Saturday 22 October 2022

Buang cas HV capacitor

Hari ini saya kongsikan apa yang akan berlaku atau dijangka mungkin berlaku jika terlupa membuang cas (discharge) HV capacitor pada microwave sewaktu melakukan pemeriksaan.

HV capacitor untuk microwave

Kita sering terbaca atau diberitahu agar membuang cas pada kapasitor dahulu sebelum melakukan pemeriksaan. Sebelum ini saya pernah kongsikan alat untuk membuang cas kapasitor yang saya buat sendiri dan anda boleh rujuk di sini.

Gambar di bawah adalah keadaan HV capacitor yang telah saya buka dan ianya telah dilengkapi dengan sebiji perintang 10MΩ yang disambung selari pada kedua-dua terminalnya.

Tujuan serta fungsi perintang tersebut ialah untuk membuang cas apabila bekalan elektrik diputuskan ketika kita berhenti menggunakan microwave.

Potong HV capacitor...

Perintang 10MΩ pada HV capacitor akan membuang cas secara perlahan-lahan dan mungkin tiada cas lagi setelah kita selesai membuka penutup microwave untuk membuat pemeriksaan. Jika masih ada cas juga, ianya amat sedikit dan tidak berupaya merenjat kita.

HV capacitor mendapat bekalan elektrik dari HV transformer dan rintangan gegelung voltan tinggi ialah kira-kira 250Ω disambung bersiri dengan HV capacitor serta HV diode. Rintangan gegelung voltan tinggi pada transformer juga boleh membuang cas pada kapasitor apabila bekalan diputuskan.

9.73MΩ

Jadi, secara teori, HV capacitor tidak merbahaya jika bekalan elektrik telah diputuskan serta dibiarkan beberapa ketika dengan syarat tiada sebarang kerosakkan pada microwave.

Untuk makluman semua, hampir kesemua kerosakkan HV capacitor adalah disebabkan mengalami litar pintas pada kedua-dua terminalnya serta mengakibatkan HV fuse putus. Kapasitor yang telah mengalami litar pintas tidak akan menyimpan cas lagi.

skematik - microwave

Banyak klip video telah saya tonton di youtube berkaitan dengan cara-cara membuang cas HV capacitor dan dalam banyak-banyak video yang saya tonton, klip video di bawah membuktikan apa yang saya terangkan di atas adalah betul.

Bekalan elektrik telah diputuskan sewaktu minit ke-40 dan pintasan pada HV kapasitor ditunjukkan pada minit ke-50. Cuma sedikit percikan api sahaja kelihatan dan ianya adalah seperti kita membuang cas kapasitor biasa.

Jadi, jika kita putuskan bekalan elektrik dan proses membuka penutup belakang microwave memerlukan masa kira-kira beberpa minit, tiada lagi cas yang tinggal pada HV capacitor.


Untuk makluman semua, saya tetap akan melakukan pintasan pada HV capacitor untuk membuang cas setiap kali sebelum melakukan pemeriksaan pada microwave dan saya belum pernah jumpa percikan api.

Untuk keselamatan, saya tetap menasihatkan orang ramai agar membuang cas dengan melakukan pintasan pada terminal HV capacitor sebelum melakukan pemeriksaan. Cas mungkin masih lagi tersimpan di dalam HV capacitor jika perintang 10MΩ telah putus bersama dengan HV diode.

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.


Selamat berDIY...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.