Saturday 5 September 2020

Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP)

Tahun ini sekali lagi saya diuji oleh syarikat insuran yang tidak berputus asa dengan cara masing-masing cuba memaksa saya (termasuk anda semua) untuk membeli perlindungan tambahan.

Ketika ekonomi negara serta ekonomi rumah tangga merudum dek kerana virus yang tidak kelihatan pada penghujung tahun lepas sehingga kini, kita tidak lari serta terpaksa untuk berjimat-cermat ketika berbelanja.

Mungkin kerana saya dilahirkan serta dibesarkan di dalam keluarga miskin, saya telah lama berjimat ketika berbelanja dan utamakan keperluan asas terlebih dahulu.

Hari ini saya kongsikan cabaran terbaru yang saya lalui ketika memperbaharui perlindungan insuran kereta persendirian. Beberapa tahun kebelakangan ini premium insuran bermotor telah naik mendadak dan anda boleh membaca artikel yang telah saya tulis sebelum ini di sini.

Saya juga telah melalui pelbagai cabaran dengan kerenah syarikat insuran beberapa tahun yang lepas ketika memperbaharui insuran bermotor sebelum layak untuk memperolehi cukai jalan kenderaan.

Anda boleh membaca cabaran yang saya lalui tahun lepas di sini ketika ingin memperbaharui insuran bermotor.

Tahun ini saya masih bertekad untuk membeli insuran pihak ke-3 (3rd party insurance) sahaja untuk kenderaan saya dan telah kembali kepada agen insuran yang sama tahun lepas. Kali ini agen syarikat insuran memberitahu saya mereka tidak lagi memberi perlindungan insuran pihak ke-3 sahaja dan jika nak juga insuran pihak ke-3, wajib membeli perlindungan tambahan iaitu 'fire & theft' atau PA (personal accident). Ini adalah cabaran yang telah saya lalui beberapa tahun yang lepas.

Walaupun ketika itu (2 minggu yang lepas) merupakan hari terakhir cukai jalan saya tamat tempoh, saya bertekad tidak mahu dipaksa membeli insuran dengan perlindungan tambahan dahulu dan membuat aduan kemudian. Sebabnya ialah syarikat insuran tidak akan membatalkan perlindungan yang telah dibeli berdasarkan pengalaman lepas.

Saya bertekad untuk tidak memperbaharui cukai jalan seandainya saya tidak berjaya mendapatkan perlindungan insuran pihak ke-3 sahaja. Jika saya ditahan penguatkuasa kerana cukai jalan tamat tempoh, saya akan guna alasan syarikat insuran tidak mahu memberi perlindungan kepada saya. Tujuan saya cuma satu, iaitu untuk memperbesarkan isu ini sehingga ke pengetahuan Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam masa yang sama, saya membuat aduan kepada BNM seperti yang saya telah lakukan tahun lepas namun kali ini tiada maklumbalas dari pihak BNM.

Seterusnya saya menghubungi PIAM (Persatuan Insuran Am Malaysia) dan mereka tidak memperdulikan aduan saya dengan menyuruh saya mencari serta berbincang dengan syarikat insuran.

Untuk pengetahuan semua, walaupun cukai jalan saya telah tamat tempoh dan tanpa perlindungan insuran bermotor, saya gagahi juga satu per satu syarikat insuran dan tiada satu pun yang berminat memberi perlindungan pihak ke-3 sahaja kepada saya. Jawapan mereka mudah, 'ini polisi syarikat'.

Walaupun saya tahu syarikat insuran tidak boleh memaksa saya membeli perlindungan tambahan namun boleh dikatakan semua syarikat insuran bersatu melakukan diskriminasi kepada pelanggannya dan BNM membisu seribu bahasa.

Seterusnya saya lihat kembali polisi insuran tahun lepas dan mendapati bahawa kereta saya dilindungi oleh MMIP (Malaysia Motor Insurance Pool). Saya cari laman sesawang mereka dan seterusnya menghantar aduan kepada mereka melalui e-mail.

Pada hari berikutnya, pihak MMIP telah 'reply' e-mail saya dan meminta maklumat tambahan untuk pemeriksaan lanjut. Di akhir e-mail mereka tertera slogan 'We Protect everyone'.

Beberapa hari selepas itu pihak MMIP telah menghantar satu lagi e-mail kepada saya serta syarikat insuran yang berkhidmat sebagai 'servicing insurer' termasuk syarikat insuran yang tidak mahu memberi perlindungan kepada saya di atas.

Pada sebelah petangnya saya menerima 'quotation' dari syarikat insuran tersebut dan percaya atau tidak, kali ini mereka memasukkan perlindungan PA (personal accident) dan premiumnya ialah RM171.85.

Saya jawab e-mail tersebut dan memberitahu bahawa pihak insuran tidak mahu memberi insuran pelindungan pihak ke-3 sahaja kepada saya.

Pagi semalam pihak MMIP telah menelefon saya dan mengarahkan saya supaya kembali kepada syarikat insuran terbabit dan jika mereka memaksa saya membeli perlindungan tambahan supaya menghubungi mereka semula.

RM80.85 sahaja...

Semuanya berjalan dengan lancar selepas itu, saya cuma perlu memberitahu pihak insuran supaya memperbaharui insuran seperti tahun lepas dan saya cuma perlu membayar RM80.85 sahaja. Ianya lebih murah berbanding tahun lepas iaitu RM90.50.

Sesuatu yang aneh berlaku kali ini ialah saya cuma perlu mengisi borang sahaja tanpa disuruh membawa salinan kad pengenalan serta kad pendaftaran kenderaan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Kenapa perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan cukai jalan kereta anda? Ini juga merupakan salah satu cara kita berjimat ketika susah menghadapi pandemik CoVid-19. Kerajaan seharusnya memandang berat isu ini sebab rakyat dipaksa berbelanja lebih oleh syarikat insuran.

2 minggu memandu tanpa cukai jalan...

Masalah insuran tahun ini telah selesai namun saya tidak pasti apa pula cabaran yang harus saya lalui tahun hadapan.

Terima kasih MMIP sebab perihatin dan saya kini yakin dengan slogan anda 'We Protect Everyone'.

Nota kaki: Jika kenderaan anda masih dicagar di bank untuk membuat pinjaman, anda harus membeli insuran perlindungan menyeluruh (comprehensive) atau juga dipanggil 1st party insurance. Itu adalah syarat wajib bank ketika membuat pinjaman. Hanya kenderaan yang telah habis membayar pinjaman boleh memilih untuk membeli insuran perlindungan pihak ke-3.

2 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasih, ini hak kita untuk memilih jenis perlindungan yang kita nak tetapi agen insuran mengambil kesempatan dengan memaksa kita membeli perlindungan tambahan jika memilih '3rd party coverage'. Lapor kepada BNM pun tiada tindakan. Pernah sekali BNM janji secara lisan dengan saya suruh pihak insuran 'refund' tetapi habuk pun takda...

      Delete

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.