Friday, 8 May 2020

Bantuan MCO/PKP CoVid-19

Sejak MCO/PKP bermula pada 18/03/2020 sehingga hari ini, saya yang juga merupakan golongan B40 telah memilih untuk mengambil cuti tanpa gaji (CTG) bagi meringankan beban sebuah industri pelancongan yang umum tahu terjejas teruk dek kerana pandemik CoVid-19.
Sehubungan itu saya juga berusaha memohon segala bantuan yang telah pihak kerajaan umumkan sebelum ini dan akhirnya saya dapat juga sedikit ikhsan pada 29/04/2020 seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.
Saya tidak pasti ianya sumbangan dari kerajaan atau pertubuhan NGO dan sebagainya namun yang pasti saya perlu mengisi borang untuk mendapatkannya dan apa yang saya dapat ialah:-
  1. Sebungkus beras 10kg
  2. Sebungkus biskut (428g)
  3. Sebungkus tepung gandum(1kg)
  4. Sebungkus gula kadar (1kg)
  5. Sebungkus mi segera (sarimi - 5 paket)
  6. Minyak masak (1kg)
Mungkinkah ianya bantuan berupa bakul makanan yang bernilai RM100 setiap satu yang pernah diumum oleh kerajaan sebelum ini? Nilainya anda boleh kira sendiri...

Mungkin disebabkan saya tinggal di rumah batu kawasan perumahan, kami dipinggirkan. Ramai yang menerima bantuan sama sehingga 3 kali sepanjang PKP tanpa perlu sebarang permohonan.

Sehingga ke hari ini juga, janji kerajaan untuk memberi topeng mulut & hidung (mask) secara percuma juga masih belum kelihatan. Mungkinkah kawasan perumah itu di kira kawasan luar bandar yang susah dihubungi?

Bil cukai pintu pun tidak pernah tercicir walau setahun sejak saya tinggal belasan tahun di sini namun bantuan di kala CoVid-19 melanda, kami yang tercicir...

Thursday, 7 May 2020

Moratorium - CoVid-19

Isu moratorium untuk peminjam bank ini pernah saya ulas sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini dan sini.
06/05/2020
Gambar di atas merupakan kenyataan akhbar yang terbaru dikeluarkan oleh kementerian kewangan dan saya pasti tiada pusingan-u lagi selepas ini.

Jadi, contoh yang saya beri pada artikel lepas masih terpakai dan anda masih boleh berjimat dengan moratorium selama 6 bulan ini.

Perubahannya cuma tiada faedah/keuntungan tambahan akan dikenakan pada penangguhan bayaran 6 bulan untuk pinjaman yang berkadar tetap.

Dalam masa yang sama bank negara malaysia juga telah mengumumkan bahawa kadar OPR juga diturunkan dari 2.5% kepada 2.0% iaitu sama dengan ketika krisis ekonomi pada tahun 2008/2009.

Orang ramai dinasihatkan agar berbelanja dengan berkhemah dan hanya berbelanja untuk barangan perlu sahaja ketika ini kerana kita tidak tahu situasi sekarang akan berlarutan berapa lama lagi.

Bagi yang memerlukan bantuan makanan asas, ambil peluang ini untuk mendapatkan bantuan dari pihak kerajaan ketika ini untuk PKP/MCO.

Kita mesti menang melawan CoVid-19...

Wednesday, 6 May 2020

Kehidupan selepas PKP/MCO

Adakah kita sudah bersedia?

Apa yang bakal berlaku selepas PKP?
Ramai yang ingat, selepas sahaja PKP ditamatkan. Kita akan menjalani kehidupan seperti biasa.

Rangkaian covid boleh dihentikan, tetapi untuk membunuh Virus tersebut adalah sesuatu yang belum diketahui kerana belum ada penawarnya (vaksin). Jadi, kita masih belum selamat.

Sangkaan itu mungkin betul, tapi yang pasti selepas PKP, kita semua akan menjalani kehidupan dengan New Norm.

Kalau perasan sebelum ni, PM awal awal lagi dah sebut, kita kena biasakan dengan kehidupan baru iaitu New Norm.

New Norm ini adalah keadaan di mana kita bakal bebas namun masih dalam keadaan terkawal, ianya atas risiko masing masing.

Walaupun kes covid dah sifar, tetapi kemungkinan untuk wujudnya jangkitan wabak semula adalah “ *Possible* “ yang akan menyebabkan sporadik iaitu jangkitan baru.

Walaupun kita akan bebas keluar semula.

Tetapi, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

1 ) Masih mengamalkan social distancing pada jarak 1 Meter

2 ) Keluar bila memerlukan sahaja. Terus pulang ke rumah selepas waktu bekerja

3 ) Tidak dibenarkan menghadiri atau mengendali majlis yang melibatkan pengumpulan ramai orang seperti majlis kahwin, konvensyen dan sebagainya

4 ) Tidak dibenarkan keluar negara untuk beberapa tempoh, sehingga satu dunia bebas dari covid. Bila agaknya satu dunia akan bebas dari covid? Mungkin mengambil masa 1-2 tahun.

5). Tidak digalakkan untuk bercuti dan belegar di shopping mall, pawagam mahupun pasar borong

6). Sentiasa mengamalkan personal hygiene, hand sanitization, menutup bersin dengan siku, memakai mask jika perlu

7). Tidak digalakkan melepak di warung, kedai mamak dan sebagainya. Tiada lagi tontonan Live bolasepak di premis makanan

Apa yang akan berlaku seterusnya?

1 - Pemilik Microbusiness juga akan terkesan dengan kerugian disebabkan pelanggan hanya keluar untuk membeli makanan bila perlu sahaja.

2 - Microbusiness juga akan terkesan Seperti kilang pengeluar dan mungkin mereka akan kurangkan bebanan dengan mengurangkan jumlah pekerja

3 - Sektor Perhotelan / Resort / Kelab golf / Shopping complex / Taman tema - tidak akan menerima kunjungan seperti dulu lagi

4 - Syarikat penerbangan juga akan terkesan bila mana mereka hanya boleh dibenarkan untuk terbang dalam negara sahaja

5 - Syarikat penjualan kereta akan turut terjejas kerana faktor ekonomi pembeli yang terjejas. Siapa yang akan beli kereta dalam keadaan ekonomi tidak stabil?
Ada ke bank yang sanggup beri hutang dalam keadaan macam ni?

6 - Sektor pakaian dan servis kecantikan juga akan terjejas. Pelanggan akan mengutamakan perbelanjaan dapur dari kecantikan

7 - Bagaimana dengan sekolah / Kolej dan universiti? Perkara ini agak rumit untuk dibincangkan kerana ianya mempengaruhi pelbagai aspek yang bakal melanggar syarat sosial distancing. Kita tunggu dan lihat apa keputusan yang akan dibuat

8 - Syarikat pembekal perubatan akan terus sukses kerana mempunyai demand yang tinggi

9 - Rakyat akan mula berjaga-jaga dan cuba mengelakkan risiko jangkitan. Rakyat akan lebih peka dengan personal hygiene .

10 - Oh ya! Siapa yang mahu beli hartanah dalam keadaan ekonomi yang merosot?

11 - Perniagaan perabot juga akan terkesan. Siapa yang mahukan perabot baru dikala income bulanan tidak menentu?

Dan banyak lagi...

Kesimpulan disini, selepas tamat waktu PKP, Itu bukan lah titik noktah kerana rawatan utama untuk covid masih belum lagi ditemui. Oleh itu, Risiko jangkitan dan kematian  masih tinggi .

6 bulan yang akan datang, adalah tempoh kritikal yang lebih mencabar dimana rakyat perlu bersedia mental dan fizikal untuk mengharungi fasa pemulihan ekonomi.

 *Saranan*

1 - Berjimat sebaik mungkin. Apa saja duit simpanan yang ada, Simpanlah selagi boleh.

2 - Basuh semula pakaian lama dan pakai semula. Jangan bazir duit simpanan dengan pakaian yang baru

3 - Hidup dalam besederhana

4 - Jimatkan pengunaan elektrik dan air

5 - Tangguh dahulu plan percutian sehingga income mula stabil

6 - Kurangkan kos perbelanjaan makanan Dengan hanya membeli makanan yang perlu sahaja. Jangan bazirkan duit dengan makanan pesanan yang ditempah diluar sebaiknya masak dirumah lebih menjimatkan

7 - Jangan bazirkan wang dengan gadget elektronik yang tidak diperlukan.

8 - Kurangkan pengunaan kenderaan untuk menjimatkan kos tol, kos selenggara dan kos minyak

9 - Menumpang dengan ahli keluarga atau menyewa rumah. Elakkan pembelian hartanah buat masa ini. Loan pun susah lepas & Belum tentu lagi pekerjaan yang ada akan masih kekal.

Berikut adalah beberapa saranan sahaja, Untuk memastikan kita boleh survive dalam tempoh 6 bulan - 12 bulan akan datang

New Norm adalah kehidupan baharu yang bakal kita tempuhi. Yang pastinya Bukan mudah, Tetapi adalah untuk keselamatan Nyawa Masing Masing

Dan Ingatlah . Untuk tempoh Ini
“ Cash Is King . “

Jimatlah sebaik mungkin.

Apa yang bakal berlaku seterusnya? Tiada siapa yang tahu

Marilah kita berdoa agar penawar virus ini dapat dijumpai dengan segera , Barulah kita boleh menjana ekonomi kita seperti dulu...

Change We Must

Tuesday, 5 May 2020

TOTALINE digital room thermostat repair

Digital thermostat seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini dan sini.
Penyambung (connector) tanggal...
Hari ini saya dirujuk sebuah lagi digital thermostat dengan masalah penyambung (connector) tanggal seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.
Buka papan litar...
Caranya mudah sahaja iaitu buka papan litarnya dan pasang kembali penyambung ke kedudukan asal serta pateri pada bahagian bawah papan litar.
Pateri kembali ke kedudukan asal...
Hampir kesemua bahagian bawah papan litar pada bahagian penyambung telah retak dan saya pateri kembali kesemuanya seperti boleh dilihat seperti pada gambar di atas.
Siap...
Selamat mencuba...

Monday, 4 May 2020

Berjimat dengan moratorium

Sejak pandemik CoVid-19 melanda seluruh dunia termasuk negara kita, kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan yang bernilai RM250billion untuk membantu rakyat serta peniaga untuk mengharungi situasi getir ini.
Antara bantuan dari pakej ransangan tersebut adalah bantuan prihatin nasional (BPN), moratorium dan lain-lain. Kerajaan melalui perutusan khas perdana menteri juga memaklumkam bahawa dana suntikan terus ialah kira-kira RM22biliion sahaja.

Maksudnya hanya RM22billion sahaja menggunakan dana kerajaan, selebihnya ialah wang kita sendiri, socso, insuran, perbankan melalui moratorium dan sebagainya.

Contoh wang kita sendiri ialah kita dibenarkan mengeluarkan wang persaraan kita iaitu KWSP.

Hari ini saya kongsikan salah satu insentif dari pakej rangsangan tersebut yang melibatkan perbankan iaitu moratorium.

Moratorium merupakan penangguhan bayaran ansuran pinjaman untuk suatu masa tertentu dan dalam pakej rangsangan tersebut telah menetapkan tempoh penangguhan selama 6 bulan mulai april 2020 sehingga september 2020.

Ini bermaksud peminjam boleh memilih untuk tidak membayar ansuran bulanan pada tempoh tersebut (april - september) dan kembali membuat bayaran ansuran mulai bulan oktober 2020.

Harus diingat bahawa penangguhan tersebut akan menyebabkan tempoh pinjaman asal bertambah 6 bulan dan sedikit penstrukturan bayaran bulanan.

Maksudnya jika anda membuat pinjaman untuk lima tahun iaitu tempoh bayaran balik asal ialah 60 bulan akan bertambah menjadi 65 bulan.

Saya juga yakin dalam tempoh penangguhan tersebut pihak bank akan mengenakan faedah tambahan dan cara pengiraannya pernah saya kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Jadi, jika anda masih menerima gaji penuh setiap bulan, saya sarankan supaya tidak memilih moratorium atau penangguhan bayaran ansuran.

Namun jika anda berhajat untuk mengurangkan komitmen bulanan, anda boleh ambil peluang moratorium ini untuk melaksanakannya.

Bagaimana?

Kita guna contoh di bawah dan ianya hanya untuk mereka yang masih menerima gaji bulanan penuh sahaja.

Katakan anda mempunyai komitmen semasa seperti berikut:-
  1. Pinjaman perumahan; RM1,000 sebulan
  2. Pinjaman kereta: RM500 sebulan
  3. Pinjaman pribadi/kad kredit: RM300 sebulan
Jumlah komitmen bulanan anda ialah RM1,800 sebulan.

Jadi, jika anda memilih moratorium, setiap bulan anda simpan RM1,800 dan selepas 6 bulan anda ada RM10,800 tunai.

Apa yang anda lakukan selepas 6 bulan ialah langsaikan pinjamam pribadi/kad kredit dengan simpanan 6 bulan di atas dan selepas itu anda cuma perlu bayar RM1,500.00 atau lebih sedikit sebulan disebabkan penstrukturan semula iaitu pinjaman rumah serta kereta sahaja dan hutang pribadi/kad kredit telah langsai.

Fikir-fikirkan...

Sunday, 3 May 2020

Penantian Itu Suatu Penyiksaan

Hari ini telah 47 hari negara kita menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP). Kali terakhir saya bekerja ialah pada 23/3/2020 dan mula menjalani PKP pada hari berikutnya.

Setelah 41 hari terperap di rumah dengan hanya makan dan tidur sahaja, saya kini telah dapat menyesuaikan diri dan saya anggap mungkin beginilah kehidupan kita setelah bersara kelak.

Sebelum mengambil cuti perayaan tahun baharu cina yang lepas saya ada membeli komponen untuk membaiki peralatan eletronik secara atas talian di Shopee dengan harapan ianya akan sampai sebelum atau ketika cuti saya berakhir dan kembali bertugas.
Akhirnya selamat tiba pada 09/03/2020
Komponen tersebut saya beli pada 16/01/2020 dan telah ditunda sebanyak 4 kali penghantarannya dan anda boleh membacanya di sini, sini, sini dan sini.
Dibeli pada 16/01/2020
Arwah ibu saya pernah memberitahu saya bahawa sambutan perayaan tahun baharu cina di negara tembok besar China disambut selama sebulan iaitu mulai 25/01/2020 sehingga 24/02/2020 untuk tahun ini.

Jika dilihat pada gambar di atas, penghantaran barangan yang saya beli pada 16/01/2020 hanya dikirim pada 25/02/2020  dan tiba kira-kira 2 minggu selepas itu iaitu pada 09/03/2020.

Tidak semua peniaga yang bercuti selama sebulan namun ianya diburukkan lagi dengan penularan wabak CoVid-19 yang umum ketahui ianya bermula di negara China.

Jadi, elak dari membeli barangan dari negara China ketika musim perayaan tahun baharu cina.

Saturday, 2 May 2020

Aktiviti ekonomi dibuka 4 Mei 2020

Semalam (01/05/2020) Perdana Menteri negara kita melalui perutusan khas sempena hari pekerja telah mengumumkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membolehkan sektor ekonomi dan sosial dibuka mulai 4 Mei 2020.

Beliau berkata, dalam masa yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan zon merah.

"Dalam melaksanakan PKPB ini, aktiviti dan perhimpunan ramai yang mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 masih tidak dibenarkan," katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja semalam.

Berikut merupakan senarai aktiviti yang masih belum dibenarkan (dilarang) sewaktu PKPB.

Kita berharap aktiviti yang dibenarkan selain daripada senarai di atas mengamalkan 'new norm' seperti penjarakan sosial, memakai topeng hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan sebagainya bagi membendung penularan jangkitan CoVid-19 yang belum ada penawarnya.

Jika 'new norm' tidak diamalkan dan menyebabkan jangkitan CoVid-19 kembali menular, ianya akan lebih teruk seperti yang telah berlaku di Singapura, Jepun & Kanada sekarang.

Bersama-sama kita bekerjasama mematuhi garis panduan atau SOP yang disarankan oleh KKM agar bebas CoVid-19 suatu hari kelak.

kita mesti menang...

Friday, 1 May 2020

Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap

Berikut merupakan pengumuman yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam (30/4/2020) berkaitan dengan moratorium untuk pinjaman sewa beli (Hire Purchase) dan pembiayaan islam berkadar tetap (fixed rate islamic financing)

Susulan daripada pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac 2020 yang lalu, institusi perbankan sedang dalam proses memformalkan perjanjian-perjanjian bagi mencerminkan semakan terhadap syarat pembayaran balik dengan pihak peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap bagi pelaksanaan moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman/pembiayaan. Langkah ini adalah bagi memenuhi keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah yang terpakai bagi apa-apa perubahan yang dibuat terhadap syarat perjanjian-perjanjian tersebut, termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan/atau jumlah pembayaran berikutan moratorium ini.

Sehubungan dengan itu, BNM telah meminta institusi perbankan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam/pelanggan diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka, selain menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian-perjanjian tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bermula pada 1 Mei 2020, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap akan menerima notis pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan mereka berhubung dengan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan proses penangguhan pembayaran pinjaman/pembiayaan mereka di bawah moratorium ini. Institusi perbankan juga akan menyediakan bagi setiap peminjam/pelanggan maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap mereka. Maklumat tersebut mengandungi jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa perubahan terhadap jumlah pembayaran, yang meliputi jumlah kadar faedah/keuntungan biasa yang terakru sepanjang tempoh moratorium.

Peminjam/pelanggan yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian mereka yang sedia ada. Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam/pelanggan mereka untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul/tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium. Institusi perbankan tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh tersebut sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang disetujui dengan peminjam/pelanggan.

Peminjam/pelanggan digalakkan untuk merujuk laman sesawang, portal perbankan internet atau pusat hubungan institusi perbankan mereka untuk maklumat lanjut.

Bank Negara Malaysia
30 Apr 2020


Sumber

Ketika pandemik CoVid-19 melanda negara kita, kerajaan melalui BNM telah mengumumkan moratorium untuk penangguhan bayaran bulanan pinjaman bank selama 6 bulan berkuatkuasa mulai bulan april 2020 sehingga september 2020.

Ini bermaksud peminjam boleh memilih untuk menangguhkan bayaran pinjaman dalam tempoh tersebut dan kembali membayar pinjaman mulai oktober 2020.

Peminjam juga boleh memilih untuk tidak menangguhkan bayaran bulanan dengan memberitahu kepada pihak bank dan membuat bayaran bulanan seperti biasa.

Ketika itu, hampir semua bank sepakat menyatakan bahawa tiada 'compound interest' dikenakan dan anda boleh membacanya di sini.

Namun melalui pengumuman terbaru semalam, kini peminjam akan dikenakan faedah dalam tempoh moratorium mengikut keperluan prosedur di bawah akta sewa beli 1967 (HP act 1967).

Setiap peminjam akan dimaklumkan oleh pihak bank masing-masing dan diberi dua pilihan iaitu:-
  1. Tiada penangguhan dan membuat bayaran bulanan seperti biasa ATAU
  2. Penangguhan bayaran pinjaman selama 6 bulan dan kembali membuat bayaran bulanan mulai bulan oktober 2020.
Jika anda memilih penangguhan selama 6 bulan, tempoh bayaran balik akan ditambah 6 bulan dan faedah tambahan akan dikenakan. Katakan bank mencadangkan 'refinance package' kepada anda dan senario berikut diguna sebagai contoh:-
  • Jumlah pinjaman: RM50,000.00
  • Tempoh pinjaman: 9 tahun (108 bulan)
  • Kadar faedah: 3.5%
  • Bayaran bulanan: RM610.00
  • Jumlah hutang: RM30,500 (50 bulan lagi)
  • Faedah tambahan untuk 6 bulan ialah sebanyak RM533.75 (30,500 x 3.5% x 0.5).
Faedah tambahan RM533.75 tersebut akan dibahagi sama rata kepada tempoh yang belum dibayar iaitu kira-kira RM10.68 sebulan (523.75/50).

Maka bayaran bulanan mulai oktober 2020 akan menjadi RM620.68 sebulan.

Sila hubungi pihak bank anda masing-masing untuk keterangan lanjut. Senario di atas adalah sebagai contoh 'refinance package' dan mungkin bank ada alternarif yang lebih baik untuk anda.

Anda boleh rujuk di sini untuk keterangan lanjut soalan lazim berkaitan moratorium.

Semoga penerangan di atas jelas dan pilihan di tangan anda sendiri.