Saya pernah menjadi saksi satu kes pembunuhan yang berlaku lebih 25 tahun yang lalu di Batu Niah, Sarawak.
Gua Niah (Niah Cave) |
Kejadian pembunuhan tersebut berlaku di gua Niah dan melibatkan seorang pembeli sarang burung. Kerja mangsa ialah membeli sarang burung dari mereka yang menjolok sarang burung di gua Niah.
Dengar cerita, mangsa dirompak dan sewaktu pergelutan, belakang kepalanya telah dipukul sehingga mengakibatkan kematian.
Batu Niah adalah sebuah pekan yang kecil dan saya ketika itu berkhidmat sebagai juruwang (cashier) di sebuah syarikat kewangan. Kini tiada lagi syarikat kewangan di negara kita selepas proses pengabungan bank-bank berikutan krisis ekonomi pada tahun 1996/1997.
Pihak polis telah melakukan penyiasatan dan menurut orang ramai mangsa telah ke syarikat kewangan tempat saya bekerja untuk menukar wang sebelum ke gua Niah meneruskan kerjanya membeli sarang burung.
Dengan yang demikian saya pun telah dipanggil oleh polis untuk diambil keterangan di balai polis. Saya pada mulanya takut memberi keterangan sebab sebagai pekerja di syarikat kewangan kami tertaluk kepada akta BAFIA (Bank And Finance Instituion Act).
Setelah berbincang dengan pengurus syarikat, saya akhirnya terpaksa bekerjasama dan diambil keterangan.
Sewaktu di balai polis, pegawai yang menyiasat memperkenalkan diri sebagai ASP Jamail (masih ingat nama namun mungkin ejaan tidak betul) dan proses mengambil keterangan berlangsung beberapa jam.
Masih jelas di ingatan saya sehingga hari ini proses sewaktu diambil keterangan. Pegawai penyiasat menggunakan sebuah mesin taip (typewriter) untuk merekodkan keterangan dari saya.
Apa yang boleh saya simpulkan sepanjang keterangan diambil ialah, pegawai penyiasat tersebut sangat professional dan kami seolah-olah seperti kawan akrab yang duduk minium kopi sambil berbual tentang sesuatu topik yang menarik kedua-dua pihak.
Saya juga ditunjukkan gambar bedah siasat mangsa dengan kulit belakang kepala telah dipotong untuk mendedahkan tengkorak yang retak.
Setelah laporan siap, saya disuruh membaca dan menandatangani di satu sudut bahagian bawah laporan setelah berpuas hati semua yang ditaip adalah apa yang telah saya beritahu sewaktu diambil keterangan.
Beberapa bulan selepas itu saya telah menerima sepina dari mahkamah untuk menghadirkan diri pada tarikh yang tertera di mahkamah Miri. Saya terpaksa mengambil cuti tahunan dan jarak Batu Niah-Miri ialah kira-kira 110km dan semua kos ditanggung sendiri. Jika naik bas, tambangnya ialah RM10.00 sehala. Untuk menjimatkan kos, saya pandu motosikal YAMAHA Y100 dengan kos minyak RM5.00 sahaja setangki serta cukup untuk pulang dan balik.
Perjalanan menggunakan motosikal mengambil masa kira-kira 90 minit sehala dan untuk pengetahuan semua, saya cuma membuang masa di luar mahkamah sahaja serta tidak dipanggil pada beberapa sepina awal. Setelah itu saya bertekad mengabaikan sepina yang sampai ke rumah.
Saya tidak ingat lagi berapa banyak sepina yang telah dihantar kepada saya sehingga lah tiba giliran saya dipanggil memberi keterangan di mahkamah.
Sewaktu tiba giliran saya membuat keterangan, saya juga abaikan sepina dan turun bekerja seperti biasa. Pada pagi itu juga saya telah menerima panggilan telefon dari balai polis memberitahu pihak mahkamah mencari saya sebab tidak hadir dan menyuruh saya hadirkan diri pada sesi sebelah petang.
Pihak polis juga ada memberitahu saya, jika saya tidak hadir juga maka mereka akan menangkap saya dan ditahan di lokap sehingga kes selesai.
Saya terpaksa mengambil cuti kecemasan (emergency leave) untuk menghadirkan diri dengan memandu motosikal sejauh 110km. Setibanya di perkarangan mahkamah, pegawai polis yang mengambil keterangan saya dulu telah menanti dan disuruh membaca laporan yang diambil dari saya sebelumnya.
Saya juga diberitahu agar tidak membuat cerita yang tidak berkaitan sewaktu ditanya penguambela kelak dan boleh/akan dituduh menghina mahkamah jika didapati berbuat demikian.
Semuanya berjalan lancar dan saya cuma menjawab apa yang saya masih ingat serta memberitahu 'tidak ingat' jika benar dah lupa sebab telah lama berlalu.
Seingat saya keputusan akhir kes tersebut ialah tertuduh bersalah kerana membunuh tanpa niat dan dipenjara beberapa tahun. Hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap serta dipenjara. Jika tidak silap ingat, tertuduh dibebaskan beberapa bulan selepas hukuman dijatuhkan sebab tempoh hukuman telah tamat.
Kini saya faham kenapa orang ramai tidak mahu menjadi saksi kes berdasarkan pengalaman saya di atas. Saya yakin tidak akan menjadi saksi kes jika memberitahu pegawai penyiasat yang saya 'tidak tahu', 'tidak ingat' atau 'tidak perasan' yang mangsa ada menukar wang di tempat saya bekerja.
Apa pun, pilihan di tangan masing-masing...
No comments:
Post a Comment
Your comment will be atttend by admin soon, thank you.