Monday 31 May 2021

pivot RAIZIN volt stabilizer

Benda ini saya beli dan pernah digunakan untuk satu jangkamasa sahaja kira-kira lebih 10 tahun yang lalu serta masih disimpan sehingga kini.

RAIZIN volt stabilizer

Ketika itu saya belum berjinak-jinak lagi dengan elektronik namun telah mempunyai asas elektronik tetapi tidak mempunyai multimeter untuk membuat pemeriksaan.

pivot

Baru-baru ini saya telah membuka dan memeriksa benda ini untuk mengetahui bagaimana ianya berfungsi sebagai 'volt stabilizer' seperti terpampang pada labelnya.

Tulen vs Tiruan...

Umum makluman semua, benda ini banyak produk tiruan dan gambar di atas saya ambil dari laman web pivot yang memberitahu pengguna agar berhati-hati dengan produk tiruan mereka di pasaran.

Tulen...

Gambar di atas ialah 'volt stabilizer' saya dan telah disahkan asli menurut info dari laman web mereka.

9,250uF

Setelah dibuka dan diperiksa, skematik benda ini sangat mudah iaitu dilengkapi dengan 4 biji super kapasitor disambung selari berserta indikator memberitahu kita voltan bateri sahaja.

2,387uF sebiji...

Dari pemeriksaan di atas, benda ini masih elok iaitu nilai sebiji super kapasitornya kira-kira 2,300uF dan jumlah keempat-empatnya kira-kira 9,200uF.

MegaRAIZIN battery performance monitor...

Saya juga mempunyai sebiji lagi dengan label 'MegaRAIZIN' seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah. Perbezaannya dengan yang berwarna biru di atas ialah kemampuan kapasitornya yang jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 17,600uF atau mungkin 20,000uF sebab salah sebiji kapasitor mempunyai bacaan yang meragukan.

17,660uF

Kesimpulan dari pemeriksaan mudah ke atas kedua-dua 'volt stabilizer' di atas ialah:-

  1. Kedua-duanya masih elok
  2. Kedua-duanya dilengkapi dengan super kapasitor dan indikator sahaja
  3. Perbezaannya ialah keupayaan menyimpan cas 
  4. Fungsinya sama iaitu sebagai 'volt stabilizer' sahaja.
2,440uF (kapasitor kecil)

Seingat saya, ianya hanya digunakan beberapa bulan sahaja dan disimpan sehingga kini sebab benda ini telah menyebabkan bateri kereta saya selalu lemah hanya ditinggalkan semalaman dan cepat rosak.

5,202uF (kapasitor besar)

Untuk makluman semua, fungsi kapasitor ialah:-

  1. Menyimpan cas dan mengeluarkan cas ketika diperlukan dengan cepat
  2. Mampu menapis bunyi seperti "BUZZ, WHINE, HISS" dan sebagainya pada 'sound system'

Cara benda ini berfungsi sebagai 'volt stabilizer' ialah ketika bebanan tinggi seperti sewaktu baru menghidupkan lampu kereta atau menghidupkan penghawa dingin. Ketika inilah cas dari kapasitor akan dikeluarkan untuk membantu bateri serta alternator supaya voltannya tidak berubah jauh.

Sebagai contoh, anda perasan tak lampu kereta akan malap seketika sewaktu penghawa dingin baru dihidupkan atau ketika kompressor penghawa dingin dihidupkan? Ketika lampu malap sedikit itulah bebanan yang saya maksudkan di atas.

Jika diukur menggunakan multimeter ketika lampu kereta malap sekejap, kita akan dapati voltan bateri akan menurun dan sekiranya anda menyambungkan 'volt stabilizer' ini, ianya boleh mengurangkan penurunan voltan dengan mengeluarkan casnya dari kapasitor.

Jadi, 'volt stabilizer' ini boleh mengurangkan kejadian lampu malap sekejap pada kereta anda dan seterusnya menstabilkan arus elektrik supaya peralatan yang menggunakan elektrik boleh berfungsi di tahap optimum.

Ada rintangan pada setiap kapasitor...

Satu lagi soalan yang belum terjawab iaitu 'kenapa ianya boleh menyebabkan bateri lemah dan cepat rosak'? Jawapannya ialah walaupun fungsi kapasitor ialah menyimpan cas, casnya juga akan hilang secara perlahan-lahan sebab setiap kapasitor mempunyai rintangannya sendiri. kapasitor yang lama akan mempunyai rintangan yang lebih tinggi dan kadang-kadang mengalami litar pintas.

Selain kehilangan cas melalui rintangan pada kapasitor, kehilangan cas juga berlaku pada indikatornya yang juga menggunakan tenaga elektrik.

Litar pintas pada kapasitor...

Cara untuk mengelakkan cas bateri hilang melalui 'volt stabilizer' ini ialah dengan memutuskan bekalan elektrik kepadanya ketika kereta tidak digunakan dengan menyambungkan sebiji geganti (relay) dan dikawal melalui kunci kereta.

Multimeter untuk mengukur rintangan kapasitor...


Ada yang memberitahu saya, mereka telah menggunakan 'volt stabilizer' mencecah belasan tahun tanpa masalah. Setahu saya setiap kapasitor mempunyai jangka hayat tertentu dan akan rosak bila tiba masanya. Tidak semua kapasitor akan berakhir dengan litar pintas namun majoriti disebabkan 'dry capacitor' iaitu di mana cecair di dalamnya telah kering dan tidak mampu menyimpan cas lagi.

Jika kejadian 'dry capacitor' berlaku, benda ini tidak lagi berfungsi sebagai 'volt stabilizer' lagi namun hanya sebagai indikator yang memberitahu pemilik voltan sahaja.

Klip video di atas menunjukkan betapa cepatnya cas pada super kapasitor yang ada pada 'volt stabilizer' ini akan habis digunakan oleh indikatornya sahaja.

Fikir-fikirkan...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.