Tuesday, 24 November 2020

Japanese waterfall di bukit Kanada

Sejak beberapa bulan yang lepas, berita penemuan air terjun buatan manusia di bukit Kanada (Canada Hill) oleh sekumpulan 'hiker' telah menjadi berita hangat di Miri, Sarawak.

WW2 Japanese waterfall

Untuk makluman semua, pelantar minyak di darat pertama dibina di negara kita ialah di bukit Kanada pada tahun 1910 dan menghasilkan minyak selama 62 tahun sehingga tahun 1972.

Jalan masuk ke air terjun...

Menurut cakap-cakap dari orang ramai, nama air terjun buatan manusia tersebut ialah 'Japanese waterfall' berikutan kemungkinan ianya dibina ketika negara kita ditakluki Jepun.

Bahagian atas air terjun...

Gambar-gambar di atas dan di bawah merupakan keadaan persekitaran di kawasan air terjun tersebut yang sempat saya ambil pada hujung minggu lepas.

Pandangan dari tepi air terjun...

Struktur pembinaannya amat menarik dan hampir keseluruhannya disusun kemas dengan menggunakan batu bata serta disimen.

Pandangan dari atas ke bawah...

Ini termasuk keseluruhan dinding pada kiri dan kanan air terjun seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Air terjun buatan manusia...

Walaupun telah berusia puluhan tahun atau mungkin telah mencecah seabad, ianya kelihatan tegap selain beberapa bahagian tepi bahagian bawah sahaja yang jelas kelihatan retak/pecah akibat akar kayu serta hakisan.

Bahagian bawah air terjun...

Dalam perjalanan sebelum sampai ke air terjun tersebut saya ada menjumpai peralatan kegunaan seharian seperti baldi, kasut, selipar, bateri, mangkuk tandas moden (sila lihat gambar terakhir di bawah) dan sebagainya di kawasan persekitaran yang berdekatan.

Peralatan tersebut mungkin hasil peninggalan mereka yang pernah tinggal di situ suatu ketika dahulu.

Ketika saya baru berpindah ke Miri pada penghujung tahun 2004, kawasan tersebut merupakan rumah setinggan dan kesemua mereka telah ditempatkan semula di kawasan perumahan Tudan tidak lama selepas itu.

Saya berpendapat kemungkinan air terjun tersebut merupakan kawasan air tadahan untuk kegunaan harian pekerja serta penghuni pelantar minyak selama 62 tahun dari tahun 1910 sehingga 1972.

Lokasi air terjun tersebut juga tidak jauh dari 'the GRAND OLD LADY' atau juga dikenali sebagai 'Miri Well No.1' di atas bukit Kanada.

Satu lagi air terjun di bawahnya...

Tempoh yang diperlukan untuk berjalan kaki dari 'the GRAND OLD LADY' ke air terjun tersebut ialah kira-kira 15 minit sahaja.

Jika anda berhajat melawat air terjun tersebut, anda cuma perlu tanya para 'hiker' yang ada di 'the GRAND OLD LADY' setiap hari kedudukan lokasi No. 21 seperti boleh dilihat pada gambar ke-2 di atas.

Perjalanan dari lokasi No. 21 ke kawasan air terjun sedikit berbukit-bukau. Kira-kira 100m sebelum sampai ke air terjun tersebut, jalannya sedikit becak.

Segala penat lelah akan hilang sejurus selepas anda terdengar bunyi air terjun dan melihat sendiri keindahan persekitaran dengan bunyi kicauan burung.

Mangkuk tandas moden...

Jika ada kesempatan, pastikan anda luangkan masa melawat serta melihat dengan mata sendiri...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.