Monday, 21 December 2020

Current vs Voltage

Pagi ini saya dirujuk sebuah alat kawalan jauh berjenama Carrier untuk kegunaan penghawa dingin.

Jenama: Carrier

Masalah alat kawalan jauh ini ketika dirujuk kepada saya ialah boleh dihidupkan namun tidak dapat mengawal penghawa dingin apabila ditekan.

Type: RG67N/BGEF

Ketika saya mengujinya, logo bateri menyala pada skrin alat kawalan jauh tersebut seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Low Batt...

Jika logo bateri menyala bermaksud bateri harus ditukar sebab tidak membekalkan arus elektrik yang mencukupi untuk alat kawalan jauh tersebut berfungsi walaupun skrinnya boleh menyala. Cara memeriksanya ialah seperti berikut.

1.42v - ok

Bacaan voltan (voltage) pada bateri apabila diukur dengan menggunakan multimeter ialah 1.42v seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan ianya masih elok namun kenapa alat kawalan jauh tidak berfungsi?

Ampere...

Seterusnya saya ukur arus elektrik (current) bateri tersebut dalam unit ampere. Sebelum mengukur, laraskan multimeter anda ke bahagian ampere seperti yang saya tandakan pada gambar di atas.

0.1A sahaja...

Bacaannya cuma 0.118A sahaja dan ianya tidak mencukupi sebab sebiji bateri biasa jenis AA atau AAA ialah kira-kira 1A sehingga 2A. Jadi pemeriksaan di atas mengesahkan baterinya tidak mempunyai cas yang cukup untuk kegunaan alat kawalan jauh dan harus diganti.

Bateri elok - 1.8A

Setelah bateri diganti, alat kawalan jauh tersebut kembali berfungsi semula. Jika alat kawalan jauh anda tidak berfungsi, benda pertama yang harus anda tukar ialah bateri. Jika bateri telah ditukar dan masih juga tidak berfungsi bermaksud ada kerosakkan lain.

Amaran: Setiap multimeter mempunyai had (limit) masing-masing untuk mengukur arus elektrik (current). Had multimeter saya di atas ialah 10A sahaja. Jika anda menggunakannya untuk mengukur arus elektrik melebihi 10A seperti bateri kereta, multimeter anda akan rosak serta-merta jika tidak dilengkapi dengan fius.

Fikir dahulu sebelum mengukur arus elektrik (current) dengan menggunakan multimeter.

Selamat mencuba...

Sunday, 20 December 2020

Sebelum PKP dan selepas PKP

Hari ini saya kongsikan sebuah kolam kumbahan yang suatu ketika dahulu menjadi tempat orang ramai memancing hilang dari pandangan mata setelah PKP (perintah kawalan pergerakan) berikutan pandemik CoVid-19 melanda dunia termasuk negara kita.

Lokasi kolam tersebut tidak jauh dari rumah kediaman saya dan ianya merupakan lokasi untuk saya berjogging selama 15 tahun yang lepas.

Sebelum PKP...

Gambar di atas saya ambil ketika kegiatan memancing serta memukat ikan sering kelihatan sebelum PKP dan gambar di bawah saya ambil beberapa hari yang lepas sewaktu berjogging.

Saya tidak pasti sejak bila kolam tersebut telah dipenuhi dengan tumbuhan akuatik seperti teratai. Yang pasti saya mulai perasan ianya berubah sejak beberapa minggu yang lepas ketika berjogging.

Ketika PKP saya juga tidak berjogging selama beberapa bulan dan ketika mula berjogging pada bulan Julai tahun ini saya tidak perasan perubahannya berikutan rumput di sekitarnya tinggi sebab tidak dipotong. Ianya hanya kelihatan apabila rumput-rumput telah dipotong pada penghujung bulan lepas.

Selepas PKP...

Seingat saya ketika zaman kanak-kanak kira-kira 40 tahun yang lalu, tumbuhan akuatik dari kolam air seperti di atas diambil serta dimasak untuk dijadikan makanan babi peliharaan. Tumbuhan akuatik ini membiak dengan cepat dan tidak hairanlah ianya mampu memenuhi kolam tersebut dalam beberapa bulan sahaja.

Biasa kita dengar orang berkata 'sekali air bah, sekali pantai berubah' dan mungkin kini boleh diubah ke 'sekali PKP, sekali kolam berubah'.

Fikir-fikirkan...

Saturday, 19 December 2020

Microwave synchronous motor repair

Ketuhar gelombang mikro (microwave) ini telah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Kali ini dia kembali dengan masalah mengeluarkan bunyi bising yang kuat seperti bunyi generator dan anda boleh tonton pada klip video di atas.

Synchronous motor...

Setelah dibuka serta diperiksa, bunyi tersebut adalah berpunca daripada gegaran pada 'synchronous motor' dan telah saya buka dari bawah microwave seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Buka penutup & keluarkan gearnya...

Oleh kerana ianya masih berpusing dan cuma menghasilkan gegaran serta bunyi bising, saya cuba buka dan menyelengaranya. Gambar di atas menunjukkan 'synchronous motor' telah saya buka dan leraikan.

Anda boleh rujuk di sini untuk cara mengenalpasti 'synchronous motor' masih elok atau telah rosak dan perlu diganti.

Sembur minyak gris...

Saya dapati minyak gris pada bahagian gearnya telah kering dan keras. Jadi, saya bersihkan kesemua gear tersebut dan menyembur semula gris. Klip video dibawah saya rakam setelah disembur gris serta diuji.

Tiada lagi gegaran serta bunyi bising pada 'synchronous motor' tersebut setelah hanya dengan membuang gris yang telah kering dan disembur semula.

Pasang kembali penutupnya...

Klip video di bawah saya ambil setelah 'synchronous motor' tersebut telah siap diselengara dan dipasang kembali pada bawah microwave serta diuji.

Selamat mencuba...

Friday, 18 December 2020

Logitech M185 wireless mouse repair

Tetikus (mouse) ini saya beli ketika membeli komputer riba acer aspire 4530 pada tahun 2009 dan telah 11 tahun berkhidmat bersama saya.

Logitech M185

Pagi semalam saya dapati butang klik sebelah kiri tidak berfungsi apabila ditekan walaupun bunyi 'tik' kedengaran. Butang klik sebelah kanan serta 'roller' masih elok bila saya uji dan ini bermaksud ianya bukan masalah bateri.

Bahagian bawah tetikus...

Tetikus ini mudah dibuka dan cuma perlu membuka sebiji skru pada bahagian dalam di mana baterinya di simpan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Sebiji skru sahaja perlu dibuka...

Gambar di bawah menunjukkan tetikus telah saya buka dan tiada kerosakkan yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar.

Setelah tetikus dibuka...

Apabila saya uji suis klik sebelah kiri dengan multimeter dan ditekan dengan jari, ianya ada 'continuity'. Saya pasang kembali bateri dan diuji dengan menekan terus pada suis tersebut dan ianya boleh berfungsi.

Suis klik sebelah kiri masih elok...

Namun apabila dipasang kembali penutup merah atasnya dan menekan butang sebelah kirinya, ianya tetap tidak berfungsi. Jadi masalahnya ialah pada butang sebelah kiri itu sendiri.

Butang klik sebelah kiri haus...

Apabila dibelek dengan teliti pada butang sebelah kirinya, saya dapati bahagian tengahnya telah haus dan seterusnya menyebabkan suis tidak ditekan dengan habis serta tiada 'continuity'. 

Apa yang saya lakukan ialah kikis bahagian yang tinggi di sebelah kiri dan kanan butang tersebut sehingga kesemuanya sama rata seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Tested -ok

Setelah berpuas hati yang butang klik sebelah kiri telah rata saya kikis, saya pasang kembali tetikus dan ianya telah berjaya diselamatkan serta masih boleh berfungsi semula bila ditekan. Rasanya ia masih boleh berfungsi 10 tahun lagi selepas ini.

Masalah tetikus ini hampir serupa dengan suis komputer riba yang pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Selamat mencuba...

Thursday, 17 December 2020

Acer Aspire Switch 10 repair

Komputer riba ini dirujuk kepada saya dengan masalah butang 'power' tidak berfungsi bila ditekan dan ianya tidak dapat dihidupkan.

Acer Aspire Switch 10

Pemilik memberitahu saya ianya telah dirujuk kepada pihak acer dan tidak mampu dibaiki berikutan tiada alat gantinya dan meminta saya untuk cuba membaikinya.

Model: Aspire Switch 10

Sebelum dibuka, saya sempat menguji dengan menekan butang  'power' dan ianya sah langsung tidak berfungsi setelah ditekan. Butang tersebut juga kelihatan tengelam dan tidak timbul seperti biasa.

Setelah penutup belakang dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati butang 'power' tidak menyentuh suis di dalamnya seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Butang 'power' tidak menyentuh suis...

Apa yang saya lakukan ialah potong sekeping plastik dan gamkan pada butang suis tersebut supaya boleh menyentuh suis pada papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Tambah bahagian yang hilang...

Setelah gam kering saya pasang kembali butang suis ke kedudukan asal dan ianya kini menyentuh suis pada papan litar seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Testing...

Bahagian yang berwarna putih yang saya tandakan pada gambar di atas ialah kepingan plastik yang telah saya gamkan pada butang 'power' tersebut.

Siap...

komputer riba tersebut telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula. Kadang-kadang kerja membaiki seperti masalah di atas hanya memerlukan 'pemikiran di luar kotak' sahaja dan tidak perlu mencari alat gantinya untuk kembali berfungsi semula.

Tested - ok

Fikir-fikirkan dan selamat mencuba...

Wednesday, 16 December 2020

CROWN FW45 industrial wall fan repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman membaiki kipas angin industri berjenama CROWN, Model: FW45 dengan masalah tidak berfungsi langsung.

Jenama: CROWN

Pemilik memberitahu saya dia telah menukar kapasitor yang baru dan fius pada plug 3-pin juga masih elok. Pemeriksaan awal pada plug 3-pin dengan menggunakan multimeter tidak mempunyai 'continuity' walaupun tombol kelajuannya telah dilaras.

Model: FW45

Setelah dbuka serta diperiksa, suisnya juga masih elok dan pemeriksaan 'continuity' pada wayar-wayar ke motor mendapati wayar neutral tiada 'continuity' dengan wayar yang lain..

Wayar gegelung putus...

Ketika saya menjejaki sambungan wayar neutral, wayar gegelung stator telah putus seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Sambung wayar yang putus...

Gegelung wayar stator yang putus itu disambung kepada sebiji 'thermal fuse' dan ianya juga putus. Gambar di atas menunjukkan wayar yang putus telah saya sambung dan gambar di bawah pula ialah 'thermal fuse' asal yang rosak/putus serta 'thermal fuse' yang baru.

'thermal fuse' rosak dan baru...

Ketika menukar 'thermal fuse', pastikan ianya diganti dengan nilai suhu yang sama. Nilai suhu yang saya perlukan untuk kipas ini ialah 135C.

Gantikan 'thermal fuse' yang baru...

Kerja mempateri sambungan wayar dan 'thermal fuse' haruslah dilakukan dengan cepat supaya ianya tidak putus sebelum sempat digunakan. Setelah siap dipateri, periksa semula mengguanakan multimeter untuk memastikan 'thermal fuse' tidak putus dan masih elok.

Siap...

Susun kembali wayar ke kedudukan asal dan pastikan 'thermal fuse' menyentuh gegelung stator seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

No. 3 - 204Ω

Sebelum dibekalkan arus elektrik untuk diuji, periksa dahulu 'continuity' pada plug 3-pin dengan menggunakan multimeter dan gambar di atas serta di bawah merupakan bacaan rintangan yang saya dapat apabila tombol kelajuannya dilaras.

No. 2 - 275Ω

Kipas angin ini telah berjaya diselamatkan dan kembali berfungsi semula setelah kerja-kerja 'troubleshooting' serta membaiki di atas selesai serta diuji.

No. 1 - 307Ω

Majoriti kerosakkan kipas angin yang tiada 'continuity' pada plug 3-pin adalah disebabkan 'thermal fuse' putus dan ianya boleh diselamatkan dengan hanya menukarkan 'thermal fuse' sahaja seperti di atas.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Tuesday, 15 December 2020

SIGMA Elevator OTIS50E-EE PSU repair

Minggu lepas saya dirujuk 4 unit PSU (power supply unit) yang membekalkan output 5vdc, 15vdc & -15vdc untuk kegunaan lif.

PSU buatan Korea ini menggunakan bekalan elektrik 110vac. Salah satu PSU tersebut telah dan pernah saya baiki sebelum ini iaitu kira-kira dua tahun yang lalu dengan kerosakkan yang sama seperti pada artikel di sini.

PSU tersebut rosak semula dan perlu dibaiki dengan kerosakkan yang agak kritikal kali seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di atas dan di bawah.

Semua kapasitor yang rosak boleh dilihat dengan mata kasar iaitu kembung serta bocor seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

KIA7815

Setelah kapasitor yang bocor/rosak ditukar dan diuji, PSU tersebut masih gagal berfungsi. Pemeriksaan seterusnya menemui sebiji 'voltage regulator' berlabel KIA7815 didapati rosak seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Lampu indikator pada PSU kini menyala setelah 'voltage regulator' ditukar dan diuji semula. Pemeriksaan pada voltan output hanya menemui 5v dan -15v sahaja dan tiada bacaan pada output 15v.

LM2676

Tiada kerosakkan komponen lagi yang ditemui apabila diperiksa semula menggunakan multimeter dan saya syak sebiji 'step down voltage regulator' yang berlabel LM2676 mungkin rosak seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

LM2676 baru...

Dipendekkan cerita, saya cuba tukar 'step down voltage regulator' tersebut dengan mengambil dari PSU yang telah siap dibaiki. Setelah ditukar dan diuji buat kali ke-3, kesemua voltan output iaitu 5v, -15v & 15v telah ada dan ianya telah berjaya diselamatkan.

Semua komponen yang rosak telah saya tandakan pada gambar di atas iaitu:-

  1. Sebiji kapasitor utama 220uF, 200v
  2. 3 biji kapasitor output 2200uF, 16v
  3. 2 biji kapasitor 330uF, 50v
  4. sebiji kapasitor 330uF, 35v
  5. sebiji 'step down voltage regulator' LM2676
  6. sebiji kapasitor 47uF, 50v
  7. sebiji kapasitor 100uF, 25v
  8. sebiji 'voltage regulator' KIA7815

5v

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan bacaan pada kesemua voltan output PSU setelah kesemua komponen yang rosak di atas telah saya ganti.

15v

Ini merupakan kerosakkan komponen yang paling banyak pernah saya baiki setakat ini dan ianya masih berbaloi dibaiki sebab kos komponen yang ditukar tidak sampai 10% dari harga PSU yang baru.

-15v

Selamat mencuba...

Monday, 14 December 2020

DIY lampu trafik

Minggu lepas ketika saya menghantar kereta untuk dibaiki, pemilik bangkel yang juga mekanik meminta saya membuatkan litar lampu untuk memulakan perlumbaan drag dengan hanya menekan butang suis sekali sahaja dan lampunya akan menyala mengikut urutan secara automatik

Traffic light schematic diagram

Setelah perbincangan selesai, saya dapati konsep yang dia perlukan adalah sama seperti lampu trafik iaitu bermula dengan lampu merah, selepas itu kuning dan akhir sekali hijau untuk memulakan perlumbaan.

Komponen yang di perlukan...

Gambar pertama di atas merupakan 'schematic' yang telah saya lakar dan digunakan untuk membuat lampu trafik rekaan saya. Komponen yang di perlukan ialah:-

  1. Papan litar (PCB)
  2. Sebiji 'timer' - NES555P
  3. Sebiji 'step switch' - CD4017BE
  4. 5 biji diod 1N4148
  5. 3 biji perintang 680Ω
  6. Sebiji  perintang 22kΩ
  7. Sebiji perintang 100kΩ
  8. Sebiji kapasitor seramik 0.1uF (104)
  9. Sebiji kapasitor 10uF, 16v
  10. Sebiji kapasitor 1uF, 16v
  11. 3 biji lampu LED (merah, kuning dan hijau) 

Siap...

Klip video di bawah saya ambil setelah kerja-kerja memasang kesemua komponen ke papan litar siap dan diuji dengan bekalan bateri 9v sahaja. Litar yang saya reka di atas boleh berfungsi dengan voltan minimum iaitu 3v sehingga maksimum 18v tanpa masalah.

Jika rekaan saya di atas diterima, saya perlu memasang sebiji suis utama serta 3 biji relay untuk mengerakkan lampu yang bakal disambungkan kepadanya kelak.


Selamat mencuba...