Monday, 17 August 2020

EMPRESS RA0420 garment steamer repair

Semalam saya dirujuk sebuah mesin wap pakaian (garment steamer) berjenama EMPRESS, Model: RA0420 dengan masalah tidak mengeluarkan wap lagi.

Jenama: EMPRESS

Mesin wap pakaian ini adalah produk Cosway dan fungsinya sangat mudah iaitu panaskan air sehingga mendidih. Wap yang keluar dari mesin tersebut sebenarnya adalah dari wap air yang mendidih.

Model: RA0420

Gambar di bawah merupakan keadaan di dalamnya setelah penutup di bahagian bawah telah saya buka. Kelihatan terdapat satu lapisan putih pada bahagian 'steamer' iaitu bahagian untuk memanaskan/memasak air.

Setelah penutup bawah dibuka...

Saya tidak pasti apa lapisan putih tersebut namun bila saya kikis, ianya seakan-akan pasir atau mungkin serbuk pencuci (detergent) yang telah kering.

Pemeriksaan pada pendawaiaan dari plug 3-pin sehingga ke bahagian pemanas tidak menemui sebarang kerosakkan termasuk pemanasnya.

Buka klip dan cabut hos silikon...

Oleh kerana ianya tidak mengeluarkan wap dan tiada kerosakkan ditemui, saya menjangkakan ianya berkaitan dengan masalah tersumbat. Apabila saya buka klip serta cabut hos yang menyambungkan air dari tangki ke bahagian pemanas, banyak lagi serbuk putih seperti lapisan putih pada bahagian luar pemanas jatuh dari dalam hos penyambung tersebut. Jika anda lihat pada gambar di atas, serbuk putih pada lantai kesemuanya adalah dari dalam hos penyambung tersebut.

Saya juga membuka penyambung hos pada mesin tersebut dan di dalamnya juga dipenuhi dengan serbuk putih. Gambar di bawah menunjukkan ianya telah saya bersihkan dan di pasang kembali.

Buka penyambung dan bersihkan sekali...

Sebelum menguncikan penyambung hos kembali kepada bekas penyimpan air, saya sempat tiup hos tersebut untuk memastikan ianya benar-benar bersih dan tidak ada yang tersumbat lagi.

Klip video di bawah menunjukkan mesin wap pakaian tersebut telah siap dibersihkan dan masih boleh digunakan semula.

Jika anda mempunyai mesin wap pakaian dan tidak mengeluarkan wap, jangan risau sebab ianya tidak rosak dan cuma tersumbat sahaja. Anda boleh ikut langkah-langkah di atas untuk menyelenggaranya sendiri.

Selamat mencuba...

2 comments:

  1. Hi salam... steamer saya model yang sama. On suis tapi tak menyala lampu dia. Sebab apa ya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pendawaiaan 'steamer' ini sangat mudah. Periksa:-
      1. Fius pada plug 3-pin (mungkin putus)
      2. Kabel (mungkin ada putus)
      3. fius pada steamer (mungkin putus)
      4. suis (mungkin rosak)
      5. lampu (mungkin hangus)
      6. sambungan wayar di dalam (mungkin putus/tanggal)

      Selamat mencuba...

      Delete

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.