Friday 27 September 2019

Buah Embang/Bambangan/Mawang (Mangifera pajang) mampu bunuh sel kanser payudara

Buah embang/bambangan/mawang atau nama saintifiknya Mangifera pajang, merupakan ahli keluarga Anacardiaceae dan genus Mangifera. Buah mangga (Mangifera indica), bacang (Mangifera foetida) dan kuini (Mangifera odorata) merupakan ahli keluarga terdekat buah embang.
Buah Embang
Buah embang berasal dari Borneo. Ia merupakan buah yang mempunyai rasa manis atau masam dan kandungan serat yang sangat tinggi. Ia mempunyai aroma seakan-akan mangga. Berat sebiji buah embang boleh mencecah 0.5 kg sehingga 1 kg.

Daun dan buah bambangan banyak digunakan di dalam masakan masyarakat Sabah dan Sarawak. Antaranya daun pokok bambangan dibuat ulam bersama sambal belacan, dan buah embang dibuat jeruk.
Potong bahagian atas...
Hasil carian di pangkalan jurnal berindeks, pencarian menggunakan kata kunci “Mangifera pajang” memberikan 33 artikel. Hanya sekitar 25 artikel kajian buah bambangan berkaitan sebatian kimia dan potensi bioaktiviti antaranya antioksidan dan antikanser. Terdapat satu kertas kajian ke atas tikus, manakala selebihnya adalah kajian ke atas sel kanser. Masih belum ada kajian pilot klinikal ke atas manusia akan potensi buah embang sebagai ubat kanser.
Belah kulitnya...
Kumpulan sebatian kimia semulajadi yang utama di dalam kulit, isi dan biji buah embang adalah dari kelas flavonoid dan asid fenolik. Sesetengah sebatian kimia ini juga terdapat di buah mangga seperti sebatian mangiferin.
Kopak kulit yang telah dibelah...
Potensi perubatan mangiferin banyak dikaji dan ia menunjukkan potensi perubatan yang meluas. Kandungan mangiferin dalam kulit buah embang adalah lebih tinggi berbanding kulit dan daun buah mangga. 

Sebatian kimia subkelas flavonoid iaitu isoflavonoid, merupakan phytoestrogen semula jadi juga didapati di dalam buah kuini, bacang dan buah embang. Sebatian ini dikenali sebagai daidzein dan genistein, sebatian kimia yang sama ditemui di dalam soya. 
Dah tanggal dari kulitnya...
Selain itu, buah embang yang berwarna kekuningan kaya dengan sebatian kimia carotenoid, iaitu kelas sebatian kimia yang sama seperti vitamin A. Selain itu, ia juga kaya dengan sebatian polisakarida, iaitu sejenis sebatian makromolekul yang mempunyai unit asas glukosa.

Kajian bioaktiviti merujuk kepada kajian potensi perubatan menggunakan sel, atau bioaktiviti berasaskan ‘chemical-based assay’ iaitu bioaktiviti yang mimik kepada satu situasi dalam badan manusia menggunakan bahan kimia.
Makan isinya...
Berbanding buah mangga, buah embang menunjukkan sifat antioksidan memerangkap radikal bebas yang jauh lebih tinggi berbanding buah mangga . ‘Total Phenolic Content’ atau Kandungan Sebatian Fenolik buah embang dalam jumlah lebih kurang sama dengan buah mangga menggunakan kaedah assay Folin Ciocalteu. 

Kulit dan biji buah embang menunjukkan sifat antioksidan memerangkap radikal bebas yang lebih baik berbanding isi buah embang. Penapaian buah embang pada suhu 38 C memberikan kandungan sebatin fenolik dan aktiviti antioksidan yang lebih tinggi.
Kulit buah embang juga boleh di makan...
Buah embang dikaji untuk aktiviti antikanser, menggunakan sel kanser payudara MCF-7 dan MDA-MB-231. HANYA EKSTRAK BIJI BUAH EMBANG yang menunjukkan aktiviti antikanser pada nilai IC50 masing-masing pada 23 pada 31 μg/mL untuk sel MCF-7 dan MDA-MB-231. Kandungan asid fenolik dalam biji buah embang dipercayai menyumbang kepada aktiviti tersebut. Kajian ini masih pada peringkat penemuan dan belum memasuki fasa pra-klinikal.

Selain itu, ekstrak biji (kernel) buah embang juga mempunyai aktiviti perlindungan terhadap kesan oksidatif terhadap sel hati manusia (HepG2) pada kepekatan 1.2 µg/ml.
Isi pada bahagian kulit sedikit keras berbanding isinya...
Buah embang merupakan buah tropika berkhasiat tinggi, kaya dengan nutrisi, phytonutrients dan sebatian fenolik.

Namun begitu, pembaca dinasihatkan untuk tidak melengahkan rawatan kemoterapi atau pembedahan yang dicadangkan pakar perubatan kerana ingin mencuba buah bambangan kerana kajian masih pada peringkat penemuan.
Biji buah embang...
Menurut kajian yang dilakukan, potensi melawan sel kanser payu dara setakat ini hanya pada piring petri dan HANYA BIJI BUAH EMBANG yang didapati berpotensi membunuh sel kanser tersebut.
Biji buah embang yang telah dibelah...
Kajian lanjutan masih diperlukan untuk menilai keberkesanan BIJI (KERNEL) BUAH EMBANG bagi merawat kanser payudara.

Sumber

1 comment:

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.