan output sangat tinggi iaitu mencecah kira-kira 350vac. Bacaan voltan output UPS yang normal sepatutnya kira-kira 220vac sewaktu menggunakan kuasa bateri.

Model: S1250P

Pemeriksaan dengan mata kasar juga tidak mendapati sebarang komponen yang rosak dan kesemuannya kelihatan seperti baru tanpa sebarang kesan panas melampau.

Setelah penutup dibuka...

Pemeriksaan pada papan litar dengan menggunakan multimeter akhirnya mendapati bahawa tiada bekalan elektrik dari transformer seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Tiada bekalan elektrik ke PCB......

Saya dapat bacaan 18vac pada bahagian penyambungnya namun setelah disambung ke PCB, bekalan tidak sampai ke papan litar.

Bekalan 18vac ke PCB...

Pemeriksaan pada 4 biji diod yang bertindak sebagai rectifier juga tidak menemui sebarang masalah namun saya syak kemungkinan penyambungnya tidak bersentuh sebab kelihatan sedikit jauh serta tidak rapat ke papan litar.

Ketatkan sambungan...

Saya ketatkan penyambungnya ke papan litar seperti telah saya tandakan pada gambar di atas dan percaya atau tidak, masalah selesai dan bacaan 18vac kini ada pada papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Bekalan 18vac sampai ke PCB...

Saya tidak pasti kenapa penyambung bekalan tersebut tidak bersentuh dan ianya tidak dicabut sewaktu menukarkan bateri.

Jika anda ingin tahu cara-cara mengenalpasti bateri masih elok/rosak, anda boleh rujuk kepada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Tuesday 7 February 2023

Cara mengenalpasti kerosakkan DC motor

Sebelum ini saya pernah kongsikan cara-cara 'rewind' motor DC dan anda boleh rujuk di sini.

Motor kipas alat pengering rambut...

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana mengenalpasti kerosakkan motor DC dan boleh ditonton pada klip video di bawah.

Simptom kerosakkan motor jenis DC ialah:-

  1. motor gagal berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik
  2. motor berputar perlahan apabila dibekalkan arus elektrik dan cepat panas walau diuji sekejap sahaja

Klip video di bawah menunjukkan motor kipas alat pengering rambut berjenama JVD yang telah saya 'rewind' dan ianya masih boleh digunakan semula.

Selamat berDIY...

Sunday 5 February 2023

synergy SGY-115-4-01 soft starter repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah 'soft starter' berjenama synergy, model SGY-115-4-01 dengan masalah tetapan (setting) sering hilang.

synergy SYG-115-4-01 soft starter

Untuk pengetahuan semua, soft starter ini untuk kegunaan motor 3 fasa (3 phase) dengan rating 80A, 45kW.

model: SYG-115-4-01

Masalah tetapan sering hilang adalah disebabkan bateri untuk menyimpan memori kehabisan cas atau rosak dan harus diganti.

Battery kehabisan cas...

Gambar di atas adalah lokasi bateri lithium 3v yang digunakan dan nombor rujukannya ialah CR1632 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

CR1632 lithium battery...

Masalah tetapan sering hilang selesai setelah bateri di atas telah saya gantikan dengan yang baharu.

Selamat berDIY.

Friday 3 February 2023

PBBANK dividend - 2022

Baru-baru ini ada khabar gembira buat pemegang saham PBBANK (1295) dan saya telah menerima dividen ke-3 tahun lepas dengan kadar 4sen sesaham bertarikh 23/12/2022.

Selama ini saham PBB hanya memberi dividen 2 kali sahaja setahun iaitu pada bulan Mac dan September.

22/3/2022 - 7.7sen/share

Menurut sumber, dividen tambahan ini adalah berikutan keuntungan yang memberangsangkan pada suku ke-3 tahun lepas (2022).

23/09/2022 - 8.0sen/share

Dari perkiraan saya, jumlah pulangan dividen tahun lepas mengikut harga beli saham yang saya ada ialah kira-kira 4.75% dan ianya masih lebih baik berbanding simpanan tetap sekarang.

23/12/2022 - 4.0sen/share
Jika anda ada wang simpanan dan ingin membuat pelaburan untuk menjana pulangan, pelaburan saham boleh dipertimbangkan.