Tuesday 8 October 2019

Calculating Fuse Size

Alat pengering rambut (hair dryer) berjenama Philips, Model: HP8103 pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini & sini.
Jenama: PHILIPS, Model: HP8103
Hari ini saya dirujuk sebuah lagi alat pengering rambut dengan masalah tidak berfungsi apabila arus elektrik dibekalkan.
Tiada 'continuity'...
Perkara pertama yang saya periksa ialah periksa 'continiuty' pada plug 3-pin di antara terminal L (live) dan N (neutral). Tiada bacaan yang saya dapat dan anda boleh melihatnya pada gambar di atas.
Penyalut wayar L (Live) lebur...
Setelah plug 3-pin tersebut saya buka, kelihatan penyalut wayar L (Live) telah lebur dan seperti dijangka fiusnya putus ketika diperiksa.
Fius utama putus...
Seterusnya saya periksa pula elemen pemanas dengan memeriksa terus pada wayar biru (N) dan wayar coklat (L). Ada bacaan pada multimeter dan mengesahkan wayar tidak putus dan elemen juga berkeadaan baik.
Elemen pemanas masih elok...
Gambar di bawah menunjukkan keadaan penyalut wayar hidup (L) yang telah lebur dan apakah penyebabnya?
Penyalut wayar L (live) yang lebur...
Apabila saya keluarkan fius pada plug 3-pin tersebut, saya dapati fius yang digunakan cuma 3A sahaja.
Fius putus (3A sahaja)
Kini saya tahu kenapa wayar hidup pada plug 3-pin tersebut lebur. Ianya disebabkan fius yang digunakan telalu kecil (3A) dan tidak sesuai untuk kegunaan alat pengering tersebut. Bagaimana kita menentukan nilai fius yang sesuai untuk peralatan elektrik?
Power: 1400W
Cara untuk mengira saiz fius yang bersesuaian kepada setiap peralatan elektrik ialah:-
  • Guna formula P = IV
  • I = P/V (Bahagi kuasa peralatan elektrik dengan voltan elektrik)
Kuasa (Power) alat pengering tersebut ialah 1400W dan arus elektrik yang digunakan ialah 240v.

Jadi arus elektrik yang digunakan ialah:-

I = P/V
I = 1400/240
  = 5.83A
Plug 3-pin dilengkapi fius 13A
Dari perkiraan di atas, arus elektrik maksima yang digunakan oleh pengering rambut tersebut ialah 5.83A dan fius yang di gunakan harus melebihi 5.83A.

Cara untuk menentukan nilai fius yang bersesuaian ialah dengan mendarabkan arus elektrik peralatan elektrik dengan 1.35 (135% dari nilai arus elektrik peralatan eletrik)

  • 5.83 x 1.35
  • = 7.87A
Maksudnya fius yang sesuai untuk alat pengering rambut tersebut ialah 7.87A ke atas. Jika dilihat pada gambar di atas, pihak pengeluar menggunakan 13A.
Saya gantikan dengan 10A
Oleh kerana fius seramik susah didapati di pasaran, maka nilai yang terdekat saya dapat ialah 10A. Anda juga boleh menggunakan 13A seperti yang disyorkan oleh pengeluar.
Rintangan elemen bila kelajuan perlahan: 92.6Ω
Salah satu cara lagi bagi menentukan arus elektrik yang digunakan oleh peralatan elektrik ialah dengan mengukur rintangannya dan guna formula berikut untuk menentukannya.
  • V = IR
  • I = V/R
Gambar di atas merupakan nilai rintangan elemen pemanas ketika berkelajuan perlahan dan tinggi.

Guna formula di atas dan kira arus elektrik yang digunakan:-
  1. I = V/R = 240/92.6 = 2.59A
  2. I = V/R = 240/46.9 = 5.12A
Arus elektrik maksima digunakan oleh pengering rambut tersebut ialah 5.12A dan bila didarab dengan 1.35, nilainya ialah 6.91A.

Jadi nilai fius yang sesuai ialah 7A atau lebih.

Minima arus elektrik yang diperlukan ialah 2.59A dari perkiraan di atas. Jadi fius 3A boleh digunakan ketika kelajuan perlahan namun ianya akan menjadi panas apabila arus elektrik yang digunakan meningkat ketika menggunakan kelajuan tinggi dan seterusnya meleburkan penyalut wayar seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Fius 3A tersebut akhirnya akan putus akibat terlalu panas jika telalu lama menggunakan kelajuan tinggi.
Rintangan elemen bila kelajuan tinggi: 46.9Ω
Selamat mencuba...

2 comments:

  1. Kalau fuse 3a digantikan dgn 13a, nanti peralatan elektik tu rosak x sbb arus elektrik masuk banyak dr 3a?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Fungsi fius ialah sebagai keselamatan dan BUKAN menghadkan aliran arus elektrik. Maksudnya jika arus elektrik yang melaluinya melebihi kemampuannya, ia akan menjadi panas dan berakhir dengan fius putus.

      Delete

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.