Tuesday 25 October 2022

Rishi Sunak Perdana Menteri Britian (UK) yang baharu

LONDON: Rishi Sunak bakal diumumkan sebagai perdana menteri baharu Britain selepas beberapa calon lain menarik diri untuk memimpin Parti Konservatif dan menyerahkan tugas berat memimpin negara yang berpecah belah ditengah kemelesetan ekonomi yang menjejaskan jutaan penduduknya.

Sunak antara ahli politik paling kaya di Westminster dan bakal diarah membentuk kerajaan oleh Raja Charles bagi menggantikan Liz Truss yang meletak jawatan selepas 44 hari menjadi perdana menteri.

Beliau menewaskan ahli politik Penny Mordaunt yang gagal mendapatkan cukup sokongan daripada ahli Parlimen manakala pesaingnya yang juga bekas perdana menteri Boris Johnson menarik diri kerana berpendapat tidak dapat lagi menyatukan parti.

“Keputusan ini adalah satu sejarah dan menunjukkan sekali lagi kepelbagaian serta bakat yang ada dalam negara kita. Rishi mendapat sokongan penuh saya,” kata Mordaunt dalam satu kenyataan sejurus beliau menarik diri.

Matawang pound dan harga bon kerajaan Britain melonjak tidak lama selepas pengumuman Mordaunt tetapi kembali ke paras sebelumnya.

Bekas menteri kewangan berusia 42 tahun itu menjadi perdana menteri ketiga Britain dalam tempoh kurang dua bulan dan berdepan tugas berat mengembalikan kestabilan negara selepas bertahun-tahun dilanda krisis ekonomi serta politik.

Sunak dijangka melaksanakan pemotongan besar perbelanjaan untuk cuba membangunkan semua reputasi fiskal Britain ketika negara itu terjerumus dalam kemelesetan ekonomi yang berpunca daripada peningkatan mendadak kos tenaga dan makanan.

Britain terjerumus dalam krisis politik sejak undian pada 2016 untuk meninggalkan Kesatuan Eropah menyebabkan berlakunya pergelutan kuasa di Westminster atau Parlimen negara itu hinggalah ke hari ini.

Drama terbaru itu menyebabkan kekecewaan pelabur asing dan cemuhan dari media di seluruh dunia.

Bakat Sunak mula menjadi perhatian pada usia 39 tahun apabila beliau menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Johnson ketika wabak Covi-19 melanda Britain dan berjaya dengan skim cuti dari tugas untuk pekerja.

Bekas penganalisis Goldman Sachs itu akan menjadi perdana menteri pertama Britain yang mempunyai darah keturunan India.

Keluarganya berhijrah ke Britain pada 1960an ketika ramai penduduk dari bekas tanah jajahan Britain datang ke negara itu selepas Perang Dunia ke-Dua.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Oxford, Sunak pergi ke Universiti Stanford di mana beliau bertemu isterinya, Akshata Murthy yang juga anak kepada bilionaire India dan pengasas syarikat Infosys Ltd, NR Narayana Murthy.

Rujukan

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.