Monday 30 November 2020

TOYOTA Hilux VIGO/FORTUNER fuel gauge repair

Hujung minggu lepas saya dirujuk sebuah 'instrument cluster' kereta Hilux TOYOTA VIGO buatan tahun 2013 dengan masalah tolok minyak (fuel gauge) tidak tepat.

Instrument cluster TOYOTA Hilux VIGO

Tidak tepat yang dimaksudkan ialah walaupun minyak di dalam tangki telah berkurangan namun tolok minyak masih tidak berubah atau hanya berubah sedikit.

14.11.2013

Pemilik pernah memandu sehingga kehabisan minyak sebab tolok minyak tersebut masih menujukkan ada suku tangki minyak lagi.

Fuel gauge

Begitu juga dengan tolok digital yang bersebelahan dengan jam pada 'dashboard' kereta yang juga tidak tepat. Sebelum 'instrument cluster' dibuka untuk dibaiki, bacaan pada tolok digital ialah 378km dan tolok minyak pula ialah pada garisan 'F'.

Buka 2 biji skru...

Hanya dua biji skru sahaja perlu dibuka pada belakang 'instrument cluster'. Setelah skru dibuka, umpil kesemua klip pada tepinya untuk mengeluarkan penutup belakangnya.

Umpil klip pada bahgian tepi...

Gambar di bawah menunjukkan penutup bahagian belakang telah dibuka dan semua komponen yang digunakan pada papan litar ialah jenis SMD.

Setelah penutup belakang dibuka...

Pemeriksaan awal dengan mata kasar tidak menemui sebarang komponen yang rosak. Kedudukan tolok minyak telah saya tandakan pada gambar di atas.

73.5Ω

Seterusnya saya memeriksa komponen dengan menggunakan multimeter dan menemui sebiji resistor berlabel R310 mempunyai bacaan yang meragukan. Label pada perintang tersebut ialah 221 atau 220Ω namun apabila diperiksa berulang kali, saya dapat dua bacaan berbeza seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

56.6Ω

Biasanya masalah sedemikian adalah disebabkan oleh 'cold solder joint' pada perintang tersebut. Ianya tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan hanya diketahui setelah diperiksa menggunakan multimeter.

Guna 'soldering tip' paling halus...

Cara untuk membaiki 'cold solder joint' ialah dengan mempateri semula sambungan pada kiri dan kanan perintang tersebut. Memandangkan perintang tersebut ialah jenis SMD, saya guna 'soldering tip' yang runcing supaya kemas dan tidak panas melampau sehingga boleh merosakkan perintang.

Siap...

Gambar di atas menunjukkan perintang yang berlabel R310 telah saya pateri menggunakan 'soldering tip' runcing/halus dan jika sekali pandang tiada yang tahu ianya telah saya baiki.

Testing... (56.4Ω)

Setelah siap dipateri dan diukur menggunakan multimeter, bacaannya kini ialah 56.4Ω sahaja walaupun diuji berulang kali. Tiada lagi bacaan 73.5Ω muncul-muncul seolah-olah telah menampakkan kejayaan di depan mata.

Mileage - 489km

Apabila 'instrument cluster' tersebut dipasang kembali pada kereta dan sejurus kunci kereta dihidupkan, perbezaan ketara boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah iaitu:-

  1. Bacaan tolok digital yang pada awalnya 378km kini ialah 489km.
  2. Jarum tolok minyak yang pada awalnya pada garisan 'F' kini telah turun di bawah garisan 'F'.
Tested - perfect...

'Instrument cluster' tersebut telah berjaya diselamatkan dan tidak perlu mengeluarkan ribuan ringgit untuk menukarkannya dengan yang baru.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan masalah sejagat 'instrument cluster' kereta TOYOTA buatan tahun 2012 sehingga 2014 termasuk model TOYOTA Fortuner.

Jika anda perlukan khidmat bantuan saya untuk membaiki tolok minyak dengan masalah sama seperti di atas, sila isi 'contact form' pada bahagian atas/kanan blog ini. Lokasi saya ialah di Miri, Sarawak.

Selamat mencuba...

Sunday 29 November 2020

Cara dapat kembali akaun Clash of Clans yang telah dicuri melalui apps

Pada 26/11/2020 yang lepas akaun Clash of Clans (COC) saya telah dilarikan seseorang sebab saya ditipu tanpa disedari.

Clash of Clans

Ceritanya begini, pada pagi tersebut ada seseorang yang memperkenalkan diri dengan nama siti hafizah masuk ke dalam klan saya dan meninggalkan pesan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Pencuri akaun COC

Setelah diperiksa akaunnya iaitu TH11, saya berminat dan meminta beliau memberikannya kepada saya jika masih belum berpunya melalui whatsapps. Tanpa disedari saya sebenarnya telah ditipu oleh beliau secara tersusun yang meminta saya mendaftar 'supercell ID' dan memasukkan e-mail beliau iaitu sitihafizah121@gmail.com. Akhir sekali beliau memberi nombor kod kepada saya melalui whatsapps. 

Setelah saya masukkan nombor kod tersebut, akaun saya telah dilarikan oleh dia dan saya tidak dapat menghubunginya lagi.

Ini merupakan pengalaman yang sangat pahit dan tidak boleh diterima oleh saya sebab sepatutnya saya dapat akaun beliau namun sebaliknya akaun saya pula yang dilarikan.

Dalam setting pilih 'help and support'

Oleh kerana akaun saya telah didaftarkan atas email si pencuri, saya tidak mungkin dapat kembali akaun COC saya sebab kod akan dihantar kepada email si pencuri.

Cara untuk dapatkan kembali akaun COC yang telah dicuri ialah, 'uninstall' dan 'install' semula apps COC. Masuk semula ke apps COC dan anda akan mula dari 0. Seterusnya anda klik 'setting' dan dalam 'setting' anda klik 'help and support'.

Seterusnya anda cari serta klik 'contact us' dan masukkan maklumat yang diminta dengan tepat iaitu:-

  1. Tag akaun COC anda
  2. Nama akaun anda
  3. Level TH anda
  4. Nama klan anda (jika anda)
  5. Akhir sekali anda ceritakan bagaimana akaun anda dicuri.

Pilih 'contact us'

Lepas itu kena tunggu sehingga pihak COC selesai meneliti maklumat anda. Dari masa ke semasa, masuk semula mengikut langkah di atas untuk periksa tindakan seterusnya dari pihak COC.

Jika pihak COC berpuashati, mereka akan meminta anda memberikan email untuk pendaftaran 'supercell ID'. Pastikan anda berikan email yang belum pernah didaftarkan pada mana-mana 'supercell ID'.

Setelah pihak COC selesai menukar email pencuri kepada email anda, anda masuk semula apps COC dan kini kod akan dihantar kepada email yang anda berikan kepada mereka.

Dapatkan kod tersebut dari email anda dan masukkan ke dalam ruangan 'supercell ID'. Bingo!!! Saya dapat akaun saya semula.

Klan pencuri dah kosong, semua saya 'kick'...

Setelah saya dapat semula akaun saya, saya dapati saya telah diberi pangkat 'co-leader' pada klan si pencuri. Dengan geramnya saya 'kick' kesemua ahli pada klan tersebut dengan alasan 'akaun dicuri' dan setelah kesemuanya telah saya 'kick' saya kembali semula ke klan asal saya.

Peringatan kepada saya sendiri dan orang ramai, jangan terpengaruh dengan benda-benda percuma, peluang ditipu sangat-sangat tinggi.

Fikir-fikirkan...

Saturday 28 November 2020

PHILIPS HD9240 air fryer repair

Air fryer ini telah sebulan dirujuk kepada saya dan berjenama PHILIPS, Model: HD9240 dengan masalah langsung tidak berfungsi setelah arus elektrik dibekalkan. 

Philips HD9240

Ini merupakan 'air fryer' yang ke-3 dirujuk kepada saya untuk dibaiki dan ianya berbeza dengan dua yang lepas di mana elemen pemanasnya menggunakan lampu halogen. Anda boleh rujuk dua 'air fryer' yang lepas di sini dan sini.

Made in Poland

Ianya lama disimpan berikutan sebiji IC yang rosak tiada bekalan di pasaran tempatan dan terpaksa menempah secara atas talian serta mengambil masa hampir sebulan untuk sampai.

Elemen pemanas...

Seperti biasa saya periksa fius pada plug 3-pin dan ianya masih elok. Seterusnya saya buka penutup atasnya dan apa yang kelihatan ialah seperti pada gambar di bawah.

Setelah penutup atas dibuka...

Pemeriksaan awal pada papan litar dengan mata kasar menemui dua biji perintang 3.3Ω kelihatan terbakar dan sebiji kapasitor 10uF, 50v telah kembung.

Komponen yang rosak...

Percubaan pertama dengan hanya menggantikan dua biji perintang yang bertindak sebagai fius dan kapasitor tidak berhasil apabila perintang yang baru tersebut hangus semula sejurus sahaja suis dihidupkan.

Bahagian bawah papan litar...

Pemeriksaan seterusnya pada papan litar masih tidak menemui sebarang kerosakkan dan saya syak IC yang berlabel VIPER16L rosak dan harus ditukar. 

Perintang 3.3Ω, 2W putus...

Setelah hampir sebulan menunggu IC baru tersebut yang saya ditempah secara atas talian, akhirnya 'air fryer' ini kembali berfungsi dan telah berjaya diselamatkan semula apabila IC berlabel VIPER16L digantikan dengan yang baru selain dua biji perintang 3.3Ω yang putus pada percubaan pertama di atas.

Gantikan komponen baru...

Komponen yang rosak dan telah diganti ialah:-

  1. 2 biji perintang 3.3Ω, 2W
  2. 1 biji kapasitor 10uF, 50V
  3. 1 biji IC VIPER16L
Tested - ok

Voltan oputput ke panel 'touch screen' ialah 12vdc dan 5vdc. Klip video di bawah saya rakam ketika menguji 'air fryer' yang telah dibaiki. 


Selamat mencuba...

Friday 27 November 2020

Toshiba RBC-AMT32-E wired remote control repair

Beberapa hari yang lepas saya dirujuk sebuah alat kawalan jauh berjenama Toshiba, model: RBC-AMT32-E dengan masalah butang melaras suhu tidak berfungsi.

Toshiba RBC-AMT32-E

Alat kawalan jauh ini digunakan oleh penghawa dingin berjenama Carrier dan ianya perlu disambung dengan bekalan elektrik 16v pada bahagian belakang yang berlabel A & B seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah penutup belakang dibuka...

Terminal A perlu disambung kepada positif (+ve) bekalan elektrik manakala terminal B pula disambung kepada negtif (-ve) bekalan elektrik.

Buka lagi...

Setelah bahagian belakang alat kawalan jauh ini saya buka dan diperiksa menggunakan mata kasar, tiada komponen yang rosak kelihatan pada papan litar.

Setelah dilearaikan...

Kemudian saya buka pula papan litar serta 'keypad'nya dan mendapati butang berwarna hitam seperti boleh dilihat pada gambar di bawah kelihatam kotor.

Keypad kotor...

Masalah sedemikian adalah serupa dengan alat kawalan jauh yang pernah saya kongsikan sebelum ini yang tidak berfungsi akibat kebocoran cecair bateri. Apa yang perlu dilakukan ialah bersihkan 'keypad' serta papan litar dengan menyembur 'contact cleaner' dan keringkan sebelum di pasang kembali.

Bersihkan keypad...

Klip video dibawah diambil setelah kerja-kerja pembersihan siap dan masalah butang tidak berfungsi bila ditekan selesai serta telah berjaya diselamatkan.


Selamat mencuba...

Thursday 26 November 2020

BELIMO FRU230-3 rotary actuator repair

Sebelum ini saya pernah baiki benda seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

BELIMO FRU230-3

Hari ini saya dirujuk lagi benda yang sama namun versi yang lebih baik berbanding dulu dan hampir keseluruhannya diperbuat daripada plastik.

Made in Switzerland

Versi dahulu banyak menggunakan logam dan masalah utamanya ialah berkarat serta berakhir dengan tidak dapat dibaiki lagi.

Buka penutup...

Masalah kali ini ialah setelah dibekalkan arus elektrik, ada bunyi motor bergerak/berpusing namun bahagian yang seharusnya berpusing tidak berpusing langsung.

Buka papan litar & periksa...

Saya buka dan benda pertama yang saya periksa ialah papan litar. Tiada kerosakkan komponen ditemui dan semuanya elok. Apabila diuji dengan membekalkan arus elektrik, motor boleh berpusing serta elok tanpa sebarang masalah.

Buka lagi...

Seterusnya saya buka bahagian motor dan bahagian mekanikal di bawahnya ialah beberapa biji gear seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Bubuh gris adalah satu kesilapan besar...

Saya pusing serta buka satu per satu gear yang ada dan mendapati ianya tidak bebas bergerak. Jadi saya sembur minyak gris pada kesemua gear yang ada dengan harapan ianya licin dan bebas bergerak seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Buang gris dan pasang kembali...

Saya seolah-olah tidak percaya apabila dipasang kembali setelah di sembur minyak gris, benda ini langsung tidak berfungsi pula.

Saya buka kembali dan pemeriksaan mendapati gear di dalamnya bukan sahaja tidak bebas bergerak walaupun telah disembut minyak gris namun melekat di antara satu sama lain.

Seterusnya saya bersihkan kesemua gear yang telah saya sembur minyak gris sebelumnya dan pasang kembali untuk diuji. Kini ianya boleh berfungsi namun mengeluarkan bunyi yang agak bising.

Semua dah pasang kembali...

Saya buka kembali dan lumurkan sedikit minyak gris semula pada bahagian gigi gear sahaja sebagai percubaan dengan harapan untuk mengurangkan bunyi bising yang terhasil.

Pasang kembali bahagian motornya...

Setelah siap dan diuji buat kali ke-3, kini bunyi bising telah selesai dan benda ini berjaya diselamatkan serta masih boleh digunakan semula.

Tested - ok

Dari pengalaman membaiki kali ini, saya dapati bahawa minyak pelincir/gris tidak berfungsi sebagai pelincir pada bahagian plastik. Sebelum ini saya juga pernah mengalami keadaan yang sama pada sebuah timer dan anda boleh dujuk di sini.

Selamat mencuba...

Wednesday 25 November 2020

BUMPER BP1-750 monoblock amplifier repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah amplifier monoblock berjenama BUMPER, Model: BP1-750 dengan masalah lampu merah (protect) menyala.

BUMPER monoblock

Ketika saya mengujinya dengan membekalkan arus elektrik 12vdc, lampu hijau yang menyala namun pemilik memberitahu saya ianya akan bertukar kepada lampu merah setelah beberapa minit digunakan.

Dah pernah dibuka...

Amplifier ini pernah dibuka sebab 'seal' pada penutupnya telah dipotong seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Litar pintas pada 2 biji transistor...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya menemui litar pintas pada dua biji transistor seperti telah ditandakan pada gambar di atas.

A1941 terminal tengah tidak bersambung...

Apa yang pelik ditemui ialah kedua-dua transistor tersebut tidak disambung terminal tengahnya seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

C5198 terminal tengah tidak bersambung...

Transistor tersebut telah ditemui rosak oleh mereka yang membukanya sebelum ini namun kemungkinan tiada alat ganti maka jalan singkat ialah dengan mengeluarkan salah satu terminalnya supaya boleh digunakan semula.

63.7Ω - C5198 rosak

Namun mereka tidak tahu bahawa walaupun salah satu terminalnya telah dikeluarkan, litar pintas tetap berlaku pada dua terminal yang masih bersambung dan akan menyebabkan amplifier tersebut panas melampau serta menjadi punca lampu merah (protect) menyala.

Transistor baru...

Saya sempat menguji amplifier tersebut setelah siap menukar kedua-dua transistor tersebut dan tiada lagi lampu merah menyala.

Tested - ok

Selamat mencuba...