Monday, 2 November 2020

CASIO KL-780 EZ-Label Printer repair

Minggu lalu saya dirujuk sebuah mesin pencetak untuk mencetak label dengan masalah baterinya cepat habis walaupun tidak digunakan.

CASIO KL-780

Pemilik memberitahu saya bahawa kali terakhir baterinya hanya bertahan sehari sahaja dan tidak berfungsi lagi pada hari berikutnya.

Label pada bahagian belakang...

Benda pertama yang saya periksa ialah baterinya dan kesemuanya masih elok iaitu melebihi 1.5v setiap satu dan ianya masih baru.

6 biji bateri = 9v

Seterusnya saya buka mesin tersebut, jelas kelihatan papan litar yang bersambung dengan bateri kelihatan telah terhakis seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah penutup belakang dibuka...

Selain daripada itu, salah satu wayar kelihatan lebih besar berbanding dengan yang lain iaitu berwarna kuning seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Sambungan wayar tersebut tidak dipateri pada terminal negatif (-ve) bateri dan cuma disangkutkan pada lubangnya sahaja tanpa dipintal.

Wayar kuning penah ditukar...

Saya cuba pateri kembali sambungan pada bahagian negatif bateri tersebut namun tidak berjaya sebab wayar tembaganya telah teroksida dan berwarna hitam. Kerosakkan wayar tembaga tersebut adalah disebabkan oleh cecair bateri yang bocor sebelum ini.

Gantikan kembali warna hitam untuk wayar -ve...

Saya gantikan wayar kuning tersebut dengan wayar berwarna hitam seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Secara amnya, wayar berwarna hitam ialah untuk terminal negatif manakala wayar berwarna merah pula untuk terminal positif.

Siap...

Saya pasti wayar berwarna kuning tersebut telah ditukar sebelum ini oleh seseorang dan tidak dipateri sebab bahagian yang teroksida akibat cecair bateri tidak dibersihkan dan ianya tidak akan melekat jika dipateri.

Bateri yang cepat habis seperti dikhabarkan oleh pengadu sebenarnya adalah disebabkan sambungan pada terminal negatif yang tidak elok apabila ianya dialih. Selain menukar wayar kuning tersebut, saya juga bersihkan papan litar yang telah terhakis supaya tidak terhakis lagi dan mungkin boleh menyebabkan litar pintas suatu hari kelak.

Tested - ok

Sehingga blog ini ditulis, mesin pencetak tersebut telah dipulangkan kepada pemilik lebih daripada seminggu tanpa sebarang aduan.

Selamat mencuba...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.