Saturday, 15 August 2020

facebook kini perlukan android 4.4 dan ke atas

Sejak beberapa hari yang lepas, aplikasi facebook seakan-akan bermasalah kerana menghantar notifikasi yang sama berulang-ulang seperti boleh dilihat pada gambar di bawah kepada telefon bimbit saya.

Pada mulanya saya anggap ia mungkin disebabkan ada versi baru yang perlu dikemaskini. Apabila saya periksa pada 'google play store' takda pula minta untuk mengemaskini aplikasi facebook.

Saya cuba pula ubah tetapan (setting) pada aplikasi facebook untuk menghentikan notifikasi tersebut namun semuanya tidak berhasil dan kadang-kadang notifikasi hadir setiap beberapa minit dan bila dibuka ianya benda yang sama serta merimaskan.

Akhirnya saya padam (delete) applikasi facebook dan cuba 'install' semula dengan harapan tiada lagi penghantaran notifikasi sama yang tidak henti-henti sejak beberapa hari ini.

Ketika saya cuba muat turun (download) aplikasi facebook yang baru di 'google play store', tiba-tiba saya dikejutkan yang telefon saya tidak lagi sesuai/serasi (compatible) kepada aplikasi facebook seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Seterusnya saya cari versi aplikasi facebook yang lama di laman sesawang (internet) dan mendapati bahawa versi terbaru aplikasi facebook (283) bertarikh 13/8/2020 memerlukan andriod versi 4.4 (kitkat) dan ke atas seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Anda boleh dapatkan versi facebook yang lama di sini.

Bila saya lihat aplikasi facebook sebelumnya, sebenarnya versi 282 bertarikh 11/8/2020 telah mula mewajibkan andriod 4.4 dan boleh dilihat pada gambar di bawah. Oleh kerana versi android telefon bimbit saya cuma 4.2.2, jadi saya muat turun versi 281 yang bertarikh 5/8/2020 dan sehingga blog ini ditulis, tiada lagi masalah notifikasi berulang-ulang lagi seperti sebelumnya berlaku setakat ini.

Setelah selesai 'install' aplikasi facebook versi 281 dan diuji, ianya kembali seperti sebelumnnya namun bila saya periksa pada 'google play store' semula, tiada kemaskini terbaru lagi kelihatan dan ini bermaksud jika saya ingin menggunakan versi terbaru, saya perlukan menukar telefon bimbit dengan versi andriod 4.4 dan ke atas.

Sebenarnya ada aplikasi alternatif facebook yang lebih mudah serta sesuai untuk telefon antik saya iaitu 'facebook lite' namun ianya sangat terhad dan banyak kemudahan tidak kelihatan jika dibandingkan dengan versi penuh seperti di atas.

Untuk pengetahuan semua, telefon yang saya maksudkan dengan versi andriod 4.2.2 ialah Lenovo A889 yang telah saya beli pada tahun 2014 dan ianya telefon pintar (smartphone) pertama saya. Majoriti gambar-gambar yang ada pada artikel blog saya juga diambil menggunakan telefon antik ini.

Blog ini juga ditulis dengan menggunakan telefon antik Lenovo A889. Kadang-kadang kita menukar telefon bukan kerana telah rosak tetapi telah ketinggalan zaman (out of date) dan tidak lagi menyokong aplikasi terbaru yang ada.

Jika tidak mahu ketinggalan zaman, 'gadget' terbaru adalah satu kemestian dan merupakan satu pelaburan yang wajib. Jika tidak, boleh dikatakan semuanya akan terhenti dan perlahan-lahan hilang ditelan zaman.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa gadget kini adalah serupa dengan candu/dadah satu ketika dahulu seperti ilustrasi perbezaan 100 tahun pada gambar di atas. Apa kata anda?

Selamat bersosial...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.