Thursday 18 February 2021

Tolerance Letter Coding for Resistors & Capacitors

Jika anda melibatkan diri dalam kerja-kerja baiki-membaiki barangan elektronik, anda pasti menghadapi masalah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

K vs J?
Komponen pada papan litar tercatat 0.5ΩK namun bila cari alat ganti hanya menemui 0.5ΩJ, Boleh pakai ke tak? Itu lah soalan yang sering diajukan kepada saya.

Hari ini saya akan terangkan supaya tidak lagi diajukan soalan seperti di atas. Huruf yang sentiasa ditemui pada komponen ialah J dan K. Untuk pengetahuan semua, anda boleh rujuk pada gambar di atas untuk nilai 'tolerance' bagi huruf masing-masing.

Perintang seramik

Huruf-huruf tersebut banyak digunakan pada perintang dan kapasitor. Anda mungkin perasan bahawa kini majoriti huruf J ditemui dan jarang-jarang kelihatan huruf K, kenapa? (baca sampai habis jika ingin tahu)

3K3J = 3.3kΩ, -/+5%

Sebelum menjawab soalan di atas, saya nak tunjukkan kepada anda maksudnya dahulu dengan dua contoh seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Nombor rujukan tertera pada gambar di atas ialah 3K3J yang bermaksud 3.3kΩ dan J bermaksud -/+5%. Maksudnya nilai sebenar perintang tersebut bukannya tepat 3.3kΩ tetapi berbeza 5% dari 3.3kΩ. 5% dari 3.3kΩ ialah 0.165kΩ. Maka nilai sebenarnya ialah di antara 3.135kΩ (3.3 - 0.165) sehingga 3.456kΩ (3.3 + 0.165) dan bila diukur saya dapat bacaan 3.26kΩ seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Nombor rujukan tertera pada gambar di bawah pula ialah 220KJ yang bermaksud 220kΩ dan J bermaksud -/+5%. Maksudnya nilai sebenar perintang tersebut juga bukannya tepat 220kΩ tetapi berbeza 5% dari 220kΩ. 5% dari 220kΩ ialah 11kΩ. Maka nilai sebenarnya ialah di antara 209kΩ (220 - 11) sehingga 231kΩ (220 + 11) dan bila diukur saya dapat bacaan 216kΩ seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

220KJ = 220kΩ, -/+5%

Begitu juga dengan kapasitor, huruf-huruf di belakang nilai yang tertera padanya juga menggunakan rujukan yang sama.

Kapasitor

Sebagai contoh, jika dilihat pada gambar di bawah, nombor rujukkannya ialah 684J yang bermaksud 680nF dan J bermaksud -/+5%. Maksudnya nilai sebenar kapasitor tersebut bukannya tepat 680nF tetapi berbeza 5% dari 680nF. 5% dari 680nF ialah 34nF. Maka nilai sebenarnya ialah di antara 646nF (680 - 34) sehingga 714nF (680 + 34) dan bila diukur saya dapat bacaan 683nF seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

684J = 680,000pF = 680nF, -/+5%

Harus diingat, bacaan nilai kapasitor hanya betul ketika ianya masih baru dari kilang serta belum digunakan dan bukannya diambil dari papan litar sebab nilainya akan berkurangan setelah sekian lama digunakan.

Anda mungkin bertanya pula, perbezaannya hanya kira-kira dalam 1% sehingga 2% sahaja dari nilai asal, kenapa tak guna huruf F atau G? Untuk makluman semua, semua komponen diukur pada suhu 25 darjah celcius sebagai 'standard' oleh pengilang dan bacaan yang saya dapat ialah pada suhu bilik iaitu mungkin mencecah sehingga 30 darjah celcius. Bacaan biasanya berubah mengikut suhu.

R22RF = 0.22Ω, -/+1%

Mari kita lihat gambar di atas pula. Nombor rujukannya ialah R22RF yang bermaksud 0.22Ω dan F bermaksud -/+1% Maksudnya nilai sebenar perintang tersebut bukannya tepat 0.22Ω tetapi berbeza 1% dari 0.22Ω. 1% dari 0.22Ω ialah 0.0022Ω. Maka nilai sebenarnya ialah di antara 0.2178Ω (0.22 - 0.0022) sehingga 0.2222Ω (0.22 + 0.0022). Saya tak dapat ukur rintangan perintang di atas sebab gambar di ambil dari atas talian.

Dari contoh-contoh di atas, kesimpulannya ialah nilai yang tercatat pada komponen bukannya 100% tepat tetapi berada diantara julat tertentu dengan berpandukan huruf yang tercatat di belakangnya.

Cerita di sebaliknya ialah pihak pengeluar (kilang) sedaya-upaya membuat komponen dengan nilai paling hampir dan nilainya sentiasa berbeza-beza. Label pada komponen hanya dicetak setelah komponen telah siap dan diukur.

Jika nilainya berbeza sehingga 10% dari nilai asalnya, maka huruf K akan digunakan pada label. Jika berbeza sehingga 15% dari nilai asal, maka huruf L pula akan dicetak pada labelnya.

Teknologi kini semakin canggih dan pihak pengilang kini mampu menghasikan setepat mungkin dari nilai yang ingin dibuat. Itu lah sebabnya kenapa kini huruf K jarang-jarang muncul sebagai label pada komponen. Adakah saya telah menjawab soalan di atas?

Bagaimana pula kalau gantikan komponen yang menggunakan huruf K dengan J? Saya rasa anda boleh jawab sendiri dan buat keputusan jika faham apa yang saya terangkan di atas.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.