Tuesday 9 March 2021

HP TPC-AA50 SMPS adapter repair

Semalam saya dirujuk sebuah komputer berjenama HP, model: TPC-W008 dengan masalah langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

Jenama: HP

Menurut pemilik, komputer tersebut tidak boleh dihidupkan semula setelah 'blackout' atau bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.

Model: TPC-W008

Apabila diperiksa, saya dapati komputer tersebut mendapatkan bekalan elektrik dari sebiji adapter yang juga berjenama HP, model: TPC-AA50 dan ianya terletak pada bahagian bawah atau pada bahagian kakinya.

Buka bahagian bawah...

Gambar di bawah menunjukkan adapter yang telah saya keluarkan dan apabila diperiksa, ianya tidak menghasilkan output 19.5v seperti tertera pada pelekatnya.

Keluarkan adapter...

Adapter ini terpaksa saya buka untuk diperiksa namun ianya susah dibuka sebab bukan dikunci dengan skru seperti yang pernah saya baiki sebelum ini di sini.

Model: TPC-AA50 (parts no. 665804-001)

Untuk pengetahuan semua, cara saya membukanya ialah ketuk bahagian penyambung yang telah digam dengan menggunakan tukul.

Buka adapter...

Setelah penutup plastik bahagian luar dibelah/buka, bahagian di dalamnya pula dibungkus dengan aluminium seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Setelah adapter dibuka...

Adapter harus dibuka sehingga papan litar kelihatan seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah supaya pemeriksaan boleh dilakukan.

Bahagian bawah papan litar...

Komponen pertama yang didapati rosak ialah sebiji kapasitor seramik yang meletup seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Kapasitor meletup...

Nasib agak baik sebab nombor rujukannya masih kelihatan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah dengan menggunakan mikroskop digital iaitu 471k. Nilai kapasitor dengan nombor rujukan 471k ialah 470pF atau 0.47nF.

gambar diambil menggunakan mikroskop digital...

Pemeriksaan menyeluruh mendapati selain kapasitor yang meletup, fius utamanya dengan nilai 4A juga putus.

Fius 4A & kapasitor 471K rosak...

Saya juga menghadapi masalah memasang kembali kapasitor seramik yang baru pada kedudukan asal dan terpaksa dipasang pada bahagian bawah papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Sambung di bawah papan litar...

Setelah siap menukarkan kedua-dua komponen yang rosak di atas serta diuji, adapter tersebut telah berjaya diselamatkan dan voltan outputnya ialah 19.69 apabila saya ukur dengan menggunakan multimeter.

Testing - 19.69vdc

Komputer tersebut juga turut kembali berfungsi setelah adater yang telah saya baiki di atas dipasang kembali serta diuji.

Tested - ok

Jika anda tidak pandai membaiki adapter tersebut, anda boleh memilih untuk membeli adapter yang baru.


Selamat mencuba...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.