Saturday, 2 July 2022

Hatco toast-qwink convenyor toaster

Hari ini saya kongsikan satu pengalaman membaiki sebuah pembakar roti berjenama Hatco seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Gambar-gambar di bawah baru saya ambil semalam ketika melawat semula pemiliknya.

Pengalaman ini saya dapat beberapa tahun yang lalu dan jika tidak silap ianya saya baiki pada tahun 2017 namun tidak dikongsikan sebab belum aktif menulis blog ketika itu. 

Masalah mesin pembakar roti ini ketika dirujuk kepada saya sewaktu itu ialah ianya akan 'cut-off' setelah kira-kira 30 minit digunakan dan harus menunggu sehingga telah sejuk sebelum boleh berfungsi semula.

Menurut pemilik, beliau telah menukar banyak komponen termasuk 'thermal switch' yang menjadi punca kenapa 'cut-off' terjadi. Mesin pembakar roti ini juga telah dihantar kepada agen penjual dan mereka juga gagal menemui punca kerosakkan.

Dipendekkan cerita, pemilik telah membeli yang baharu sebelum merujuknya kepada saya untuk cuba dibaiki,

Oleh kerana hampir semua komponen telah ditukar oleh pemilik namun masalah tetap sama maka saya mulakan 'troubleshooting' pada papan litar dan ianya elok sebab masih baru. Begitu juga dengan 'thermal switch' juga elok dan bersesuaian dengan spesifikasi asalnya.

Seterusnya saya uji mesin pembakar roti ini dan ianya boleh berfungsi namun 'cut-off' selepas itu seperti telah diceritakan di atas. Ketika 'cut-off', saya dapati bahagian luarnya sangat panas jika disentuh dengan jari.

Selain daripada itu saya juga mendapati angin panas bertiup keluar dari bahagian bawah ketika diuji dan saya mula mengesyaki masalah pada 'exhaust system' atau 'cooling system' sebab ianya ada dilengkapi sebuah kipas angin di dalamnya.

Kipas tersebut dipasang pada bahagian paling bawah dan diikuti dengan papan litar. Bahagian paling atas hanya melibatkan elemen pemanas. Jadi, kipas anginnya telah menyedut udara panas dari atas dan keluar dari bahagian bawah.

Secara logik, kipas tersebut harus bertindak sebagai 'cooling system' kepada papan litar dan bukannya 'exhaust system' menyedut udara panas dari bahagian atas ke bahagian bawah.

Jadi, saya uji dengan terbalikkan pemasangan kipas tersebut supaya ia akan menyedut udara sejuk dari bawah untuk menyejukkan papan litar.

Percaya atau tidak, dengan hanya terbalikkan pemasangan kipas sahaja saya telah berjaya menyelesaikan masalah yang tidak berpenghujung sebelumnya dan ianya kembali berkhidmat tanpa masalah sehingga ke hari ini.

Kesimpulan dari pengalaman berharga di atas ialah, kita harus menggunakan pandangan logik ketika melakukan 'troubleshooting' untuk membaiki peralatan elektrik serta elektronik.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.