Sunday, 11 September 2022

Shopee vs Lazada vs AliExpress

Saya telah beberapa tahun berurusan dengan pembelian di atas talian iaitu sebelum PKP dek kerana pandemik CoVid-19 lagi.

Laman yang sering saya lawati ialah Shopee, Lazada, AliExpress, element14 dan beberapa lagi yang lain.

Tidak dapat dinafikan pembelian di atas talian adalah cara terbaru membeli belah dan ianya sangat selesa (convenient) tanpa perlu bersesak serta berebut dan yang paling utama ialah harganya jauh lebih murah berbanding mana-mana di pasaran tempatan.

Pada mulanya saya rasa tidak selesa dengan tempoh penghantaran yang lama untuk tiba namun itu lah hakikat yang perlu dihadapi orang ramai serta tidak dapat dielakkan.

Kos penghantaran pada mulanya cuma RM4 sahaja dan kini telah mencecah belasan ringgit untuk bungkusan kecil sahaja.

Sesuatu yang pelik ialah kos penghantaran dari luar negara terutamanya dari tembok besar China lebih murah berbanding pembelian dalam negara.

Kadang-kadang barangan dari luar negara tiba dahulu berbanding barangan dalam negara walaupun kena bayar lebih.

Kita sering mendengar banyak masalah yang tidak menyenangkan sewaktu membeli belah di alam maya dan tidak kurang juga ramai yang ditipu dengan bermacam-macam cara.

Hari ini saya kongsikan tahap keselamatan membeli belah di alam maya dan perbandingannya hanya pada tiga gedung yang sering saya lawati iaitu Shopee, Lazada & AliExpress sahaja.

Secara keseluruhan, ketiga-tiganya selamat sebab setakat ini tiada kes yang saya rasa ianya telah menipu saya selama berurusan dengan mereka.

Faktor yang sering saya titik beratkan sewaktu membeli belah di alam maya ialah keselamatan sewaktu membuat pembayaran. Di antara ketiga-tiga gedung tersebut, saya pilih shopee paling selamat sebab setiap kali membuat pembayaran, sistem shopee akan menghantar OTP (One Time Password) ke telefon bimbit kita untuk pengesahan.

Lazada & AliExpress saya berpendapat kurang selamat sebab ketika membuat pembayaran, tiada OTP diperlukan. Kita cuma perlu klik butang 'pay now' dan semua selesai serta tunggu barangan yang dibeli tiba.

Majoriti pembelian kini dilakukan menggunakan telefon bimbit dan kemungkinan ada yang masih menggunakan komputer untuk berurusan. Saya juga yakin ramai yang tidak 'logout' dari aplikasi setiap kali selesai menggunakannya terutamanya aplikasi telefon bimbit.

Apa akan berlaku jika telefon bimbit kita jatuh ke tangan orang lain, mereka juga boleh melakukan pembelian tanpa pengetahuan kita terutamannya aplikasi AliExpress & Lazada.

Begitu juga jika orang lain yang menggunakan komputer kita tanpa pengetahuan kita, peluang sangat tinggi berlakunya kecurian atau pembelian tanpa pengetahuan kita.

Selain daripada keselamatan, kerugian akan terjadi jika berlakunya kehilangan barangan yang kita beli atau tiada bekalan pada aplikasi AliExpress.

Walaupun jika berlakunya kehilangan barangan yang dibeli, pihak AliExpress akan membuat penyiasatan setelah kita membuat aduan dan tiada masalah untuk mendapatkan semula wang kita namun sering tidak cukup atau kurang dari apa yang kita telah bayar sebelumnya.

Sebabnya ialah transaksi di AliExpress menggunakan matawang US dollar dan kita tahu kadar pertukaran matawang berbeza ketika membeli serta menjual walaupun pada hari yang sama. Kadar sewaktu membeli biasanya lebih tinggi berbanding kadar ketika menjual. Jadi, kita rugi disebabkan perbezaan 'foreign exchange rate'.

Dari pengalaman di atas, pilihan utama saya membeli belah di alam maya ialah Shopee dan pilihan terakhir pula ialah AliExpress.

Saya tidak pernah membeli di gedung ebay, amazon serta taobao sebab kos penghantarannya sangat mahal dan tidak berbaloi jika dibandingkan dengan pembelian di pasaran tempatan secara tunai.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.