Tuesday, 18 October 2022

Saksi kes pembunuhan di gua Niah

Saya pernah menjadi saksi satu kes pembunuhan yang berlaku lebih 25 tahun yang lalu di Batu Niah, Sarawak.

Gua Niah (Niah Cave)

Kejadian pembunuhan tersebut berlaku di gua Niah dan melibatkan seorang pembeli sarang burung. Kerja mangsa ialah membeli sarang burung dari mereka yang menjolok sarang burung di gua Niah.

Dengar cerita, mangsa dirompak dan sewaktu pergelutan, belakang kepalanya telah dipukul sehingga mengakibatkan kematian.

Batu Niah adalah sebuah pekan yang kecil dan saya ketika itu berkhidmat sebagai juruwang (cashier) di sebuah syarikat kewangan. Kini tiada lagi syarikat kewangan di negara kita selepas proses pengabungan bank-bank berikutan krisis ekonomi pada tahun 1996/1997.

Pihak polis telah melakukan penyiasatan dan menurut orang ramai mangsa telah ke syarikat kewangan tempat saya bekerja untuk menukar wang sebelum ke gua Niah meneruskan kerjanya membeli sarang burung.

Dengan yang demikian saya pun telah dipanggil oleh polis untuk diambil keterangan di balai polis. Saya pada mulanya takut memberi keterangan sebab sebagai pekerja di syarikat kewangan kami tertaluk kepada akta BAFIA (Bank And Finance Instituion Act).

Setelah berbincang dengan pengurus syarikat, saya akhirnya terpaksa bekerjasama dan diambil keterangan.

Sewaktu di balai polis, pegawai yang menyiasat memperkenalkan diri sebagai ASP Jamail (masih ingat nama namun mungkin ejaan tidak betul) dan proses mengambil keterangan berlangsung beberapa jam.

Masih jelas di ingatan saya sehingga hari ini proses sewaktu diambil keterangan. Pegawai penyiasat menggunakan sebuah mesin taip (typewriter) untuk merekodkan keterangan dari saya.

Apa yang boleh saya simpulkan sepanjang keterangan diambil ialah, pegawai penyiasat tersebut sangat professional dan kami seolah-olah seperti kawan akrab yang duduk minium kopi sambil berbual tentang sesuatu topik yang menarik kedua-dua pihak.

Saya juga ditunjukkan gambar bedah siasat mangsa dengan kulit belakang kepala telah dipotong untuk mendedahkan tengkorak yang retak.

Setelah laporan siap, saya disuruh membaca dan menandatangani di satu sudut bahagian bawah laporan setelah berpuas hati semua yang ditaip adalah apa yang telah saya beritahu sewaktu diambil keterangan.

Beberapa bulan selepas itu saya telah menerima sepina dari mahkamah untuk menghadirkan diri pada tarikh yang tertera di mahkamah Miri. Saya terpaksa mengambil cuti tahunan dan jarak Batu Niah-Miri ialah kira-kira 110km dan semua kos ditanggung sendiri. Jika naik bas, tambangnya ialah RM10.00 sehala. Untuk menjimatkan kos, saya pandu motosikal YAMAHA Y100 dengan kos minyak RM5.00 sahaja setangki serta cukup untuk pulang dan balik.

Perjalanan menggunakan motosikal mengambil masa kira-kira 90 minit sehala dan untuk pengetahuan semua, saya cuma membuang masa di luar mahkamah sahaja serta tidak dipanggil pada beberapa sepina awal. Setelah itu saya bertekad mengabaikan sepina yang sampai ke rumah.

Saya tidak ingat lagi berapa banyak sepina yang telah dihantar kepada saya sehingga lah tiba giliran saya dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

Sewaktu tiba giliran saya membuat keterangan, saya juga abaikan sepina dan turun bekerja seperti biasa. Pada pagi itu juga saya telah menerima panggilan telefon dari balai polis memberitahu pihak mahkamah mencari saya sebab tidak hadir dan menyuruh saya hadirkan diri pada sesi sebelah petang.

Pihak polis juga ada memberitahu saya, jika saya tidak hadir juga maka mereka akan menangkap saya dan ditahan di lokap sehingga kes selesai.

Saya terpaksa mengambil cuti kecemasan (emergency leave) untuk menghadirkan diri dengan memandu motosikal sejauh 110km. Setibanya di perkarangan mahkamah, pegawai polis yang mengambil keterangan saya dulu telah menanti dan disuruh membaca laporan yang diambil dari saya sebelumnya.

Saya juga diberitahu agar tidak membuat cerita yang tidak berkaitan sewaktu ditanya penguambela kelak dan boleh/akan dituduh menghina mahkamah jika didapati berbuat demikian.

Semuanya berjalan lancar dan saya cuma menjawab apa yang saya masih ingat serta memberitahu 'tidak ingat' jika benar dah lupa sebab telah lama berlalu.

Seingat saya keputusan akhir kes tersebut ialah tertuduh bersalah kerana membunuh tanpa niat dan dipenjara beberapa tahun. Hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap serta dipenjara. Jika tidak silap ingat, tertuduh dibebaskan beberapa bulan selepas hukuman dijatuhkan sebab tempoh hukuman telah tamat.

Kini saya faham kenapa orang ramai tidak mahu menjadi saksi kes berdasarkan pengalaman saya di atas. Saya yakin tidak akan menjadi saksi kes jika memberitahu pegawai penyiasat yang saya 'tidak tahu', 'tidak ingat' atau 'tidak perasan' yang mangsa ada menukar wang di tempat saya bekerja.

Apa pun, pilihan di tangan masing-masing...

Monday, 17 October 2022

CE-KFR26G/Y-AF aircond PCB repair

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah papan litar penghawa dingin berjenama Carrier dengan masalah boleh dihidupkan namun compressor gagal berfungsi serta tidak sejuk.

CE-KFR26G/Y-AF

Pemeriksaan dengan mata kasar mendapati cabel yang disambung ke geganti (relay) telah lebur seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

CE-KFR26G/Y-AF

Rating geganti tersebut ialah 30A/250v dengan voltan gegelung 12v seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Geganti rosak...

Sebelum ini saya juga pernah dirujuk PCB penyaman udara dengan masalah sedemikian dan anda boleh rujuk di sini dan sini.

Gantikan geganti baharu

Masalah yang saya hadapi kali ini ialah untuk mendapatkan geganti yang serupa sebab bentuk serta saiznya berbeza dengan yang pernah saya baiki sebelum ini.

Siap...

Saya telah gantikan dengan menggunakan geganti yang digunakan pada 'water heater' dan pernah saya kongsikan sebelum ini di sini. Bentuknya sedikit berbeza namun kedudukan pin adalah sama dan ratingnya juga sama iaitu 30A/250V seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

30A/250V - 12v

Masalah selesai setelah geganti di atas telah saya gantikan serta diuji tanpa masalah.

Selamat mencuba...

Sunday, 16 October 2022

Punca kenaikkan harga barangan

Saya bukan pakar ekonomi dan saya juga bukan 'promoter' produk. Produk yang saya guna pakai pada kali ini cuma sebagai contoh semata-mata dan apa yang saya sampaikan hanya berdasar pandangan logik saya sahaja.

2kg peruma 200g = 2.2kg

Saya yakin dan percaya ramai kini mulai merasai bahang kenaikkan kos sara hidup dek kerana harga barangan semakin mahal dari sehari ke sehari. Ada banyak sebab kenapa harga barangan naik dan saya cuma kupaskan salah satu sebab semasa sahaja.

Naik RM4 dalam 3 bulan...

Gambar di atas adalah resit-resit yang ada pada saya sewaktu membeli benda yang sama iaitu pengganti Milo. Saya namakannya sebagai pengganti Milo sebab saya telah lama berhenti meminum milo berikutan harganya yang semakin mahal dari sebulan ke sebulan.

Untuk menghilangkan rasa gian minum Milo, saya terjumpa produk yang rasanya serupa dengan milo dan bungkusannya boleh dilihat pada gambar pertama di atas.  Pengganti Milo ini hanya boleh didapati di ECONSAVE dan harganya jauh murah berbanding jenama Milo.

RM36.99 for member & RM38.00 for non member (2kg)

Saya mulai minum pengganti Milo ini sewaktu PKP dek kerana pandemik CoVid-19 iaitu kira-kira dua tahun yang lalu dengan harga RM21.90 sebungkus seperti boleh dilihat pada gambar terakhir di bawah.

Baru-baru ini saya perasan yang ianya telah naik harga dan buktinya boleh dilihat pada gambar ke-2 di atas iaitu dari RM25.90 menjadi RM26.90 dan kini RM29.90.

Walaupun telah naik harga, ianya masih menjadi pilihan sebab Milo juga naik harga dari RM28.99 pada tahun 2021 dan kini mencecah sehingga RM37.59. Gambar-gambar harga Milo 2kg di atas dan di bawah saya ambil baru-baru ini di beberapa buah kedai yang berbeza.

RM37.59 (2kg)

Kenaikkan harga ketika ini adalah disebabkan kos telah meningkat terutamanya melibatkan barangan import berikutan nilai ringgit semakin menyusut berbanding dollar US.

Sewaktu pandemik CoVid-19 baru menular kadar ringgit berbanding dollar US ialah kira-kira RM4.15/dollar dan baru-baru ini telah mencecah RM4.70/dollar.

RM42.30 (2kg)

Sebagai contoh, katakan peniaga mengimport barangan dengan harga USD100k untuk satu kontena pada kadar RM4.15 dollar dua tahun yang lepas, peniaga perlu bayar RM415k. Dengan kadar sekarang, peniaga perlu bayar RM470k untuk mendapatkan barang yang sama iaitu kenaikkan sebanyak RM55k atau RM55,000.00.

Banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada kenaikkan harga barangan dan ianya berangkai seperti kos pengangkutan. Walaupun harga diesel tidak berubah sebab subsidi kerajaan namun kos lain meningkat seperti alat ganti kereta pengangkut sebab juga diimport.

06/09/2021

Buktinya ialah kos penghantaran barangan yang dibeli melalui atas talian. Ketika saya mula membeli melalui atas talian, kos penghantaran cuma RM4.00 sahaja namun kini mencecah RM10.00 atau lebih untuk benda yang sama. Saya tidak pasti bagaimana kos penghantaran untuk pembelian atas talian ditetapkan namun yang pasti, kos penghantaran barangan sama yang dihantar dari luar negara lebih murah berbanding kos penghantaran dalam negara. Selain kos, majoriti tempoh penghantaran luar negara lebih singkat berbanding penghantaran dalam negara. Jadi, jangan salahkan pembeli jika tidak menyokong peniaga tempatan.

Fikir-fikirkan...

Saturday, 15 October 2022

DELL CN-OHN7XN motherboard repair

Minggu lepas saya telah dirujuk sebuah motherboard computer berjenama DELL dengan masalah kadang-kadang ianya akan padam sendiri (reboot) setelah beberapa ketika digunakan.

DELL CN-OHN7XN motherboard

Sebelum ini saya juga pernah dirujuk motherboard berjenama DELL dan anda boleh rujuk di sini. Saya tidak pasti nombor rujukan pada papan litarnya sama atau tidak namun sekali imbas ianya seperti serupa dan perbezaannya ialah, dua tahun yang lalu ianya dihantar dalam keadaan lengkap dan papan litar belum dibuka.

Kapasitor 1000uf, 6.3v kembung...

Pemeriksaan awal dengan mata kasar mendapati sebiji kapasitor dengan nilai 1000uf, 6.3v kembung seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Rosak...

Kapasitor yang kembung tersebut sah rosak setelah diperiksa dengan menggunakan 'LCR-T4 ESR meter' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

1000uf, 6.3v

Pemeriksaan menyeluruh tidak menemui sebarang komponen lain yang rosak selain kapasitor kembung di atas.

Siap...

Pagi ini pemilik telah menghubungi saya memberitahu tiada lagi masalah 'reboot' sendiri lagi berulang.

Selamat mencuba...

Friday, 14 October 2022

KFC Colonel box naik seringgit

Ini cerita semalam di sebuah outlet KFC. Minggu lepas saya juga melawat outlet yang sama serta menjamu menu yang sama iaitu 'colonel box' dan anda boleh rujuk di sini.

Colonel box - RM13.99

Harga minggu lepas ialah RM12.99 dan semalam harganya telah naik seringgit menjadi RM13.99. Apa yang diiklankan dalam hidangan 'colonel box' ialah:-

  • segelas minuman ringan
  • seketul daging ayam
  • sekotak kentang goreng
  • sebiji burger

Apa yang saya dapat semalam ketika membuat pembayaran ialah seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Kentang goreng telah ditukar dengan 'mashed potato' dan burger kena tunggu...

Tiada sudu dan tisu...

Setelah menunggu kira-kira 15 minit, burger tak siap-siap lagi dan saya makan apa yang ada dulu. Ayam serta 'mashed potato' pun dah sejuk serta tidak enak lagi. Saya juga tidak dibekalkan sudu serta tisu dan terpaksa menggunakan tulang paha ayam untuk mencedok 'mashed potato' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Outlet KFC telah lama tidak membekalkan garfu/sudu melainkan jika kita minta. Teringat zaman 80an ketika itu makan di outlet sugarbun dan masih tak pandai makan guna sudu/garfu. Kini sudah pandai makan guna sudu/garfu namun disuruh makan guna tangan sehingga menjilat jari seperti diiklankan.

Dah habis tapi burger tak muncul-muncul...

Setelah saya habiskan apa yang ada termasuk minuman ringan, burger masih tak siap-siap lagi. Nombor saya (266) cuma dipanggil setelah kira-kira setengah jam berlalu dan saya buat-buat tak dengar sebab nak tau pula apa tindakan mereka seterunya selain menghantar masej tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.

Seingat saya mereka ada panggil dua/tiga kali sahaja dan lepas itu senyap. Setelah kira-kira sejam duduk di outlet akhirnya saya membawa bill ke kaunter untuk menuntut burger. Saya sengaja tepuk sedikit kuat bill pada kaunter untuk menarik perhatian sebelum diberi burger tanpa sepatah kata (actions speak louder than words'.

Kena ambil sendiri di kaunter...

Saya ambil burger dan tinggalkan outlet menuju ke kereta. Burger pun dah sejuk atau lebih tepat sejuk sebab saya sengaja tak ambil sewaktu dipanggil.

Dalam masa yang sama, saya juga banyak terbaca aduan sama orang ramai di laman sosial berkaitan outlet KFC seperti pengalaman saya di atas. Banyak aduan tidak dapat hidangan seperti apa yang diiklankan. Saya dapati mereka kini tiada bekalan 'coleslaw' dan sebagai ganti mereka bagi 'mashed potato'. Dengar khabar pembekal mereka tidak dapat sijil halal...

Walaupun ramai yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka namun setiap hari masih kelihatan orang ramai beratur panjang di kaunter mereka. Itu lah rahsia kejayaan mereka yang harus kita dirungkai serta dipelajari...

Thursday, 13 October 2022

Fluke 115 battery replacement

Semua multimeter dilengkapi dengan bateri dan perlu diganti bila tiba masanya. Persoalannya ialah, bilakah kita harus gantikan bateri tersebut?

Low Batt...

Jika anda menggunakan multimeter berjenama Fluke, model 115, baterinya harus ditukar apabila indikator atau simbol bateri menyala pada skrin seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Tanggalkan skru...

Cara menukarnya sangat mudah iaitu hanya dengan membuka sebiji skru pada bahagian belakang multimeter dan gantikan sebiji bateri 9v sahaja.

Gantikan bateri baharu...

Keterangan lanjut boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...

Wednesday, 12 October 2022

Facebook login code

Awal pagi semalam saya ada menerima SMS seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Setahu saya, SMS seperti ini akan dihantar ke telefon kita jika melakukan 'login' menggunakan telefon baharu atau terlupa kata laluan dan menekan 'forgot password'.

SMS tersebut dihantar pada pukul 12:10am (00:10hrs) ke telefon bimbit saya sewaktu sedang nyenyak tidur.

Saya tidak pasti tujuan SMS tersebut dihantar ke telefon saya, namun yang pasti saya sedang nyenyak tidur atau mungkin sedang bermimpi.

Kemungkinan besar ada yang cuba menggunakan e-mail atau nombor telefon saya untuk mendaftar akaun facebook atau mungkin pengodam sedang berusaha mengodam akaun facebook saya.

Fikir-fikirkan...

Tuesday, 11 October 2022

Berakhirnya kerajaan keluarga malaysia

Parlimen ke-14 telah dibubarkan semalam (10/10/2022) dan pilihanraya umum (PRU) ke-15 akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pilihanraya kali ini sedikit berbeza dengan sebelumnya sebab banyak dewan undangan negeri (DUN) tidak dibubarkan berikutan rampasan kuasa setelah pakatan harapan (PH) ditumbangkan sehingga terbentuknya kerajaan pintu belakang atau kerajaan tebuk atap sekarang.

PRU kali ini juga buat pertama kalinya melibatkan pengundi 18 dan saya percaya akan merubah lanskap politik negara.

PRU ke-14 telah menyaksikan kerajaan barisan nasional pimpinan umno selama kira-kira 60 tahun telah tumbang berikutan kebangkitan rakyat menentang kleptrokrasi dan setakat ini hanya bekas perdana menteri ke-6, Najib Razak telah dijatuhkan hukuman serta dipenjarakan.

Ramai yang lain masih di peringkat membela diri serta rayuan di mahkamah. Saya berpendapat PRU kali ini adalah desakan umno agar pemimpin mereka yang dalam proses rayuan serta membela diri boleh terlepas dari hukuman jika berjaya membentuk kerajaan kelak.

Jadi, perjuangan masih belum selesai untuk menentang pemimpin yang tidak berintegreti dan harus diperangi habis-habisan. Kerajaan yang bersih adalah harapan negara untuk maju, makmur serta stabil akan datang. Boleh kah ianya direalisasikan pada PRU kali ini?

Kita tahu manifesto utama PRU lepas ialah perangi kleptrokrasi dan sama-sama kita lihat apa pula yang mereka canangkan kali ini untuk memenangi hati pengundi.

Marilah kita ramai-ramai keluar mengundi kelak supaya tiada pertikaian di kemudian hari dan bukannya seperti beberapa PRN lepas yang menyaksikan peratusan keluar mengundi yang sangat rendah sebab pelbagai faktor yang disengajakan.

Faktor yang disengajakan juga berlaku pada PRU kali ini iaitu diadakan pada musim tengkujuh agar ramai tidak dapat keluar mengundi dan keputusan akan berpihak kepada penyokong tegar sahaja.

Jadi, PRU kali ini adalah sambungan kepada PRU ke-14 lepas yang belum selesai untuk membina negara yang bersih, makmur serta stabil.

Selepas ini kita tunggu hari penamaan calon untuk mengetahui siapa yang bakal dicalonkan.

Adakah anda layak mengundi? Klik di sini untuk membuat semakan kelayakan mengundi serta lokasi anda membuang undi kelak.