Sunday, 3 January 2021

FOREX

FOREX atau FX ialah singkatan untuk 'foreign exchange' yang merujuk kepada urusniaga melibatkan mata wang asing.

Kadar pertukaran USD/MYR - Dec 2020

Kadar pertukaran mata wang berubah-ubah dan ditentukan mengikut bekalan (supply) dan permintaan (demand) di pasaran mata wang dunia. Gambar di atas saya ambil dari carian Google dan menunjukkan kadar pertukaran ringgit berbanding dollar amerika sepanjang bulan lepas.

Mungkin anda pernah mendengar mengenai pelaburan FOREX sebelum ini dan tahukah anda bagaimana mendapat keuntungan atau kerugian melaluinya?

Secara ringkasnya, anda akan untung jika membeli pada kadar rendah dan menjualnya pada kadar yang tinggi dan sebaliknya, anda akan rugi jika membeli pada kadar yang tinggi dan menjualnya pada kadar yang rendah.

Beli pada 25/10/2020 - USD35.00

Untuk ilustrasi supaya mudah difahami, saya guna pengalaman membeli barangan melalui atas talian yang menggunakan mata wang asing.

Pada penghujung tahun lepas saya membeli sesuatu secara atas talian di AliExpress dan harganya ialah USD35 seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Nasib tidak menyebelahi saya sebab barangan yang dibeli rosak ketika diterima dan saya meminta bayaran balik (refund). Setelah berbincang dengan penjual, saya mendapat bayaran balik penuh iaitu USD35 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Refund pada 22/11/2020 - USD35.00

Gambar seterusnya saya ambil dari penyata akaun bank saya iaitu:-

  1. akaun saya dipotong RM148.22 pada 28/11/2020 ketika membuat pembelian.
  2. akaun saya dimasukkan RM140.68 pada 26/11/2020 ketika mendapat bayaran balik.

Transaksi dalam MYR (RM)

Walaupun harga belian dan jumlah bayaran balik adalah sama iaitu USD35.00 namun apabila ditukar kembali ke mata wang kita iaitu ringgit malaysia, jumlahnya berbeza dan saya kehilangan RM7.54. Kenapa?

Sebabnya ialah:-

  1. Kadar pertukaran ketika membeli pada 25/10/2020 berbeza dengan kadar pertukaran ketika mendapat bayaran balik pada 22/11/2020.
  2. Kadar belian serta kadar jualan mata wang asing yang ditetapkan oleh bank juga berbeza dan ianya merupakan keuntungan pihak bank seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

as at 31/12/2020

Maksudnya jika saya membeli dan menjual pada masa yang sama, saya tetap akan rugi sebab perbezaan kadar belian serta kadar jualan adalah berbeza.

as at 31/12/2020

Jika pembelian saya di atas menggunakan mata wang kita sendiri iaitu ringgit malaysia, tiada masalah sedemikan berlaku sebab tidak melibatkan pertukaran mata wang asing (FOREX).

Fikir dahulu sebelum membuat pelaburan FOREX terutamanya melibatkan transaksi atas talian sebab majoriti adalah 'scammer' yang menjanjikan bulan dan bintang. Modus operandi mereka setelah berjaya memujuk orang ramai membuat pelaburan FOREX ialah memberi pulangan seperti yang dijanjikan supaya pelaburnya terus dan akan membuat pertambahan pelaburan atau membawa orang ramai melabur bersama sehingga satu hari mereka lesap dan tidak dapat dihubungi lagi.

Saya pernah menerima panggilan dari mereka yang memperkenalkan diri sebagai agen pelaburan FOREX yang berpengkalan di luar negara. Saya juga pernah layan panggilan mereka sebab ingin tahu bagaimana cara mereka menipu. 

Saya tidak pernah terbuka hati dengan pelaburan FOREX yang melibatkan atas talian sebab tiada jaminan wang yang kita pindahkan kepada mereka itu masih milik kita. Sebagai contoh, jika kita menyimpan wang di bank, sekurang-kurangnya kita ada akaun bank atas nama kita dan ianya milik kita.

Pemindahan wang kita kepada agen pelaburan FOREX atas talian adalah umpama memberi wang kita kepada orang yang tidak dikenali dan tiada jaminan ianya masih milik kita lagi. Kata orang 'duit tiada mata' (錢沒眼), jika ianya berada ditangan saya, ia adalah milik saya namun jika ianya terjatuh dan dikutip orang lain, ianya adalah milik orang lain.

Jangan jadi mangsa pelaburan FOREX atas talian yang menjanjikan bulan dan bintang...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.