Minggu lepas saya telah dirujuk sebuah mini Hi-Fi berjenama ONKYO, model: DR-645 dengan masalah langsung tidak berfungsi apabila diuji.
ONKYO DR-645 |
Menurut pemilik, masalah pada awalnya ialah ianya padam dengan sendiri ketika mendengar muzik dan boleh dihidupkan semula pada hari berikutnya. Kali kedua kejadian sama berulang iaitu padam secara tiba-tiba lagi, ianya langsung tidak dapat dihidupkan semula.
Made in China... |
Pemilik juga telah menghantarnya untuk dibaiki namun tidak berjaya sebelum dirujuk kepada saya. Saya kadang-kadang malas nak layan benda yang telah dibuka orang lain namun ingin mencuba juga sebab jika berjaya dibaiki, ianya adalah iklan percuma untuk saya. Hahaha...
CE89 hilang... |
Apabila dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, saya dapati dua biji kapasitor besar berlabel CE89 & CE41 pada bahagian amplifier telah tiada seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah. Ini lah salah satu sebab kenapa saya malas layan benda yang telah dibuka orang lain, komponen pun nak curi...
CE41 hilang... |
Setelah kedua-dua kapasitor di atas saya ganti serta diuji, ianya masih gagal dihidupkan. Apabila saya periksa voltan pada papan litar ketika diuji, saya dapati tiada bekalan elektrik 12v untuk menghidupkan relay Hi-Fi tersebut.
R235, CB170 & R224 hilang... |
Seterusnya saya buka semula serta periksa dengan lebih teliti dan mendapati ada 3 lagi komponen hilang dari papan litar iaitu berlabel R235, CB170 & R224 dan kedudukannya adalah seperti pada gambar di atas. Ini juga antara sebab kenapa saya malas layan benda yang telah dibuka orang lain, saya rasa ini bukan kes curi tetapi tak pandai pasang balik semula atau mungkin telah hilang sebab terlalu halus.
47Ω & 22kΩ |
Saya cari schematic untuk Hi-Fi tersebut di internet dan anda boleh rujuk di sini. Komponen yang hilang tersebut ialah:-
- R235 - 22kΩ
- CB170 - 0.1uF
- R224 - 39Ω
- CE41 - 2200uF, 25v
- CE89 - 2200uF, 35v
Perintang baru telah dipasang... |
Saya mengalami masalah bekalan untuk perintang 39Ω dan terpaksa menggantikannya dengan 47Ω. Gambar di atas menunjukkan perintang 22kΩ dan 47Ω telah siap saya pasang pada papan litar. Saya juga tidak mempunyai kapasitor untuk CB170 (0.1uF) dan terpaksa abaikannya sahaja.
Siap... |
Saya gunakan perintang paling kecil yang ada iaitu 1/4 w sahaja dan gambar di atas menunjukkan 4 daripada 5 komponen yang hilang telah saya gantikan.
Pasang kembali papan litar utama... |
Untuk pengetahuan semua, Hi-Fi tersebut kembali berfungsi semula apabila saya uji walaupun tanpa komponen CB170.
Saya dapati alat pemain cakra padat (CD) di dalamnya ada tertera SONY, mungkinkah ONKYO adalah jenama alternatif SONY?
Testing... |
Klip video di bawah menunjukkan Hi-Fi tersebut saya uji selepas dibaiki untuk beberapa jam tanpa masalah sebelum menelefon kepada pemilik untuk mengambilnya.
Klip video seterusnya (di bawah) pula adalah kiriman pemilik kepada saya melalui whatapps mengesahkan ianya masih boleh digunakan. Ini adalah satu kepuasan sebagai seorang jurutenik jika berjaya membaiki sesuatu yang orang lain tidak mampu lakukan.
Ini bukan angkat bakul ye, saya cuma kongsikan pengalaman yang pernah saya lalui kepada anda dan ianya adalah percuma. Mungkin saya perlu kongsikan juga pengalaman tidak berjaya atau gagal membaiki sesuatu selepas ini.
Sesungguhnya semua pekerjaan ada cabarannya masing-masing. Apa yang anda baca dari blog saya selama ini adalah kejayaan sahaja sebab saya tidak kongsikan apa yang tidak berjaya dibaiki.
Kadang-kadang kita terpaksa menggunakan kaedah cuba jaya (trial and error) berulang-ulang dan tidak semuanya akan berakhir dengan kejayaan. Tiada apa yang perlu dibanggakan sebab ada benda yang orang lain tidak boleh baiki tetapi kita mampu membaikinya. Ada pula yang kita tidak berjaya membaikinya namun orang lain berjaya membaikinya.
Saya nak ingatkan kepada semua yang membuat kerja baiki membaiki ini, tolong jangan ambil komponen jika tidak berjaya membaikinya. Pasang balik walaupun ianya telah rosak supaya tidak menyusahkan orang yang seterusnya cuba untuk membaiki.
Untuk pengetahuan semua, jika saya tidak menemui schematic di internet, saya juga bakal gagal membaikinya. Sebabnya mudah, bagaimana anda mengetahui apa komponen yang telah hilang serta nilainya tanpa schematic?
FIkir-fikirkan dan selamat mencuba...
No comments:
Post a Comment
Your comment will be atttend by admin soon, thank you.