Friday, 8 January 2021

Suis sentuh menggunakan MOSFET

Sebelum ini saya ada kongsikan cara memeriksa N-channel MOSFET dan anda boleh rujuk di sini. Saya juga pernah kongsikan cara membuat suis sentuh dengan menggunakan transistor dan anda boleh rujuk di sini.

MOSFET

Hari ini saya kongsikan pula cara membuat suis sentuh dengan menggunakan sebiji MOSFET. Litarnya telah saya tunjukkan seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Touch switch using MOSFET

MOSFET yang saya gunakan ialah N-channnel 5N80 (5A, 800V).

Terminal negatif bateri disambung terus ke terminal Source (S) pada mosfet dan terminal positif bateri pula disambung sebiji lampu LED serta perintang sebelum disambung ke terminal Drain (D) pada mosfet.

Perintang yang saya guna ialah 1kΩ dan bertujuan supaya lampu LED tidak hangus sebab menggunakan bateri 9v.

Lampu LED akan menyala apabila terminal Gate (G) dan terminal positif bateri disentuh serentak manakala lampu LED akan padam apabila terminal Gate (G) dan terminal negatif bateri disentuh serentak seperti boleh dilihat pada klip video di bawah.

Perbezaan suis sentuh menggunakan transistor dan mosfet ialah, lampu LED kekal menyala/padam walaupun tidak disentuh lagi selepas itu. 

Jika menggunakan transistor, lampu LED hanya menyala apabila disentuh sahaja namun padam jika tidak disentuh lagi selepas itu.

Selamat mencuba...

Thursday, 7 January 2021

PFS-300 impulse sealer repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman baru dirujuk sebuah 'impulse sealer' model: PFC-300 dengan masalah langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

PFS-30 impulse sealer

Kegunaan 'impulse sealer' ini ialah untuk pembungkusan barangan plastik dengan memanaskan bahagian yang perlu ditutup/dilekat bersama.

Model: PFS-300

Seperti biasa, benda pertama yang saya periksa ialah buka plug 3-pin untuk memeriksa fius serta penyambungannya.

Ketika plug 3-pin dibuka, wayar biru (neutral) tanggal namun fiusnya masih elok. Setelah wayar neutral saya sambung kembali dan diuji, 'impulse sealer' ini masih juga tidak berfungsi.

Seterusnya saya periksa elemen pemanas seperti yang telah saya label pada gambar pertama di atas dan ianya juga masih elok.

Gambar di atas menunjukkan komponen yang ada di dalamnya setelah penutup bawahnya saya buka untuk membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan menyeluruh mendapati sebiji suis lari dari kedudukan asalnya dan tidak dihidupkan apabila lengan atasnya ditekan seperti telah saya labelkan pada gambar di bawah.

Gambar seterusnya menunjukkan suisnya telah saya laraskan ke kedudukan asal namun apabila lengan atasnya ditelan, ianya tidak menyentuh untuk menghidupkan suis tersebut.

Saya bengkokkan sedikit besi yang seharusnya menyentuh suis sehingga bunyi 'tik' kedengaran apabila lengan atasnya ditekan.

'Impulse sealer' ini telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan tanpa menukar sebarang komponen.

Selamat mencuba...

Wednesday, 6 January 2021

21w T5 energy saving fluorescent lamp repair

Sebelum ini saya ada membaiki lampu mirip seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

T5 Energy saving lamp - 21w

Lampu kali ini berbeza dengan yang saya baiki dahulu sebab ianya menggunakan tiub fluorescent dan bukannya jenis LED.

2700K

lampu fluorescent kini tidak lagi menggunakan ballast lama yang berfungsi seperti transformer liner dan menggunakan gegelung tembaga serta memerlukan 'starter' untuk menghidupkan lampunya. Gambar di bawah merupakan cara penyambungan lampu fluorescent lama.

Conventional ballast

Lampu fluorescent kini menggunakan ballast elektronik dan ianya menggunakan komponen elektronik seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Electronic ballast...

Setelah ballastnya dibuka dan diperiksa, hanya sebiji kapasitor utama 4.7uF, 250v didapati rosak dan harus ditukar dan telah saya tandakan pada gambar di atas.

Kapasitor 4.7uF, 250v rosak sebiji..

Pada mulanya saya berhajat menukarkan kedua-dua kapasitor utamanya dengan sebiji 10uF, 400v namun terpaksa dibatalkan sebab kedua kapasitor tersebut disambung secara bersiri dan ada sambungan lagi di antaranya ke lampu fluorescent.

Gantikan kapasitor baru...
 
Gambar di atas menunjukkan sebiji kapasitor yang rosak telah saya gantikan dan anda boleh lihat saiz kapasitor baru lebih kecil walaupun nilainya sama. Gambar di bawah menunjukkan nilai kapasitor lama yang cuma tinggal 139nF sahaja. 

Kapasitor lama - 0.1uF sahaja
 
Lampu fluorescent tersebut telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula dengan hanya menukar sebiji kapasitor sahaja. Tidak dinafikan bahawa ballast lama jarang rosak namun jika rosak akan berlaku litar pintas.

Jika ballast elektronik rosak, biasanya lampu tidak menyala atau berkelip-kelip dan ia memerlukan kepakaran elektronik untuk membaikinya.
 
Keburukan menggunakan lampu florescent yang menggunakan ballast lama ialah jika mengalami litar pintas dan disambung secara selari, anda perlu buka satu per satu untuk mencari puncanya dan banyak masa terbuang untuk proses 'troubleshooting'.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Tuesday, 5 January 2021

BELIMO FRU230-3 rotary actuator repair

Sebelum ini saya pernah membaiki benda seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Jenama: BELIMO

Hari ini saya dirujuk 4 biji benda yang sama dengan masalah sama iaitu tidak berfungsi walaupun arus elektrik telah dibekalkan. Cara membaikinya juga sama seperti yang telah saya lakukan pada artikel lepas.

Model: FRU230-3

Salah sebiji masih juga tidak berfungsi walaupun telah diselengara namun apabila kesemuanya saya buka dan diuji, motornya boleh berpusing seperti biasa.


Saya dapati motornya berpusing agak perlahan berbanding dengan 3 yang lain. Apabila saya tahan gear motornya dengan jari, ianya terus tidak berpusing lagi seperti boleh dilihat pada klip video di atas.

Setelah dibuka...

Masalah sedemikian adalah disebabkan tidak dibekalkan dengan arus elektrik yang mencukupi dan permeriksaan pada papan litar mendapati sebiji kapasitor 0.22uF rosak dan perlu diganti.

Kapasitor lama & baru...

Bacaan kapasitor tersebut cuma 50nF sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di bawah. Bacaan sepatutnya ialah 0.22uF atau 220nF.

Kapasitor lama 50nF sahaja...

Setelah kapasitor tersebut saya gantikan dengan yang baru dan diuji, masalahnya selesai dan telah berjaya diselamatkan serta masih boleh digunakan semula.

Siap...

Motornya tidak lagi berhenti berpusing walaupun saya cuba menahannya dengan jari seperti sebelumnya.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Monday, 4 January 2021

DIY Drag Racing christmas tree/light (countdown starter)

Bulan lepas saya ada membuat satu litar berkonsepkan lampu trafik untuk kegunaan memulakan perlumbaan drag dan hanya melibatkan 3 lampu sahaja. Anda boleh rujuk di sini untuk keterangan lanjut.

Drag Race 5 light schematic

Saya diberitahu ianya tidak sesuai sebab banyak pelumba yang melakukan 'jump start' sebab tidak biasa dengan konsep lampu trafik rekaan saya tersebut.

Jadi, saya disuruh menambah dua biji lagi lampu supaya pelumba lebih bersedia untuk mengurangkan masalah 'jump start'.

Setelah dikaji litar yang lepas dan ubahsuai dilakukan, lakaran litar terakhir saya ialah seperti pada gambar di atas. Saya tambahkan dua biji lagi lampu berwarna kuning seperti berikut:-

  1. Merah - Bersedia
  2. Kuning - 1
  3. Kuning - 2
  4. Kuning - 3
  5. Hijau - pecut...

Litar kali ini saya lengkapi dengan butang 'reset' dan ianya disambung kepada pin 16 dan pin 15. Setiap kali butang 'reset' ditekan, ianya akan terus kembali ke lampu merah dan tidak berkelip sehingga butang 'reset' dilepaskan.

Siap...

Klip video di bawah saya rakam setelah siap kerja ubahsuai dilakukan pada litar lampu trafik dan kini ianya dilengkapi dengan 5 biji lampu.

Semoga rekaan kali ini mampu membantu pelumba mengurangkan 'jump start' dan proses penganjuran akan berjalan dengan lebih lancar lagi.

Selamat mencuba...

Sunday, 3 January 2021

FOREX

FOREX atau FX ialah singkatan untuk 'foreign exchange' yang merujuk kepada urusniaga melibatkan mata wang asing.

Kadar pertukaran USD/MYR - Dec 2020

Kadar pertukaran mata wang berubah-ubah dan ditentukan mengikut bekalan (supply) dan permintaan (demand) di pasaran mata wang dunia. Gambar di atas saya ambil dari carian Google dan menunjukkan kadar pertukaran ringgit berbanding dollar amerika sepanjang bulan lepas.

Mungkin anda pernah mendengar mengenai pelaburan FOREX sebelum ini dan tahukah anda bagaimana mendapat keuntungan atau kerugian melaluinya?

Secara ringkasnya, anda akan untung jika membeli pada kadar rendah dan menjualnya pada kadar yang tinggi dan sebaliknya, anda akan rugi jika membeli pada kadar yang tinggi dan menjualnya pada kadar yang rendah.

Beli pada 25/10/2020 - USD35.00

Untuk ilustrasi supaya mudah difahami, saya guna pengalaman membeli barangan melalui atas talian yang menggunakan mata wang asing.

Pada penghujung tahun lepas saya membeli sesuatu secara atas talian di AliExpress dan harganya ialah USD35 seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Nasib tidak menyebelahi saya sebab barangan yang dibeli rosak ketika diterima dan saya meminta bayaran balik (refund). Setelah berbincang dengan penjual, saya mendapat bayaran balik penuh iaitu USD35 seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Refund pada 22/11/2020 - USD35.00

Gambar seterusnya saya ambil dari penyata akaun bank saya iaitu:-

  1. akaun saya dipotong RM148.22 pada 28/11/2020 ketika membuat pembelian.
  2. akaun saya dimasukkan RM140.68 pada 26/11/2020 ketika mendapat bayaran balik.

Transaksi dalam MYR (RM)

Walaupun harga belian dan jumlah bayaran balik adalah sama iaitu USD35.00 namun apabila ditukar kembali ke mata wang kita iaitu ringgit malaysia, jumlahnya berbeza dan saya kehilangan RM7.54. Kenapa?

Sebabnya ialah:-

  1. Kadar pertukaran ketika membeli pada 25/10/2020 berbeza dengan kadar pertukaran ketika mendapat bayaran balik pada 22/11/2020.
  2. Kadar belian serta kadar jualan mata wang asing yang ditetapkan oleh bank juga berbeza dan ianya merupakan keuntungan pihak bank seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

as at 31/12/2020

Maksudnya jika saya membeli dan menjual pada masa yang sama, saya tetap akan rugi sebab perbezaan kadar belian serta kadar jualan adalah berbeza.

as at 31/12/2020

Jika pembelian saya di atas menggunakan mata wang kita sendiri iaitu ringgit malaysia, tiada masalah sedemikan berlaku sebab tidak melibatkan pertukaran mata wang asing (FOREX).

Fikir dahulu sebelum membuat pelaburan FOREX terutamanya melibatkan transaksi atas talian sebab majoriti adalah 'scammer' yang menjanjikan bulan dan bintang. Modus operandi mereka setelah berjaya memujuk orang ramai membuat pelaburan FOREX ialah memberi pulangan seperti yang dijanjikan supaya pelaburnya terus dan akan membuat pertambahan pelaburan atau membawa orang ramai melabur bersama sehingga satu hari mereka lesap dan tidak dapat dihubungi lagi.

Saya pernah menerima panggilan dari mereka yang memperkenalkan diri sebagai agen pelaburan FOREX yang berpengkalan di luar negara. Saya juga pernah layan panggilan mereka sebab ingin tahu bagaimana cara mereka menipu. 

Saya tidak pernah terbuka hati dengan pelaburan FOREX yang melibatkan atas talian sebab tiada jaminan wang yang kita pindahkan kepada mereka itu masih milik kita. Sebagai contoh, jika kita menyimpan wang di bank, sekurang-kurangnya kita ada akaun bank atas nama kita dan ianya milik kita.

Pemindahan wang kita kepada agen pelaburan FOREX atas talian adalah umpama memberi wang kita kepada orang yang tidak dikenali dan tiada jaminan ianya masih milik kita lagi. Kata orang 'duit tiada mata' (錢沒眼), jika ianya berada ditangan saya, ia adalah milik saya namun jika ianya terjatuh dan dikutip orang lain, ianya adalah milik orang lain.

Jangan jadi mangsa pelaburan FOREX atas talian yang menjanjikan bulan dan bintang...

Saturday, 2 January 2021

Suis sentuh menggunakan transistor

Hari ini saya kongsikan cara membuat suis sentuh (touch switch) dengan menggunakan sebiji transistor sahaja.

NPN vs PNP transistor

Secara amnya terdapat dua jenis transistor iaitu NPN dan PNP. Setiap transistor mempunyai 3 terminal yang berlabel C (Collector), B (Base) dan E (Emitter) seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Terdapat bermacam-macam jenis transistor dan ianya dilabel dengan berbagai-bagai nombor rujukan. Huruf di depan pada nombor rujukan transistor boleh digunakan untuk menentukan samada ianya NPN atau PNP. Huruf yang sering digunakan ialah A, B, C & D.

Transistor yang dilabel dengan A & C ialah transistor jenis NPN manakala B & D pula ialah transistor jenis PNP.

Terdapat juga transistor yang di label dengan huruf S seperti S8050 dan S8550. S8050 ialah transistor jenis NPN manakala S8550 pula ialah transistor jenis PNP.

Cara paling mudah untuk menentukan samada ianya transistor jenis NPN atau PNP ialah dengan merujuk kepada 'datasheet' transistor masing-masing.

Perbezaan utama transistor NPN dan PNP ialah pada terminal E (Emitter). Anak panah pada simbol transistor merujuk kepada pergerakan sehala arus elektrik dan fungsinya sama seperti diod.

Arus elektrik mengalir dari positif ke negatif dan ini bermaksud, terminal E (emitter) untuk transistor NPN harus disambung ke negatif bekalan elektrik manakala untuk transistor PNP pula harus disambung ke positif bekalan elektrik. Transistor tidak akan berfungsi jika disambung terbalik.

Touch switch schematic

Gambar di atas menunjukkan litar paling mudah menggunakan transistor untuk berfungsi sebagai suis. Kedua-dua transistor NPN dan PNP boleh digunakan dan perbezaannya ialah di mana terminal B (Base) harus disambung pada litar.

Transistor NPN hanya akan berfungsi apabila terminal B (Base) disambung kepada terminal positif litar manakala transistor PNP pula hanya akan berfungsi apabila terminal B (Base) disambung kepada terminal negatif litar.

Siap...

Gambar di atas menunjukkan suis sentuh yang telah saya buat menggunakan transistor NPN berlabel BC546 dan saya tambah perintang pada litar supaya lampu LED tidak hangus sebab menggunakan bekalan elektrik 9v.

Perintang tidak diperlukan jika anda menggunakan bekalan elektrik 3v sahaja.

Testing...

Litar ini juga boleh berfungsi dengan menyentuh menggunakan aliran air seperti boleh dilihat pada klip video di bawah.


Selamat mencuba...

Friday, 1 January 2021

2021

Awal tahun lepas saya ada menyimpan dua hajat untuk disempurnakan dan anda boleh rujuk di sini.

2020 - 366 artikel

Dua hajat tersebut ialah:-

  1. menulis satu artikel setiap hari untuk blog saya.
  2. menyertai pertandingan binabadan.

Gambar di atas menunjukkan hajat pertama saya telah tercapai dan menghasilkan 366 artikel pada tahun lepas (2020)

Mula blogging pada tahun 2012...

Hajat ke-2 tidak tercapai dek kerana pandemik CoVid-19 menular di seluruh pelusuk dunia sejak awal tahun dan negara kita mula menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada pertengahan bulan mac iaitu mulai Mac 18, 2020.

Buat kali pertama tiada pertandingan binabadan dianjurkan pada tahun lepas dan saya juga telah menghentikan senaman angkat berat sejak PKP dikuatkuasakan berikutan gym juga tidak dibenarkan beroperasi. Orang awam juga tidak dibenarkan membuat sebarang aktiviti di luar rumah termasuk berjogging.

Jumlah 'pageviews' - 661k setakat 31/12/2020

Ketika PKP mula dikuatkuasakan, saya dengan sukarela telah mengambil cuti tanpa gaji selama 3 bulan namun dipanggil kembali bertugas semula pada bulan julai secara 'part time' dan gaji dikira mengikut jumlah hari bekerja sepanjang PKP sehingga hujung tahun lepas.

Bulan ini barulah saya merasai gaji penuh dan kembali bertugas seperti semula biasa iaitu 6 hari seminggu. Semoga vaksin yang telah mula diedarkan di seluruh dunia kini mampu menangani serta menghapuskan CoVid-19 secara menyeluruh dalam masa terdekat.

Popular post...

Perkembangan blog saya sepanjang tahun lepas ialah:-

  1. Pertambahan pengunjung (pageview) sebanyak kira-kira 200 ribu berbanding tahun sebelumnya.
  2. Empat artikel baru masuk dalam 'popular post' berkaitan dengan membaiki 'water heater' berjenama JOVEN, membaiki dekoder ASTRO, membaiki TV berjenama SHARP dan sewa beli (Hire Purchase).
Popular post...

Baru-baru ini saya telah mula melakukan projek merekacipta berkaitan dengan elektronik jika ada masa terluang. Ini disebabkan kerja merekacipta ini memerlukan masa yang panjang dan perlu melalui proses 'trial and error' sebelum boleh berfungsi seperti yang diminta walaupun kadang-kadang mungkin tidak sempurna.

Projek pertama yang telah berjaya saya reka ialah membuat lampu untuk memulakan perlumbaan berkonsepkan lampu trafik dan anda boleh rujuk di sini.

Satu lagi projek yang juga telah berjaya saya reka ialah membuat lampu hadapan kereta ikonik dalam cerita Knight Rider dan anda boleh rujuk di sini.

Terdapat beberapa lagi projek yang telah berjaya saya reka namun belum ada kelapangan menulis artikel berikutan kesuntukan masa dan akan saya kongsikan tidak lama lagi.

Popular post...

Dari zaman kanak-kanak lagi saya amat meminati projek merekacipta peralatan elektronik namun terpaksa dilupakan atas sebab tidak berpeluang melanjutkan pendidikan berikutan masalah kewangan dan terpaksa memulakan alam pekerjaan.

Semoga minat merekacipta dari projek kecil-kecilan yang saya lakukan ini mampu menghasilkan sesuatu yang belum pernah dicipta sebelum ini.

Selamat tahun baharu 2021...