Sunday 10 January 2021

DIY wireless power transfer (WPT) / wireless energy transfer (WEP)

Umum mengetahui bahawa telefon bimbit berjenama kini popular dengan pengecasan bateri tanpa wayar (wireless charger). Tahukah anda bagaimana ianya berfungsi?

Gambar di atas adalah projek yang paling mudah telah saya siapkan untuk menunjukkan kepada anda bagaimana tenaga elektrik boleh dipindahkan tanpa wayar.

Komponen yang diperlukan ialah:-

  1. sebiji bateri bersaiz AA (1.5v)
  2. sebiji transistor NPN (BC546)
  3. Sebiji perintang 1kΩ
  4. sebiji LED
  5. wayar tembaga bersalut (enameled copper wire)

Cara membuatnya ialah:- 

  1. sediakan satu gegelung (gegelung pertama) dengan menggunakan wayar tembaga bersalut sebanyak 16 lilitan (16T) dan sambungkan sebiji lampu LED kepadanya seperti boleh dilihat pada sebelah kiri gambar di atas. Diameter lilitan ialah kira-kira 6cm dan saya lilitkan pada gelas supaya bentuknya bulat serta kemas.
  2. sediakan dua gegelung (gegelung ke-2) dengan menggunakan wayar tembaga bersalut sebanyak 8 lilitan (8T) setiap satu dan gabungkannya (Y) seperti boleh dilihat pada sebelah kanan gambar di atas. Pastikan kesemua gegelung dililit mengikut arah jam dan kesemua saiz gegelung haruslah sama.
  3. sambungkan terminal 'collector' (C) transistor kepada salah satu hujung (X/Z) gegelung ke-2 di atas.
  4. sambungkan sebiji perintang 1kΩ pada terminal 'base' (B) dan perintang tersebut disambung kepada satu lagi hujung (X/Z) gegelung ke-2 di atas.
  5. sambungkan terminal negatif (-ve) bateri kepada terminal 'emitter' pada transistor.
  6. Sambungkan terminal positif (+ve) bateri kepada terminal di mana kedua-dua gegelung ke-2 bersambung (Y).
Testing...
Setelah langkah 1 - 6 di atas siap, ambil gegelung pertama yang mempunyai LED dan dekatkan kepada gegelung ke-2. Lampu LED akan menyala apabila didekatkan seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Testing...

Lampu LED menyala walaupun kedua-dua gegelung tidak bersentuh dan jika anda lihat klip video di bawah, saya telah lapiskan dengan menggunakan plastik berwarna hitam.

Proses pemindahan tenaga di atas adalah secara elektromagnet. Konsep seperti ini juga digunakan pada 'induction cooker' serta 'switching mode power supply' (SMPS).

Untuk memudahkan lagi pemahaman, konsep pemindahan tenaga secara elektromagnet di atas adalah sama dengan konsep transformer liner dengan arus ulang-alik (alternative current - AC).


Arus terus (direct current - DC) dari bateri ditukar kepada arus ulang-alik berfrekuensi tinggi dengan menggunakan transistor BC546 untuk menghasilkan elektromagnet.
 
Elektromagnet yang terhasil kemudian dipindahkan kepada gegelung yang dilengkapi dengan lampu LED di atas apabila didekatkan kepadanya.

Selamat mencuba...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.