Monday 9 November 2020

Insuran pinjaman perumahan MRTA/MRTT

Secara amnya, insuran terbahagi kepada 2 jenis iaitu insuran am (general insurance) dan insuran nyawa (life insurance).

Insuran Am (general insurance)

Jika anda berhajat ingin menjadi agen insuran, anda perlu lulus ujian untuk mendapatkan sijil dari institut insuran Malaysia (Malaysia Insurance Institute). Saya memiliki kedua-dua sijil ketika berkhidmat sebagai pegawai di syarikat perbankan pada tahun 2002 seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Insuran nyawa (life insurance)

Hanya pegawai yang mengendalikan insuran sahaja harus wajib lulus serta memiliki sijil seperti di atas. Ketika itu saya berkhidmat di bahagian pinjaman (loan/credit) yang juga harus mengendalikan semua insuran pinjaman.

Jika anda mempunyai pinjaman di bank, anda wajib membeli insuran tertentu bagi memenuhi syarat pinjaman. Sebagai contoh, jika anda membuat pinjaman untuk membeli kenderaan bermotor, sebagai peminjam anda diwajibkan membeli perlindungan insuran bermotor menyeluruh (comphrensive motor insurance) atau juga dikenali sebagai 'first party insurance' dan jika anda membuat pinjaman perumahan, anda diwajibkan membeli insuran kebakaran (fire insurance).

Pada mulanya pihak bank mempunyai panel insuran sendiri atau juga dikenali sebagai 'bancassurance' namun setelah syarikat kewangan dan bank menjalani proses penggabungan (merger) berikutan krisis kewangan asia pada tahun 1997, syarikat kewangan telah lenyap dan hanya bank sahaja yang tinggal sehingga ke hari ini.

Setelah proses penggabungan selesai, majoriti bank mula memiliki syarikat insuran sendiri dan mereka mewajibkan peminjam supaya membeli perlindungan insuran kepunyaan mereka masing-masing. Sebagai contoh, Etiqa insurance merupakan insuran  milik maybank, Lonpac insurance pula milik Public bank dan lain-lain. Syarikat insuran mereka juga mempunyai produk insuran patuh syariah iaitu Takaful.

Itu serba sedikit sejarah insuran yang saya lalui ketika masih berkhidmat di syarikat kewangan/bank. Dari maklumat di atas kita boleh lihat bahawa selain daripada memberi pinjaman kewangan, pihak bank telah memulakan perniagaan insuran. Kenapa?

Sebabnya mudah iaitu keuntungan dari premium insuran jauh lebih menguntungkan daripada pinjaman kewangan. Tahukah anda bahawa peminjam kini diwajibkan pula oleh pihak bank untuk membeli insuran perlindungan pinjaman seperti MRTA (mortgage reducing term assurance), MRTT (mortgage reducing term takaful), MRPA (mortgage reducing personal accident) dan sebagainya.

Jika kita lihat kembali ke zaman datuk/nenek atau ayah/ibu kita dalam tahun 60an/70an, saya diberitahu bahawa mereka hanya boleh membuat pinjaman sebanyak 50% sahaja dari harga rumah. Sebagai contoh, jika mereka membeli rumah yang berharga RM20,000 dan berhajat membuat pinjaman bank, mereka hanya layak membuat pinjaman sebanyak RM10,000 sahaja.

Ketika zaman saya membuat pinjaman perumahan pada tahun 90an, saya layak mendapat pinjaman sehingga 90% dari harga rumah yang dibeli. Rumah pertama saya beli pada tahun 1996 dengan harga RM112,000 dan saya layak membuat pinjaman sebanyak RM100,000 selama 15 tahun pada kadar faedah 4% p.a. dengan bayaran bulanan RM740.00. Kami hanya diwajibkan membeli perlindungan insuran kebakaran sahaja ketika itu dengan premiun tahunan kira-kira dalam RM150 setahun.

Hari ini jika anda berhajat membeli rumah, anda layak membuat pinjaman sehingga 110% dari harga rumah dengan syarat membeli perlindungan insuran MRTA/MRTT/MRPA dan ianya boleh digabungkan bersama pinjaman perumahan.

Sebagai contoh jika harga rumah yang dibeli ialah RM300,000 dan premium insuran MRTA/MRTT ialah RM15,000, anda boleh membuat pinjaman penuh sehingga RM315,000 termasuk premium insuran. Anda hanya perlu sediakan wang untuk bayaran khidmat guaman (legal fee) serta perlindungan insuran kebakaran sahaja. Ada sesetengah bank yang menanggung kos guaman dan pembeli tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk membeli rumah.

Untuk makluman semua, kini pihak bank tidak mahu memberi pinjaman perumahan tanpa perlindungan insuran MRTA/MRTT. Setakat blog ini ditulis, peminjam sebenarnya tidak wajib untuk membeli insuran MRTA/MRTT dalam mana-mana akta di negara kita dan ianya hanya diwajibkan oleh pihak peminjam (bank) sahaja. Jika ada bank yang memberi pinjaman perumahan tanpa perlindungan insuran MRTA/MRTT, saya yakin kadar faedahnya berbeza dan lebih tinggi dari pinjaman perumahan sedia ada.

Tujuan perlindungan insuran MRTA/MRTT ialah untuk mengurangkan risiko pinjaman kepada pihak bank jika peminjam tidak dapat membayar pinjaman akibat kehilangan punca pendapatan seperti kehilangan nyawa atau kehilangan keupayaan kekal (total permanent disability/TPD). Jika anda ingin tahu lebih lanjut perlindungan MRTA/MRTT sila rujuk kepada pihak bank yang memberi perlindungan tersebut.

Sebagai contoh, jika berlaku kehilangan nyawa atau TPD kepada si peminjam sebelum habis membuat bayaran balik pinjaman, insuran perlindungan MRTA/MRTT akan melangsaikan hutang pinjaman si peminjam.

Suka saya kongsikan pengalaman saya bekerja di syarikat kewangan/bank selama lebih 10 tahun dan untuk pengetahun semua, tiada satu pun tuntutan insuran kebakaran sepanjang perkhidmatan saya selama berkhidmat ketika itu.

Hanya ada satu tuntutan sahaja melibatkan perlindungan MRTA/MRTT sepanjang berkhidmat di syarikat kewangan/bank iaitu melibatkan pinjaman rumah kedai dan peminjam merupakan suami & isteri. Perlindungan insuran MRTA/MRTT juga atas nama suami & isteri. Suami meninggal dunia akibat kanser dan pihak insuran hanya melangsaikan bahagian suami iaitu 50% sahaja. Si isteri masih perlu terus membuat bayaran ansuran bulanan untuk 50% lagi.

Berpandukan contoh di atas, pastikan anda membeli perlindungan insuran MRTA/MRTT atas nama si penjana pendapatan sahaja walaupun pinjaman dibuat atas nama suami isteri. Maksudnya jika sumber pendapatan adalah dari si suami, beli perlindungan MRTA/MRTT atas nama suami sahaja. Jika dua-dua adalah penjana pendapatan, beli perlindungan MRTA/MRTT atas nama yang membuat bayaran pinjaman perumahan sahaja. Jika dua-dua kongsi membuat bayaran, beli perlindungan atas nama yang akan kehilangan punca pendapatan (jika anda tahu) supaya insuran akan melangsaikan keseluruhan hutang perumahan anda sekiranya ada 'malang yang tidak berbau' menimpa si peminjam.

Dari senario di atas, jelas bahawa pihak insuran sentiasa di pihak yang menang. Buatlah pilihan yang tepat ketika membeli perlindungan insuran agar bermanafaat kepada anda.

Seperti yang semua sedia maklum bahawa ketika ini kita berhadapan dengan pandemik CoVid-19 dan rata-rata semua mengalami masalah kewangan terutamanya mereka yang mempunyai hutang seperti pinjaman kereta, perumahan dan sebagainya. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan moratorium namun hutang tetap hutang dan harus di bayar. Ramai yang menyalahgunakan kemudahan moratorium dengan menangguhkan bayaran walaupun masih menerima gaji penuh dan menghabiskan wang tersebut untuk membeli barangan yang telah lama diidam-idamkan.

Jika anda masih mengalami masalah membuat bayaran balik pinjaman setelah tamat tempoh moratorium, sila berhubung serta berbincang dengan pihak bank untuk menstruktur semula pinjaman anda (jika perlu) atau mungkin anda harus melepaskannya jika keadaan tidak mengizinkan. Jangan tunggu sehingga pihak bank mengeluarkan tindakan undang-undang (legal action) sebab ianya akan melibatkan kos dan memburukkan lagi keadaan.

Soalan terakhir saya ialah adakah perlindungan insuran itu perlu dan wajib dibeli? Insuran kenderaan bermotor adalah wajib sebab telah termaktub dalam akta pengangkutan jalan namun bagaimana pula dengan insuran pinjaman seperti MRTA/MRTA yang saya kongsikan di atas? Salah satu punca kenaikan kos sara hidup kini adalah disebabkan berbelanja pada sesuatu yang bukan keperluan seperti insuran.

Kerajaan sarankan rakyat supaya berbelanja ikut kemampuan dan utamakan pada keperluan sahaja namun kita dipaksa berbelanja lebih tanpa disedari sebab polisi syarikat perbankan yang tidak mesra pelanggan buat ketika ini. Pihak kerajaan seharusnya memberi perhatian khusus serta mengawal kegiatan ala samseng ini dari terus berleluasa dan pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Kepada mereka yang berhajat memiliki rumah dalam masa terdekat, pilihan di tangan anda sendiri dan saya yakin serta percaya tiada siapa yang terlepas daripada dipaksa membeli insuran perliundungan pinjaman seperti yang saya kongsikan di atas.

Fikir-fikirkan...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.