Friday 1 May 2020

Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap

Berikut merupakan pengumuman yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam (30/4/2020) berkaitan dengan moratorium untuk pinjaman sewa beli (Hire Purchase) dan pembiayaan islam berkadar tetap (fixed rate islamic financing)

Susulan daripada pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac 2020 yang lalu, institusi perbankan sedang dalam proses memformalkan perjanjian-perjanjian bagi mencerminkan semakan terhadap syarat pembayaran balik dengan pihak peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap bagi pelaksanaan moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman/pembiayaan. Langkah ini adalah bagi memenuhi keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah yang terpakai bagi apa-apa perubahan yang dibuat terhadap syarat perjanjian-perjanjian tersebut, termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan/atau jumlah pembayaran berikutan moratorium ini.

Sehubungan dengan itu, BNM telah meminta institusi perbankan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam/pelanggan diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka, selain menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian-perjanjian tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bermula pada 1 Mei 2020, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap akan menerima notis pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan mereka berhubung dengan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan proses penangguhan pembayaran pinjaman/pembiayaan mereka di bawah moratorium ini. Institusi perbankan juga akan menyediakan bagi setiap peminjam/pelanggan maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap mereka. Maklumat tersebut mengandungi jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa perubahan terhadap jumlah pembayaran, yang meliputi jumlah kadar faedah/keuntungan biasa yang terakru sepanjang tempoh moratorium.

Peminjam/pelanggan yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian mereka yang sedia ada. Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam/pelanggan mereka untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul/tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium. Institusi perbankan tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh tersebut sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang disetujui dengan peminjam/pelanggan.

Peminjam/pelanggan digalakkan untuk merujuk laman sesawang, portal perbankan internet atau pusat hubungan institusi perbankan mereka untuk maklumat lanjut.

Bank Negara Malaysia
30 Apr 2020


Sumber

Ketika pandemik CoVid-19 melanda negara kita, kerajaan melalui BNM telah mengumumkan moratorium untuk penangguhan bayaran bulanan pinjaman bank selama 6 bulan berkuatkuasa mulai bulan april 2020 sehingga september 2020.

Ini bermaksud peminjam boleh memilih untuk menangguhkan bayaran pinjaman dalam tempoh tersebut dan kembali membayar pinjaman mulai oktober 2020.

Peminjam juga boleh memilih untuk tidak menangguhkan bayaran bulanan dengan memberitahu kepada pihak bank dan membuat bayaran bulanan seperti biasa.

Ketika itu, hampir semua bank sepakat menyatakan bahawa tiada 'compound interest' dikenakan dan anda boleh membacanya di sini.

Namun melalui pengumuman terbaru semalam, kini peminjam akan dikenakan faedah dalam tempoh moratorium mengikut keperluan prosedur di bawah akta sewa beli 1967 (HP act 1967).

Setiap peminjam akan dimaklumkan oleh pihak bank masing-masing dan diberi dua pilihan iaitu:-
  1. Tiada penangguhan dan membuat bayaran bulanan seperti biasa ATAU
  2. Penangguhan bayaran pinjaman selama 6 bulan dan kembali membuat bayaran bulanan mulai bulan oktober 2020.
Jika anda memilih penangguhan selama 6 bulan, tempoh bayaran balik akan ditambah 6 bulan dan faedah tambahan akan dikenakan. Katakan bank mencadangkan 'refinance package' kepada anda dan senario berikut diguna sebagai contoh:-
  • Jumlah pinjaman: RM50,000.00
  • Tempoh pinjaman: 9 tahun (108 bulan)
  • Kadar faedah: 3.5%
  • Bayaran bulanan: RM610.00
  • Jumlah hutang: RM30,500 (50 bulan lagi)
  • Faedah tambahan untuk 6 bulan ialah sebanyak RM533.75 (30,500 x 3.5% x 0.5).
Faedah tambahan RM533.75 tersebut akan dibahagi sama rata kepada tempoh yang belum dibayar iaitu kira-kira RM10.68 sebulan (523.75/50).

Maka bayaran bulanan mulai oktober 2020 akan menjadi RM620.68 sebulan.

Sila hubungi pihak bank anda masing-masing untuk keterangan lanjut. Senario di atas adalah sebagai contoh 'refinance package' dan mungkin bank ada alternarif yang lebih baik untuk anda.

Anda boleh rujuk di sini untuk keterangan lanjut soalan lazim berkaitan moratorium.

Semoga penerangan di atas jelas dan pilihan di tangan anda sendiri.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.